Bab 33

Romance Series 7113

Keesokan paginya

Bunyi senduk berlaga dengan kuali memecah keheningan pagi. Aroma nasi goreng kampung mula memenuhi ruang dapur kecil itu, berpadu dengan bau kopi O panas yang sudah siap dibancuh dan diletakkan di atas kaunter.

Zayan mengambil dua biji pinggan. Nasi goreng yang baru masak dicedok masuk ke dalam pinggan kaca. Wajahnya tenang di luar, tapi jiwanya masih bergolak sejak malam semalam.

Beberapa saat kemudian, pintu bilik Zulaikha terbuka dari dalam.

Wanita itu muncul dengan dress tanpa lengan berwarna merah jambu lembut dari Zara, separas lutut. Rambutnya disisir kemas, bibir dioles sedikit warna, dan tas tangan Chanel tergantung di bahu.

Zayan yang sedang mencedok nasi menoleh. Pandangan mereka bersabung seketika. Matanya meneliti penampilan Zulaikha dari atas ke bawah. Ada riak tidak senang, yang tidak cuba disorokkan.

Dia menghela nafas kasar.

"Awak nak ke mana?" tanyanya, nada dingin menusuk pagi yang sepatutnya damai.

"Breakfast. Cepat siap. Saya tak suka tunggu orang," jawab Zulaikha sepatah, menyilangkan tangan di dada. Nada sinis masih bersisa daripada pertelingkahan semalam.

"Tak payah keluar. Saya dah goreng nasi," balas Zayan. Nada suara berubah menjadi arahan.

“Saya tak lalu nak makan nasi goreng. Saya nak makanan lain. Lima minit. Saya tunggu lima minit je. So please, get changed as fast as you can,” arah Zulaikha pula, enggan mengalah.

Zayan melangkah perlahan ke arahnya, berdiri betul-betul di hadapan.

“Kita takkan ke mana-mana hari ni. Hari ni off day saya.”

Zulaikha mengerut dahi. “Off day? Sejak bila awak ada hak untuk ambil cuti sendiri? Kerja awak escort saya. Ke mana pun saya pergi.”

Zayan menjungkit kening. Suaranya rendah tetapi tegas. “Saya hanya ikut arahan daripada bos saya. Awak cuma subjek dalam kes ini. Jadi tolong beri kerjasama.”

Zulaikha mendengus, nafas dihembus kasar. “Awak ni kalau cemburu, otak awak terus tak berfungsi ke?”

“Cemburu? Saya?” Zayan senyum sinis. “Saya cuma jalankan tugas.”

Pandangan mereka bertembung. Dada masing-masing berombak, emosi mula membuak.

Brakkk!

Zulaikha menolak dada Zayan dengan tas tangan. Lelaki itu terganjak sedikit ke belakang sebelum wanita itu pantas membolos ke arah pintu. Kasut tumit tiga inci segera disarung ke kaki.

Namun Zayan bertindak lebih pantas. Dia menahan pintu dengan lengan kirinya.

“Tepi...” Zulaikha menjegilkan mata. “Saya kata, tepi!”

“Awak tak boleh keluar tanpa saya. Close Protection Procedure,” ujar Zayan tegas, menggunakan tubuhnya untuk menghalang pintu secara taktikal.

Zulaikha mencekak pinggang, marah makin memuncak. “Awak ni budak tadika ke? Saya tahulah apa itu 'Close Protection Procedure'. Tapi awak yang langgar arahan saya!”

Zayan tetap tidak berganjak. “Awak betul-betul dah pulih, kan? Saya boleh nampak cara awak bertindak. Reaksi awak."

Zulaikha terdiam.

“Maksud awak?” soalnya, cuba berlagak tenang.

“Sebelum ni... awak agresif. Awak serang saya.”

Zulaikha berpaling kasar. “Saya cuma malas nak layan perangai kebudak-budakan awak.”

Dia menanggalkan kasut tumit dengan kasar, kemudian berpaling semula ke dalam. Langkah diatur deras menuju ke bilik.

Namun kata-kata Zayan mengekorinya.

“Kenapa awak masih berpura-pura hilang ingatan, Zulaikha? Awak buat perjanjian dengan ECLIPSE? Sebab tu awak dibebaskan?”

Langkah Zulaikha terhenti. Bahunya menegang. Sunyi seketika.

“Jangan nak overthinking,” balasnya akhirnya, tanpa menoleh.

Zayan merenung belakang tubuh itu, matanya penuh curiga.

“Awak tahu tekaan saya betul.”

Zulaikha hanya melangkah pergi. Pintu bilik ditutup perlahan.

Zayan berdiri di ruang tamu dengan dada yang masih sesak. Firasatnya kuat mengatakan ada sesuatu yang cuba disembunyikan Zulaikha. Tapi apa?

-------

Pavilion Residence, Bukit Bintang, Kuala Lumpur

1:14 pagi

Langit malam kelam, hanya diterangi cahaya suram bulan yang bersembunyi di sebalik awan kelabu. Dari tingkat 32, bayang seorang wanita berpakaian serba hitam meluncur perlahan menuruni dinding bangunan kondominium mewah itu.

Harness taktikal terpasang kemas pada badan Zulaikha. Jemari terlatihnya mencengkam tali statik, mengawal pergerakan abseiling dengan cekap. Teknik penurunan itu diamalkannya ribuan kali sejak direkrut sebagai ejen risikan ECLIPSE. Pergerakan seperti ini sudah menjadi salah satu teknik yang wajib dipelajari dan mahir untuk memudahkan kerja-kerja penyusupan.

Saat kakinya mencecah tanah, dia segera melepaskan cangkuk dan menghilang ke lorong belakang bangunan.

Di sana, seorang wanita lain sudah menunggu dengan motosikal Ducati Scrambler hitam matte. Lengkap bersarung kulit dan helmet visor gelap.

Sphynx.

Tanpa berkata-kata, Zulaikha melompat ke tempat duduk belakang. Sphynx menghulurkan alat komunikasi kecil berbentuk earbud disambungkan terus ke jaringan selamat mereka.

“Kita ada lima puluh minit. Aku dah ganggu kamera CCTV aras 29 dan 30. Tapi sistem backup akan hidup semula tepat pukul tiga.”

Zulaikha hanya mengangguk. Matanya tajam.

-------

R&R Group HQ, Pejabat Tengku Rizz

2:03 pagi

Suasana sunyi menyelubungi aras korporat itu. Lampu koridor dimalapkan. Tiada siapa menyangka seseorang akan memecah masuk pejabat CEO tengah malam begini.

Kad akses yang digodam menggunakan skrin taktikal pada pergelangan tangan Zulaikha memudahkan urusan. Dengan hanya satu sentuhan imbasan gelombang frekuensi, pintu keselamatan terbuka senyap.

Tapak kasut getahnya tidak mengeluarkan bunyi. Setiap langkahnya dikira. Di belakang melalui saluran radio, Sphynx memantau semua saluran kecemasan.

“Perimeter selamat. Tapi aku kesan pergerakan dari ruang penthouse atas. Mungkin ada pengawal.”

Zulaikha menyelinap ke dalam bilik pejabat Tengku Rizz. Dia terus ke arah meja kerja besar kayu oak di hujung bilik, tempat persembunyian dokumen-dokumen sulit.

Tangannya menyelak fail demi fail. Matanya pantas meneliti isi kandungan. Misi: mencari surat wasiat asli arwah Tan Sri Rizal.

Dia menemukan sebuah fail hitam tersembunyi, di belakang panel rahsia laci. Namun sebaik dia membukanya...

Klik!

Laser merah halus terpancar keluar dari bahagian bawah fail.

Perangkap

Dia melompat ke sisi, dan

Dorr! Bunyi tembakan pistol berpenyenyap.

"Arghhh..."

Sesuatu menembusi sisi pinggangnya. Jaket kevlar taktikalnya menyerap sebahagian impak, namun luka tetap berdarah. Zulaikha terdorong ke belakang, menahan kesakitan.

“Black Cat, kau okay?” Sphynx panik di saluran radio.

Langkah kaki kasar berdentum masuk. Seorang lelaki muncul dari bayang pintu sisi. Berpakaian lengkap hitam. Glock 18 berkilat dalam genggamannya.

Mata Zulaikha membulat. Farhan.

Wajah yang tidak pernah hilang dari ingatan Zulaikha, lelaki yang menembak mati Tan Sri Rizal tiga tahun lalu, lalu menghilang tanpa jejak.

“Nampaknya ada tikus malam ni.” ucap Farhan santai.

Zulaikha merenung tajam walau tubuhnya menggigil. Dengan sisa tenaga, dia menyepak kerusi ke arah Farhan, lalu berguling ke sisi, mengeluarkan pisau mini dari sarung pergelangan, sebagai persediaan. Sebagai agen risikan dia dilatih untuk melarikan diri dan mengelakkan pertempuran. Perlu utamakan misi dan maklumat yang dibawa.

Belum sempat dia bertindak

DOR! DOR!

Dua das tembakan dilepaskan datang dari arah pintu. Sphynx. menembak tepat, cuba menutup ruang serangan Farhan, memaksa lelaki itu berundur di sebalik sofa.

“Keluar sekarang!” jerit Sphynx melalui radio.

Zulaikha tidak berlengah. Dia menghampiri tingkap sisi yang telah dipasang tali semasa masuk tadi. Dengan satu hentakan, Sphynx memecahkan cermin menggunakan alat pemecah khas.

Tanpa buang masa, kedua-duanya terjun keluar bergayut dengan tali turun dari tingkat 29 ke aras bawah secara berasingan. Berpecah untuk mengelirukan musuh.

Farhan sempat menjengah ke luar tingkap, namun mereka sudah hilang dalam kegelapan malam Kuala Lumpur.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience