Bab 37

Romance Series 7113

10:12 malam

Ruang tamu kondominium bersaiz kecil itu diterangi lampu neon LED, mewujudkan suasana tenang dan nyaman dengan gaya hiasan dalaman kontemporari.

Di atas sofa, Zulaikha duduk bersandar dengan selimut menutupi tubuhnya hingga ke pinggang. Rambutnya diikat longgar, pipinya masih pucat, tetapi jauh lebih baik berbanding pagi tadi.

Zayan muncul dari dapur, membawa dua cawan kecil berisi teh O panas. Dia tidak berkata apa-apa, hanya meletakkan secawan di sisi Zulaikha.

"Teh O? Bukan kopi O macam biasa?" soal Zulaikha perlahan, senyum nipis terukir di bibir.

"Kopi dah habis. Saya tak keluar rumah dua hari… mana sempat nak beli," balas Zayan, lalu melabuhkan punggung di sofa bertentangan.

Zulaikha tergelak kecil. Suara tawanya masih lemah, tapi ikhlas. Dia menyambut cawan itu dengan kedua belah tangan.

“Saya tak pernah bayangkan awak boleh jadi jururawat sepenuh masa.”

“Semua tu ada dalam modul pertolongan cemas,” jawab Zayan tenang, mengangkat bahu sedikit.

Zulaikha memandang wajah lelaki itu. Garis wajah Zayan seperti biasa. Serius, sedikit keras, tetapi malam ini ada sesuatu yang berbeza. Wajah itu nampak lebih tenang.

Kedua-duanya diam sejenak, hanya bunyi dentingan halus cawan berlaga meja kopi.

“Zayan…” Zulaikha membuka bicara, suaranya perlahan.

“Hm?”

“Pernah tak awak rasa… terlalu lama hidup sebagai orang lain, sampai awak keliru siapa diri awak sendiri?”

Zayan tidak segera menjawab. Dia menatap Zulaikha lama, sebelum bersuara.

“Saya faham perasaan tu. Bertahun hidup atas nama samaran. Berlakon, menyamar, menipu. Bila misi tamat… tak pasti siapa diri kita yang sebenar.”

Zulaikha menunduk. Jari-jarinya bermain pada badan cawan yang masih hangat di tangan.

“Saya takut… bila semua ni berakhir, saya tak tahu siapa saya. Zulaikha, atau Isabel?”

Zayan menghela nafas perlahan. Suaranya merendah.

“Dengar sini. Apa pun nama awak, siapa pun awak sebelum ni… saya tetap nampak orang yang sama. Yang berani, setia, dan sanggup korbankan diri untuk lindungi orang lain.”

Zulaikha mengangkat pandangan. Mata mereka bertemu, namun sinar matanya yang dulu penuh keyakinan mula pudar.

“Saya tak ada keluarga sebenar, Zayan… saya hanya anak yatim yang tiada apa-apa. Saya takut untuk jadi Isabel Matthews semula."

Zayan bersandar ke belakang. Dia mengangguk perlahan, seolah memahami keresahan di jiwa Zulaikha.

“Sampai bila-bila pun awak adalah Isabel Matthews. Identiti awak tak akan hilang… Dan awak tak keseorangan. Cuba awak tengok sekeliling. Semua orang sayangkan awak.”

"Bagaimana dengan awak? Awak masih sayangkan saya? Walaupun saya bukan 'Zulaikha Isabelle?"

Uhuk! Uhuk! Uhuk!

Zayan menutup mulut. Tersedak lelaki itu mendengar soalan Zulaikha. Cepat-cepat dia ambil tisu dari atas meja kopi. Bibir yang basah dilap perlahan sambil otak cuba menyusun jawapan.

Zulaikha menarik nafas panjang. Dia bersandar semula, memejamkan mata seketika. "It's okay. Awak tak perlu jawab."

Zayan terdiam, dia memerhati wajah wanita itu. Lama. Wajah yang pernah buat dia keliru, marah, dan kecewa… tapi kini menjadi wajah yang membuatkan dia tetap memilih untuk bertahan.

Dia tahu... sebagai operatif yang menjalankan misi penyamaran, mereka sering kehilangan arah. Terputus dari dunia sebenar. Tidak punya hak untuk jatuh cinta, atau berharap pada masa depan.

Tapi malam ini... entah kenapa, harapan itu terasa tidak mustahil.

Zayan bangkit perlahan. Dia mengambil cawan kosong di atas meja.

Sebelum beredar, dia berhenti di sisi sofa. Pandangannya jatuh pada wajah Zulaikha yang sudah terlelap.

“Rehatlah, Isabel…” bisiknya perlahan.

Kemudian dia melangkah ke dapur, meninggalkan wanita itu yang terlena dalam pelukan selimut tipis yang membalut tubuh.

-------

Keesokan harinya. 7:15 pagi

Bau harum bawang tumis dan serai memenuhi ruang dapur kecil itu, menyatu bersama aroma halia yang baru ditumbuk. Wap panas menari-nari keluar dari celahan tudung periuk sup yang mendidih perlahan di atas dapur. Di meja kaunter dua pinggan nasi putih tersusun kemas. Di sebelahnya, mangkuk kecil berisi sambal halia berlimau, manakala beberapa biji kuih pinjaram berwarna keemasan diletakkan di atas pinggan beralas tisu dapur.

Zulaikha menyusun hidangan satu per satu dengan teliti. Apron bercorak flora yang dipakainya sedikit longgar, rambutnya diikat ringkas ke belakang, dan ada titik-titik peluh yang mengalir perlahan di pelipisnya. Sesekali rasa ngilu menjalar ditempat luka kerana dibasahi peluh.

Bunyi pintu bilik Zayan dibuka perlahan disusuli derap langkah mendekati dapur.

Zayan muncul di ambang pintu dapur, mengenakan kemeja-T lusuh dan seluar tidur kelabu. Matanya masih sembap, tapi sebaik melihat Zulaikha di dapur dia terpaku.

"Awak masak?" Suaranya serak, namun jelas terkejut.

Zulaikha menoleh, tersenyum kecil. "Ya. Saya bosan asyik terbaring. Lagipun... awak dah jaga saya semalam, hari ni dah rasa okay sikit.”

Zayan menghampiri, matanya meneliti meja makan. "Ni... sup ikan?"

Zulaikha mengangguk. “Sup ikan ala kampung. Resipi makcik asrama masa saya di rumah anak yatim dulu. Yang ni sambal halia. Sepatutnya guna tuhau, tapi saya ganti dengan halia dan limau kasturi.”

Zayan duduk perlahan, masih merenung Zulaikha.

“Tuhau?” keningnya terangkat.

"Anggap je halia versi Sabah. Bau kuat, rasa tajam... tapi sedap kalau kena dengan lauk kampung."

Zayan tersenyum senget. Dia menyenduk sup ke dalam mangkuknya, meniup perlahan sebelum menghirup.

Dia terdiam.

Zulaikha menjeling resah. “Kenapa? Tak cukup garam ke?”

Zayan mengangkat wajah. “Tak. Sedap.”

Zulaikha menghela nafas lega, ketawanya kecil dan ikhlas.

Mereka menikmati sarapan dalam suasana tenang. Tiada bunyi lain selain hiruk-pikuk samar dari jalan di bawah dan bunyi sudu berlaga pinggan.

Selesai makan, Zulaikha menghidangkan kuih pinjaram yang telah digoreng awal pagi tadi.

"Ni… kuih UFO?" Zayan memegang sebiji dengan penuh ingin tahu.

Zulaikha tergelak. "Nama dia pinjaram. Kuih tradisional Sabah. Luar rangup, dalam lembut. Saya simpan beku dalam peti ais. Tak sangka masih elok."

Zayan menggigit perlahan. Wajahnya berubah cerah. “Manis... tapi lembut sangat. Awak betul-betul dari Sabah ke ni?”

Zulaikha tersenyum, namun tidak membalas.

Di balik senyuman itu, ada gelora yang cuba dia pendam. Untuk pertama kali sejak tujuh tahun lalu dia rasa seperti Isabel. Bebas dari lakonan walau seketika.

Akhirnya, dia beranikan diri bersuara. “Zayan…”

“Hm?”

“Terima kasih… sebab jaga saya, walaupun saya mungkin bukan wanita yang awak idamkan.” Suaranya lirih, namun jelas.

Zayan terhenti mengunyah. Dia pandang Zulaikha lama, cuba menafsir maksud sebenar kata-katanya.

Zulaikha hanya tersenyum nipis, menunduk.

Zayan ingin bertanya lebih, tetapi dia menahan diri. Hatinya gamam. Keliru.

Tanpa sepatah kata, dia terus menyuap kuih ke mulut. Tanpa dia sedar, ada gundah yang bersarang di hati seorang wanita bernama Isabel. Isabel tahu, mulai saat ini, di mata Zayan dia bukan lagi Zulaikha anak konglomerat ternama. Bukan lagi wanita berpelajaran, anggun, elegan, dan penuh dengan sifat kewanitaan yang pernah Zayan kenal dahulu.

Sekarang dia hanyalah seorang wanita biasa yang sedang menjalankan tugas. Seorang wanita tanpa sesiapa, tanpa latar belakang yang hebat. Bukan lagi wanita anggun dan elegan itu.

Maaf. Slow burn betul cinta Zayan dengan Isabel ni TT.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience