Bab 45

Romance Series 7113

Apartment Kos Sederhana, Pudu. 9:50 malam

Dua SUV hitam tanpa tanda rasmi berhenti di bawah blok. Tiga figura keluar pantas dari kenderaan itu, Hadif, Ivan, dan Alisa.

Mereka tidak membuang masa, terus menuju ke lif servis untuk mengelak pandangan penduduk. Alisa mengeluarkan peranti pembuka kunci elektronik dan mengimbas panel pintu.

Klik. Pintu terbuka.

Bau logam pekat bercampur bau darah segar menyambut sebaik mereka melangkah masuk.

Ivan bergerak di hadapan, Glock 19 Gen 5 di tangan. Hadif mengekori rapat, matanya menyapu setiap inci ruang, mencari tanda ancaman. Langkah mereka terhenti di ruang tamu.

Terlambat.

Sofea terbaring di lantai marmar, tubuhnya berlumuran darah, mata terbuka kosong menatap siling. Dua lubang tembakan kemas menembusi dadanya.

Alisa segera berlutut, jari pantas memeriksa nadi di leher. Dia menggeleng perlahan.
“Dua das. Jarak dekat. Tepat ke jantung. Ini kerja penembak profesional.”

Hadif menunduk, pandangannya tertumpu pada tangan kanan Sofea. Di celah jemari yang kaku, sesuatu kecil kelihatan terselit. Dia menariknya perlahan sekeping pemacu USB mikro, sebesar kuku ibu jari, tanpa label.

Ivan memandang, kening berkerut.
“Itu bukan yang dia bagi kita tadi.”

“Backup. Dia serahkan USB asal pada kita,” jawab Hadif perlahan, matanya masih pada wajah Sofea. “She knows she is being hunted.”

Alisa memeriksa meja kopi. Di atasnya, sampul putih terbuka… kosong.
“Dia tinggalkan umpan. Penembak datang untuk bunuh, bukan curi data. Operasi ni terlalu bersih.”

Wajah Hadif mengeras.
“Ini kerja Dark Knight.”

Ivan berpaling, terkejut.
“Kau pasti, bos?”

“Cap jari takkan ada. CCTV mesti sudah dipadam. Modus operandinya sama dua das, jarak dekat, sasaran tepat ke dada. Sama macam kes Tan Sri Rizal… tiga tahun lepas.”

Alisa memandang mereka.
“Kalau Farhan di sini, bermakna Tengku Rizz dah tahu kita ada fail itu.”

Hadif menggenggam USB mikro erat-erat.
“Kita tak ada masa. Kunci lokasi ini, hapus semua jejak, dan pindahkan mayat Sofea.”

Di luar, hujan terus mencurah, membasuh kota… seolah meratap satu lagi nyawa yang gugur demi kebenaran.

-------

Bilik Mayat Hospital. 12:45 malam

Udara dingin menyengat. Bau formalin bercampur bau keluli menusuk hidung. Silau lampu pendarfluor menyuluh tubuh-tubuh kaku penghuni bilik yang sudah tiada.

Zulaikha berdiri kaku di hadapan laci keluli terbuka. Tubuh Sofea terbaring berselimut kain putih hingga ke bahu, wajah pucat, bibir kebiruan.

Jari Zulaikha menggeletar saat menyentuh pipi sahabatnya.
“Kau janji… kita akan habiskan semua ni sama-sama,” suaranya bergetar, tersekat di celah sebak. “Kenapa kau tinggalkan aku, Fea…”

Air mata jatuh, membasahi kain putih. Tangisnya sarat dengan kehilangan dan rasa bersalah yang menghimpit dada. Dia tahu Sofea mati kerana cuba melindunginya.

Dari belakang, Zayan memerhati tanpa kata. Matanya tajam, rahangnya mengetap. Amarahnya membuak, namun terkawal.

Sampai bila Zulaikha perlu melalui semua ini?

Zulaikha berpaling, matanya merah, wajah basah air mata.
“Zayan… mereka dah bunuh dia. Dia cuba lindungi saya…”

Lidah Zayan kelu. Dia mahu berkata sesuatu, tetapi tahu tiada kata yang cukup. Hanya satu perkara yang pasti, dia tidak akan sesekali membiarkan Zulaikha terbaring dalam bilik mayat ini pula.

Dia melangkah menghampiri, nadanya rendah namun sarat tekad.
“Saya janji… selagi saya hidup, saya takkan biar mereka sentuh awak.”

Zulaikha hanya menunduk, dia menangis teresak-esak. Wajah kaku Sofea ditatap lagi. Buat kali terakhir. Pipinya yang sejuk diusap perlahan.

"Berehatlah Sphynx...kau dah buat yang terbaik..."

--------

Koridor Hospital

Zayan dan Zulaikha keluar dari bilik mayat. Di hujung koridor, Hadif dan Alisa sedang berbincang dengan dua anggota polis. Ivan menunggu di dalam SUV di tempat parkir hospital.

Apabila perbualan selesai, Zayan mendekat. Wajahnya serius.
“Alisa, escort Cik Zulaikha ke kereta.”

Alisa memandang Zayan sejenak, kemudian mengangguk. Faham.
“Silakan, Cik Zulaikha.”

Zulaikha mengikut Alisa keluar.

Hadif diam, menyandar pada dinding, tangan bersilang di dada. Dia tahu Zayan mahu bercakap.

“Gantikan orang lain untuk tugas CPO Zulaikha,” kata Zayan.

Hadif mengangkat kening. “Kau?”

“Aku akan bunuh Farhan.”

“Kau nak balas dendam? Kau nak aktifkan Black Shadow semula?” dahi Hadif berkerut.

“Aku tak sanggup tunggu sampai Zulaikha jadi mayat seterusnya.”

“Kita dah cukup bukti. Siasatan dalaman dua lapis dah berjalan, korporat dan majlis tertinggi ECLIPSE,” balas Hadif.

“Pengaruh Tengku Rizz dalam politik terlalu besar. Ahli lembaga pengarah tak semestinya akan pilih Zulaikha. Dia guna taktik kotor.”

“Dengan atau tanpa arahan kau, bos… aku tetap akan buru Farhan. Dia takkan berhenti membunuh sementara kita ikut semua protokol ni." Tegas suara Zayan, namun masih terkawal. Rahangnya mengetap geram.

Hadif terdiam lama. Dia kenal pandangan itu, dingin, fokus, dan berbahaya. Sudah lama dia tak nampak Zayan seperti ini.

Akhirnya, Hadif menghela nafas.
“Okay. Aku izinkan kau bergerak sendiri. Semua tindakan kau tiada kena-mengena dengan ECLIPSE. Tiada protokol. Tiada rekod.”

Hening seketika. Bunyi kipas pendingin udara mengisi ruang.

“...Kau bebas bergerak sebagai Black Shadow."

Zayan mengangguk sekali. Pandangannya kosong, namun matanya sudah memilih jalan yang akan dipijak.

-------

Lombong Terbiar, Selayang. 02:10 pagi.

Yamaha MT-09 yang dipacu Zayan membelah jalan berbukit menuju Gombak. Selepas jam sebelas malam, jalan itu hampir sunyi, hanya sesekali dilalui lori berat. Lampu jalan berselang-seli menyuluh, mencipta bayang bergerak di kiri dan kanan yang dipenuhi pohon tinggi.

Dia membelok masuk ke sebuah laluan kecil yang tersembunyi di sebalik semak tebal. Dari pandangan luar, ia hanyalah jalan mati menuju ke lombong tinggal. Zayan mematikan enjin, lalu menolak motornya perlahan-lahan, membiarkan tayar bergeser di atas tanah basah.

Di hujung laluan, bangunan lama bekas stor bijih nampak masih kukuh. Dinding berlumut, cat mengelupas, pintu besi berkarat. Bau tanah lembap bercampur besi usang menusuk hidung. Namun di balik usang itu, tersimpan rahsia gelap Zayan.

Zayan mengeluarkan kunci khas dari rantai di lehernya. Tangan cekap menyelak pintu usang yang rupanya dilengkapi sistem elektronik tersembunyi. Bunyi klik perlahan terhasil, pintu itu terbuka sedikit.

Di dalam, gudang seluas seribu kaki persegi kelihatan kosong. Lantai simen hanya berdebu, dihiasi sarang labah-labah. Zayan berjalan ke bahagian belakang, menolak sebuah rak kayu reput. Dinding berputar perlahan, menampakkan lorong sempit yang menjunam ke bawah tanah.

Tangga besi berderit halus di bawah tapak butnya. Hanya cahaya lampu suluh kecil membelah kegelapan.

Di ruang bawah tanah, barisan rak besi tua tersusun. Salah satunya ditarik ke tepi, mendedahkan pintu keluli tanpa pemegang. Zayan mengeluarkan kunci kombinasi mekanikal, memutarnya tiga kali dengan ketepatan dingin. Bunyi klek terhasil sebelum pintu berat itu terbuka.

Di balik pintu, senjata dan peralatan tersusun rapi. Bukan sekadar senjata dan peluru, tetapi sejarah hitam yang cuba dia kuburkan.

Zayan berdiri kaku beberapa detik. Nafasnya berat, matanya menatap setiap senjata seperti menatap wajah kawan lama yang pernah membantunya hidup dan membunuh.

Tangannya menyentuh pistol utama, Heckler & Koch USP .45 Tactical. Peredam laras sudah tersedia, dua magazin tambahan di sisinya. Dia mengusapnya perlahan, jari meraba besi hitam matte yang dingin. Senjata itu diletakkan semula dengan cermat.

Dia mencapai pistol kedua, SIG Sauer P365 SAS. Ringkas, padat, kompak. Senjata untuk jarak dekat, bagi detik di mana kelajuan lebih penting daripada kuasa hentaman.

Matanya kemudian tertumpu pada senjata panjang. FN SCAR-H, konfigurasi laras pendek, dilengkapi optik Aimpoint Micro T-2 dan suppressor. Dia mengangkatnya perlahan, menggosok permukaan senjata itu penuh minat, bibirnya terukir senyum nipis seakan menyapa sahabat lama. Kaliber 7.62×51mm NATO, magazin 20 butir peluru, kuasa hentaman jarak jauh. Beratnya padat, tapi bagi Zayan ia bukan beban. Ia adalah alat sempurna untuk kerja kotor yang akan datang.

Pisau tempurnya, Ka-Bar TDI berbilah hitam matte, tersarung kemas di sisi paha kanan. Cepat dikeluarkan, cukup tajam untuk menamatkan nyawa dalam senyap.

Di rak kecil bersebelahan, deretan peralatan taktikal tersusun kemas, sarung tangan kulit tanpa jari, night vision goggles, set pembuka kunci, pelancar grappling mini. Kotak peluru tersusun subsonic rounds untuk operasi senyap, armor piercing untuk sasaran berperisai ringan.

Zayan memeriksa setiap senjata dengan teliti. Minyakkan laras, menukar spring magazin, menguji picu. Bunyi klik bergema di ruang sempit itu, irama lama yang pernah menjadi muzik hidupnya.

Dia mengenakan combat shirt kelabu gelap, tactical pants dengan poket berlapis, dan plate carrier ringan tanpa logo. Setiap helaian pakaian itu menjadikan dirinya kembali kepada sesuatu yang pernah dia buang jauh.

Peti keluli ditutup, lampu bawah tanah dipadam. Zayan naik semula ke atas, meninggalkan gudang itu dalam gelap pekat.

Di luar, hujan renyai masih turun. Bunyi tapak butnya bergema sebentar sebelum tenggelam dalam kegelapan malam.

Black Shadow telah kembali. Memburu nyawa-nyawa yang tersenarai dalam USB. Misi selesai atau dia mati tanpa nama.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience