AFSHIN 07

Fantasy Completed 7268

Muncul dua orang pemuda yang bertubuh sasa di balik pintu gerbang. Baju melayu berwarna merah gelap yang tersarung di badan menyerlahkan kulit putih pemuda-pemuda itu. Sungguh tampan sehingga membuatkan Rycca sedikit ternganga menikmati kekacakan mereka.


"Bapak handsome." Rycca menggumam tanpa sedar.


"Tengku Rayyan.. Tengku Rafan..." Ferran menunduk hormat sedikit tanda menyambut kehadiran mereka.


"Mengapa kamu ingin mengetahui tentang kawasan Essam?" Tengku Rayyan kembali menyoal. Anak matanya tepat memandang ke arah Rycca.


Rycca tersedar dari khayalannya apabila suara garau itu menyapa gegendang telinga. Dia berdehem cuba untuk menumpukan perhatian terhadap mereka semula.


"Saya cuma tanya apa yang saya ingat. Mungkin saya datang dari kawasan itu, tiada siapa yang tahu kan? " Rycca menjongket bahu menjawab ringkas soalan Tengku Rayyan.


"Sungguh tidak sopan cara kamu berbahasa! Kamu sedar dengan siapa kamu bercakap sekarang?!" Wajah putih Tengku Rayyan mula kemerahan menahan marah. Dia tidak suka apabila melihat rakyat biasa seperti Rycca bagaikan tidak menghormati dirinya yang berstatus tinggi.


"Sudahlah kakanda. Bukankah tadi kita sudah mendengar bahawa gadis ini hilang ingatan dan tidak kenal dirinya sendiri?" Suara lembut Tengku Rafan akhirnya kedengaran. Dia cuba memujuk amarah yang mula hadir dalam diri abangnya itu.


"Ferran! Bawa gadis ini menghadap saya. Saya mahu menyoal sendiri niat sebenar kedatangannya." Tengku Rayyan tidak mempedulikan pujukan adiknya, Tengku Rafan. Dia mahu menyelesaikan perkara ini dengan segera. Dia takut hal sulit kawasan Kautsar bakal terbongkar pada kawasan lain.


"Hamba menurut perintah Tengku." Ferran menunduk sehingga kelibat Tengku Rayyan dan Tengku Rafan menghilang.


Pantas sahaja kunci yang terselit di kocek seluar dikeluarkan dan pintu kurungan Rycca dibuka. Tangan Rycca digari sebelum dirinya mula memaksa Rycca mengikut langkah kakinya keluar dari kurungan bawah tanah itu. Rycca hanya menurut tanpa banyak bicara.


Kali ini Rycca berjalan tanpa ditutupi matanya. Jadi dia boleh meninjau kawasan sekeliling sambil kaki melangkah entah ke mana. Ferran menarik gari Rycca dengan tangan kiri manakala sebelah lagi tangannya tidak lepas dari memegang lembing. Setelah agak lama berjalan, akhirnya mereka berdua masuk satu kawasan berpagar yang menempatkan sebuah rumah yang sangat besar di tengah-tengah.


Bagaikan rusa masuk kampung, Rycca sungguh tertawan dengan reka bentuk dan kecantikan kawasan sekeliling yang menyapa matanya sekarang. Rumah itu bagaikan istana. Walaupun hanya satu tingkat, tetapi masih menyerlahkan rekaannya yang unik dan nampak luas.


Lamannya juga luas sehingga boleh menanam beberapa pohon berbunga mengiringi di sepanjang laluan pejalan kaki dari pagar sehingga ke pintu utama. Di sebelah kiri laman itu terdapat sebuah kolam dan diatasnya dilintasi titi bewarna merah. Manakala di sebelah kanan tersusun beberapa rumah kayu yang agak kecil seperti rumah kedai.


Bukan Rycca dan Ferran sahaja yang berada di sini. Rycca dapat melihat dengan jelas beberapa orang lelaki dan perempuan yang lalu lalang di sekitar itu. Agak ramai dan kesemuanya mengenakan baju melayu bagi lelaki dan baju kurung ataupun kebaya bagi perempuan.


Rycca tidak pasti berapa keluasan kawasan ini, tetapi serasanya kawasan ini empat kali ganda lebih besar daripada banglo dua tingkat rumahnya. Rycca masih belum puas menilik sekeliling sehingga tidak sedar dia sudah berdiri di hadapan pintu utama.


Sebaik sahaja pintu rumah itu dibuka, sekali lagi Rycca terpana. Bagaikan tidak percaya apabila dia mampu melihat kawasan dalam rumah ini yang sungguh elegan. Ruang utama yang bergantungan chandelier itu membuatkan lantai mozek yang dipijak sesekali berkelip dengan pantulan lampu.


Ferran membawa Rycca menyusuri laluan di sebelah kiri. Laluan itu pula dihampari karpet bewarna emas dan merah. Rycca teragak-agak mahu memijak karpet yang bersih dari sebarang habuk itu dengan kaki ayamnya. Takut jikalau dia meninggalkan kesan kotor di atas karpet.


Tetapi disebabkan tindakan Ferran yang menarik garinya itu, tidak dapat tidak Rycca terpaksa juga mengekor dengan hati separuh rela. Senyap sahaja sepanjang perjalanan sehingga Ferran memasuki satu bilik yang tidak berpintu.


Rycca dapat mengenal pasti kehadiran Tengku Rayyan dan Tengku Rafan sedang duduk di atas kerusi empuk yang terletak di atas platform yang sedikit tinggi dari lantai dipijaknya sekarang. Lagak mereka berdua seperti menunggu pesalah dibawa menghadap untuk dijatuhkan hukuman.


"Hamba bawakan gadis ini datang menghadap." Ferran berlutut sebelah kaki sebelum membawa diri ke tepi ruangan. Kini tinggallah Rycca berhadapan dengan dua orang pemuda itu.


"Apa yang kamu tahu tentang kawasan Essam?" Tanpa mukadimah, Tengku Rayyan terus menyoal.


"Saya tak tahu. Tetapi saya macam pernah dengar nama tempat itu. Disebabkan itu saya bertanya pada Ferran." Rycca menjawab sekadar yang boleh. Dia tidak memberitahu perkara sebenar tentang di mana dia menjumpai kawasan Essam. Biarlah hanya dirinya yang tahu tentang itu.


"Usah berbohong!" Tengku Rayyan menempik sambil tangannya kuat menepuk kerusi.


Terhenjut bahu Rycca akibat terkejut dengan tempikan itu. 'Aku cakap pun salah. Tak cakap pun salah. Dia nak apa sebenarnya ni? Kenapa marah sangat bila aku sebut tentang kawasan Essam?' Rycca sudah mula bosan. Dari semalam dia diasak dengan pelbagai soalan tetapi satu pun jawapan yang keluar tidak dapat memuaskan hati mereka.


"Saya tak tipu. Buat apa saya nak tipu encik. Bukan ada faedah pun. Lagipun sekarang saya betul-betul tak tahu dari mana saya datang. Saya tak tahu asal-usul saya sendiri. Saya tak ingat." Rycca membidas berani. Dia tahu dia terpaksa menipu buat masa sekarang. Menipu yang dirinya sedang hilang ingatan.


Tengku Rayyan bingkas bangun dari duduknya lalu berjalan mendekati Rycca. Bibirnya diketap kuat dan tangannya menggenggam penumbuk menzahirkan rasa marah di dalam hati.


"Sabar kakanda, kita cuba berbahas cara elok." Tengku Rafan cuba mengusap bahu abangnya untuk meredakan kemarahan. Tetapi dirasakan semua tindakannya sia-sia.


"Berani kamu berlawan kata. Tidak sedarkah dirimu hanya pesalah yang menunggu dijatuhkan hukuman?" Tengku Rayyan mencengkam rahang Rycca dengan kuat. Dia mahu Rycca lihat siapa yang lebih berkuasa sekarang. Bukannya dia mahu berbangga diri, tetapi dia mahu sedarkan Rycca yang tiada adab apabila bercakap dengannya.


Ferran ingin melangkah untuk membantu Rycca, namun niatnya dimatikan apabila dirinya sedar akan status diri. Dia tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan.


"Saya cuma menjawab pertanyaan encik." Rycca tidak takut langsung dengan ugutan Tengku Rayyan.


"Ini peluang terakhir untuk kamu jujur. Lebih baik kamu menceritakan segalanya." Tengku Rayyan kembali menguatkan cengkaman di wajah Rycca.


"Saya berani bersumpah yang saya tak tahu apa-apa tentang kerajaan Essam. Saya tak tahu dari mana saya datang dan saya tiada niat jahat pada daerah Kautsar." Rycca bersuara yakin. Matanya menikam anak mata milik Tengku Rayyan.


Tengku Rayyan bagaikan tenggelam dalam panahan gadis itu. Entah mengapa dia dapat melihat kejujuran dalam setiap pengakuan yang dibuat Rycca. Pantas tangannya melepaskan cengkaman.

"Mungkin betul gadis ini tidak ingat perihal hidupnya. Kita lepaskan sahaja dia." Tengku Rafan kembali bersuara. Jelas riaknya menunjukkan simpati pada Rycca. Begitulah sifat Tengku Rafan. Walaupun bergelar adik kepada Tengku Rayyan yang terkenal dengan sifat tegas dan garangnya itu, tetapi Tengku Rafan mempunyai hati yang lembut dan tidak pernah membentak orang sekelilingnya. Sifatnya yang mudah kesiankan orang lain membuatkan semua hamba di kawasan Kautsar sangat peramah dengannya.


"Tidak! Kakanda tidak akan biarkan dia bebas di luar sana. Dia perlu berbakti di sini sehingga kebenaran tersingkap. Sehingga datang seseorang yang menuntut bela ke atasnya." Tengku Rayyan akhirnya memutuskan hukuman itu.


"Panggilkan Mama Dayang ke mari." Tengku Rayyan memberi arahan kepada Ferran. Setelah beberapa minit Ferran menghilangkan diri, hadir seorang wanita yang agak berusia dengan sanggul yang terikat kemas dikepalanya.


"Hamba datang menghadap, Tengku." Mama Dayang menunduk hormat.


"Bawa gadis ini bersama kamu. Biarkan dia belajar di bawah kamu. Ajarkan dia segala hal tentang pekerjaannya. Dia akan berbakti di sini sehingga saya sendiri yang membuangnya dari kawasan pembesar." Tengku Rayyan bersuara tegas. Dirasakan inilah hukuman yang paling wajar diberikan kepada Rycca. Membiarkan gadis itu terseksa bekerja di sini supaya gadis itu menceritakan hal sebenar.


"Encik tak boleh buat macam ni. Saya ada hak ke atas diri saya. Ini semua mengarut. Saya bukan orang gaji di sini!" Rycca mula membangkang. Mengapa dirinya dihukum di atas kesalahan yang tidak dia lakukan?


"Bawa dia pergi!" Tengku Rayyan berpaling dan kembali duduk di kerusinya.


Ferran terpaksa mengheret Rycca yang masih berdegil. Hatinya tidak sanggup menyakiti Rycca tetapi atas arahan Tengku Rayyan, dia perlu mengikut jua.


"Saya tak nak. Lepaslah! Lepaskan saya Ferran." Tolakan demi tolakan. Rontaan demi rontaan yang diberi tidak memberi kesan langsung kepada cengkaman Ferran yang utuh memegang garinya. Akhirnya dia hanya pasrah dirinya diheret mengikut wanita yang bergelar Mama Dayang itu.


"Kakanda pasti dengan keputusan ini? Bukankah lebih bahaya jika kita biarkan dia tinggal di kawasan pembesar?" Tengku Rafan meluahkan kegusarannya.


"Itu lebih baik kerana kita dapat menghidu gerak-gerinya. Lagipun di sini ramai pengawal yang menjaga. Jadi pergerakannya agak terbatas jika benar dia mahu menyebarkan hal sulit tentang Kautsar." Tengku Rayyan meyakinkan adiknya. Baik buruk sudah ditimbang sebelun dia membuat keputusan. Jadi mungkin tindakannya ini adalah betul. Dekatkan musuh dengan diri mereka walaupun mereka sendiri tidak pastu sama ada Rycca itu seorang yang baik ataupun jahat.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience