Bab 48

Romance Series 7113

Pavilion Residence, Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Angin malam yang dingin menyapu lembut wajah Zulaikha, membuat helaian rambutnya terbuai sedikit. Dari balkoni tingkat 32, matanya jatuh ke bawah ke arah deretan lampu neon yang berkelip, gedung-gedung mewah yang tidak pernah tidur, dan deruman enjin kenderaan yang bertali arus di jalanan Bukit Bintang.

Namun bagi Zulaikha, malam itu terasa kosong.

Telefon bimbit di tangannya sudah lama tidak berbunyi. Jari-jemarinya kerap membuka semula satu mesej terakhir daripada Zayan, yang sudah berulang kali dibacanya sejak tiga hari lalu.

"Tunggu saya balik. Jaga diri."

Dia menutup skrin perlahan, menghela nafas panjang. Entah berapa kali dia membaca kata-kata itu, namun setiap kali hanya rasa sepi yang makin menjerut dadanya.

Zulaikha menyandarkan tubuh pada dinding kaca balkoni. Pandangannya kosong ke arah langit malam Kuala Lumpur yang bertabur cahaya. Fikirannya hanya berpusat pada Zayan. Lelaki itu seolah-olah hilang ditelan bumi. Tiada panggilan. Tiada balasan mesej.

Tugas Zayan sebagai Close Protective Officer juga sudah diganti tanpa sebarang penjelasan. Kini, seorang agen wanita bernama Dee dari Team Knight mengambil alih tugas mengawalnya.

Zulaikha tahu, jauh di sudut hati, Zayan pasti sudah dihantar dalam misi rahsia. Dia faham, kerana begitulah cara ECLIPSE beroperasi. Namun pengetahuan itu tidak pernah mengurangkan rasa rindu dan resah yang kian menyesakkan dada.

Dia menekup wajah dengan kedua tapak tangan.
"Zayan… di mana awak sebenarnya?" bisiknya perlahan, tenggelam dalam hiruk pikuk kota di bawah sana.

Suara tenang namun tegas memecahkan kesunyian.
“Cik Zulaikha, awak masih belum tidur?”

Zulaikha berpaling sedikit. Dee berdiri di belakangnya, tegak dan berjaga-jaga.

“Belum.” Zulaikha cuba mengukir senyuman hambar. “Awak ada berita tentang Zayan?”

Dee berdiam lama. Wajahnya tetap tenang, namun jelas ada sesuatu yang disembunyikan. Akhirnya dia hanya menggeleng perlahan.
“Maaf, Cik. Saya tak ada maklumat daripada Team Ghost.”

Jawapan itu membuatkan Zulaikha memejam mata erat. Dadanya terasa perit. Walau bagaimanapun, jauh di lubuk hati, dia tahu sesuatu yang besar sedang berlaku. Dia hanya mampu berdoa… agar Zayan kembali dengan selamat, tanpa terikat dengan misi yang mungkin meragut nyawanya.

Zulaikha menggenggam telefon semula, memandang mesej lama di skrin. Dia berbisik perlahan, suaranya hampir tidak kedengaran.
“Awak janji kita akan berkahwin bila semua ini selesai… jangan mungkiri janji tu, Zayan.”

--------

Kuala Lumpur. 11 malam.

Zayan duduk di birai katil. Lampu bilik samar, hanya cahaya dari lampu meja kecil memantulkan bayang pada dinding. Tangannya cekap menyarungkan tactical glove tanpa jari. Jaket taktikal disarung kemas ke badan, seolah-olah ritual yang sudah lama ditinggalkan tetapi kini diulang semula.

Malam ini, sasarannya jelas. Dark Knight.

Zayan berdiri, memandang wajahnya di cermin. Nafasnya berat. Namun tiba-tiba, refleksi itu berubah. Wajahnya sama, tapi renungan mata lebih tajam, bibir mengukir senyuman yang asing. Senyuman dingin.

"Kau dah kembali, Wolf?"
Suara itu berdesir, tajam, namun hanya kedengaran dalam kepalanya.
"Macam mana rasa semalam? Darah itu… hangat, bukan? Sedap, bukan?"

Zayan memejam mata rapat, cuba menghilangkan suara itu dari kepalanya. “Diam… aku hanya buat kerja aku.”

Refleksi dalam cermin mengukir senyuman sinis. Bibir bergerak sendiri, tidak serentak dengan Zayan.
"Kau silap, Zayan. Kau bunuh sebab kau suka. Lapan tahun kau cuba bunuh aku , tapi akhirnya kau cari aku semula. Tanpa aku, kau lemah."

Zayan menghentak dinding kaca dengan buku lima. Nafasnya turun naik. Kening berkerut halus.
“Aku tak perlukan kau! Aku tahu buat kerja aku sendiri!”

Suara itu ketawa perlahan. Gelap. Menggema seperti dari ruang kosong. "Kerja? Itu alasan kau. Hakikatnya, setiap kali kau tarik picu, setiap kali darah menyembur, itu aku. Bukan kau."

Zayan berdiri, kepala menunduk memandang lantai, kedua tangan ditongkat ke dinding. Peluh dingin mengalir di dahi. Nafasnya berombak kasar.

"Kenapa kau tak makan ubat, Zayan? Seperti dulu… kau tahu kenapa. Sebab kau mahu aku kembali."

Refleksi itu kini bergerak sendiri, kepala terangkat, senyum melebar.
"Kau bukan Wolf. Kau bukan Zayan. Kau aku. Biarkan aku keluar malam ini. Biarkan aku bunuh Dark Knight. Aku janji… kau akan rasa hidup semula."

Zayan menekup telinga, tubuhnya terketar.

“Diam!!” jeritnya, suara parau memecah bilik yang sunyi.

“Aku takkan biarkan kau keluar, bangsat…” Zayan mengetap rahang
Dada turun naik menahan amarah. Dia tahu dia mesti bertahan. Sekurang-kurangnya sehingga misi ini selesai.

Dua minggu.

Hanya dua minggu lagi sebelum operasi menumpaskan Tengku Rizz di Langkawi. Selepas itu, dia akan kembali pada rejimen ubatnya. Selepas itu, dia tidak perlukan Black Shadow lagi. Itu tekadnya.

Namun, jauh di sudut hati, Zayan sedar dirinya sedang berdiri di tepi jurang. Tekanan yang kian menjerut, emosi yang berbolak-balik semuanya umpama api yang menyuburkan sisi gelap yang selama ini dia cuba kuburkan.

Itulah juga yang paling dibimbangkan Hadif, Ivan, Rafiq, dan Khal semasa insiden dia menyelinap masuk ke bilik Zulaikha malam itu. Mereka tahu, setiap kali Zayan tertekan atau emosinya terganggu, ada risiko besar pintu yang mengurung personaliti keduanya akan terbuka semula.

Black Shadow.

Satu sisi dirinya yang dominan, licik, dan penuh manipulasi. Bertentangan dengan Zayan yang pendiam, sering memendam rasa, dan lebih rela mengalah. Sebuah personaliti gelap yang selama ini cuba dihapuskan kewujudannya…

------

Kuala Lumpur. Gudang usang di pinggir Sungai Klang. 12.45 pagi.

Lampu natrium berkelip samar di luar gudang, melemparkan bayangan panjang pada dinding berlumut. Bau minyak hitam bercampur asap rokok memenuhi udara. Di dalam, Farhan duduk di kerusi lipat, wang tunai bertimbun di atas meja besi. Beberapa anak buahnya berdiri berjaga, senjata automatik di tangan.

Di atas bumbung yang sejuk dan berdebu, Zayan meniarap rapat, tubuhnya hampir menyatu dengan permukaan konkrit. FN SCAR-H dengan suppressor dipasang rapi di bahunya, teropong optik sudah mengunci tepat ke wajah Farhan.

Dia menarik nafas dalam-dalam, kemudian melepaskannya perlahan. Nafas dikawal, denyut nadi diselaraskan. Jari telunjuknya mencecah picu, tetapi tidak menekan.

“Sekarang masanya,” bisik hati kecilnya, dingin dan tenang.

Namun, secebis suara lain berdesir lebih gelap, lebih tajam, seakan-akan hidup di dalam fikirannya.
“Lepaskan aku. Kau tahu aku lebih pantas. Darah dia milik kita.”

Dahi Zayan berkerut. Dia mengetap rahang, cuba menolak desakan itu. Matanya kembali ke sasaran, tetapi picunya masih tidak ditekan.

Setiap detik yang berlalu terasa panjang, antara menjadi pemburu atau ditelan oleh sisi gelap dirinya sendiri.

Zayan menghela nafas dalam.
“Ini misi aku.”

Titik merah dari laser sight menari di dada Farhan, namun tangannya mula bergetar. Nafasnya tak stabil. Peluh dingin menitis.

"Kita kena bunuh mereka semua. Biar aku. Lapan tahun kau cuba kunci aku. Tapi saat ini, kau perlukan aku."

Pandangan Zayan kabur sesaat, dunia seperti berputar. Nafasnya berat.

Bila fokus kembali, jarinya sudah melekap pada picu FN SCAR-H yang digenggamnya. Suppressor besar di muncung senjata itu meredam gegaran bunyi tembakan.

Dumph!

Letusan kedengaran berat, pekak namun tertahan, seakan kayu besar dijatuhkan ke tanah. Bukannya Farhan yang tumbang, tetapi salah seorang pengawal di pintu masuk. Peluru 7.62mm menembusi tengkoraknya, darah serta serpihan otak memercik ke dinding.

Zayan terkedu. Dadanya berombak laju. Jari di picu bergetar. Dia tahu itu bukan kehendaknya.

Pandangan Zayan berombak, seperti dunia sedang berpusing. Suara Black Shadow bergema dalam kepalanya. Suara yang selama ini cuba dia padamkan. Nafasnya kian berat, dada terasa sesak.

Jarinya secara tidak sedar menekan picu.

Dalam pantulan kaca optik, bayangan Black Shadow tersenyum sinis. "Giliran aku sekarang."

Mata Zayan berubah. Renungannya kosong, dingin. Gerakannya jadi lebih lancar, terlatih, kejam. Dia bukan lagi Zayan.

Black Shadow telah mengambil alih.

Dia melompat turun dari bumbung, mendarat senyap di belakang pengawal. Pisau taktikal meluncur pantas. Satu hirisan bersih ke leher, darah memancut, tubuh tumbang tanpa jeritan.

Gudang tiba-tiba menjadi gelap. Lampu dipadamkan. Dalam kegelapan, hanya bunyi jeritan tertahan, tembakan rawak, dan darah yang memercik ke lantai simen.

Gelap. Hanya lampu kecemasan merah berkelip samar. Farhan berdiri tegak, pistol Glock 19 terhunus, nafas berat. Dia tahu semua anak buahnya sudah tumbang.

Sunyi.

Bunyi tapak but taktikal dari arah belakang. Refleks, Farhan menoleh, namun sedikit lambat.

Bayangan hitam sudah menerpa. Pisau taktikal menepis Glock, meluncur jatuh berdenting ke lantai simen.

Farhan bertindak balas sepantas kilat. Siku dihentak ke belakang, mengenai rusuk Black Shadow. Dua-duanya terpisah beberapa langkah.

Mata mereka bertembung. Black Shadow tersenyum sinis di sebalik balaclava hitam.

Pertarungan bermula.

Farhan melepaskan tumbukan lurus. Black Shadow menepis, lalu membalas dengan tendangan sisi ke paha. Farhan berganjak, cuba kunci pergelangan tangan lawan. Sekali dua dia berjaya hampir menundukkan Black Shadow, tetapi pergerakan lelaki itu aneh, liar, tidak ikut manual pertarungan biasa.

Brutal. Tidak terkawal.

Pisau taktikal berkilat dalam genggaman Black Shadow. Setiap hunusan ke arah tubuh Farhan cepat, agresif, bagaikan mahu mencincang. Farhan bertahan dengan teknik defensif, berjaya mengelak beberapa kali, malah sempat menyiku dagu Black Shadow hingga topeng balaclava sedikit terbuka.

Namun, Black Shadow ketawa. Ketawa perlahan yang membuat darah Farhan terasa dingin.

Mengapa lelaki itu ketawa?

“Ini saja yang kau ada Dark Knight?"

Kening Farhan berkerut. Dia menelan liur. Adakah dia sedang bertarung dengan orang gila?

Dengan gerakan kilat, Black Shadow menghentak lutut tepat ke abdomen Farhan, memaksa dia terhoyong ke belakang sambil menahan perutnya. Farhan masih cuba bertahan, tubuhnya separuh membongkok, tangan kirinya teraba lantai untuk mencari pistol yang terjatuh.

Namun sebelum sempat digapai, pisau taktikal Zayan sudah meluncur rendah menikam pergelangan tangan Farhan dengan sudut serong, cukup untuk membuat sarafnya terkejut dan melemah.

"Arghhh…!"

Refleks Farhan melepaskan genggaman. Pistol terlepas semula, bergolek menjauh.

Black Shadow tidak membuang masa. Satu tendangan snap kick tepat ke bahagian ulu hati memaksa Farhan terdorong ke belakang, tubuhnya jatuh melutut ke lantai. Nafasnya tercungap-cungap, tangannya terketar cuba menahan sakit, tetapi tekanan pisau taktikal di tengkuknya membuat dia kaku.

“Dark Knight… masa kau dah tiba.”

Senjata Glock yang sempat dirampas kini diacukan.

Dor! Dor!
Dua das menembusi dada Farhan.

Tubuhnya terhuyung, mata membesar tidak percaya.

Dor!
Peluru terakhir meletup di tengkoraknya. Darah memercik di lantai simen.

Black Shadow berdiri tegak, tenang. Pisau taktikalnya menggores tanda ‘X’ pada lantai simen.

Macam mana kita boleh sampai sini gais? Novel ni sepatutnya Novel Romance!? Tajuk pun dah rasa macam tak kena.?

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience