Taman Botani Perdana, Kuala Lumpur. 6:15 petang
Cahaya matahari petang menyusup di celah-celah daun pokok yang memayungi taman. Orang awam masih ramai beriadah di tasik itu, namun Sofea langsung tidak menikmati suasana. Langkahnya laju, tumit kasut menjejak laluan batu tanpa henti.
Tangannya menggenggam bekas kertas berisi kopi panas. Dari jauh, kelihatan seorang wanita duduk santai di bangku kayu menghadap tasik. Ber-T-shirt hitam, jeans lusuh biru, dan topi cap yang menutupi sebahagian wajahnya, kaca mata hitam gelap membuatkan riak wajahnya sukar dibaca.
Sofea memperlahankan langkah, matanya memerhati sekeliling. Seorang wanita berjoging, pasangan tua memberi makan ikan, beberapa pelancong sibuk mengambil gambar. Semuanya kelihatan biasa tetapi Sofea tahu, mata yang tidak kelihatan mungkin sedang memerhati.
“Awak lambat dua minit,” wanita itu bersuara rendah sebaik Sofea berdiri di sebelah bangku.
“Biarpun lambat, saya tetap datang,” balas Sofea sambil duduk, meletakkan kopi di antara mereka seolah-olah berkongsi minuman.
Dari luar, mereka tampak seperti rakan lama berbual. Dari dalam beg tangan, Sofea mengeluarkan sebuah buku kecil. Di celah helaian buku itu terselit USB hitam, kecil, tetapi mengandungi rahsia yang mampu memusnahkan Tengku Rizz.
“Ini semua transaksi, senarai akaun luar negara, dan aktiviti haram Tengku Rizz.”
Wanita itu mengangguk perlahan, mengambil buku tanpa memandang, lalu memasukkannya ke dalam beg galas di sebelahnya. “Arahan dari Tuan Hadif awak hilang dua minggu. Tukar nombor. Jangan hubungi sesiapa.”
Sofea mengetap bibir. “Kalau Tengku Rizz perasan saya hilang, dia akan cari saya sampai dapat.”
“Ya, dia akan cari awak sampai dapat," balas wanita itu, matanya merenung ke arah tasik.
Mereka diam seketika. Angin petang meniup rambut Sofea ke pipi. Dari kejauhan, bunyi kamera DSLR kedengaran. Sofea berpaling, seorang lelaki berjaket hitam sedang mengambil gambar bunga, tetapi lensa kameranya beberapa kali menghala ke arah mereka.
“Tak guna. Awak kena pergi sekarang. Saya akan hubungi Tuan Hadif untuk hantar orang lindungi awak,” kata ejen itu perlahan sambil bangun. Dia berjalan ke arah bertentangan, meninggalkan Sofea sendirian di bangku. Mereka perlu berpecah, demi memastikan USB itu tidak jatuh semula ke tangan Tengku Rizz.
Sofea menarik nafas panjang, berdiri, dan berjalan menuju pintu keluar taman. Dia tahu selepas hari ini, dia bukan lagi sekadar setiausaha. Dia akan menjadi sasaran. Dan jika diekori begini, besar kemungkinan identitinya sudah terbongkar.
Menuruni anak tangga batu menuju pintu pagar utama, matahari petang sudah mula bertukar jingga. Peluh halus muncul di dahi. Dia cuba bernafas tenang, tetapi degup jantungnya semakin deras.
Di seberang jalan, sebuah SUV hitam berhenti seolah-olah menunggu seseorang. Cermin gelapnya memantulkan cahaya matahari, menyukarkan Sofea melihat ke dalam. Dia pura-pura tidak perasan, lalu memanggil e-hailing dari telefonnya.
Dari hujung mata, dia nampak lelaki berjaket hitam dari taman tadi melangkah keluar, kamera tergantung di leher. Dia tidak lagi mengambil gambar bunga kini, lensanya membidik tepat ke arahnya.
Dia ikut aku.
Sofea menukar arah, berpura-pura menuju ke sebuah kios minuman di tepi jalan. Ketika pemandu e-hailing menghantar mesej:
“Saya dah sampai," dia sengaja menunggu beberapa saat, memerhati pantulan di cermin kios.
Lelaki berjaket hitam itu kini berbual ringkas dengan seorang lagi lelaki berkemeja putih dan kedua-duanya sedang memandangnya.
SUV hitam mula bergerak perlahan, mengekori jaraknya.
Tanpa berfikir panjang, Sofea menyelinap di celah orang ramai, memintas ke arah sebuah bas pelancong yang baru berhenti di hadapan. Dia berlari anak ke bahagian belakang bas, naik ke dalam tanpa menoleh.
Di tempat duduk hujung, dia mengintai melalui celah tirai. Lelaki berjaket hitam berdiri di tepi jalan, telefon di telinga, memandang ke arah bas yang mula bergerak.
Sofea memegang tas tangannya erat. Dia tahu, jika dia ditangkap, nyawanya akan tamat di tangan orang suruhan Tengku Rizz. Dan jika dia tidak berhati-hati… dia tidak akan sempat menunggu arahan seterusnya daripada Hadif.
Dia menghela nafas perlahan. Satu-satunya harapannya sekarang adalah USB itu selamat sampai ke tangan Hadif.
------
Apartment Kos Sederhana, Pudu. 9:37 malam
Hujan renyai-renyai membasahi kaca tingkap. Kota di luar masih bernyala, namun di dalam rumah, suasana sepi… terlalu sepi.
Sofea menanggalkan kot hitamnya, menggantungnya di rak. Dia menghela nafas panjang; kepenatan jelas tergambar di wajah. Selepas pertemuannya dengan Alisa, dia fikir malam ini akan tenang.
Tapi naluri lamanya sebagai agen risikan berbisik. Ada sesuatu tidak kena.
Dia melangkah ke ruang tamu. Lampu siling yang biasanya suram kini malap berkedip. Lantai terasa dingin di bawah tapak kakinya. Pandangannya tertumpu pada meja kopi, di atasnya, terletak sepucuk sampul putih tanpa alamat.
Dengan kening berkerut, dia mendekat. Sebaik sahaja jari-jemarinya menyentuh sampul itu, bunyi klik halus kedengaran di belakang.
Sofea tidak sempat berpaling sepenuhnya.
Bang! Bang!
Dua das tembakan memecah keheningan malam. Peluru menembusi dadanya dari jarak kurang dua meter. Tubuhnya terhuyung. Darah memercik ke lantai marmar. Nafasnya tercungap-cungap, pandangan mula kabur, namun dia masih cuba melihat wajah pembunuhnya.
Seorang lelaki berpakaian hitam, bersarung tangan, memegang pistol berperedam. Matanya dingin, tiada riak emosi.
Farhan.
Sofea mengenali wajah itu. Wajah yang pernah dia lihat dalam fail rahsia, sama dengan deskripsi penembak Tan Sri Rizal tiga tahun lalu. Kod nama: Dark Knight, salah seorang ejen terbaik ECLIPSE, dan bekas orang kepercayaan arwah Tan Sri Rizal.
Farhan melangkah perlahan, memandang jatuh tubuh Sofea.
“Kau patut tahu, Sphynx… rahsia kau cuma bertahan selagi Tengku Rizz izinkan.”
Darah mengalir dari sudut bibir Sofea. Dia cuba mengangkat tangan, mungkin mahu mencapai pisau lipat kecil di poket, tetapi kekuatannya sudah hilang.
Farhan membongkok, berbisik di telinganya:
“Pesanan terakhir Tengku Rizz… dia tak mahu kau mati cepat. Dia mahu kau tahu… dia menang.”
Dia berundur, meninggalkan tubuh Sofea yang terkulai di lantai.
Di luar, hujan semakin lebat. Lampu siling terus berkedip, memantulkan warna merah darah di lantai putih.
Dan dalam kesunyian itu, Sofea, ejen S-05-677, Sphynx menghembuskan nafas terakhir.
Share this novel