Bab 3

Romance Series 718

Beberapa Bulan Kemudian

KL Fashion Gala, Grand Ballroom, R&R Hotel. Kuala Lumpur. 9:15 malam

Kilauan lampu kamera memancar terang di sepanjang pentas runway. Para tetamu yang hadir terdiri daripada pereka terkenal, selebriti, tokoh korporat, dan golongan elit. Di sebalik tirai glamor dan muzik yang rancak, seorang lelaki bersut hitam berdiri tegap di sisi pentas utama. Matanya tidak lekang dari memerhatikan persekitaran.

Zayan kini bertugas sebagai pengawal peribadi sementara kepada Hadi, selepas insiden penculikan Nita dan kejadian tembakan yang hampir meragut nyawa Edward.

"Clear?" Suara Chan kedengaran melalui alat komunikasi. Chan merupakan pengawal peribadi yang sering mengekori Hadi ke mana-mana sebelum ini, tanpa pengetahuan lelaki itu sendiri.

Hadi hanya mengetahui kewujudan Zayan dan Ivan, manakala Edward pula ditugaskan untuk melindungi Nita. Dia tidak begitu mengenali pengawal peribadi lain yang berkhidmat di bawah Hadif.

“Clear. Subjek bergerak ke belakang pentas. Profil audiens normal.” Zayan membalas pantas.

Di tengah dewan yang dihias mewah, barisan kerusi tetamu utama semakin dipenuhi. Antara wajah-wajah glamor yang hadir, satu sosok mencuri perhatiannya. Rambut panjang ikal diikat kemas, bibir merah ceri, dan gaun moden dengan sentuhan klasik yang menyerlahkan penampilan eksklusifnya.

Zulaikha Isabelle. Dia turut berada di sini?

Anak Tan Sri Rizal, kini hadir sebagai tetamu kehormat mewakili R&R Group, sebuah syarikat konglomerat dalam bidang hartanah dan perhotelan.

Zulaikha sedang meneliti buku program, tidak menyedari sepasang mata sedang memerhati dari kejauhan.

Zayan mengalihkan pandangan. Dia tidak mahu adanya pertemuan kali ketiga.

Namun takdir tidak semudah itu.

Ketika pertunjukan fesyen bermula, satu kekecohan kecil berlaku di bahagian sisi pentas. Seorang model tersadung lalu terjatuh. Pantas Zayan bertindak, membantu model itu.

"Restricted area. I’ve got her," katanya tenang kepada beberapa tetamu yang mula menghampiri untuk membantu.

Dalam kekecohan itu, mata mereka bertembung.

Sekilas. Tapi cukup untuk membuat jantung Zulaikha berdegup kencang.

Dia kenal lelaki itu. Mata itu. Wajah itu.

Zayan cepat mengalihkan pandangan, kembali fokus kepada model yang terjatuh.

Namun di hati Zulaikha, hanya satu persoalan bermain. Adakah dia masih ingat?

-----

10:02 malam. Lif VIP, Tingkat B2 ke Ballroom

Zulaikha dan Cally sedang menunggu lif untuk ke bilik rehat VIP selepas pertunjukan fesyen tamat.

Apabila pintu lif terbuka, dua lelaki di dalamnya memandang ke arah mereka. Hadi menyambut dengan senyuman profesional, manakala Zayan berdiri seperti biasa di sudut lif diam, kaku dan tanpa ekspresi.

Pandangan Zulaikha dan Zayan kembali bersatu.

Dan kali ini… Zulaikha memberanikan diri.

“Maaf, boleh saya tanya sesuatu?” Suara Zulaikha lembut namun cukup jelas untuk menarik perhatian.

Zayan hanya mengangkat sedikit kening. Hadi memandang antara mereka berdua, keliru dengan situasi.

“Awak… pernah selamatkan saya, kan?” tanya Zulaikha, melangkah perlahan ke hadapan.

Zayan diam seketika sebelum menjawab tenang, “Maaf, saya rasa puan silap orang.”

Zulaikha mengukir senyuman nipis. “Tak. Saya tak silap. Saya ingat awak… suara awak… dan cara awak pandang saya.”

Hadi berpaling ke arah Zayan, semakin bingung. “Zayan? What’s going on?”

Zayan tidak menjawab. Dia hanya memalingkan wajah ke sisi.

Zulaikha menarik nafas perlahan, menahan senyuman. “Saya tak nak ganggu. Saya cuma nak tahu… kenapa awak tak nak mengaku?”

Pintu lif terbuka.

Zayan menunduk sedikit dan memberi ruang. “Ladies first,” katanya sopan. Dahi Zulaikha berkerut. Sedikit kecewa dengan jawapan yang diterima.

Cally menarik perlahan tangan sahabatnya. “Come on, Ika…”

Sebelum melangkah keluar, Zulaikha sempat berpaling. Matanya masih tertumpu pada Zayan.

“Terima kasih… sebab tolong saya malam tu. Walaupun awak nak berpura-pura tak ingat.”

Zayan diam. Hanya matanya yang sedikit berubah.

Pintu lif tertutup perlahan.

Dan takdir… terus mempertemukan Zayan dengan Zulaikha Isabelle.

Hadi menggosok belakang leher, kekok dengan situasi yang baru disaksikan.

Dia mengenali Zulaikha secara profesional sebagai waris R&R Group. Tidak lebih dari itu. Tapi apa sebenarnya hubungan wanita itu dan Zayan?

Pintu lif tertutup perlahan.
Zayan masih berdiri tegak, namun riak wajahnya kekal tenang, sukar dibaca, seperti biasa.

Di sebelahnya, Hadi memandang dengan senyuman penuh makna.

“Come on, man... Be a gentleman. Dia tegur kau dulu, kot,” ujar Hadi, nada bersahaja tapi cukup untuk menyelitkan sindiran halus.

Zayan menjeling sekilas sebelum menghela nafas panjang.

“Aku tengah kerja,” jawabnya perlahan, namun cukup jelas.

Hadi ketawa kecil.
“Kau kerja jaga aku, bukan jaga hati kau. Tapi dari riak muka kau tadi… macam ada yang dah curi sikit.” Semakin rancak lelaki berwajah kacukan Inggeris itu mengusik.

Zayan hanya menggeleng perlahan sambil membetulkan jaket hitam di tubuhnya. Tiada kata balas. Tapi ada garis senyum halus dihujung bibirnya yang cuba ditahan. Dia sendiri sedar… Hadi mungkin tidak sepenuhnya salah.

Pintu lif terbuka.

Mereka melangkah keluar, langkah seiring menyusuri koridor hotel menuju ke bilik masing-masing.
Bunyi tapak kasut bergema perlahan di lantai marmar, namun dalam hati Zayan... suara Zulaikha masih terngiang-ngiang.

“Saya ingat awak… suara awak… dan cara awak tengok saya.”

Zayan meraup wajah.

Aduh. Apa pulak ni?

-----

Koridor Sayap Barat, R&R Hotel Kuala Lumpur. 9:48 malam

Zulaikha melangkah perlahan, tangannya meramas hujung clutch bag Chanel berwarna hitam di sisi. Cally mengekori rapat di sebelah, memerhati raut wajah sahabatnya yang sejak tadi membisu.

“Okay. Spill. Who was that guy?”

Langkah Zulaikha terhenti. Matanya masih tertancap ke arah koridor yang kini sunyi sepi.

“Dia… lelaki tu. Yang selamatkan aku malam tu. Dekat NOIR Lounge. Dia yang hantar aku ke klinik.”

Cally memegang lembut lengan sahabatnya. “You sure? Kau sendiri cakap masa tu kau pening, keliru. What if it’s just a coincidence?”

Zulaikha menggeleng perlahan.
“Bukan. Aku ingat mata dia. Cold but charming. Dia tak cakap banyak malam tu, tapi suara dia, cara dia tengok aku… aku tahu itu dia.”

Cally mengangkat kening, mencabar. “And now?”

Zulaikha tersenyum nipis. “Sekarang aku nak tahu siapa dia sebenarnya. Cara dia gerak, cara dia cakap. I think I found my man.”

Cally tergelak kecil. “So... finally you found someone who made your heart skip a beat?”

Zulaikha tertawa perlahan lalu memaut pinggang Cally.
“He saved me… and left without a name. Malam ni, aku dah jumpa dia semula. I won’t lose that chance again.” Zulaikha mengepal penumbuk. Dia sudah tekad.

Cally menyilangkan tangan, ekspresinya separuh kagum, separuh gusar. “Alright. Apa plan kau? Nak siasat siapa dia melalui Hadi?”

Zulaikha mengangkat bahu sambil mengukir senyuman nakal.
“Maybe. Atau… aku buat cara aku sendiri.”

Cally menggeleng kepala, menghela nafas panjang. “God...please help that man… sebab aku tahu bila Zulaikha Isabelle mula memburu… tak ada siapa yang akan terselamat.”

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience