AFSHIN 34

Fantasy Completed 7260

Sungguh lain suasana kehidupan rakyat Essam jika dibandingkan dengan Kautsar. Sejak dari tadi Rycca tidak berhenti meliarkan pandangan melihat sekeliling. Di setiap perjalanannya, dia hanya melihat ramai rakyat Essam yang sedang berlatih sesama sendiri. Ada yang sedang berlatih memanah, berlawan pedang, beragu silat dan juga teknik berlawan menggunakan pisau. Rycca teruja melihat semua itu.


Semuanya mengenakan pakaian baju melayu berwarna hitam serta berkain pelikat putih yang diikat di pinggang. Bukan sahaja kaum lelaki, tetapi kaum wanita turut berpakaian yang sama dan juga tidak kalah menunjukkan bakat mereka dalam berlawan.


Etika pakaian mereka agak lain dengan rakyat Kautsar yang lebih menjaga keterampilan dan sentiasa mengenakan sampin dua puluh empat jam. 'Patutlah Essam terkenal dengan rakyatnya yang pandai berlawan dan tahu-menahu tentang seni mempertahankan diri. Pasti sudah lama mereka berlatih begini. Lihat sahaja pakaian mereka. Sungguh garang dan selesa untuk bergerak ke sana sini jika bertemu musuh.' Rycca mengangguk-anggukkan kepalanya sendiri.


Setelah agak lama berjalan, Khabir tiba-tiba menghentikan langkahnya sebelum diikuti Rycca. Kini terpampanglah satu kawasan berpagar di hadapan mata. Semua rumah di dalam kawasan berpagar itu dicat emas dan terdapat sebuah rumah agam terletak di tengah-tengahnya. Rycca tahu bahawa dia sudah tiba di rumah pembesar.


"Hamba membawa tetamu pembesar datang menghadap." Khabir bersuara kepada dua pengawal penjaga pintu pagar. Mereka berdua mengangguk sebelum membukakan pintu untuk Rycca dan Khabir masuk.


Rycca hanya membontoti langkah Khabir tanpa sebarang bicara. Pelbagai persoalan kembali menyerang minda membuatkan perasaan gementarnya semakin bertambah di setiap langkah yang dibawa. Rycca tidak tahu bagaimana mahu berhadapan dengan pembesar Essam dan bagaimana dia mahu memulakan bicara nanti.


Anak tangga dinaiki satu persatu dan kini mereka sudah masuk ke dalam ruang dalam bahagian atas rumah agam itu. Rycca dapat melihat beberapa orang pelayan berdiri menyambut kedatangannya tetapi matanya kini lebih fokus kepada tiga orang wanita yang agak berusia berdiri di tengah-tengah ruangan. Seorang wanita tidak dapat dilihat dengan jelas wajahnya kerana berdiri membelakangi Rycca sambil memegang tongkat.


"Tengku! Hamba bawakan tetamu Tengku ke sini." Jelas Khabir sebelum menunduk hormat dan bergerak ke tepi memberi ruang Rycca dengan Tengkunya berbicara.


Perlahan wanita itu berpusing sambil dibantu oleh dua wanita yang berdiri di sampingnya sedari tadi. Apabila sepasang mata Rycca menjamah wajah itu, jantungnya seakan terhenti. Terlepas kayu panjang yang digenggam erat jatuh menyembah lantai. Dunia seakan berhenti berputar dan Rycca terpana di tempatnya berdiri. Dapat dilihat dengan jelas mata bundar wanita itu juga turut berkaca.


"Rycca... Rycca.. " Nama itu diseru berkali-kali oleh wanita itu. Dia sedaya-upaya bergerak laju ke hadapan untuk mendekati Rycca bersama tangan yang menggigil memegang tongkat. Sehingga tubuhnya jatuh ke lantai dan masih cuba mengengsot mendekati Rycca bersama deraian air mata yang mulai lebat.


"Tengku!" Dua wanita itu kalut-kalut ingin membantu ketua mereka untuk bangun tetapi ditepis. Khabir dan pelayan yang lain juga turut terkesima melihat kejadian itu. Rycca juga bagaikan baru tersedar dari kantuknya melihat keadaan wanita itu yang sudah terduduk di atas lantai.


"I.. buu.. Ibu.. Ibu!" Rycca menyeru kuat sebelum langkah mula dibuka mendapatkan wanita itu. Dia memeluk ibunya dengan erat menghamburkan segala rindu yang dipendam sejak dahulu. Akhirnya Rycca dapat menangis dalam dakapan seseorang yang bergelar ibu.


Maka, makin terloponglah semua orang yang berada di situ. Tidak percaya dengan panggilan yang didengari mereka tadi. Tetapi tiada seorang pun yang berani bersuara hatta melihat dua beranak itu yang seperti tenggalam dalam dunia mereka sendiri.


"Kamu sudah besar Rycca. Kamu dah besar. Ibu gembira dapat bertemu dengan kamu. Ibu gembira sayang... Anak ibu.. Anak ibu..." Tengku Maanika membelai rambut anaknya penuh kelembutan. Berkali-kali dia menghadiahkan ciuman di ubun-ubun Rycca. Sungguh hari ini merupakan hari yang paling bahagia dalam hidupnya.


"Ibu.. " Rycca tidak mampu meneruskan kata kerana dia terlalu tenggelam dalam tangisannya. Biarlah mereka berkeadaan begini buat selamanya. Biarlah dia mengubati rindunya selama dua puluh tiga tahun tanpa ibu di sisi. Akhirnya pencariannya tidak sia-sia. Segala kesakitan dan keperitan Rycca selama ini terbayar jua.


Tengku Maanika tidak menyangka anaknya sendiri yang muncul hari ini. Dia ingatkan tetamunya itu merupakan Tengku Rayyan. Tadi, pengawalnya Azzim datang meminta izin dan membacakan mantera yang pernah diberitahu kepada Tengku Rayyan dahulu. Azzim berkata tetamunya itu yang suruh membacakan mantera tersebut di hadapannya. Sebab itu dia tidak berharap lebih. Tetapi kejutan lain pula yang diterima. Sangat ajaib apabila anaknya boleh berada di sini. Tengku Maanika mula tersedar sesuatu. Dia pantas membuka mata dan melonggarkan pelukan Rycca dengan wajah penuh tanda tanya.


"Bagaimana Rycca boleh ke sini?!"

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience