Pavilion Residence, Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
6:45 petang.
Zulaikha memandang keluar dari tingkap kereta bercermin gelap itu, menelusuri panorama kota metropolitan yang semakin sesak menjelang malam. Deretan bangunan pencakar langit Kuala Lumpur memantulkan cahaya mentari senja. Namun, suasana dalam kenderaan sunyi, hanya ditemani deru enjin dan hembusan halus pendingin hawa.
Zayan di tempat pemandu kelihatan fokus, tangan kirinya memegang stereng, manakala mata sesekali melirik ke cermin pandang belakang.
“Ada orang ikut kita ke?” soal Zulaikha, memecah sunyi.
Zayan tidak segera menjawab. Bibirnya mengerut sedikit sebelum dia memusingkan stereng ke arah pintu masuk Pavilion Residence.
“Standard prosedur,” balasnya pendek.
Lif membawa mereka naik ke tingkat 32. Sepanjang perjalanan, tiada sepatah kata pun terucap. Zulaikha berdiri sedikit berjauhan, cuba mengekalkan ruang peribadi antara mereka.
Zayan mengimbas kad akses di hadapan pintu unit 115A. Bunyi klik kedengaran, dan pintu terbuka secara automatik.
Ruang dalamannya luas dan moden. Lantai marmar, lampu gantung kristal, dinding kaca menghadap lanskap kota, semuanya tampak eksklusif. Sebuah kondominium dua bilik bersaiz 800 kaki persegi itu lengkap dengan dapur terbuka, ruang tamu minimalis, serta sistem kawalan keselamatan pintar.
“Mulai malam ini, kita tinggal di sini,” kata Zayan, meletakkan beg sandang Zulaikha di tepi sofa.
Zulaikha menjelingnya. “Kita?” gumamnya perlahan, hampir berbisik, tapi cukup untuk Zayan dengar.
Zayan tidak menjawab provokasi itu. Sebaliknya dia membuka pintu bilik utama. “Ini bilik awak.”
Zulaikha melangkah masuk dengan langkah perlahan. Sebuah katil bersaiz queen menghuni ruang tengah, dihias kemas dengan cadar putih dan bantal empuk. Dinding kaca di sisi memberikan pemandangan terus ke langit senja yang mulai kelam.
Zayan berdiri di ambang pintu. “Dalam bilik ni tak ada CCTV. Jadi awak boleh rasa lebih selesa.”
Zulaikha mengangguk perlahan. “Saya rasa macam banduan.”
Zayan mengangkat kening. “Bukan banduan. Tapi awak masih dalam tempoh pemantauan ECLIPSE. Itu saja.”
Zulaikha menghela nafas, matanya masih memerhati ke luar jendela. “Bilik awak?”
Zayan menunjuk ke sebelah kiri. “Sebelah bilik awak. Tapi pintu kita berkunci masing-masing. Jangan risau, saya akan hormati privacy awak.”
Zulaikha tidak membalas. Dia sekadar mengangguk dan menjatuhkan dirinya perlahan ke atas tilam. Bilik itu memang selesa. Tilam tebal dan lembut.
Sementara itu, Zayan berjalan ke dapur terbuka dan membuka peti sejuk, menyusun beberapa barangan asas seperti susu, air mineral, roti, dan buah-buahan. Di kaunter dapur, kelihatan beberapa paket mee segera dan sebungkus ayam sejuk beku.
Zulaikha tiba-tiba muncul di ambang dapur, memeluk tubuh.
“Banyak barang awak beli.”
"Sikit je, malas nak keluar semula nanti."
"Awak lapar tak?”
Zayan berpaling. Memandang Zulaikha. "Lapar jugak."
"Saya pun dah lapar ni. Kejap saya masak..." ujar Zulaikha, yakin.
“Awak dah pandai masak ke?"
Zulaikha menjungkit kening. Cuba mengorek semula profile Zulaikha di dalam otaknya.
Oh! Zulaikha Isabelle tidak pandai memasak. Dia menggigit bibir, memandang Zayan. Pandangan mereka bertemu seketika sebelum Zayan tersenyum tipis.
Zayan membuka laci dan mengeluarkan dua mug. “Awk nak teh ke, kopi?”
Zulaikha berpaling. “Kopi o. Tapi jangan letak gula.”
“Baik,” balas Zayan dengan nada bersahaja.
Zulaikha senyum kecil tanpa sedar. Dia hanya memerhatikan Zayan yang sedang membancuh kopi. Selepas ini segala pergerakannya pasti terbatas. Mahu memasak pun kena fikir dulu. Perwatakannya perlu selaras dengan profile Zulaikha.
"Hai, nasib awaklah Zayan. Saya baru ingat nak masak sedap-sedap untuk awak," gumam Zulaikha sendiri.
-------
Bau bawang goreng dan sup panas memenuhi ruang dapur kecil yang bersebelahan dengan ruang tamu. Zulaikha duduk di kerusi tinggi berhampiran kaunter dapur, memerhati Zayan yang sedang memasak mi segera dengan gaya yang cukup serius, seolah-olah dia sedang menyediakan sajian lima bintang.
Zayan membuka penutup periuk, mengacau mi yang sedang menggelegak. Sebungkus sayur campur beku telah dicampakkan sekali ke dalam periuk. Dia kemudian menabur serbuk perasa dan sedikit serbuk cili, sebelum menutup semula penutupnya.
“Awak tak pernah masak benda lain selain ni ke?” tanya Zulaikha, sambil menyandarkan dagu ke tangan.
Zayan menoleh sekilas, keningnya terangkat sedikit. “Mee segera ni underrated. Kalau pandai masak, lebih sedap dari makanan barat yang awak suka makan dulu.”
Zulaikha ketawa kecil. “Tinggi betul confident awak.”
Zayan tidak menjawab. Dia sekadar mengangkat bahu sambil menuang mi panas ke dalam dua mangkuk besar. Diletaknya satu di hadapan Zulaikha, dan satu lagi untuk dirinya. Garfu dan sudu disusun rapi. Dia juga sempat menambah telur rebus separuh masak dan taburan daun bawang.
“Makanlah,” katanya, duduk bertentangan dengan Zulaikha di kaunter dapur.
Zulaikha tersenyum nipis. “Terima kasih.”
Mereka mula makan dalam suasana yang sunyi, namun tidak canggung seperti sebelumnya. Hanya bunyi sudu berlaga mangkuk dan hirupan mi memenuhi ruang. Zulaikha mengangkat wajahnya selepas beberapa suapan.
“Sedaplah. Saya tak sangka awak pandai masak.”
Zayan meneguk air kosong perlahan. “Saya hidup sendiri. Kenalah pandai masak.”
Zulaikha mengangguk perlahan, senyum kecil terukir di bibir.
“Oh... hidup sendiri, ya?” Dia menoleh sedikit, berpura-pura tidak berminat, walhal hatinya sudah mula membuat andaian. “Maksudnya... bujanglah tu?”
Zayan menoleh sekilas, keningnya terangkat sedikit.
“Maksud awak?”
Zulaikha tersengih sambil menguis mi dalam mangkuknya. “Taklah. Saya cuma tanya. Mana tahu… duduk sendiri tapi dah kahwin. Dunia sekarang kan macam-macam.”
Zayan tidak terus menjawab. Dia meletakkan mangkuk ke tepi, menyandar ke kerusi sambil memandang Zulaikha lama. Pandangannya tenang, namun tajam, seakan menembusi lapisan gurauan yang cuba diselindungkan gadis itu.
“Saya belum kahwin,” jawabnya akhirnya, pendek dan terus terang. “Tapi awak dah jadi tunang orang.”
Zulaikha terdiam sejenak. Wajahnya berubah sedikit, namun dia segera menutup reaksi itu dengan senyuman.
“Betul.”
Zayan mengangguk kecil. Suasana menjadi senyap beberapa saat, hanya kedengaran bunyi pendingin hawa berdengung perlahan.
Kemudian, Zayan bersuara, suaranya lebih lembut dari tadi. “Saya tak marah, Zulaikha. Saya akan hormati pilihan awak. Saya hanyalah masa lalu awak."
Zulaikha menatap wajah Zayan. Air liur ditelan perlahan. “Saya minta maaf sebab tak dapat ingat awak.”
Zayan senyum, cuba mencairkan suasana. “Saya tak kisah. Asalkan awak dah sembuh.”
Zulaikha membalas senyum itu. Namun dalam diam, hatinya berdetak perlahan. Sampai bila dia perlu menipu Zayan. Sampai bila dia perlu menyembunyikan perasaannya. Tujuh tahun dia menjadi orang lain.
Jauh di dasar hatinya, dia mula takut. Adakah Zayan hanya menyintai Zulaikha Isabelle? Bolehkah Zayan menerima Isabel Matthews. Dua watak dari dua dunia yang berbeza.
Share this novel