Bab 12

Romance Series 7113

Bilik Mesyuarat Tingkat 29, Menara R&R Group.

9:45 pagi.

Bau kopi Arabica memenuhi ruang mesyuarat yang kedap bunyi itu. Dinding kaca separa legap memantulkan bayangan langit mendung Kuala Lumpur. Angin pendingin udara menyapa tubuh.

Tan Sri Rizal menyelak fail berkulit hitam di atas meja panjang berkilat. Jemarinya rapi, berusia tetapi masih bertenaga. Sesekali dia menyisip kopi dari cawan porselin putih berukir emas hadiah kenangan diplomatik daripada Perdana Menteri Thailand dua tahun lalu.

“Dah berapa lama mereka bercinta?” soalnya, tenang namun jelas. Matanya masih tertancap pada helaian dokumen yang mengandungi rekod sulit operasi.

Di hadapannya berdiri seorang lelaki India bertubuh tegap dalam sut kelabu arang ejen kanan Eclipse, salah seorang pegawai pemantau dalaman elit.

“Lebih kurang tujuh hingga lapan bulan, Tan Sri,” jawab lelaki itu yakin.

Tan Sri Rizal menyelak lagi fail berkenaan.

Nama: Muhammad Zayan bin Muhd Zakir
Nama Kod: WOLF
2005: Operasi rahsia — menyamar sebagai ‘Black Shadow’ untuk membanteras rangkaian kongsi gelap Thai-Malay di Sadao.
2012: Operasi “Burung Hantu” — kerjasama taktikal antara Unit Khas Malaysia dan CCB (Hong Kong Police Force).
2018: Diserap ke Eclipse secara sulit oleh Hadif Ryan Al Baihaqi ketika masih dalam VAT69.

Kening Tan Sri Rizal sedikit terangkat. “Anak buah Hadif…” gumamnya perlahan, sebelum mengetap bibir tipisnya.

Dia menutup fail itu perlahan-lahan. Kemudian memandang terus ke arah ejen tadi dengan renungan yang tegas.

“Cari dia. Saya nak jumpa. Segera.”

------

Dua hari kemudian.

Bukit Tunku.
Pejabat peribadi, Kediaman Tan Sri Rizal

8:10 malam.

Zayan duduk tegak di atas sofa kulit hitam buatan Itali. Tangan kanannya menekap paha. Di hadapannya terhampar ruang tamu luas dengan dekorasi klasik, permaidani Turki, lampu chandelier kristal, dan potret keluarga Tan Sri Rizal tergantung di tengah dinding.

Pintu besar terbuka.

Tan Sri Rizal melangkah masuk dengan tenang. Tanpa senyum, Tan Sri Rizal mengambil tempat di kerusi bertentangan.

“Apa khabar, Zayan?” sapanya perlahan, berlapik tetapi penuh maksud.

"Khabar baik Tan Sri," jawab Zayan sopan, namun nadanya janggal.

Tan Sri Rizal diam seketika sebelum bersuara semula. "Saya tahu kamu bersama anak saya.”

Zayan mengangguk kecil, tidak cuba menafikan. “Saya tak pernah berniat nak rahsiakan, Tan Sri."

Tan Sri Rizal menyandar sedikit ke belakang. “Kamu antara ejen terbaik kami. Saya tahu rekod kamu. Cekap, disiplin. Saya tidak persoalkan profesionalisme kamu sebagai ejen.”

“Terima kasih, Tan Sri.” Suara Zayan rendah, menghormati, namun masih ada nada hati yang bergelora.

Kemudian, tanpa berselindung, Tan Sri Rizal bersuara semula kali ini lebih perlahan tetapi menikam.

“Saya mahu kamu putuskan hubungan dengan Zulaikha.”

Zayan terpempan. Wajahnya berubah, tetapi dia masih diam, menanti penjelasan.

“Saya bukan bercakap sebagai ketua kamu dalam Eclipse,” sambung Tan Sri Rizal, “Saya bercakap sebagai seorang ayah. Zulaikha berhak dapat masa depan yang stabil, bersih daripada dunia yang kamu jalani.”

Dia bersandar ke depan, kedua tangannya bersatu di atas lutut.

“Saya sudah pilihkan seseorang untuk Zulaikha. Lelaki yang berasal dari keluarga baik-baik, latar korporat.”

Zayan menunduk. Dada terasa sesak, seperti dihimpit dari dalam. Seketika dia seperti kehilangan kata.

“S-saya... saya sayangkan dia, Tan Sri.”

Tan Sri Rizal mengangguk kecil, seolah-olah faham.

“Sebab itu saya bercakap baik dengan kamu. Tapi ini bukan permintaan.”

Dia berdiri perlahan, dengan penuh autoriti.

“This is an order, Zayan. You walk away from her. Mulai malam ini.”

Sunyi. Hanya bunyi jam antik berdetik di dinding.

“Saya tak benci kamu, Zayan. Tapi kamu dan Zulaikha dari dunia yang berbeza. Kamu tahu itu. Saya tak mahu anak saya terjebak lebih jauh.”

Zayan mendongak perlahan, memandang mata lelaki itu mata seorang ayah yang cuba melindungi anaknya.

Kemudian Tan Sri Rizal keluar, meninggalkan Zayan yang masih terpaku di sofa bergelut dengan emosinya sendiri.

Dia memang sedar akan status Zulaikha sebagai pewaris konglomerat ternama dan wanita berketurunan bangsawan. Namun cinta Zulaikha lebih besar. Cinta yang menutup segala jurang di antara mereka.

Namun hari ini dia terasa begitu kerdil. Bagai dikejutkan dari mimpi, dia bangun menghadap pahitnya realiti.

Fail rekod operasinya masih digenggam di tangan. Telefon di poket bergetar. Nama Zulaikha terpapar di skrin.

Dia biarkan panggilan itu berlalu.

Untuk kali pertama dalam hidup, Zayan terasa kalah. Dan lebih menyakitkan, dia tidak pasti sama ada kekalahan ini betul atau salah.

------

9:10 malam

Zulaikha melangkah masuk ke ruang tamu dengan langkah hati-hati. Dia baru pulang dari pertemuan denga klien petang tadi dan tidak menyangka akan terserempak dengan Puan Sri Ku Helena Sofea yang sedang menonton televisyen di ruang tamu.

"Papa ada?" soalnya sambil meletakkan tas tangan ke atas meja kopi.

Puan Sri Ku Helena Sofea hanya menjawab ringkas, "Dalam ofis. Dari maghrib tadi tak keluar-keluar. Papa ada perjumpaan dengan lelaki bernama Zayan?"

Langkah Zulaikha terhenti.

Zayan?

Jantungnya mula berdetak kencang. Dia melangkah ke ofis papanya, namun bilik itu sudah pun gelap dan sunyi. Lelaki itu nampaknya sudah keluar atau selesai berbincang.

Zulaikha segera mengeluarkan telefon bimbit dari tas tangannya. Jemarinya pantas menekan nama Zayan.

Calling...

Sekali.

Dua kali.

Masih tiada jawapan.

"Kenapa tak angkat?" bisiknya sendiri.

Dia mencuba sekali lagi. Kali ini, panggilan terus dimatikan.

Rasa tak sedap mula menular. Seolah-olah ada sesuatu yang tak kena. Zulaikha membuka WhatsApp. Dihantarnya mesej ringkas:

"Zayan... Papa jumpa awak ke tadi? Kenapa tak jawab call?"

Mesej itu hanya tanda double tick, belum dibaca.

Zulaikha semakin gelisah. Dia tahu ayahnya bukan orang biasa. Jika Tan Sri Rizal campur tangan dalam sesuatu, pasti ada niat yang lebih dalam.

Apakah... papa cuba pisahkan mereka? Patutlah dia gagal menghubungi Zayan sejak dari petang tadi.

Air mata mula bertakung di tubir matanya. Dia tidak kisah jika seluruh dunia menentang, tapi bukan papanya sendiri. Bukan setelah dia mula percaya pada cinta. Pada Zayan.

Zulaikha terduduk di sofa dengan telefon masih di tangan. Dadanya dihimpit rasa takut. Takut kehilangan Zayan.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience