Bab 8

Romance Series 718

Imbas Kembali. Dua Tahun Lalu

Bilik Taklimat ECLIPSE, 12 Jam Sebelum Misi

Lokasi: Bilik Taklimat Bawah Tanah, Markas ECLIPSE, Selangor
Waktu: 2.35 petang

Monitor LED memaparkan imej satelit sebuah pulau kecil berhampiran Bali, Indonesia. Di sudut kanan skrin, terpampang foto seorang wanita muda yang cantik dan elegan, dengan namanya tertera, Zulaikha Isabelle binti Tan Sri Rizal.

Di bawahnya, kelihatan gambar seorang wanita separuh usia namun masih anggun dan berwajah aristokrat. Ku Helena Sofea binti Ku Saifullah.

Di hadapan bilik, Hadif berdiri tegak dalam pakaian taktikal kelabu gelap. Di sebelahnya, seorang pegawai risikan wanita, Alisa, sedang menunjuk ke arah skrin.

“Sasaran Pulau Nusa Lembongan. Dua VVIP disyaki dikurung dalam struktur kayu berhampiran pantai timur. Anggaran enam hingga lapan pengawal bersenjata. Tiada liputan telefon, tiada CCTV, tiada rekod rasmi.”

Zayan dan Ivan duduk di barisan hadapan bersama dua lagi operator Rafiq dan Khal. Keempat-empat mereka fokus, namun hanya Ivan yang duduk menyilang kaki sambil mengunyah lolipop perisa anggur.

Alisa menukar paparan skrin kepada lakaran struktur pondok kayu dan kawasan sekitar.

“Operasi ini bersifat black ops. Tiada pengesahan rasmi. Tiada bantuan sokongan. Kita tidak boleh dikesan. Misi kita ringkas. Masuk, selamatkan, keluar. Jangan tinggalkan jejak. Kita tak mahu isu diplomatik dengan Indonesia atau menarik perhatian pihak keselamatan tempatan.”

“Peraturan ketat. Tiada senjata api, tiada peralatan canggih,” ujar Alisa tegas sambil menunjuk ke skrin.

“Alat komunikasi hanya akan guna kombinasi Bone Conduction Device dengan Micro PTT yang kalis air. Uniform hanya frog tactical suit dan sebilah pisau taktikal.”

Ivan angkat tangan santai, senyum nakal di bibir.

“Kita tak pakai swimming suit ke? tak pun pakai seluar renang je?Macam Law of the Jungle je ni.”

Rafiq di sebelahnya cuba menahan gelak. Hadif hanya menggeleng perlahan sambil menahan senyum.

Alisa menjeling tajam ke arah Ivan. “Kalau awak pakai kain pelekat pun, asalkan boleh menyelam dengan senyap, saya tak kisah. Tapi jangan ganggu fokus pasukan.”

Rafiq dan Khal tahan ketawa. Zayan hanya geleng kepala perlahan.

Hadif bersuara sambil menahan senyum. “Kod misi ini Operasi TARZAN.”

Rafiq mencelah. “Kenapa tak Operasi Pisau ke, Operasi Senyap?”

Ivan tersengih. “Kan betul aku suruh pakai seluar renang.”

Alisa menunjuk ke peta kawasan pantai timur pulau. “Pasukan akan dihantar menggunakan bot nelayan tempatan. Jarak dari pantai 700 meter. Awak akan menyelam masuk dalam senyap, waktu malam.”

Khal mengangkat tangan. “Ada jerung ke situ?”

Alisa menjawab santai, “Setakat ni, belum ada laporan jerung gigit orang dekat situ. So, anggap je awak selamat.”

Alisa menyambung. “Kita bahagikan pasukan, Rafiq dan Khal, Alpha One. Zayan dan Ivan, Bravo…”

Ivan mencelah. “Tak, tak. Kami Jane Two. Jane A dan Jane B.”

Dia menunjuk Zayan sebagai Jane B.

“Benci la kau ni. Suka bagi kod dan kata laluan merepek.” Zayan menggeleng kepala. Sekilas menjeling memandang Ivan.

Ivan tergelak kecil. Sengaja mengusik Zayan. Seronok melihat reaksi lelaki berwajah serius itu.

Hadif menyerahkan fail ringkas kepada Zayan. “Kau ketua pasukan. Aku tahu kau tak suka berenang macam ni, tapi pasukan ni saja yang aku percaya untuk tarik dua VVIP keluar tanpa jejak. Buat seperti serangan dari kumpulan lokal dekat sana."

Zayan mengangguk. “Roger, bos. Kami bawa mereka balik. Safe and sound."

Ivan berdiri, renggangkan tangan. “Okay... jadi bila kita nak berenang ni?”

Zayan bangun, menepuk bahunya perlahan. “Kalau kau buka mulut lagi lepas ni, aku campak kau masuk laut Indonesia.”

Mereka semua ketawa kecil. Ivan mengangkat dua tangan sebagai tanda mengalah.

Lampu bilik taklimat dimatikan.
Empat lelaki berjalan keluar dari bilik menuju ruang persediaan taktikal. Dalam masa kurang 12 jam, mereka akan menyusup ke wilayah asing hanya berbekalkan tubuh, pengalaman, dan sebilah pisau.

------

OPS Tarzan.
Pesisir Pantai Pulau Nusa Lembongan, Indonesia. 02:12 pagi

Air laut dingin menggigit tubuh. Langit gelap tanpa bulan. Hanya cahaya bintang menjadi panduan samar di permukaan ombak.

Zayan menyelam senyap di belakang Ivan. Di sisi, dua lagi operator Khal dan Rafiq membentuk formasi empat segi kecil 'diamond formation'. Di bahagian leher masing-masing, terpasang unit komunikasi bone-conduction kecil, tidak kelihatan, tidak mengeluarkan sebarang cahaya atau bunyi luar.

“Jane B to all unit. Tiga minit ke pantai timur. Split in two” Suara Zayan tenang, hanya kedengaran dalam kepala mereka melalui transmisi getaran.

Ivan menyahut perlahan.

“Roger, Jane B. Aku rasa macam Jason Mamoa versi bajet." Sempat Ivan berseloroh.

Zayan hanya menjeling sekilas. Kalau bukan kerana misi ini penting, dia dah hentak kepala Ivan dengan batu karang.

Mereka hanya memakai pakaian renang taktikal untuk memudahkan pergerakan mereka ketika berenang. Tiada alat bantuan pernafasan. Hanya baju renang gelap dan sebilah pisau.

Zayan mengawal pernafasannya perlahan dan dalam.
Matanya tajam memantau setiap pergerakan rakan sepasukannya yang sedang menyelinap di hadapan.

Misi mereka malam ini menyelamatkan dua orang VVIP isteri dan anak kepada seorang tokoh konglomerat ternama, yang juga merupakan anggota Shadow Council.

Kedua-duanya telah diculik ketika sedang bercuti di Bali, Indonesia. Lokasi penahanan mereka dikenal pasti di sebuah pondok terpencil di sebuah pulau kecil yang tidak direkodkan secara rasmi di peta pelancongan.

Kaki menyentuh dasar berpasir.

Zayan memberi isyarat tangan. Tunggu.

Mereka berempat menyorok di sebalik kayu mati dan semak belukar yang menganjur hingga ke pantai. Angin malam bertiup perlahan menggigit tubuh mereka yang kebasahan.

Zayan mengangkat tangan kanan, tiga jari tegak di udara.
Isyarat senyap bersedia bergerak dalam tiga saat. Tiada suara. Dua formasi berpecah kiri dan kanan.

Tiga. Dua. Satu.

Empat bayang tubuh menyelinap keluar dari air ke daratan, senyap seperti bayang malam.

Zayan dan Ivan berlutut di belakang akar pokok besar yang menonjol keluar dari tanah. Zayan mengimbas kawasan pondok secara sistematik menggunakan teknik 'scan by sectors' setiap sudut 45 darjah diperhatikan selama dua saat sebelum beralih ke sektor seterusnya. Fokus. Pantas. Tanpa ragu.

Rafiq dan Khal menyelinap ke arah kiri, gerakan licin dan senyap. Mereka segera mengambil posisi di sebalik belukar lebat, bersedia untuk fasa seterusnya.

Zayan mengetap bibir. Misi kini telah bermula. Dalam sunyi malam dan bunyi hempasan ombak dipantai, hanya satu suara bergema dalam fikiran setiap operatif

Masuk. Selamatkan. Keluar. Tanpa jejak.

Seorang pengawal sedang duduk sambil memegang senapang.Tiada lampu spotlight. Nampaknya mereka tidak menjangka sesiapa malam ini.

“30 meter arah timur laut. Satu pengawal di luar.” bisik Ivan.

Zayan angkat tangan, memberi isyarat bunuh senyap.

Ivan bergerak dahulu tubuhnya seakan bayang, tiada bunyi, tiada jejak. Dia menyelinap di belakang pengawal pertama, tangan kiri menutup mulut, tangan kanan menusuk bilah pisau Gerber StrongArm sepanjang 4.8 inci masuk antara tulang selangka, menembusi tisu lembut dan arteri subklavia.

Darah menyembur perlahan dari luka. Ivan menarik kembali pisau dengan satu gerakan. Tubuh jatuh lembik disambut Ivan. Mayat diseret ke semak. Selesai.

Zayan isyaratkan pergerakan masuk. "Alpha, Flank." Khal dan Rafiq kekal menjaga perimeter. Mereka berpecah.

Zayan menyelinap ke sisi struktur pondok kayu. Tiada kamera. Tiada penggera. Hanya lilin kecil di tingkap. Melalui celah papan, dia nampak dua orang wanita, seorang dewasa dan seorang muda, mata ditutup dan tangan terikat ke belakang.

“Objective secure. Two VVIP. Ready for extraction.”

Zayan mengisyaratkan Ivan untuk masuk dari tingkap belakang. Dia sendiri membuka pintu perlahan hanya bunyi engsel berdecit perlahan.

Pengawal kedua muncul dari dapur.

Zayan bergerak sepantas kilat satu sepakan ke lutut, diikuti tikaman senyap ke rusuk, ke atas dan dalam menembusi paru-paru. Lelaki itu rebah tanpa sempat bersuara.

Zayan terus bergerak ke arah wanita muda matanya masih tertutup, wajah penuh ketakutan. Dia merungkai ikatan dengan cepat.

"Shh... saya dari pihak keselamatan. Kami nak bawa awak keluar dari sini."

Gadis itu mengangguk perlahan, tubuhnya menggigil. Dalam samar cahaya bintang dia hanya dapat merasakan sejuk titisan air dari rambut lelaki itu jatuh ke tangannya.

Zayan mendukung wanita yang lebih tua yang separuh sedar. sementara Ivan mengangkat gadis muda dari belakang.

“Extraction ready. Alpha, secure perimeter."

“Alpha to Jane B, perimeter clear.” sahut Rafiq dan Khal sambil mata cekap mengawasi sekeliling. Dua tubuh kaku terbaring di tanah.

"Jane B to Bravo. Ready for evacuation."

"Bravo to Jane B. Roger."

Dengan tubuh basah, senjata tajam, dan beban di belakang, empat lelaki itu menyelinap keluar dari pulau dengan bot nelayan yang sama.

Dua puluh minit kemudian. kedengaran bunyi derapan tapak kaki menghampiri pondok kayu dalam samar cahaya bintang. Empat lelaki bersenjata menyelongkar pondok kayu dengan berang. Hanya dua mayat ditinggal sebagai saguhati.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience