Bilik Operasi Team GHOST, ECLIPSE HQ.
8:45 pagi
Pintu bilik operasi dikuak perlahan. Suasana lengang, tiada sesiapa di dalam kecuali Hadif. Di hujung meja kaca panjang, Hadif duduk tegak, wajahnya serius sambil meneliti dokumen tebal yang tertutup dengan kulit hitam berlogo ECLIPSE Confidential.
Zayan melangkah masuk dengan tenang. Tanpa sebarang sapaan, dia menarik kerusi di sisi kiri meja lalu duduk.
Hadif tidak menoleh. Dia hanya menghulurkan sebuah fail berwarna kelabu gelap.
Tertulis di kulit fail itu:
ZULAIKHA ISABELLE BINTI TAN SRI RIZAL
Clearance Level: TOP SECRET.
Kening Zayan berkerut serta-merta. Jari-jarinya pantas menyelak halaman pertama fail tersebut.
“Mulai hari ini, kau bertugas sebagai Close Protection Officer untuk Zulaikha Isabelle," ujar Hadif.
Mata Zayan membulat sedikit. “Bukankah Zulaikha masih ditahan di wad neuropsikologi bawah pengawasan ketat? Dan... dia juga disyaki sebagai ‘Black Cat’?” Nada suara Zayan perlahan tapi jelas menyimpan rasa ragu.
Hadif akhirnya menutup fail di tangannya. Dia menghela nafas perlahan sebelum menjawab.
“Kita perlukan Zulaikha untuk kes ni. Dia satu-satunya saksi yang kita ada selepas eksperimen neuropsikologi di Kanada. Kita percaya dalang sebenar bukan orang biasa... dan bukan bekerja sendirian.” Nada Hadif kini berubah lebih serius.
Zayan diam.
“Close protection, 24 jam, tujuh hari seminggu,” sambung Hadif. “Rumah, tempat kerja, majlis sosial... shopping pun, kau kena ikut.”
Zayan menyandarkan tubuh ke belakang. Perlahan-lahan dia mengusap dagu yang baru dicukur. “Kau serius? Kau tahu apa maksudnya. Dia akan berada dalam lingkungan satu hingga lima meter dari aku. Setiap masa.”
"Ya. Dan dia akan dibebaskan petang ini. Atas arahan strategik dari Shadow Council. Kau pun tahu siapa ayah dia, Tan Sri Rizal. Dan Tengku Rizz sendiri pun beri tekanan."
Zayan berpaling, memandang tepat ke mata Hadif. “Kau dah lupa insiden di Hotel Sri Andaman. Dia cuba bunuh Tengku Rizz. Kau pasti dia dilepaskan?”
Hadif menghala nafas. “Setakat itu saja yang aku boleh dedahkan. Maklumat selebihnya kau tak perlu tahu. Tapi aku perlukan seseorang yang aku percaya untuk tugasan ni. Lain-lain operatif semua dah berkeluarga. Ada anak, ada isteri. Kau... masih bujang.”
Zayan mendengus kecil. “Sebab tu saja kelayakan aku?”
“Antara lain, ya.” Hadif memandang Zayan. “Lagipun, kau berdua saling mengenali. Lebih selesa, lebih mudah."
Zayan diam. Betul juga kata-kata Hadif.
“Semua peralatan taktikal dan sidearm akan diserahkan semula pada kau,” sambung Hadif.
“Faham, bos.” Berat nada suara Zayan.
“Pack your gear. Jam 2 petang, kau kena berada di hadapan Wad Neuropsikologi. She’s all yours.”
------
Pusat Rawatan Neuropsikologi ECLIPSE. Wad Tahanan Khas
2:00 petang
Bunyi ketukan pintu yang berirama kemas memecah sunyi. Zulaikha yang duduk bersila di atas kerusi berdekatan jendela menoleh, rambutnya disanggul kemas, tetapi mata itu masih penuh analisis walau wajahnya kelihatan polos.
Pintu terbuka perlahan.
Zayan masuk seperti biasa memakai jaket hitam taktikal, gaya tenang, ekspresi tidak pernah berubah, serius. Dia berdiri tegak beberapa kaki di hadapan. Dia menjungkit kening apabila terpandang wanita itu sedang mengunyah biskut dengan santai.
“Awak datang lagi?” soal Zulaikha sambil menjeling sekilas. “Saya dah cakap, saya tak ingat pun siapa awak atau... apa-apa pasal masa silam kita.”
Dia menyambar botol air mineral, menuang ke dalam mug seramik sebelum meneguknya.
Zayan diam seketika. Serba-salah mahu memulakan bicara. “Saya...saya ditugaskan untuk jaga awak. Close protection...”
“Purrghhhhhh...!”
Air tersembur dari mulut Zulaikha, membasahi meja. Dia terbatuk-batuk kecil sambil menggosok dada yang terasa pedih.
Zayan panik, cepat-cepat mencapai mug dari tangan Zulaikha. " Awak okay tak?"
“Uhukkk... uhukkkk...” batuknya sambil menekup mulut. “Close...close protection?!” Bulat mata Zulaikha.
Dia pandang lelaki itu dari kepala hingga kaki, tinggi, sasa, kulit sawo matang, wajah klasik Melayu dengan anak mata tajam, seperti hero dari novel thriller. Kacak.
“Ya,” jawab Zayan sambil membetulkan kolar jaketnya. “Mungkin awak tak tahu apa close protection. Saya akan jaga awak, 24 jam sehari. Rumah, tempat kerja, mesyuarat, kemana saja awak pergi saya akan ikut.” Mata Zayan polos. Tiada niat jahat.
Zulaikha tergelak kecil, menggeleng. Dia berdiri, menarik nafas dalam, memandang keluar jendela. Senyuman di bibirnya terpadam perlahan. Dalam diam, dia menggigit bibir bawahnya.
Sial! Apa yang tuan Hadif buat ni?
Dah la aku kena berlakon hilang ingatan... sekarang kena berlakon lemah lembut 24 jam pulak?
Masalahnya, dia bukan lagi Zulaikha Isabelle yang pasif dan lemah. Dia Isabel Matthews. Black Cat. Ingatannya dah pulih sepenuhnya. Dia dah ingat semuanya.
Dulu, jadi Zulaikha mudah kerana dia memang tidak ingat siapa dirinya. Tapi sekarang? Dia perlu berlakon jadi perempuan yang bukan dirinya. Watak yang diberikan arwah Tan Sri Rizal padanya dulu. Bahkan di dalam rumah sendiri?
Damn it.
“Awak okay?” tanya Zayan, masih berdiri di sisi. “Saya rasa awak patut tukar baju sekarang. Saya bawa satu set pakaian. Kita akan ke lokasi baru petang ni.”
Zulaikha berpaling. Wajahnya berubah sedikit. Ada sinar malu yang tidak berjaya disembunyikan. Sejak ingatannya pulih, dia jadi lebih sedar... tentang perasaannya terhadap lelaki ini.
Sejak dari dulu, lelaki itu ada tempat istimewa di hati Isabel Matthews. Walaupun Zayan tidak pernah tahu kewujudan ‘Black Cat’ dalam ECLIPSE.
“Awak akan ikut saya ke mana-mana... sepanjang masa?” soalnya perlahan, nada suara lebih lembut. Dia berdehem beberapa kali. Cuba membetulkan kotak suara. Mencari suara 'Zulaikha Isabelle'.
Zayan angguk. “Ya. Tugas saya untuk pastikan awak selamat, dan tak hilang kawalan.”
Zulaikha senyum sipi. Dia mengambil baju dari tangan Zayan perlahan. “24 jam dengan saya? Tak ada orang marah ke nanti?”
"Ini arahan. Mahu atau tidak, kita terpaksa ikut," balas Zayan. Jawapan profesional.
Aduh! Sengaja Zulaikha bertanya soalan itu. Mahu tahu status terkini lelaki yang menjadi 'crush-nya' selama tujuh tahun. Dan seperti biasa jawapan lelaki itu serius dan polos.
Zulaikha menjeling sambil berlalu ke bilik air. Pintu bilik air tertutup perlahan. Dan Zayan masih berdiri di sisi katil, menanti dengan wajah serius.
Share this novel