Kapal Kargo. Laut Andaman, 05:30 pagi
Gelombang menghentam lambung kapal, menghasilkan dentuman berat berulang kali. Kabin kecil itu suram, hanya diterangi cahaya malap dari lampu kalimantang yang berkelip di siling berkarat. Bau besi, minyak diesel, dan garam laut menusuk ke paru-paru.
Zulaikha duduk bersandar pada dinding keluli sejuk. Tangannya terikat ke belakang dengan zip-tie hitam, buku jarinya sudah melecet. Mulutnya kering, namun matanya tetap tajam, meneliti setiap inci ruang.
Di hujung kabin, dua pengawal bersenjata AK berjongkok sambil berbual dalam bahasa bercampur loghat utara dan Thailand. Senjata mereka berada dalam posisi low ready, jari tetap rapat pada picu.
Zulaikha memejam mata seketika, cuba menstabilkan degupan jantung. Dia tahu kapal kargo ini akan berlabuh di Langkawi.
Derapan but taktikal bergema di koridor. Seorang lelaki bertopeng balaclava masuk, mengetuk dinding keluli dengan bahagian belakang senjata.
“Bangun. Boss nak pastikan kau masih hidup.” Lelaki itu mengeluarkan telefon bimbit, menghalakan lensa untuk merakam video.
Zulaikha mendongak, senyum sinis walau wajahnya pucat.
“Kalau kau nak aku mati, tak perlu susah payah ikat aku kat sini.”
Lelaki itu ketawa kecil, kasar. “Jangan risau. Hidup kau masih ada nilai. Bos nak kau hidup-hidup.”
Zulaikha menghela nafas panjang, memejam mata sejenak. Dia sedar masa semakin suntuk. Dia perlu cari cara sekecil apa pun untuk tinggalkan tanda. Mungkin bunyi, mungkin isyarat. Apa sahaja supaya pasukan luar tahu dia masih di kapal ini.
Lampu kabin kembali terkelip. Bunyi kipas dek atas berputar perlahan, seolah-olah mengingatkan bahawa kapal terus bergerak ke destinasi.
Zulaikha merapatkan lutut, tubuhnya bersandar ke dinding keluli. Lenguh dan keletihan mula menekan. Kelopak mata yang dipaksa berjaga sejak tadi semakin berat. Namun fikirannya masih berputar penculikan ini pasti ada kaitan dengan Tengku Rizz. Sama ada identitinya sudah bocor… atau Tengku Rizz memang punya rancangan lain.
Dia menahan nafas, fikirannya melayang ke arah Dee. Adakah ECLIPSE sedang menjejak? Apa pun yang berlaku, dia tahu satu perkara: untuk peluang itu tiba, dia mesti bertahan hidup dahulu.
-------
Pelabuhan Kuala Kedah. Jumaat, 06:45 pagi
Sementara pasukan rasmi masih sibuk menyusun pergerakan dari markas, jauh dari jalur operasi rasmi, sebuah Yamaha MT-09 meluncur deras melalui jalan kampung. Bunyi enjinnya hanya sebentar, sebelum perlahan senyap apabila memasuki lorong sempit menuju jeti kecil tersembunyi di pinggir bakau.
Zayan berpakaian serba hitam
Wajahnya terlindung di sebalik helmet, hanya sepasang mata tajam memerhati sekeliling.
Dia mematikan enjin, menolak motor ke bawah pohon bakau, menutupnya dengan kanvas lusuh. Gerakannya tenang, berdisiplin. Dari kejauhan, ayam kampung berkokok, nelayan mula turun ke laut.
Zayan melangkah ke hujung jeti kayu usang. Di situ, sebuah bot fiber hitam dengan enjin luar board berganda menunggu. Bukan bot nelayan biasa. Di dalamnya, dua peti keluli sudah tersusun. Senjata dan peralatan taktikal.
Dia naik ke bot, menanggalkan helmet. Balaclava hitam disarungkan. Jaket kulit ditukar kepada plate carrier ringan. Strap harness ditarik, sarung tangan taktikal dipakai. Tangannya berhenti sejenak pada topeng half-face hitam matte. Dia sarungkan.
Jam di pergelangan tangan menunjukkan 06:53 pagi. Angin Selat Melaka membawa bau asin, membasuh wajahnya.
Zayan menolak bot perlahan dari jeti. Enjin senyap khas dihidupkan, hanya bunyi percikan kecil air memecah kesunyian. Perlahan-lahan, bot fiber itu bergerak ke tengah laut, meninggalkan daratan.
Bot hitam itu membelah ombak, enjin berkuasa tinggi berdengung halus, hampir tenggelam oleh deruan angin laut. Matahari pagi sudah naik, silau cahaya memantul di permukaan air.
Zayan berdiri di haluan, pandangan lurus ke horizon, ke arah Langkawi. Botnya jelas berbeza daripada bot nelayan biasa. Badan bot berwarna matte gelap, garis rendah, enjin dipasang sistem penyenyap khas untuk elak dikesan sonar pantai.
Di dalam peti kedua, tersusun rapi gear selaman taktikal.
Sistem rebreather tertutup, tiada buih, sesuai untuk infiltrasi senyap.
Wetsuit hitam dengan lapisan kevlar ringan.
Fins lipat yang boleh disimpan dalam harness.
Mask selam anti-reflection dengan HUD kompas digital.
Bekas kalis air untuk carbine pendek dan sidearm.
Zayan menukar plate carrier kepada wetsuit. Harness rebreather dipasang, regulator diuji dengan dua tarikan nafas dalam ,senyap dan lancar. Jam tangan diprogramkan: koordinat sasaran, kapal mewah milik Tengku Rizz.
Dia duduk sebentar, mengasah mata pisau kompositnya. Laut luas di hadapan, tetapi fikirannya hanya fokus pada dua nama. Zulaikha dan Tengku Rizz.
Setelah hampir sejam, bot menghampiri perairan utara Langkawi, enjin dimatikan. Bot dibiarkan hanyut perlahan. Dari kejauhan, bayang besar sebuah kapal layar mewah berlabuh lokasi lelongan senjata yang bakal berlangsung malam nanti.
Zayan mengikat bot fiber pada boya terapung, kemudian bersiap penuh dengan gear selam. Senjatanya dimasukkan ke dalam bekas kalis air, disangkut pada harness.
Dia tarik nafas dalam.
Dan gelongsor masuk ke laut.
Air dingin menyelubungi tubuh, kegelapan dasar menelan bayangnya.
Zayan kini hilang di bawah ombak menyusup senyap menuju kapal musuh.
--------
Perairan Langkawi.
Jumaat. 08:40 pagi
Air laut yang dingin memeluk tubuh Zayan ketika dia muncul perlahan di bawah bayang kapal layar mewah itu. Dari jarak dekat, bahagian lambungnya kelihatan berkilat, cat putih berkilau disinari cahaya matahari. Kapal sepanjang hampir 70 meter itu jelas bukan sekadar kapal persiaran antena komunikasi satelit, kamera pengawasan, serta beberapa titik pengawal bersenjata di dek atas mendedahkan fungsi sebenarnya.
Zayan menahan pergerakan, tubuhnya terapung stabil di dalam air, tidak naik dan tidak tenggelam. Sunyi. Hanya degupan jantungnya sendiri menemani dalam kegelapan.
Matanya memerhati struktur kapal. Dia mencari titik buta, sudut yang tidak dicapai kamera atau pandangan manusia. Beberapa minit kemudian, dia menemui satu akses: ruang intake penyaman udara di bawah dek belakang, cukup besar untuk seorang penyelam menyusup masuk.
Tangannya meraba harness. Pisau komposit ditarik, bolt kecil dicungkil. Grille keluli itu terbuka senyap. Dia tolak dirinya masuk, tubuh menyelinap ke dalam ruang sempit berlumut dan basah.
Gelap. Hanya cahaya lampu kecil di mask HUD sebagai panduan.
Dia bergerak perlahan, mengawal pernafasan.
Akhirnya, lorong kecil itu membuka ke ruang mesin tambahan. Bunyi enjin auxiliary berdegung halus, bergetar di lantai keluli. Tiada orang.
Zayan keluar dari air, mengganti mask selam dengan balaclava hitam. Pakaian wetsuit kekal melekat, harness taktikal disemak semula. Senjata utama masih dalam bekas kalis air. Selamat.
Dia mencari ruang perlindungan. Sebuah kompartmen stor kosong, penuh kotak kayu, menjadi tempat persembunyian sementaranya. Senyap. Dari situ, dia dapat memantau pintu keluar masuk ruang mesin tanpa dikesan.
Jam di pergelangan tangan menunjukkan 09:47 pagi.
Masih ada lebih 14 jam sebelum acara lelongan senjata bermula pada 12 tengah malam.
Zayan menghela nafas panjang, mengatur strategi. Dia perlu berdiam. Tidak meninggalkan tanda. Tidak berinteraksi. Tidak wujud, seolah bayang.
Di atas kapal, derapan langkah para pengawal bergema, bunyi mereka berselang seli dengan arahan kasar dalam bahasa campuran. Dari jauh, kedengaran bunyi ketawa dan muzik halus, seolah-olah kapal itu sedang berpesta mewah.
Zayan menutup mata seketika. Fikirannya kembali ke wajah Zulaikha.
Share this novel