Lot Kedai, Hulu Langat, Selangor. 6:52 petang
Lorong kedai yang sibuk mulai lengang menjelang Maghrib. Izzudin melangkah keluar dari sebuah kedai runcit, plastik berisi barang dapur di tangan. Dia tidak menyedari dua pengawal pengiring yang ditugaskan ECLIPSE, Zafran dan Hanif sedang memerhati setiap geraknya.
Formasi mereka longgar tetapi berdisiplin. Zafran mengekori di belakang kiri, kira-kira tujuh langkah. Hanif pula di hadapan kanan, sepuluh langkah jarak, seolah-olah pelanggan biasa yang berjalan.
Di hujung lorong, sebuah van putih berhenti perlahan. Pintu gelangsarnya terbuka sedikit. Sebuah MPV gelap bergerak mengikut rentak perlahan, sementara seorang penunggang motosikal mematikan enjin dan menunggu di tepi jalan. Bagi mata biasa, ia normal. Namun bagi mata agen terlatih, tanda-tanda ini terlalu jelas: penyergapan profesional.
Hanif mengaktifkan mikrofon kecil di kolar bajunya.
“Banyak mata… Zafran, kau nampak?”
Zafran menjawab tanpa menoleh.
“Nampak. Laluan Alpha standby. Kalau pecah, kita ekstrak.”
Izzudin menuruni anak tangga kedai. Baru tiga langkah, seorang lelaki berkemeja putih berpura-pura terlanggar bahunya.
“Allah, saya minta maa—”
Kata-kata itu terhenti. Dua lelaki lain tiba-tiba keluar dari van, menutup ruang kiri dan belakang. Tubuh tegap, gerakan pantas. Mereka cuba menolak Izzudin ke arah MPV yang sudah menunggu dengan pintu terbuka.
Riak wajah Izzudin bertukar cemas. Jantungnya berdegup pantas.
Zafran bergerak sepantas kilat dari arah belakang. Pantas dia menyambar lengan Izzudin, menariknya ke belakang tubuhnya sendiri. Siku kirinya menghentam dada lelaki berkemeja putih itu. Lelaki itu terundur.
“Ustaz, belakang saya!” arah Zafran tegas.
Hanif pula berlari ke SUV hitam mereka yang diparkir di hujung lorong. Dia membuka pintu belakang.
“Masuk! Cepat, ustaz!” Izzudin terkedu. Keliru dengan situasi yang sedang berlaku.
Seorang penculik bertindak agresif, menghunus pistol Glock dari dalam jaket. Dia tidak menembak, hanya mengacukan tepat ke arah Izzudin. Cukup untuk menakutkan Izzudin agar tidak bertindak melarikan diri. Seorang lagi dari MPV mengangkat shotgun laras pendek. Penunggang motosikal hidupkan enjin, cuba menutup laluan keluar.
Zafran tidak menunggu. Dengan gerakan kilat, dia menarik pistol SIG Sauer P229 dari holster di pinggang, mengacukan tepat ke arah lelaki bersenjata itu.
“Drop the weapon!” suaranya lantang.
Izzudin tergamam, matanya membulat. Mulutnya hanya sempat beristighfar. Dalam sekelip mata dia terperangkap dalam situasi hidup dan mati.
Hanif menghampiri melalui radio.
“Code Grey. Ancaman bersenjata. Force Extraction.”
BUK!
Zafran menolak Izzudin masuk ke dalam SUV, kemudian melepaskan dua das tembakan terkawal ke arah tayar van.
DOR! DOR!
Bunyi letupan senjata memecahkan petang Maghrib. Orang ramai menjerit bertempiaran. Tayar van pecah serta-merta, memaksa pemandunya membrek keras.
Penculik dengan shotgun mengangkat laras ke arah SUV. Hanif menjerit,
“Ustaz, tunduk! Jangan angkat kepala!”
Zafran, dalam posisi separa terlindung di pintu SUV, melepaskan tembakan terkawal. Das pertama meluncur tepat mengenai lengan lelaki bersenjata, memaksa shotgun terlepas jatuh ke jalan.
“Clear! Gerak sekarang!”
Hanif menekan pedal minyak. SUV meluncur deras keluar dari lorong sempit. Zafran sempat melompat masuk ke kerusi penumpang hadapan, pintu tertutup rapat saat itu juga.
MPV penculik cuba mengejar, tetapi trafik jalan raya yang sesak menghalang mereka. Zafran melepaskan lagi satu das tembakan ke arah cermin sisi MPV, cukup untuk membuat pemandu hilang kawalan sementara. SUV mereka pun berpecah masuk ke lorong sempit menuju jalan besar.
Izzudin terjelepuk di tempat duduk belakang. Tangannya menggenggam kusyen erat, wajahnya pucat. Nafasnya tercungap.
“Allahu Akbar… apa yang berlaku ni…” suaranya bergetar.
Hanif menoleh sedikit, suaranya cuba menenangkan.
“Ustaz, tarik nafas. Insya-Allah selamat. Kami akan bawa ustaz ke safehouse.”
“Safehouse?” Izzudin mengerut dahi, terkejut. “Eh… tak boleh bang, saya kena bagi kuliah selepas Maghrib. Ini pun dah lewat.”
Zafran dan Hanif saling berpandangan.
“Ustaz, kuliah tu terpaksa batal. Nyawa ustaz lebih utama sekarang.”
Izzudin meraup wajahnya, buntu. Dia menatap kedua-dua lelaki ini. Mereka bukan polis, hanya mengaku ditugaskan melindunginya. Itu tidak dapat memadam rasa curiganya pada mereka.
“Bawa saya ke balai polis saja. Saya buat laporan sendiri. Saya urus sendiri.”
Hanif menghela nafas berat. Dia menjeling ke arah Zafran. Kecurigaan jelas terpancar pada wajah Izzudin.
Zafran menyarungkan kembali pistol ke holster, matanya tetap tajam ke cermin pandang belakang.
“Ustaz boleh bertenang. Kami ni lebih kurang macam polis. Percayalah, tugas kami memang jaga keselamatan ustaz.”
Namun keresahan tidak hilang dari wajah Izzudin. Matanya sekali lagi menjeling jam di pergelangan tangan Maghrib sudah hampir masuk.
Bunyi enjin menderu di atas jalan raya. Mata Zafran tajam memerhati cermin pandang belakang. Hanif di kerusi pemandu pula fokus pada jalan, sesekali memerhati sisi untuk pastikan mereka tidak diekori.
Di belakang, Izzudin menggenggam kusyen kerusi dengan jemari menggigil. Nafasnya berat, peluh dingin menitis di dahi. Bibirnya masih beristighfar, cuba menenangkan diri. Namun riak wajahnya penuh keliru.
“Abang berdua ni siapa sebenarnya?” suara ustaz serak, penuh syak.
“Saya tak kenal abang, tak tahu siapa hantar abang. Abang kata nak bawa saya ke safehouse… safehouse tu apa?”
Hanif menarik nafas dalam, cuba berlembut. “Ustaz, kami pernah bekerja dengan Tan Sri Rizal. Tugas kami cuma satu pastikan ustaz selamat. Kalau tadi kami lambat beberapa saat, ustaz dah dalam van putih tu.”
Izzudin terdiam seketika, sebelum menunduk. Tangannya menggenggam jubah di dada.
“Tapi… saya ada tanggungjawab. Jamaah dah tunggu saya di masjid. Saya kena sampaikan kuliah. Saya dah terima bayaran-.”
Nada suaranya bergetar, bercampur marah dan bimbang.
Zafran akhirnya menoleh, wajahnya dingin, suaranya keras. “Ustaz, kalau ustaz masuk dalam van tadi, bukan setakat kuliah, nyawa ustaz pun hilang. Mereka yang nak culik ustaz tadi tu, profesional. Ini bukan ugut kosong. Ini penculikan kelas A.”
Izzudin mengangkat wajah, terpegun mendengar nada tegas itu. "Tapi--".
Hanif menyampuk, cuba melembutkan ketegangan. “Ustaz, kami tahu ini pertama kali ustaz lalui benda macam ni. Tapi percayalah… orang yang tunggu kuliah tu akan faham kalau ustaz tangguh sehari. Nyawa ustaz tak ada ganti.”
Izzudin memejam mata rapat. Nafasnya naik turun, dada bergelora. Antara rasa tanggungjawab, marah, takut, dan curiga dia terpaksa akur dengan dua lelaki asing dihadapannya ini.
“Astaghfirulla'hal'azim…” bisiknya perlahan. Cuba meredakan perasaan sebal dan curiga yang bergumpal di dada. Dia menarik nafas perlahan, dia pasrahkan nasib dirinya pada Allah. Segala yang berlaku selepas ini bukan lagi dalam genggamannya.
SUV senyap seketika, hanya bunyi enjin dan hembusan nafas yang berat.
Share this novel