Safehouse ECLIPSE. 9:05 malam
SUV hitam berhenti di halaman sebuah banglo dua tingkat di pinggir Hulu Langat. Dari luar ia kelihatan seperti rumah kampung moden biasa, namun pagar elektrik, kamera pengawasan 360 darjah, serta dua lelaki bersenjata lengkap di pintu pagar membongkar fungsi sebenarnya.
Pintu belakang SUV terbuka. Zafran segera keluar, matanya liar memerhati sekeliling, memastikan perimeter selamat. Hanif berpaling ke tempat duduk belakang.
“Ustaz, dah sampai. Keluar perlahan-lahan. Tak ada ancaman di sini.”
Izzudin mengangkat wajah. Mukanya pucat, peluh dingin membasahi dahi. Tangannya terketar-ketar, hampir tidak mampu membuka seatbelt sendiri. Hanif menunduk, melepaskan tali itu untuknya.
Izzudin cuba berdiri, namun lututnya longlai. Dia jatuh semula ke kerusi, nafasnya tercungap.
“Cepat, bawa VIP masuk!” arah Zafran dari luar kereta.
Dua anggota QRF menghampiri, seorang segera menyokong tubuh Izzudin. Dia dibawa masuk ke ruang tamu yang telah diubah suai menjadi pusat taktikal mini, monitor CCTV, dan kotak peralatan perubatan di sudut.
Seorang paramedik lapangan sudah menunggu. Dia segera melakukan pemeriksaan pantas, tekanan darah, denyut nadi, tahap oksigen.
“Tekanan darah naik mendadak. Tachycardia. VIP dalam keadaan acute stress response. Bukan kecederaan fizikal, tapi kejutan trauma,” jelas paramedik.
Izzudin cuba bersuara, suaranya serak, terputus-putus.
“Jam… jam dah p-pukul berapa, bang?”
Zafran melihat jam taktikal di pergelangan tangannya.
“9:05 malam, ustaz.”
“Allahu Akbar…” Izzudin menekup wajah dengan kedua tangannya. Tubuhnya menggigil kecil. “T-Tolong bawa saya ke bilik air, bang… saya nak solat maghrib…” Nafasnya tersekat-sekat, antara sebak dan panik.
Hanif dan Zafran saling berpandangan. Mereka terbiasa dengan bunyi tembakan dan peluru melayang, tetapi bagi seorang awam, apatah lagi seorang pemuda biasa seperti Izzudin kejutan ini bukan perkara kecil.
Beberapa minit kemudian, Ivan masuk dan melabuhkan duduk di sofa.
Dia duduk bertentangan dengan Izzudin, namun tidak terus bersuara. Dia menunggu paramedik menyuntikkan sedikit sedatif ringan agar degupan jantung Izzudin stabil.
Sunyi. Hanya bunyi mesin monitor perubatan yang memaparkan degupan jantung kedengaran. Zafran dan Hanif berdiri tidak jauh, memerhati paramedik melakukan tugas.
“Doktor… s-saya nak ke bilik air,” Izzudin merayu pada anggota paramedik yang merawatnya.
Hanif segera mendekat. Dia merendahkan tubuh, duduk mencangkung di sisi Izzudin. Tangannya menepuk perlahan bahu pemuda berusia dua puluh tiga tahun itu..
“Ustaz… biar paramedik periksa ustaz dulu. Bila keadaan ustaz stabil, kami bawa ustaz ke bilik air. Sekarang ustaz berdiri pun tak larat lagi. Dalam keadaan darurat macam tadi, ustaz boleh qadha solat.”
Nada suaranya lembut, tetapi tegas. Izzudin terdiam. Dia cuba mengatur pernafasannya yang terasa berat.
------
Pintu kayu putih itu ditolak perlahan. Hanif dan seorang anggota QRF mengiringi Izzudin masuk. Bilik itu sederhana luas, dihias ringkas dengan katil bujang, meja kayu kecil dan almari pakaian. Lampu sengaja dimalapkan, memberi suasana lebih tenang berbanding hiruk-pikuk ruang taktikal tadi.
Izzudin melangkah perlahan, kakinya masih lemah. Hanif sempat memapah lengannya hingga Izzudin duduk di hujung katil. Nafasnya masih berat, dada naik turun tidak menentu.
“Ustaz, cuba tarik nafas panjang… lepas perlahan-lahan.” Paramedik yang mengikuti mereka memberi arahan ringkas sambil memasang pulse oximeter di jarinya.
Izzudin menurut. Perlahan-lahan dia menghela, menahan getar di dadanya. Peluh dingin masih membasahi pelipis.
Hanif meletakkan sebotol air mineral di meja kecil sebelah katil. “Minum sikit, ustaz. Biar lega tekak.”
Izzudin mencapai botol itu dengan tangan terketar-ketar. Seteguk dua ditelannya. Matanya terpejam rapat.
“Subhanallah…” bisiknya perlahan, suaranya masih bergetar. “Saya… tak pernah bayangkan… begini rupanya bila nyawa berada di hujung peluru.”
Hanif tidak membalas, hanya berdiri di sisi katil, wajahnya serius tapi penuh simpati. Dia tahu apa yang lelaki itu maksudkan. Bagi mereka yang dilatih, situasi tadi hanyalah rutin. Tetapi untuk orang awam, ia boleh merobek seluruh jiwa.
Beberapa minit dibiarkan, sehingga degupan jantung Izzudin kembali stabil. Paramedik mengemas peralatan ringkasnya dan mengangguk kepada Hanif, memberi isyarat keadaan sudah terkawal.
“Ustaz perlu berehat. Kalau ada apa-apa, tekan loceng di meja.”
Izzudin mengangguk perlahan. Dia menunduk, menatap pintu bilik air.
“Terima kasih. Saya dah rasa kuat sikit…"
Hanif menghela nafas panjang. Bahunya menegang, tapi nadanya tetap lembut. “Baik ustaz. Rehat dulu. Kami tunggu di luar.”
Pintu ditutup perlahan. Kini hanya tinggal Izzudin sendirian di bilik itu. Sunyi. Hanya bunyi kipas siling berputar perlahan menemani.
Izzudin duduk di hujung katil. Perlahan-lahan dia mengerah tenaga yang hilang tadi, berjalan perlahan menuju ke bilik air.
------
Safehouse ECLIPSE – Bilik Taklimat, 10:15 pagi
Cahaya matahari pagi menyusup masuk melalui langsir tebal yang separuh terbuka. Bilik taklimat itu sederhana, namun padat dengan peta operasi, skrin besar yang menayangkan carta korporat, dan beberapa fail berlogo classified.
Ustaz Izzudin duduk di hujung meja, wajahnya masih pucat tetapi lebih tenang berbanding semalam. Di sebelahnya, Hanif dan Zafran duduk tegak, masing-masing dalam pakaian taktikal ringkas. Ivan berada di meja konsol hadapan, mengawal projektor.
Pintu terbuka perlahan. Seorang wanita lewat 40-an masuk. Rambutnya disanggul kemas, kaca mata bingkai nipis menghiasi wajahnya. Dia melangkah penuh wibawa lalu duduk berhadapan dengan Izzudin.
“Tuan Izzudin,” suaranya lembut tapi tegas. “Nama saya Linda. Saya bekas setiausaha sulit kepada Allahyarham Tan Sri Rizal. Dan… saya di sini untuk jelaskan sesuatu yang selama ini dirahsiakan daripada awak.”
Izzudin mengerutkan kening. Tangannya saling menggenggam erat di atas meja. “Rahsia apa… puan?”
Ivan mengangguk ke arah Linda sebelum menekan butang konsol. Skrin besar di hadapan menayangkan wajah Tan Sri Rizal, Puan Sri Helena, Zulaikha, Tengku Rizz, serta empat ahli lembaga pengarah. Di sebelahnya tertera carta pecahan saham R&R Group.
Linda membuka sebuah fail hitam, mengeluarkan beberapa dokumen bercop rasmi, lalu meletakkannya di hadapan Izzudin.
“Selepas kematian Tan Sri Rizal, semua orang sangka Zulaikha, anak Tan Sri Rizal adalah pewaris utama syarikat R&R Group selain Puan Sri Helena. Tapi kebenarannya…” Linda berhenti, menatap tepat ke mata Izzudin. “…awaklah sebenarnya pewaris sah. Awak anak kepada isteri kedua Allahyarham, Puan Halimah. Dan mengikut wasiat sulit yang disimpan oleh pihak guaman, awak adalah pemegang saham terbesar R&R Group.”
Izzudin terdiam. Wajahnya pucat kembali, nafasnya tersekat. “Pewaris…?”
Linda mengangguk. “Ya. Dengan pegangan awak, kedudukan awak dalam R&R lebih besar daripada Puan Sri Helena sendiri. Dan nampaknya Tengku Rizz sudah tahu perkara ini. Dia juga sudah tahu bahawa Zulaikha hanyalah pemegang amanah sementara. Itu sebabnya awak diserang malam tadi. Jika dia berjaya menghapuskan awak, R&R Group akan jatuh sepenuhnya ke tangannya.”
Zafran bersuara, nadanya dingin. “Maklumat tentang ustaz jelas dah bocor. Nampaknya ada tikus dalam ECLIPSE.”
Ivan menambah, wajahnya tegang. “Dan untuk pengetahuan semua, Cik Zulaikha dan pengawal pengiringnya, Dee… hilang sejak malam semalam.”
Izzudin memejam mata, tangannya terketar di atas meja. “Astaghfirullah al-‘azim…” bisiknya perlahan. " Macam mana dengan siasatan pihak polis?"
Ivan dan Linda saling berpandangan. Nampaknya Izzudin masih keliru dengan identiti mereka.
Ivan kemudian menukar slide. Muncul profil dua individu dengan latar hitam.
-Muhammad Zafran bin Muhd Zakir
-27 tahun
-Nama kod: Viper
-Tentera Darat Malaysia – 2 tahun
-GGK – 5 tahun
-ECLIPSE – 2 tahun
-Ahmad Hanif bin Arifin
-38 tahun
-Nama kod: Steel
-Tentera Darat Malaysia – 3 tahun
-GGK – 10 tahun
-ECLIPSE – 8 tahun
Ivan memandang tepat ke arah Izzudin.
“Untuk makluman ustaz, dua orang pengawal pengiring khas yang menjaga keselamatan tuan ini adalah bekas komando GGK. Mereka kini diserap masuk ke dalam organisasi keselamatan khas bernama ECLIPSE. Kami bukan polis biasa. Kami bukan askar biasa.
ECLIPSE ditubuhkan hasil gabungan dana syarikat-syarikat korporat, individu berpengaruh, dan disokong oleh Majlis Keselamatan Negara. Kami bergerak selari dengan PDRM dan ATM, tapi di luar struktur rasmi kerajaan, untuk melindungi kepentingan negara daripada ancaman yang tidak boleh ditangani secara konvensional.”
Hanif menunduk sedikit, nada suaranya lebih lembut. “Ustaz… sejak malam tadi, ustaz bukan lagi hanya seorang ustaz. Sama ada ustaz suka atau tidak, nama ustaz sudah terikat dengan R&R Group, dan itu bermakna ustaz sasaran nombor satu Tengku Rizz. Tugas kami adalah memastikan ustaz hidup.”
Izzudin menelan liur. Keningnya berkerut, tangan kanan naik memicit pelipis. Tekanan darah mula terasa naik ke kepala.
Share this novel