Bab 43

Romance Series 7113

Enjin Audi RS7 berdengung perlahan. Lampu jalan memantulkan bayang-bayang ke wajah Zulaikha yang bersandar di kerusi penumpang, matanya memandang ke luar tanpa sepatah kata.

Zayan memegang stereng dengan sebelah tangan, matanya fokus ke jalan. Suasana dalam kereta senyap, hanya bunyi penghawa dingin mengisi ruang.

“Awak… janganlah bertunang dengan Tengku Rizz,” suara Zayan akhirnya memecah sunyi, nadanya mendatar tapi jelas.

Zulaikha berpaling sekilas. “Itu masalah saya, bukan awak.”

Zayan menghela nafas, jarinya mengetuk perlahan stereng. “Masalah awak… boleh jadi masalah saya juga.”

Zulaikha menjeling tajam. “Kerja awak cuma pastikan saya selamat. Jangan sibuk fikir tentang kehidupan peribadi saya.”

“Soal bertunang dan kahwin ni bukan main-main. Awak kena fikir betul-betul,” balas Zayan, suaranya sedikit keras.

Zulaikha tersenyum sinis, matanya kembali ke luar tingkap. “Awak nak saya buat apa? Kalau saya tak bertunang dengan dia, saya tak boleh kembali ke syarikat. Misi saya akan gagal.”

Kereta membelok masuk ke jalan utama. Zayan diam seketika, sebelum berkata perlahan, “Berapa banyak lagi yang awak nak korbankan demi misi tu? Cuba, untuk sekali saja… hidup untuk diri sendiri. Bukan untuk orang lain.”

Zulaikha memandangnya sekilas, suaranya bergetar. “Awak tahu tak betapa pentingnya arwah papa dan mama pada saya? Pada awak, mungkin saya cuma operatif yang menyamar… tapi bagi saya, semua tu terasa nyata. Hidup saya… saya dah tak keseorangan. Otak saya tak berhenti fikir pasal mama.”

“Itu saya tahu-”

“Tak. Awak tak tahu, Zayan!” suara Zulaikha meninggi, matanya berkaca. “Awak tak tahu apa perasaan saya semasa kecil...Setiap kali Krismas, tak ada siapa jemput saya balik rumah. Awak tak tahu macam mana rasanya bila dibuli di sekolah, dan tiada siapa untuk saya mengadu…” Air matanya mengalir di pipi.

“Saya perlu dapatkan semula syarikat tu… mungkin, dengan cara tu… mama akan maafkan saya.” Tutur Zulaikha perlahan, suaranya tenggelam timbul menahan sebak.

Zayan yang sedang memandu sudah tidak tentu arah. Serba salah, dia menghela nafas berat. Isabel Matthews sudah hilang dalam watak Zulaikha. Zayan mengerling cermin pandang belakang. Zulaikha mengeluarkan tisu dari tas tangannya. Air mata yang membasahi pipi dilap perlahan.

Zulaikha tidak membalas lagi. Pandangan Zayan sayu menatap susuk tubuh Zulaikha di belakang. Dia tahu, sejak bertemu dengan Puan Sri Helena di Ipoh, emosi Zulaikha mudah tercuit. Pada hari mereka pulang ke Kuala Lumpur pun, Puan Sri Helena masih enggan berjumpa dengan Zulaikha.

-------

Pavillion Residence, Bukit Bintang, Kuala Lumpur. 10:35 malam.

Pintu utama kondominium terbuka.
Zulaikha melangkah laju masuk, tumit kasutnya mengetuk lantai marmar yang berkilat. Dia langsung tidak menoleh ke arah Zayan yang mengekorinya rapat di belakang.

Dengan gerakan kasar, kasut tumit tinggi dibuka dan dicampak ke tepi rak kasut, seakan mahu melepaskan segala tekanan yang terbuku di hati.

Zayan hanya memerhati, diam. Dia tahu Zulaikha marah… dan sedih. Dia juga tahu tuduhan Zulaikha ada asasnya. Ya, dia cemburu. Ya, dia kelihatan seperti mempermainkan emosi wanita itu. Keprihatinan yang dia tunjukkan, tanpa dia sedar, hanya membuatkan Zulaikha semakin keliru.

Dia tidak berhak cemburu. Zulaikha bukan miliknya lagi. Mereka hanyalah kenalan lama… yang pernah berkongsi sesuatu yang kini tinggal dalam kenangan.

Namun setiap kali dia melihat Zulaikha bersama Tengku Rizz, darahnya mendidih. Kalau bukan kerana batas profesional, wajah lelaki itu sudah lama ditumbuknya. Tangan yang berani memaut pinggang Zulaikha itu… sudah tentu dia patahkan. Jari-jari itu… dia mahu remukkan.

Zulaikha menghentak kaki menuju ke bilik. Pintu bilik dibuka kasar. Namun sebelum sempat ia tertutup rapat, tangan Zayan pantas menahan daun pintu.

“Awak nak apa?” Nada Zulaikha tinggi dan dingin, matanya menikam tajam.

Zayan diam seketika, nafasnya sedikit laju, seperti menahan sesuatu yang terlalu lama terpendam. Urat-urat di tangannya tegang menahan daun pintu.
“Kita kena bercakap. Sekarang.”

Zulaikha mendengus, memalingkan wajah. “Saya penat. Saya tak nak dengar apa-apa lagi.”

“Zulaikha…” suaranya rendah, tapi berat. “Tiga tahun lepas, saya buat keputusan paling bodoh dalam hidup saya. Saya tak patut tinggalkan awak. Saya fikir itu untuk kebaikan awak… tapi setiap hari, saya menyesal.”

Zulaikha ketawa kecil, hambar. “Menyesal? Lepas semua yang jadi, awak baru nak cakap?”

Zayan menahan nafas, bersandar sedikit pada daun pintu, matanya tak lepas memandang wajah wanita di hadapannya itu.
“Saya masih cintakan awak. Dari dulu sampai sekarang. Dan saya takkan benarkan awak bertunang dengan Tengku Rizz.”

Zulaikha terkesima, mata membulat. Kening berkerut seakan tidak percaya. Jantungnya terasa berdegup lebih laju. Dia tidak sangka Zayan akan meluahkan perasaan sebegitu, setelah semua yang terjadi.

Namun dia cuba mengawal ekspresi wajahnya. “Peluang kedua takkan ubah apa yang dah jadi, Zayan.”

“Sekurang-kurangnya saya boleh ubah masa depan,” balasnya, hampir berbisik. “Sebab kali ini… saya tak akan lepaskan awak lagi.”

Wajah Zulaikha merah, bagai ditampar dengan pengakuan itu. Hening menyelubungi ruang. Bunyi penghawa dingin dari ruang tamu terasa terlalu jelas. Dia mengetap bibir, matanya jatuh ke lantai, berperang dengan perasaan sendiri.

“Saya bukan lagi Zulaikha yang awak kenal. Saya… palsu. Saya tak wujud.”

“Saya sukakan awak… tak kira siapa pun awak sebenarnya.” Suara Zayan tegas. “Saya tak akan biarkan awak bersendirian lagi setiap kali perayaan apa pun. Saya akan jawab setiap panggilan awak. Balas setiap mesej awak. Dan saya tak akan biarkan awak dibuli lagi.”

Zulaikha ketawa kecil. “Awak jangan nak menabur janji palsu. Awak takkan dapat sentiasa ada dengan saya. Awak pun ada operasi sendiri.”

“Saya tak akan abaikan awak, dan saya janji takkan biarkan awak tertanya-tanya macam dulu.” Pandangan mereka bertaut di celah daun pintu yang terbuka sedikit itu.

"Setelah tiga tahun baru awak sedar apa perasaan awak pada saya? Dah terlambat Zayan. Saya pun dah penat nak kejar cinta awak."

"Awak tak perlu kejar saya lagi. Saya yang akan kejar awak," nada suara Zayan perlahan namun ada ketegasan dalam kata-kata itu.

Akhirnya, Zulaikha menarik daun pintu perlahan. Namun tidak tertutup sepenuhnya. Dia terkaku. Bibirnya tidak dapat memberi kata jawapan.

Zayan setia berdiri di depan pintu. Pintu yang masih terbuka sedikit itu, sudah cukup memberi harapan.
“Bila semua dah selesai…kita kahwin.”

“Kahwin?” Zulaikha terkejut kecil. Perkataan itu terasa asing keluar dari bibir Zayan yang selama ini suka memendam perasaan. Rupanya lelaki ini pun ada menyimpan hasrat nak kahwin?

“Awak nak kahwin dengan saya?” Zulaikha mengulang seakan tersalah dengar.

Zayan berdehem, cuba membetulkan nada suaranya. Riak wajah lelaki berusia tiga puluh tahun itu jelas nampak segan dengan topik itu. “Ya. Lepas misi ini selesai. Tapi saya takkan paksa awak tukar agama. Saya akan tunggu awak bersedia...ikut saya. Saya akan jaga awak."

"Tukar agama?" Kening Zulaikha berkerut sebelum menyambung semula, "Saya dah masuk Islam tujuh tahun lalu. Sebelum memori saya dipadam.”

Zayan mengangkat kening. “Tapi nama awak-”

“Saya tak tukar nama. Lepas tu saya terus masuk misi, tak sempat buat apa-apa. Awak nak ke kahwin dengan perempuan yang tak tahu apa-apa macam saya?” Nada Zulaikha sinis.

“Dari dulu memang saya hanya nak kahwin dengan awak.”

Wajah Zulaikha memerah. “Sejak bila awak jadi lelaki tak tahu malu?”

Bang!

Pintu bilik ditutup perlahan.

Zulaikha bersandar pada daun pintu, tangannya menekan dada yang berdebar kencang. Selama ini dialah yang mengejar Zayan. Disaat dia mahu melepaskan Zayan, lelaki itu muncul kembali merobohkan pintu hati yang cuba ditutup.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience