Bab 50

Romance Series 7113

Bunyi kerusi berderit kuat. Zareen bangun berdiri, wajahnya tegang.
“Kau dah tahu dia ada split identity… macam mana kau masih berani masukkan dia dalam operasi sebesar ni?! Sepatutnya dia kena dapatkan rawatan!"

Ivan cuba bersuara, tetapi Hadif lebih pantas, nadanya tegas, authoritative.
“Dengar sini, Zareen. Aku tahu risikonya. Tapi kau kena faham satu perkara, Black Shadow adalah agen ECLIPSE. Dia senjata. Untuk jatuhkan Tengku Rizz, kita perlukan setiap kelebihan yang kita ada.”

Zareen menatap tajam wajah suaminya itu. Geramnya membuak, bukan sekadar pada keputusan taktikal, tetapi kerana terlalu banyak perkara yang Hadif sembunyikan daripadanya.

Hadif menarik nafas dalam, kemudian menyambung dengan nada lebih perlahan, penuh maksud.
“Zayan adalah agen terlatih. Dia agen elit ECLIPSE, dan permintaan untuk sertai operasi ni datang sendiri daripada dia. Sama ada kita suka atau tak… dia sebahagian daripada team ni.”

Zareen menggenggam tangan di sisi tubuh, berperang dengan emosinya. Dia tahu Hadif ada alasan logik, tapi hatinya tetap menolak.
“Jadi… kalau Black Shadow hilang kawalan? Kau nak bawa dia pulang macam mana?” Nadanya tajam, tidak puas hati.

Hadif menunduk seketika, lalu menghela nafas berat.
“Kalau itu berlaku… kita perlukan gabungan Team Ghost dan Team Knight. Kita akan laksanakan containment protocol. Tangkap, bukan bunuh. Dan untuk buat tu… kita perlukan trigger yang boleh tarik Zayan keluar semula.”

Kening Zareen berkerut.
“Trigger…? Maksud kau umpan?”

Hadif mengangkat wajah, pandangannya tajam menembusi mata isterinya.
“Ya. Zulaikha sebagai umpan… dan kau, Zareen, sebagai ground trigger.”

Keheningan menyelubungi bilik. Kata-kata Hadif bagai dentuman bom, seisi bilik terdiam, hanya degupan jantung masing-masing yang bergema dalam kepala.

“Apa?!” Suara Zareen pecah, bergema dalam bilik taklimat. Kerusi ditolak ke belakang, hampir tumbang. Matanya membesar, penuh tidak percaya.
“Kau… kau nak aku jadi trigger untuk Black Shadow. Kau pasti benda ni akan berjaya?"

Hadif menatapnya tanpa berganjak. Wajahnya dingin, tapi matanya jelas berperang dengan dilema.
“Aku yakin, Zareen. Kau memang satu-satunya orang yang cukup dekat untuk pecahkan tembok dia. Kalau Black Shadow ambil alih, kau saja yang boleh tarik Zayan semula. Aku takkan letak kau dalam situasi ni kalau ada pilihan lain.”

Zareen terdiam seketika, dada naik turun laju.

Ivan masuk campur, nada suaranya berat tetapi terkawal.
“Zareen, kau kena faham. Kalau Black Shadow hilang kawalan, dia bukan sekadar ancaman kepada kita tapi juga seluruh operasi. Kalau ada cara nak kunci dia semula, kita kena gunakan.”

Rafiq bersuara dari sudut meja, suaranya perlahan tapi tajam.
“Dan kalau Zareen gagal? Kalau Black Shadow tak kenal siapa-siapa? Kau sanggup risikokan nyawa dia?”

Hadif mengalihkan pandangan ke arah semua orang. Dia menekup kedua-dua tangannya di meja, menunduk sebentar sebelum bersuara.
“Sebab itulah aku kata kita perlukan dua lapisan keselamatan. Zulaikha sebagai decoy. Zareen sebagai last resort trigger. Kalau kedua-dua cara ni gagal… barulah protokol terakhir dijalankan.”

Zareen menggigil, bibirnya terbuka sedikit.
“Protokol terakhir…?”

Hadif mendongak. Wajahnya kaku, suaranya perlahan seakan terpaksa meluahkannya.
“Neutralisasi Black Shadow. Dengan apa cara sekalipun.”

Keheningan menyelubungi bilik. Bunyi kipas pendingin udara seakan lebih kuat dari biasa. Semua pandangan tertumpu pada Zareen yang kini berdiri kaku.

Zareen akhirnya membuka mulut, suaranya bergetar tetapi jelas.
“Kalau itu rancangan kau… aku akan buat. Tapi dengar sini, Hadif... kalau Zayan mati sebab kau… aku takkan maafkan kau."

Dia meraup wajahnya, menarik nafas panjang, kemudian duduk semula. Suasana masih tegang, tapi keputusan telah dibuat.

Ivan mengakhiri perbincangan, nadanya dingin dan tegas.
“Baik. Semua elemen dah jelas. Operasi Dark Hunter tetap berjalan Sabtu ini. Kita tangkap Tengku Rizz… dan kalau Black Shadow keluar, kita kawal. No mistakes.”

Lampu hologram padam. Ruang itu sekali lagi ditelan senyap, tapi kali ini bukan hanya ketegangan misi, ia bercampur dengan retakan emosi yang belum tentu boleh dipulihkan.

--------

Imbas Kembali

Kampung Bagan Datok, Ipoh Perak. 22 tahun lalu.

Jalan tanah merah di hujung kampung lengang. Hanya bunyi cengkerik bersahut-sahutan, diselangi lolongan anjing jauh di kejauhan. Angin membawa bau lumpur paya dan asap pembakaran sampah dari rumah penduduk.

Zayan, anak kecil berusia sembilan tahun, berlari kecil mengejar kakaknya, Zareen, sepuluh tahun. Nafasnya pendek-pendek, wajahnya basah peluh.

“Cepatlah, lambat sangat!” Zareen ketawa, menarik tangan adiknya, cuba memimpin.

Namun keriangan itu mati tiba-tiba. Dari celah pohon getah, satu sosok lelaki dewasa muncul. Mata merah, wajah cengkung, tubuh kurus dibalut baju kotor. Bau arak basi dan asap rokok pekat menampar hidung.

“Budak-budak… rezeki malam ni,” lelaki itu ketawa serak, giginya kuning reput.

Zareen serta-merta berdiri di depan Zayan, melindungi adiknya. Suaranya bergetar, tapi penuh tekad.
“Jangan kacau kami! Nanti bapak kami datang!”

Lelaki itu ketawa kasar, lalu menolak Zareen hingga dia terhantuk pada akar besar. Darah mengalir dari dahinya.

“Kak!” Zayan menjerit, cuba mendekat, tetapi tubuh kecilnya ditolak jatuh ke atas daun kering.

Zareen, walau sakit, bangun semula, cuba melawan dengan tubuh kecilnya. “Kami akan bagitahu bapak kami!” jeritnya.

Plaaak! satu tamparan kuat singgah di pipinya. Dia jatuh tertiarap, rambut tocangnya ditarik kasar. Tubuhnya ditekan ke tanah. Zareen menangis, teresak-esak, wajahnya melecet bergesel tanah.

"Uwahhh..." tangisan Zareen bergema disekitar jalan hujung kampung.

“Diamlah budak sial!” herdik lelaki itu.

Plaaak!

Sekali lagi tamparan hinggap di pipi gebu Zareen. Dia teresak lebih kuat.

Zayan yang meraung ketakutan tiba-tiba terdiam. Sesuatu dalam dirinya retak. Nafasnya jadi berat. Pandangannya kelam, seperti ditelan bayang. Degupan jantungnya berubah, bukan lagi milik seorang kanak-kanak.

Dia bangun. Tubuh kecil itu kaku, namun matanya… tajam, dingin, penuh kebencian mentah. Bukan lagi Zayan.

Tanpa sepatah kata, dia menyambar sebatang kayu reput. Dalam satu gerakan liar, dia menghayun.

Bukk! Kayu menghentam tengkorak lelaki itu. Jeritan nyaring pecah, menggema di hujung jalan sunyi itu.

Zayan terus menghentak. Sekali. Dua kali. Tiga kali. Kayu pecah, darah memercik, tanah berlopak merah. Jeritan bertukar esakan, kemudian senyap.

Zareen menjerit nama adiknya, tapi Zayan tidak mendengar. Wajahnya kosong, tubuh kecilnya bergerak seolah-olah dikawal sesuatu.

Akhirnya, selepas satu hentakan terakhir, tubuh lelaki itu terkulai kaku. Sunyi menelan segalanya.

Zayan berdiri, nafas memburu. Tangannya berlumuran merah. Mata yang tadinya dingin kini beransur goyah. Kesedaran kembali.

“Kak…” suaranya pecah. Dia menunduk, melihat darah di tangannya sendiri. Tubuhnya menggigil. Kanak-kanak penakut itu kembali, ketakutan terhadap dirinya sendiri.

Zareen, masih menangis, perlahan-lahan merangkak mendekat. Dia memeluk tubuh kecil adiknya, erat. “Jom balik, Zayan. Nanti bapak marah… baju kita dah kotor.”

Zayan kaku dalam pelukan itu, wajahnya tenggelam di bahu kakaknya, teresak-esak.

Dalam kegelapan senja yang kian menelan jalan kampung itu, seorang kanak-kanak perempuan penuh luka tetap memilih memeluk ‘monster’ kecil yang baru lahir.

Dan di situlah, buat pertama kalinya, Black Shadow wujud. Bayang gelap Zayan.

Zareen kecil, tubuhnya penuh luka, dengan gagah menggendong adiknya pulang. Dia tidak tahu… pelukan itu bukan sahaja melindungi Zayan, tetapi juga mengikat 'monster' yang satu hari nanti akan terlepas.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience