Bab 10

Romance Series 7113

POV ZAYAN

Tiga bulan kemudian.

Zayan sedang ralit menonton televisyen apabila deruman enjin motosikal besar berhenti di hadapan rumah. Bunyinya tajam bukan motosikal biasa yang singgah di kawasan perumahan ini. Beberapa saat kemudian, loceng pintu di tekan.

Dia bangun malas-malas dan mengintai ke luar jendela. Seorang penunggang berpakaian serba hitam sedang duduk tegak di atas sebuah Suzuki Gixxer SF250.

"Siapa pulak yang datang malam-malam ni?"

Zayan berjalan ke pintu pagar sambil menekan remote pagar. Penunggangnya menanggalkan helmet fullface perlahan-lahan.

Zayan terpaku.

Seorang wanita dengan tudung sarung hitam, wajah polos tanpa solekan, memandangnya dengan tenang.

Zayan mengambil beberapa saat untuk proses apa yang sedang berlaku. Dia kenal wajah itu. Zareen kakaknya sendiri. Kakak sulung yang selama ini dikenali dengan imej lembut dan sopan.

Dia pandang semula motosikal yang masih berkilat itu.

“Motor siapa kau bawa ni?” soal Zayan. Dahinya berkerut, cuba menyusun logik.

Zareen langsung tidak menjawab. Dia menunggang masuk dan berhenti di tempat parkir bersebelahan Audi RS7. Gerak-gerinya tenang dan berkeyakinan terlalu selesa untuk seseorang yang baru belajar menunggang. Dia matikan enjin, galas beg galas, dan berjalan masuk tanpa banyak bicara.

Zayan mengekori dari belakang.

Di dalam rumah, Zareen melabuhkan duduk di sofa. Tudungnya ditanggalkan, lalu disangkut di bahagian sandaran. Zayan perasan jaket kulit hitam dengan shoulder reinforcement, seluar jeans, bukan gaya kakaknya yang biasa berbaju kurung, blouse longgar, seluar palazo dan skirt labuh.

Dia duduk di sofa bertentangan, masih keliru.

“Sejak bila kau pandai naik motor macam tu?” suaranya kedengaran lebih serius kali ini.

Zareen menjawab pendek. “Sejak aku beli motor tu.”

Zayan ternganga sedikit. “Kau beli? Biar betul, Kak?” Setahunya Zareen tidak pandai menunggang motosikal. Bapak tidak izinkan anak perempuan tunggalnya itu menunggang motosikal. Bahaya.

Zareen hanya menjongket kening, wajahnya tersenyum nipis.

Zayan bersandar ke sofa, meneliti kakaknya dengan lebih teliti. Air mukanya berubah.

“Mak dengan Bapak tahu kau datang sini?” soal Zayan.

Zareen geleng perlahan. “Belum. Aku datang sebab nak jumpa kau dulu.”

“Kenapa?” nada Zayan kini lebih lembut.

Zareen memandangnya lama, kemudian tunduk membuka zip beg. Dia mengeluarkan satu sampul fail nipis, letak atas meja kopi.

“Aku nak kau tolong aku cari kerja.”

Zayan kerut dahi. “Kerja? Bukan ke kau kerja kerani kilang?” tanyanya perlahan.

“Itu yang aku bagitahu dekat mak dengan bapak.”

Zayan membetulkan duduk. “Maksud kau?”

Zareen menghela nafas panjang, kemudian bersandar ke belakang. Wajahnya berubah sedikit lebih serius, lebih berat.

“Aku tak pernah kerja kerani kilang.”

“Jadi... kau kerja apa sebenarnya?”

Zareen diam sejenak. Wajahnya tenang tapi matanya seperti menyimpan sesuatu.

“Aku baru tamat servis. Aku bekas UTK.”

Zayan terdiam.

Dia menoleh perlahan ke kiri, seakan cuba mencari ruang dalam fikirannya yang boleh menerima kenyataan itu. UTK? Unit Tindakan Khas. Unit elit. Lelaki pun tak semua lepas tapisan fizikal dan mental. Dan ini… kakaknya?

“Eh, kau main-main ke ni?” Zayan gelak kecil, cuba menutup ketidakpercayaannya.

Zareen tidak menjawab. Sengaja membiarkan Zayan memproses maklumat yang baru diterimanya.

Zayan menghela nafas dalam. Wajah kakaknya ditatap berkali-kali. Serius.

“Berapa lama kau simpan rahsia ni?” suaranya perlahan.

"Aku masuk kursus asas latihan polis lepas dapat result SPM. Sekarang aku dah tiga puluh tahun. Kau kiralah..."

Zayan menggaru kepala. Tidak percaya. Mustahil. Sebelas tahun kakaknya menyimpan rahsia ini?

Hampir semua lelaki di dalam keluarga mereka berkhidmat dalam unit beruniform. Tok wan dan bapak Zayan pesara tentera. Adik bongsu Zayan, Zafran juga seorang anggota tentera.

Zareen satu-satunya anak perempuan bapak. Bapak besarkan zareen bagai menatang minyak yang penuh, berbanding Zayan dan Zafran yang didik dengan tegas dan berdisiplin.

Zayan menelan liur, “Kalau bapak tahu… habislah,” bisik Zayan.

Pantang larang bapak, Zareen dah langgar. Masalahnya sekarang dia terlibat sekali.

-----

Dua hari kemudian.

Selesai solat Zuhur, Zareen terus keluar dari bilik. Ketika solat tadi, dia terdengar pintu depan dibuka. Pasti Zayan sudah pulang. Sejak keluar selepas Subuh pagi semalam, hampir pukul dua petang hari ini barulah adiknya itu kembali ke rumah.

Benar seperti yang dijangka, adiknya itu sedang duduk di sofa dengan bahu berbalut.

"Kau kena tembak?" soal Zareen, lalu melabuhkan punggung ke sofa di sebelah Zayan.

"Ha’ah. Bos aku kena serang dekat ofis dia tadi. Penyerang tu kenalan dia," balas Zayan, menyandarkan tubuh ke sofa. Kesan ubat penahan sakit sudah habis, dan bahunya mula berdenyut-denyut.

"Lambatnya kau bertindak. Ramai ke yang serang bos kau tu?"

Zayan menghela nafas panjang. Sakit hati juga dengan kritikan kakaknya.

"Aku duduk dalam kereta, tiga puluh dua kaki jaraknya dari bos aku sebelum tembakan dilepaskan. Dia dekat kereta dia. Kau rasa aku Superman, boleh terus terbang ke sana?" Zayan menjeling geram. Sudahlah tengah sakit, kena perli pula.

"Kau naik kereta asing-asing?"

"Yup. Bos aku jenis yang tak suka privasinya diganggu."

"Kalau macam tu, baik tak payah ambil bodyguard. Kalau penembak tu profesional, dia dah mati dah," bebel Zareen.

Zayan mengetap rahang. Kakaknya ini memang tak pernah tapis kata-kata. Dia bangun dari sofa, malas hendak melayan Zareen lebih lama. Sudahlah sejak semalam dia tak tidur. Sakit, letih, mengantuk semua ada.

Dia berlalu masuk ke bilik.

Zareen menggeleng perlahan, matanya mengekor langkah adiknya yang menghilang ke dalam bilik. Dia tahu Zayan penat, tetapi kejadian ini bukan perkara kecil. Zayan hampir terbunuh.

Telefon bimbitnya berbunyi. Perkataan Boss tertera di skrin. Zareen segera menjawab.

"Zayan?" kedengaran suara garau di hujung talian.

"Zayan dah masuk tidur," balas Zareen.

"Oh, okay?" Hadif mematikan talian. Dia menatap skrin telefonnya sekali lagi.

Suara wanita? Setahunya, Zayan belum berkahwin!

Adakah wanita itu teman wanitanya? Sakan juga Zayan, sampai berani membawa wanita masuk ke rumah.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience