AFSHIN 25

Fantasy Completed 7268

"Rycca!!!"


Terkial-kial Tengku Rayyan cuba membuka pintu tahanan. Setelah berjaya menerobos masuk, dia terus mendapatkan Rycca bersama wajah yang cemas.


"Apa yang kamu buat?! Tahukah kamu nyawa kamu bakal melayang bila-bila masa sahaja?! Jangan bertindak bodoh!!" Berkerut dahi Tengku Rayyan sambil cuba untuk memapah Rycca untuk dibawa berjumpa dengan Nek Galyn. Dia tahu nyawa Rycca dalam bahaya sekarang.


"Hanya ini sahaja cara untuk Tengku percayakan hamba. Hamba akan ceritakan segalanya hari ini!" Rycca menggenggam kemas tangan Tengku Rayyan untuk menegahnya daripada membantu. Rycca dapat rasakan kesakitan yang tidak terperi tadi perlahan-lahan hilang dari bahunya. Tahulah dia bahawa badannya sudah bertindak balas.


"Jangan mengarut! Mari saya bawa kamu ke rumah sakit."


"Hamba bukan berasal dari kerajaan ini. Atau lebih tepat.. Alam ini!" Rycca merenung tepat ke dalam anak mata Tengku Rayyan. Terhenti segala pergerakan lelaki itu sambil cuba mencerna apa yang dikatakan Rycca.


"Hamba tidak tahu bagaimana hamba boleh terlepas ke sini.. Tetapi apa yang hamba pasti dunia ini bukan milik hamba."


"A.. Apa.. yang kamu katakan? Saya tidak faham. Jangan cuba membohongi saya lagi!" Tengku Rayyan menggeleng-gelengkan kepalanya tanda tidak percaya. Sukar dia menerima kenyataaan itu sementelah ini kali pertama dia mendengar kejadian seperti ini.


Rycca menyelak baju yang dipakainya sehingga mendedahkan sedikit bahagian bahu yang terkena tikaman sebentar tadi. Dia menyapu darah yang bertamu di situ. Seperti yang diagak, luka belahan dagingnya nyata sudah hilang dan seperti tiada apa-apa yang berlaku.


"Badan hamba kebal dengan senjata tajam disebabkan hamba bukan berasal dari sini." Rycca berharap dengan hakikat yang terbentang di hadapan mata Tengku Rayyan sedikit sebanyak mampu membuang prasangka buruk lelaki itu kepadanya.


Tengku Rayyan bertindak membawa tangannya menyentuh bahu Rycca. Dia sungguh terkejut kerana apa yang dikatakan Rycca adalah betul. Tiada langsung kesan luka di situ. Tengku Rayyan terduduk tidak percaya. Dia mengengsot sedikit ke belakang kerana terlalu terkejut dan takut.


"Sebelum hamba ke sini. Hamba bertemu dengan seorang lelaki misteri yang hamba tidak pasti siapakah gerangannya. Dan lelaki itu meninggalkan kalung ini di dunia sana sambil berpesan bahawa ibu hamba ada di sini. Hamba tidak tahu sama ada dia sengaja membawa hamba ke sini ataupun memang hamba ada kaitan dengan mereka." Jelas Rycca lagi.


"Maksudnya kamu bukan dari dunia ini? Jadi bagaimana kamu bisa masuk ke sini?" Tengku Rayyan cuba menenangkan diri.


"Hamba hanya mengikut lokasi yang terdapat di gambar wajah ibu dengan niat untuk mencarinya. Dan apabila hamba tiba di hutan tebal itu.. berlaku sesuatu yang menyebabkan hamba tidak sedarkan diri dan tiba-tiba hamba sudah berada di sini." Rycca ingat dengan jelas segala yang berlaku dalam beberapa bulan ini.


"Ini semua mengarut!" Tengku Rayyan kembali membentak.


"Kalau semua ini mengarut, cuba jelaskan kepada hamba mengapa badan hamba kebal dengan luka?! Mengapa hamba mampu meramal bahaya yang bakal menimpa seperti tadi?! Mengapa hanya hamba yang memiliki keistimewaan ini?!" Rycca bersuara geram. Dia sudah bosan dengan segala penafian yang keluar dari mulut Tengku Rayyan.


"Itu.. Itu se.. semua." Tergagap-gagap Tengku Rayyan cuba menegakkan benang yang basah.


"Itu semua kerana tubuh hamba bukannya berusul dari alam ini. Ini kenyataan yang hamba sembunyikan dari Tengku. Hamba tahu Tengku tidak akan percaya dengan apa yang hamba ceritakan, tetapi itulah hakikat yang sebenar berlaku dalam hidup hamba." Rycca bangun mendekati Tengku Rayyan. Dia cuba meyakinkan lagi lelaki itu dengan ceritanya.


"Betul tu Tengku. Hamba menjadi saksi segala yang diceritakan Dayang Rycca adalah benar." Nek Galyn muncul memberi hormat. Setelah dia selesai merawat luka semua pengawal, dia memilih untuk datang ke sini bagi melihat keadaan Rycca.


Tengku Rayyan pantas berdiri sambil menoleh ke arah Nek Galyn. Begitu juga Rycca.


"Ketika hamba merawat Dayang Rycca malam itu, hamba dapat rasakan auranya, hamba dapat rasakan kekuatan dan semangat yang ada dalam tubuhnya. Sungguh luar biasa dan tidak sama dengan rakyat di sini. Dayang Rycca mempunyai keistimewaan yang lain dari orang lain. Percayalah Tengku." Nek Galyn seakan-akan memujuk Tengku Rayyan untuk percaya dengan segalanya. Dia tahu susah Tengku Rayyan untuk menerima bulat-bulat.


"Susah untuk saya terima semua ini." Akhirnya Tengku Rayyan bersuara.


"Tengku! Tengku!" Tiba-tiba, muncul Azzan di balik pintu dalam keadaan tergesa-gesa.


"Tengku! Kita ada masalah besar!!" Azzan bersuara cemas.


"Katakan sahaja!" Kini semua tumpuan terarah kepada Azzan.


"Dahak.. Dahak sudah mula membuat kekacauan kepada rakyat Kautsar di luar sana! Bukan sahaja kawasan Kautsar yang diganggu, tetapi kawasan lain juga sudah terpalit natijahnya termasuk.. Kawasan Syafia."


"Apa?!!" Tengku Rayyan menjerit tidak percaya. Tidak cukup dengan cerita dari Rycca sebentar tadi, kini dia dibentangkan dengan cerita lain pula.


Nek Galyn juga turut terkesima dengan berita itu. Nampaknya rakyat Dahak sudah mula menunjuk belang dan semakin berani. Kawasannya juga sedang terancam sekarang.


"Bawa saya melihat keadaan mereka sekarang!" Tengku Rayyan kembali mengutip pedang di lantai lalu disisipkan di sampinnya.


"Izinkan hamba ikut serta bersama Tengku. Sekurang-kurangnya hamba dapat melindungi Tengku jika terjadi sesuatu nanti." Rycca berdiri di hadapan Tengku Rayyan meminta izin.


Lama Tengku Rayyan merenung Rycca. Memikirkan kewajaran dia membawa gadis itu bersama.


"Baiklah, jika itu kehendak kamu. Nek Galyn juga perlu ikut sekali. Saya takut jika ada rakyat Kautsar yang memerlukan bantuan nanti." Sejurus menuturkan hal itu, Tengku Rayyan bergegas berjalan mengikut Azzan menuju ke lokasi yang diberitahu tadi. Di dalam hati Tengku Rayyan berharap tiada perkara serius yang menimpa rakyatnya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience