BAB 22

Romance Series 7113

ECLIPSE SAFE HOUSE
Bilik Kawalan, Lokasi Rahsia

Suasana dalam bilik kawalan itu malap, hanya diterangi cahaya kebiruan dari puluhan skrin yang memaparkan pelbagai sudut keselamatan premis. Wajah Ivan lelaki Iban berusia lewat 30-an, berwajah serius dengan rambut disisir rapi ke belakang terpancar dalam pantulan cahaya digital. Tubuhnya masih tegap, mantap, bekas anggota UTK yang kini menggalas peranan sebagai operator bebas untuk ECLIPSE.

Tangannya tidak pernah berhenti menaip pada konsol kawalan, sesekali menukar saluran kamera dan meneliti log sistem. Bilik itu senyap, hanya ditemani bunyi ketukan papan kekunci dan desiran halus sistem keselamatan pusat yang aktif 24 jam.

Satu gerakan kecil di salah satu skrin menarik perhatiannya.

Masa 2:17 a.m.
Ivan segera mengezum masuk paparan kamera koridor tingkat dua.

“Z-Zayan?” Dahinya berkerut. Mata membulat.

“Apai, apa kau buat malam-malam buta ni...” bisik Ivan dalam bahasa Iban, menggaru kepalanya yang tak gatal.

Rakaman dari alat pengesan khas, infrared trigger sensor dan micro-vibration detector, yang dipasangnya secara rahsia di pintu bilik Zulaikha atas arahan langsung Hadif, telah mengesan aktiviti mencurigakan.

Zayan keluar dari biliknya pada jam 02:01 pagi, merayap ke bilik 02:17 pagi, iaitu bilik Zulaikha. Tiada sebarang komunikasi radio. Tiada rekod pada sistem akses biasa. Namun alat yang dipasang Ivan tidak boleh dipintas, sensor suhu badan dan getaran mikro boleh mengesan pergerakan senyap sekalipun.

Ivan menekan butang zoom. Wajah Zayan yang tenang, tapi jelas berjaga-jaga, muncul pada skrin.

“Smooth sangat kau ni, bro…” Ivan ketawa kecil. “Tapi kau lupa, aku pasang mata kat semua penjuru.”

Dia membuka saluran komunikasi sulit dan menghantar mesej berlapis penyulitan terus ke terminal Hadif di bilik operasi.

NOTIFIKASI MASUK:
Target: Zayan. Lokasi: Bilik Zulaikha. Masa: 02:17 pagi. Rakaman dan data penuh dihantar.

Hadif yang sedang menelaah laporan terus menekan ikon play. Wajahnya berubah sebaik melihat rakaman yang dipaparkan. Dia bangun berdiri serta-merta, wajahnya tegang.

"Zayan?" gumamnya. “Untuk apa dia ke bilik Zulaikha?"

Beberapa minit kemudian, Ivan melangkah masuk ke bilik operasi sambil membawa tablet. Di skrin, paparan grafik menunjukkan bacaan denyut jantung dan tekanan darah Zayan ketika berada di bilik Zulaikha semuanya sedikit tinggi daripada biasa.

Hadif menjeling ke arah Ivan.
“Could they possibly know each other?" soalnya perlahan. Nada waspada.

Ivan mengangkat bahu. “Aku akan siasat. Tapi setakat ni, tak ada rekod yang tunjuk mereka pernah ada apa-apa kaitan sebelum ni.”

Hadif mendengus perlahan. “Apa yang Zayan sembunyikan dari kita...”

Ivan menutup semula sistem kawalan dan mengaktifkan mod pemantauan khas.

Mulai saat itu, setiap langkah Zayan akan diperhatikan dengan lebih teliti.
Dan satu persoalan besar kini terbuka, apakah benar sahabat paling dipercayai mereka menyembunyikan hubungan masa lalu dengan Zulaikha?

-------

Hari Keempat, ECLIPSE SAFE HOUSE. 9:00 pagi.

Ivan menolak pintu bilik operasi dengan perlahan sebelum masuk. Bunyi pintu yang tertutup rapat bergema halus. Di hadapan meja kawalan, Hadif duduk bersandar, tangan bersilang di dada, wajahnya tegang. Lingkaran gelap di bawah mata menunjukkan dia hampir tidak tidur malam tadi sejak menerima maklumat tentang Zayan yang menyelinap ke bilik Zulaikha.

Kepalanya berserabut.

“Dah dapat maklumat?” soalnya, memandang terus ke wajah Ivan.

Ivan mengangguk perlahan. “Ya, bos.” Dia meletakkan satu fail hitam berlabel Classified: LKA-17 ke atas meja.

“Beberapa tahun lepas, Zulaikha pernah dirawat di Toronto, Kanada. Di sebuah pusat pemulihan trauma dan gangguan stres pasca-trauma Northlake Institute for Trauma & Behavioral Health. Rawatan jangka panjang. Dia masuk lepas kes pembunuhan ayahnya, Tan Sri Rizal.”

Ivan menekan satu butang pada alat kawalan jauh. Skrin besar di hadapan mereka menyala, memaparkan imej Zulaikha bersama seorang lelaki, Zayan berdiri sambil tersenyum mesra di tepi Tasik Perdana Botanical Garden, Kuala Lumpur.

“Aku jumpa gambar ni dalam akaun Instagram lama Zulaikha. Tahun tu, 2020. Berdasarkan corak interaksi dan kapsyen... Zulaikha pernah jadi kekasih Zayan.”

“Instagram? Sejak bila dia bercinta?” Hadif mengerutkan kening.

“Tiga tahun lepas. Tapi lepas ayah Zulaikha dibunuh, dia dan ibunya, Puan Sri Helena, terus berpindah ke Kanada untuk rawatan. Hubungan mereka terputus di situ.”

“Kenapa kita tak tahu apa-apa?” Dahi Hadif berkerut dalam. Sebagai orang-orang yang rapat dengan Zayan mereka tidak pernah dengar dari mulut lelaki itu tentang hubungannya dengan mana-mana wanita.

Ivan bersandar ke meja, menjungkit bahu. “Zayan kan bukan jenis yang suka cerita hal peribadi. Kau tahulah dia, bos. Muka ketat dan ‘low-profile’. Gambar-gambar mereka masih ada dalam cache IG lama tu, walaupun dah tak aktif. Lokasi, tarikh, semuanya padan.”

Hadif mengeluh. “Kau pun tak tahu langsung?”

Ivan geleng. “Dia tak pernah cerita, bos…tapi masa Tan Sri Rizal kena bunuh dia bergegas ke tempat kejadian. Aku tunggu dalam kereta je lah. Polis tengah buat kerja kan. Mungkin masa tu dia jumpa Zulaikha dan dia nampak sangat sedih hari tu," cerita Ivan lagi.

Ivan membuka helaian seterusnya dalam fail. “Ada sesuatu yang lebih besar. Selepas berpindah ke Kanada, Zulaikha dilaporkan mengalami simptom amnesia. Sebahagian besar memori jangka panjangnya, termasuk tentang zaman universiti, keluarganya, dan Zayan hilang secara selektif.”

Hadif menoleh. “Selektif?”

“Ya. Tapi yang peliknya, banyak pesakit di pusat rawatan tu dilaporkan mengalami kehilangan memori yang hampir sama coraknya. Bukan macam amnesia biasa. Lebih kepada... disruption programming.”

“Programing?” Nada Hadif berubah.

Ivan mengangguk. “Kita syak ada bentuk manipulasi mental berlaku. Sama ada melalui ubat, kaedah terapi khas... atau mungkin eksperimen neuropsikologi.”

Hadif memicit pelipis. “Zayan pernah jumpa Zulaikha semula sebelum ni?”

“Tak. Pertemuan pertama mereka semula adalah empat hari lalu. Di sini.”

Ivan menghulurkan tablet kepada Hadif. Rakaman CCTV dari lorong luar bilik tetamu diputar. Wajah Zulaikha jelas menunjukkan kekeliruan bila melihat Zayan seolah-olah ada sesuatu dalam dirinya yang 'terusik'. Gerak mata, perubahan postur, getaran suara semuanya menunjukkan tindak balas yang bukan sepenuhnya sedar.

“Memori dia mungkin tak kembali sepenuhnya, tapi naluri... tak boleh bohong,” ulas Ivan perlahan.

“Kau rasa...Zayan tahu tak yang Zulaikha dah hilang ingatan?” soal Hadif, pandangan tajam.

Ivan menggeleng. “Tak pasti. Tapi kalau dia tahu, dan dia sedar yang bekas kekasih dia sedang diprogram untuk menjadi pembunuh upahan... bos rasa, apa yang dia akan buat?”

Hadif terdiam sejenak. Soalan itu lebih daripada retorik. Zayan bukan operatif biasa. Dia The Black Shadow, antara operatif elit dalam ECLIPSE. Tapi dia juga manusia.

Hadif bangkit perlahan dari kerusinya. “Mulai sekarang, aku nak gerakan Zayan dan Zulaikha dipantau 24 jam. Fizikal, audio, semua channel. Kalau ada interaksi luar jangka kita bertindak.”

“Salinan fail lengkap aku nak atas meja tengah hari ni,” sambungnya.

“Copy that.” Ivan berdiri tegak.

Skrin utama menukar paparan. Dua wajah kini berada dalam senarai Subject Under Critical Surveillance.

ZAYAN. ZULAIKHA.

Dan di satu sudut tersembunyi, ikon merah berkelip, Behavioural Deviation: Monitoring Active.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience