Bilik Operasi TEAM GHOST . 9:20 pagi
Ivan menyandarkan badannya ke kerusi. Riak wajahnya kelihatan tenang, namun sorot matanya menyimpan simpati.
“Jadi bila kau jumpa dia semula dalam keadaan begitu…” Ivan bersuara perlahan, seolah-olah cuba menyusun kata. “Itu yang trigger emosi kau. Rasa bersalah...”
Zayan tidak menyahut. Pandangannya jatuh ke lantai, kosong. Nafasnya panjang, berat seperti membawa beban bertahun.
"Aku nak jumpa Zulaikha..." suaranya akhirnya kedengaran serak.
Ivan memandang Hadif yang berdiri di sisi meja mesyuarat. Sepasang mata mereka bertemu dalam diam. Hadif angguk perlahan, memberi isyarat persetujuan.
“Boleh,” kata Ivan. “Tapi kau akan diiringi oleh Zafran dan Rafiq. Kau tidak dibenarkan bawa senjata api, tiada peralatan taktikal, tiada alat komunikasi. Ini protokol."
Zayan angguk perlahan. Namun Ivan tidak berhenti di situ.
“Sebelum kau pergi… aku rasa kau perlu tahu sesuatu.”
Ivan membuka sebuah fail berpenutup hitam dari atas meja. Di kulit depannya tertulis dalam cetakan merah,
‘CLASSIFIED: BLACK CAT -SUBJECT FILE 07A / ZULAIKHA ISABELLE BT TAN SRI RIZAL’.
Dia menyerahkan fail itu kepada Zayan.
Pandangan mereka bertaut. Tiada kata keluar, namun tubuh Zayan sedikit menegang. Dia tahu… sesuatu dalam fail itu bakal mengubah segalanya.
Dia menyelak helaian pertama.
Satu demi satu laporan-laporan sulit, peta lokasi rahsia, imbasan MRI otak, dokumentasi rawatan invasif, nota prosedur pemadaman memori, senarai bahan kimia. Semua berkait kepada satu nama Zulaikha.
Organisasi luar protokol. Penahanan sukarela bertukar paksa. Penyelidikan ke atas trauma psikologi melampau untuk pembangunan senjata neuropsikologi.
Zulaikha bukan sekadar mangsa.
Dia bahan uji kaji. Memori dan emosi diragut untuk menjadikan dia senjata boleh dikawal.
Seorang wanita penyayang dan penuh empati sudah tiada. Dia menjadi pembunuh tanpa belas kasihan. Si peragut nyawa tanpa perasaan.
Tubuh Zayan menggigil menahan amarah. Nafasnya mula tidak teratur. Matanya menatap helaian terakhir. Gambar Zulaikha duduk sendirian dalam bilik putih berpakaian hospital, matanya kosong seolah-olah jiwanya telah diragut entah ke mana.
Zayan bersandar perlahan ke sofa. Dia memejam rapat mata yang mula berkaca.
“Aku dah agak... dia lain. Dia bukan Zulaikha yang aku kenal dulu,” suaranya pecah. “Kalau aku jawab panggilan dia malam tu... Tan Sri Rizal tak akan mati... Dia tak akan sakit. Dia tak perlu pergi Kanada… dan dia tak akan jadi... macam ni...”
Tangannya mengepal. Dia menghempas fail itu ke lantai kertas bertaburan.
Air mata yang cuba ditahan mengalir tanpa izin. Bahunya bergegar, tubuhnya tunduk, mata memandang lantai. Cuba menyembunyikan air mata yang pecah. Dan untuk pertama kalinya, Team GHOST menyaksikan 'Black Shadow', lelaki yang selalu menyembunyikan emosinya benar-benar runtuh.
Zareen menyilangkan tangan di dada. Memeluk tubuh cuba mengawal emosi sendiri yang turut tercuit. Rafiq mengalihkan pandangan ke arah skrin. Zafran berpaling ke sisi. Khal berdiri kaku, tidak tahu apa yang patut dilakukan. Hadif dan Ivan terdiam. Hanya dengusan nafas masing-masing yang kedengaran.
“Semua salah aku... Aku tinggalkan dia masa dia perlukan aku…” Zayan tekup wajahnya dengan kedua-dua tangan. Suaranya tenggelam dalam sesalan yang tidak dapat ditebus. Bahunya terhinggut-hinggut, cuba membenam tangis yang keluar.
Suasana masih bisu. Ivan bangun dari kerusi melangkah perlahan ke depan. Dia tunduk mengutip kertas-kertas dari fail yang bertaburan.
Hadif yang berdiri di tepi meja mesyuarat tiba-tiba bersuara. "Kau pergi bersihkan diri dulu. Kemudian...Rafiq dan Zafran akan bawa kau jumpa Zulaikha." ujar Hadif berhati-hati. Cuba menyusun kata-kata agar tidak menambah gelora emosi Zayan.
Tiga tahun memendam cinta dan rasa bersalah sendiri. Bagaikan bom jangka, perasaan itu meletus juga akhirnya.
Sejenak kemudian, perlahan-lahan Zayan bangun.
“Kau nak ke mana?” soal Ivan, masih dalam posisi mencangkung sambil memegang beberapa helaian kertas.
“Aku nak mandi.” Nada suaranya kembali stabil. “Aku kena tengok Zulaikha. Dia mesti takut. Tempat ni asing untuk dia.”
Semua ahli Team Ghost berpandangan sesama sendiri. Tiada siapa yang berani bersuara.
Hakikatnya, tiada lagi perasaan takut dalam diri mesin pembunuh
seperti Zulaikha. Misi atau mati.
Zayan melangkah keluar, meninggalkan bilik operasi dalam diam. Hanya bunyi pintu yang ditutup perlahan menjadi penutup kepada pertembungan emosi yang baru saja berlaku.
------
Kepulan wap panas memenuhi ruang sempit bilik mandi yang serba sederhana itu. Air pancuran menimpa tubuh Zayan, membasahi rambut dan wajahnya yang kusut. Dia membiarkan air mengalir tanpa henti, seolah-olah mahu membasuh seluruh beban yang menghimpit jiwanya sejak tiga tahun lalu.
Kedua-dua tangan Zayan bertongkat pada dinding jubin yang lembap. Nafasnya laju, tidak sekata. Bukan kerana kepenatan fizikal tetapi kerana pergelutan batin yang terlalu dalam untuk diluahkan.
Bayangan wajah Zulaikha datang silih berganti dalam mindanya. Senyuman manja, sorotan mata penuh harap, dan akhirnya, tangisan tanpa suara pada malam Tan Sri Rizal dibunuh, bermain difikiran.
Dada Zayan terasa sesak. Dia genggam penumbuk dan menghentaknya pada dinding. Sekali. Dua kali dan entah berapa kali, hingga buku limanya terasa pedih dan luka.
Dia ingin marah. Pada dirinya. Pada masa. Pada keadaan.
Tetapi tiada satu pun yang dapat dipersalahkan, kecuali dirinya sendiri.
"Aku yang tinggalkan dia..."
Air mata mengalir bercampur dengan air pancuran. Lelaki seteguh Zayan melutut di bawah siraman air, rapuh dalam emosi sendiri.
Beberapa minit berlalu sebelum dia akhirnya menghembus nafas panjang, cuba menenangkan diri. Dia capai tuala, lap wajah yang basah dan memandang ke cermin di dinding.
Mata merah, lingkaran bawah mata jelas kelihatan. Namun pandangannya sudah sedikit stabil. Lebih tenang.
Dia berpakaian kemas semula, baju hitam taktikal dengan seluar seragam ECLIPSE. Jaket operasi dilipat kemas di tangan.
Share this novel