Bab 15

Romance Series 7113

Bukit Tunku. Kuala Lumpur. Banglo Tan Sri Rizal

8:12 pagi

Sudah seminggu berlalu sejak pengebumian Tan Sri Rizal. Namun suasana di rumah besar itu tetap suram.

Zulaikha duduk membatu di sofa ruang tamu, memandang keluar jendela kaca besar yang menghala ke taman di halaman depan rumah. Daun-daun kering berterbangan dibawa angin, namun wajahnya kekal kosong tanpa ekspresi, tanpa cahaya. Rambutnya kusut tidak bersikat, matanya merah dan bengkak.

Sebuah kereta lalu di jalan raya berhadapan banglo Tan Sri Rizal sambil membunyikan hon.

Zulaikha tersentak kecil. Nafasnya tiba-tiba pendek.

Jantungnya berdegup laju, dan tangan mula menggigil tanpa kawalan. Matanya liar memerhati sekeliling seolah-olah ada yang sedang menghendap dari celah dinding.

“Ika…” Suara lembut Mak Nah memecah senyap. Wanita separuh usia itu berdiri di hujung sofa, memegang dulang berisi bubur dan teh suam.

Zulaikha menoleh, sekilas, lalu kembali diam. Tiada kata. Tiada senyum. Hanya kelopak mata yang sudah bengkak kerana tangis malam demi malam.

Mak Nah menekur. Hatinya luluh melihat anak majikannya itu yang dulunya ceria dan tegas, kini umpama jasad tanpa jiwa.

Sejak tragedi tembakan itu, Zulaikha bukan lagi Zulaikha yang dia kenali.

Zulaikha menunjukkan simptom yang kian membimbangkan, dia sering terganggu dengan imbas kembali insiden tembakan itu, gangguan tidur, paranoia, dan rasa terasing yang mendalam.

Kadangkala dia terduduk di tangga, memeluk lutut sambil menutup telinga sendiri, seolah-olah ingin menghentikan suara yang hanya dia yang dengar.

Kadangkala Zulaikha menangis tanpa sebab atau menjerit di bilik air, menampar dinding bilik air sekuat hati hingga kulitnya melecet.

Dia menolak makanan. Menolak semua lawatan. Jururawat yang dihantar oleh pihak hospital pun dipandang dengan penuh curiga.

Dia takut. Sukar untuk dia percayakan sesiapa lagi. Dia yakin, dia sendirian tenggelam dalam dunia baru yang kelam.

--------

Klinik Psikologi Kencana, Mont Kiara.

Selasa, 11:30 pagi

Zulaikha duduk di atas sofa kelabu lembut, memeluk bantal kecil seakan mencari kekuatan. Mata masih merah. Rambut diikat longgar, dan pakaian serba ringkas tanpa solekan, tanpa warna.

Dr. Syamil, seorang pakar psikologi klinikal berpengalaman, memandangnya dengan penuh empati dari seberang meja rendah. Di tangannya ada fail kes, dan rekod perubatan lengkap.

"Zulaikha," suara Dr. Syamil tenang, tidak mendesak. "Apa perkara yang paling mengganggu kamu sekarang?"

Zulaikha diam.

Tangannya menggenggam erat kain bantal. Nafasnya berat.

Akhirnya, perlahan dia bersuara. “Dalam kepala saya…saya dengar bunyi bising. Tapi sekeliling saya sunyi. Saya tak tahu mimpi ke realiti. Ada suara… ada bunyi tembakan… d-darah… papa”

Bibirnya bergetar. Matanya kabur dek air mata yang ditahan.

Dr. Syamil mengangguk perlahan, mencatat sesuatu. Suaranya tetap tenang.

“Simptom yang kamu alami sangat konsisten dengan gangguan stres pasca trauma. Kita akan perlahan-lahan bantu tubuh dan fikiran kamu faham bahawa kamu kini selamat… dan kamu tidak bersalah.”

Zulaikha menggeleng perlahan.

“Saya rasa tak selamat. M-mereka ada di rumah, masa saya tengah tidur, mereka tentu akan datang lagi..." Air mata dibiar membasahi pipi. Zulaikha menutup wajah dengan kedua-dua tangan. Bahunya terhenjut.

“Kenapa dia tak tembak saya?” soalnya dalam esakan. “Kenapa saya masih hidup… sedangkan Papa saya...” suara Zulaikha pecah. “Papa saya mati di depan mata saya… dan saya tak dapat buat apa-apa…”

Doktor Syamil menunduk sedikit, wajahnya penuh simpati. Dia tidak menyela. Dia tahu, rasa bersalah bukan sesuatu yang mudah dinyahkan dengan nasihat atau kata-kata semangat.

“Kadang-kadang saya harap…” Zulaikha bersuara lagi, lebih perlahan, lebih hancur. “…saya yang mati, bukan Papa. Papa tak patut mati macam tu. Kalau saya buat sesuatu… mungkin...”

“Zulaikha,” doktor Syamil akhirnya menyampuk dengan lembut. “Rasa bersalah itu wujud kerana kamu sayangkan papa kamu. Tapi itu tidak bermakna kamu bersalah dan kamu patut mati. Kamu kena percaya pada takdir. Kadang-kadang sesuatu di luar kawalan kita Zulaikha."

Dr. Syamil duduk sebentar, memberi ruang untuk untuk Zulaikha bertenang.

“Perasaan bersalah ni… kita panggil survivor’s guilt. Ia bukan bermaksud kamu bersalah. Tapi ia adalah reaksi otak yang cuba cari logik atas sesuatu yang tak masuk akal contohnya kehilangan seperti yang kamu lalui sekarang.”

Zulaikha terdiam. Tangisnya reda sedikit, tapi matanya masih berkaca.

“Takdir saya sekarang? Takdir saya sekarang… mungkin membalas semuanya. Apa yang mereka dah buat pada papa saya..."

Doktor Syamil menatap Zulaikha lama. Kata-katanya tidak diucap, tapi raut wajahnya jelas berbicara dia tahu, pesakit di depannya ini sedang berjalan di batas halus antara pemulihan… dan kehancuran.

------

Bukit Tunku. Malam.

Petir berdentum jauh di ufuk langit, mengejutkan tidur penghuni banglo mewah itu. Jam digital di sisi katil memaparkan angka, 2:41 pagi.

“Arghhh...”
Zulaikha terjaga dengan jeritan. Nafasnya tercungap-cungap. Baju tidurnya lencun dibasahi peluh. Rambutnya melekat di dahi, berantakan dan kusut.

Dia terduduk di bucu katil, memeluk lutut sambil menggigil. Matanya liar meninjau sekeliling bilik masih dalam mod waspada, seolah-olah bayangan mimpi masih memburu dalam realiti.

Perlahan, dia mula teresak. Suara tangisnya tertahan, bagai cuba tidak membangunkan sesiapa. Dia capai telefon di meja sisi, tangannya menggeletar.

Jari-jemarinya menaip satu nama.

Zayan.

Namun beberapa saat kemudian, nama itu dipadam semula.

Air mata jatuh menitis, membasahi skrin telefon.

Pintu bilik diketuk perlahan sebelum dibuka sedikit. Puan Sri Helena menjengah masuk, wajahnya penuh kerisauan. Lampu malam di penjuru bilik menyinari wajah cemas wanita itu.

“Ika mimpi buruk lagi, ya?”

Zulaikha tidak menjawab. Hanya menghulurkan tangan ke arah mamanya. Tanpa lengah, Puan Sri Helena terus datang memeluknya. Dada wanita itu menjadi tempat Zulaikha bersandar, mencari perlindungan seperti seorang anak kecil.

“Ika penat, Ma...” Suara Zulaikha serak, hampir tidak terdengar. “Ika takut nak tidur… takut nak bangun…”

Puan Sri Helena hanya mengusap rambut anaknya perlahan-lahan, bibirnya terkunci dengan seribu rasa. “Tak apa, sayang... Mama ada. Pelan-pelan, ya. Papa pasti nak tengok Ika kuat semula…”

Dalam dakapan mamanya, Zulaikha akhirnya tertidur kembali.

Namun seperti malam-malam sebelumnya…
Tidurnya tetap gelisah. Dan memori hitam tetap memburunya dalam mimpi.

------

Bukit Tunku, Kuala Lumpur.

10:17 pagi

Audi RS7 hitam berhenti perlahan di hadapan pagar automatik banglo mewah yang dikelilingi landskap bunga-bunga yang disusun indah. Zayan keluar dari kereta, berpakaian kemeja hitam polos dan seluar slack kelabu gelap. Rambutnya kemas, wajahnya serius.

Pagar terbuka setelah pengawal keselamatan mendapat arahan dari dalam rumah.

Langkah Zayan di atur perlahan. Ada debar dalam dada yang sukar dijelaskan. Dia sudah fikir panjang sebelum datang. Bukan untuk memaksa. Cuma… dia perlu tahu. Perlu lihat dengan mata sendiri.

Puan Sri Helena menunggu di anjung, wajahnya tenang seperti biasa namun sorot mata wanita itu jelas letih dan berat.

“Assalamualaikum, Puan Sri.”

“Waalaikumussalam, Zayan.” Suaranya lembut namun formal. “Silakan masuk.”

Zayan mengekori langkah wanita anggun itu ke dalam rumah.

“Terima kasih benarkan saya datang. Saya... saya cuma nak tahu keadaan dia,” ujar Zayan sebaik duduk di ruang tamu.

Puan Sri Helena menarik nafas perlahan. Dia duduk bertentangan dengan pemuda itu, memandang tepat ke wajah Zayan.

“Ika masih belum bersedia untuk jumpa sesiapa di selain keluarga terdekat. Dia… dia sedang jalani terapi. Doktor sahkan dia alami post-traumatic stress disorder."

"PTSD?" Dahi Zayan berkerut.

Puan Sri Helena mengangguk perlahan, cuba mengukir senyuman. Namun hambar. "Nightmare. Dia takut keluar bilik. Bunyi bising pun boleh buat dia cemas. Dan yang paling teruk…”

Puan Sri Helena menunduk seketika. Ada getar dalam suaranya.

“…dia rasa bersalah kerana masih hidup.”

Zayan tunduk. Rahangnya mengetap. Hatinya terasa seperti dirobek. Dia tahu, Zulaikha melalui sesuatu yang dahsyat. Tapi mendengarnya dari mulut seorang ibu… terasa seperti ditikam dari dalam.

“Saya takkan paksa dia. Saya cuma… kalau dia perlukan saya, saya ada. Tapi kalau kehadiran saya cuma buat dia tak selesa, saya akan pergi. Saya cuma nak dia tahu… saya sayangkan dia.”

Puan Sri Helena mengangguk perlahan, matanya berkaca.

“Zayan, saya tahu kamu ikhlas. Tapi sekarang, Ika perlu masa. Dan ruang. Kalau kamu benar-benar sayangkan dia… saya hanya mampu minta kamu sabar.”

Zayan bangun perlahan. “Saya faham. Terima kasih, Puan Sri.”

Langkah Zayan terhenti seketika di pintu. Dia sempat memandang ke atas ke arah bilik Zulaikha.

Namun dari balik pintu, Zulaikha berdiri kaku. Mencuri dengar setiap perbualan. Namun dia tidak kuat untuk berhadapan dengan Zayan lagi. Dia bukan lagi Zulaikha yang dulu.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience