Bab 7

Romance Series 718

Pukul 2:07 pagi

Hutan Simpan Ulu Langat.

Zulaikha terlena di atas hamparan daun dan jaket Zayan yang dijadikan alas. Nafasnya perlahan dan tidak tetap. Sesekali tubuhnya menggigil kecil dalam cuaca malam yang dingin dan lembap. Bunyi unggas malam bersahutan, mengisi sunyi hutan yang gelap dan berkabus.

Zayan yang duduk bersandar pada batang pokok besar tidak pernah betul-betul tidur. Matanya berjaga, telinganya peka. Satu tangan menggenggam lampu suluh kecil. Tangan satu lagi bersedia di sisi, dekat pada Colt M1911 yang terselit di pinggangnya.

Tiba-tiba…

"Wooooo..."

Bunyi itu kedengaran jauh dari dalam hutan. Seakan bunyi monyet hutan, namun ada pola khas dalam nada itu.

Zayan tersentak sedikit. Dahinya berkerut. Dia kenal kod itu.

Itu bukan haiwan.

Itu isyarat dari pasukan penyelamat. Mungkin Ivan atau rakan pasukan yang lain.

Zayan berdiri perlahan. Tidak mahu mengejutkan sebarang binatang berhampiran.

"Woooo..." bunyi itu kedengaran lagi. Kali ini lebih dekat.

Zayan menyahut, menggunakan kod balas. Suaranya tidak terlalu kuat, tapi cukup untuk memberi isyarat balas yang difahami.

"Wooo–uh... woo–uh!" Dia ulang dua kali.

Suasana kembali senyap sebentar.

Kemudian, bunyi ranting dipijak, diikuti derapan tapak kaki perlahan-lahan menghampiri kawasan berteduh mereka.

Zayan pantas menoleh ke arah Zulaikha.

"Awak... Zulaikha, bangun. Bantuan dah dekat." Suaranya lembut tapi tegas.

Zulaikha menggeliat kecil, kelopak matanya terbuka perlahan.

"Hmm...? Dah pagi ke...?" Dia menggosok mata, keliru.

"Bukan. Tapi saya rasa pasukan penyelamat dah hampir. Saya kena pastikan mereka bukan ancaman. Awak duduk sini. Jangan bergerak dari kawasan unggun api. Tunggu saya beri isyarat, ya?"

Zulaikha hanya mengangguk, masih belum benar-benar sedar dari lena. Tapi dia tahu apabila suara Zayan berubah seperti itu, dia sedang serius.

Zayan mengambil lampu suluh dan mula bergerak menyusuri sedikit cerun turun ke bawah. Setiap langkahnya berhati-hati, menjejak ke arah bunyi langkah dan isyarat tadi.

Tidak sampai lima minit kemudian, cahaya lampu suluh mula menembusi kabus tebal dari arah lereng. Bayang tiga tubuh berpakaian gelap semakin jelas menghampiri.

Zayan segera berdiri. Tangannya menahan Zulaikha agar tetap di tempatnya.

"Kata laluan?" soal Zayan lantang, suara tegas bergema di celah hutan.

Salah seorang daripada mereka mengangkat tangan, menyahut dengan nada santai yang cukup dikenalinya.

"I want nobody, nobody but you."

Zayan mengetap rahang. "Macam sial," sumpahnya perlahan tapi cukup jelas untuk membuatkan lelaki itu tergelak kecil.

"Ivan..." nada Zayan penuh keluhan.

"Relax bro. At least aku tak lupa kata laluan," sahut Ivan sambil menghampiri, diikuti dua anggota lain yang lengkap dengan kelengkapan taktikal dan beg perubatan.

"Nasib baik kau sempat hantar koordinat. Line hidup tak sampai seminit, tapi cukup untuk kami lock lokasi. Kami terus gerak dari balai taktikal dekat Batu 14." Ivan menepuk bahu Zayan.

Zayan mengangguk. "Thanks. Dia luka-luka ringan, mungkin trauma. Tapi stabil." Matanya menjeling ke arah Zulaikha yang masih duduk beralaskan jaketnya.

Ivan melirik. "Kau pun nampak trauma sikit."

Zayan menjeling tajam. "Kalau aku tanam kau dalam hutan ni, tak ada siapa yang tahu, tau?"

Ivan tergelak kecil, lalu memberi isyarat kepada anggota lain untuk memeriksa Zulaikha.

"Miss, saya dari unit bantuan kecemasan. Kami nak periksa luka dan pastikan semuanya dalam keadaan selamat sebelum bawa keluar."

Zulaikha hanya mengangguk perlahan. Suaranya belum kembali stabil. Tapi kali ini, matanya tidak panik. Dia tahu... mereka selamat.

Zayan berdiri di sisi, membiarkan Zulaikha diperiksa.

Ivan mendekat semula. "Kita kena gerak sekarang sebelum hujan lebat. Kenderaan medik tunggu dekat jalan balak. Jalan ni kena redah naik ATV, tak boleh masuk van biasa."

Zayan mengangguk. "Kau bawa depan. Aku dan dia ikut belakang. Pastikan jalan clear."

Ivan memberi isyarat tangan, dan pasukan kecil itu mula bergerak menuruni cerun semula.

------

3:15 pagi.

Bunyi siren ambulans membelah sunyi pagi yang masih gelap. Di luar, pokok-pokok hutan bergelimpangan di tepi jalan berbukit. Lampu merah biru silih berganti menerangi kabin dalam ambulans yang bergerak laju menuruni jalan tanah berbatu.

Zulaikha duduk bersandar di katil kecemasan, diselimutkan dengan selimut foil kecemasan. Tangan kirinya terpasang drip. Beberapa calar kecil pada betis dan lengan sudah dibersihkan dan dibalut.

Dia diam saja, tapi matanya tidak lepas dari memandang lelaki yang duduk di bangku sisi.

Zayan.

Tubuhnya masih berpakaian lengkap kotor, basah. Tapi dia langsung tidak mengeluh. Zayan diam, matanya memandang keluar tingkap kecil. Tangannya memegang kain bersih yang digunakan untuk mengelap luka di lengan. Rupanya pergelangan tangannya juga terseliuh ketika cuba menahan stereng ketika kereta berpusing petang semalam.

Zulaikha membuka mulut, suaranya perlahan. “Awak okey?”

Zayan menoleh sedikit, lalu mengangguk. “Saya tak ada apa. Cuma calar sikit.”

Hening sebentar.

“Terima kasih… sebab jaga saya.” Suara Zulaikha bergetar sedikit. Matanya mula berkaca.

Zayan diam.

“Saya tahu saya menyusahkan awak. Saya panik, menangis... saya peluk awak kuat-kuat sampai awak hampir terjatuh...” Zulaikha cuba ketawa, tapi suaranya pecah di hujung.

Zayan menghela nafas. Akhirnya dia memandang terus ke arah wanita itu.

“Awak tak salah. Situasi macam tu, siapa pun akan takut. Saya cuma buat apa yang patut.”

“Zayan...,” Zulaikha bersuara lembut. Takut-takut mahu menyebut nama itu.

Zayan tidak menyahut. Hanya keningnya sedikit terangkat. Menanti perkataan yang bakal keluar dari bibir Zulaikha.

“Kalau tak keberatan...” Zulaikha sambung perlahan, “lepas semua ni dah selesai… boleh kita jumpa lagi?"

Zayan memandang Zulaikha. Untuk pertama kali sejak mereka bertemu dia tersenyum kecil. Sukar dikesan, tapi nyata di mata Zulaikha.

“Kita tengok nanti,” jawab Zayan perlahan.

"Maksudnya?"

"Okay," balas Zayan pendek. Dia kembali menatap keluar tingkap kecil. Memerhatikan deretan pokok-pokok yang menghijau sambil menyembunyikan senyuman yang cuba ditahan.

Di luar, hujan mulai reda. Malam yang panjang… akhirnya hampir berakhir.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience