Di rumah mereka, malam masih pekat. Setelah mengelap badan Zayan dengan kain basah, Sariah ke dapur.
Zareen duduk di sisi Zayan yang terbaring di atas tilam nipis. Tubuh kecil adiknya menggigil, wajahnya pucat. Demam kerana terkejut. Sepanjang malam, Zayan tidak henti meracau, menangis dalam tidur, menjerit nama kakaknya.
Zareen menggenggam erat tangan adiknya. Bibirnya pecah, ada kesan luka di dahi, tapi dia tidak peduli. Yang penting hanya adiknya.
“Jangan cakap pada sesiapa, Zayan” bisiknya perlahan, nada penuh tegas walau tubuhnya sendiri lemah. “Kalau bapak tahu, nanti bapak marah. Dia dah pesan jangan main jauh-jauh dari rumah. Kalau orang tanya… kita cakap kita jatuh basikal. Faham?”
Zayan menoleh perlahan, matanya berkaca, bahunya terhenjut menahan tangis.
“Tapi… aku takut, kak.” Suaranya pecah, serak seperti budak yang hilang arah.
Zareen menarik nafas dalam, lalu mengusap kepala adiknya yang berpeluh dingin. Senyumannya lemah, namun matanya sarat tekad.
“Jangan takut. Aku kan ada.”
Zayan memejam mata. Kata-kata itu menusuk ke dalam jiwanya, menenggelamkan bisikan aneh yang sempat singgah dalam fikirannya ketika dia menghentak lelaki itu tadi. Suara asing itu lenyap, hanya tinggal suara kakaknya “Aku kan ada.”
Perlahan-lahan, nafas Zayan kembali teratur. Demamnya mulai surut, tubuhnya yang menggigil sedikit demi sedikit reda.
Zareen merebahkan kepalanya di sisi adiknya yang akhirnya terlelap. Nafas Zayan masih tidak teratur, namun sekurang-kurangnya dia selamat di sini, di rumah mereka.
Peristiwa petang tadi menjadi rahsia antara dia dan Zayan sahaja. Rahsia yang tidak pernah dia kongsikan, walau pada mak dan bapaknya. Rahsia itu terkubur dalam diam selama dua puluh dua tahun.
Rahsia bahawa petang itu, nyawa mereka hampir diragut seorang penagih dadah di hujung kampung.
Rahsia bahawa Zayan adiknya yang pendiam, penakut, dan selalu bersembunyi di belakangnya tiba-tiba bagai dirasuk sesuatu yang gelap, sesuatu yang bukan dirinya, demi menyelamatkan dia.
Dan sejak saat itu, Zareen tahu: ada sisi lain dalam diri adiknya yang tidak boleh diceritakan kepada sesiapa.
Pagi esoknya, riuh sekampung.
Orang kampung menemui mayat lelaki dewasa itu di hujung jalan tanah merah, berhampiran pokok getah. Kepalanya pecah, darah kering melekat pada tanah. Di sekitarnya, hanya tinggal batang kayu patah dan daun kering berserakan.
“Celaka, siapa yang buat kerja ni…” bisik seorang penduduk, seram bercampur marah.
Polis dipanggil. Laporan dibuat. Tapi semua orang di kampung tahu lelaki itu penagih tegar, kaki pukul, sering mencuri getah kepunyaan orang lain. Ada yang kata dia mati kerana bergaduh sesama penagih. Ada pula yang menyebut itu balasan Tuhan.
Namun, tiada siapa tahu kebenaran sebenar.
-------
Bilik Operasi Team Ghost. 11:30 pagi.
Lampu bilik operasi malap, hanya diterangi cahaya matahari yang masuk melalui tingkap kaca. Zareen duduk di hujung meja, jari-jarinya menggenggam fail operasi tanpa membukanya. Pandangannya kosong. Terperangkap dalam kenangan 22 tahun lalu, ketika dia memeluk Zayan yang berlumuran darah. Rahsia yang dia simpan kemas selama ini, rupanya bukanlah rahsia di dalam ECLIPSE.
Pintu gelangsar besi berdesir terbuka. Langkah berat bergema. Hadif masuk terlebih dahulu, diikuti Ivan, Rafiq, dan Khal. Mereka kelihatan tegang, masing-masing dengan pakaian taktikal hitam. Masing-masing terkejut melihat Zareen yang duduk di hujung meja tanpa membuka lampu.
“Briefing seterusnya dalam sepuluh minit,” suara Ivan, tenang tapi penuh disiplin.
Zareen tidak menyahut. Dia hanya menunduk, bahunya tegang. Hadif menyedarinya, lalu melangkah menghampiri.
“Zareen…” nada Hadif lembut, hampir berbisik. Kening Zareen berkerut. Dia menatap tepat ke wajah Hadif.
“Jadi… sebelum ni memang kau orang semua dah tahu pasal Zayan? Pasal Black Shadow?” Suaranya dingin, sarat dengan kekecewaan.
Masing-masing saling berpandangan. Tiada yang menjawab segera, namun akhirnya mereka menarik kerusi, duduk bersama di meja yang sama. Hadif sengaja memilih tempat bertentangan dengan isterinya, mahu meneliti setiap getar emosi di wajah Zareen.
Hadif menghela nafas panjang sebelum membuka mulut.
“Aku, Ivan, Rafiq dan Khal dah tahu sejak lama. Masa Zayan masuk latihan ekstrem ECLIPSE, tanda-tanda tu dah ada. Kemudian bila dia dihantar dalam misi undercover… Black Shadow ambil alih sepenuhnya. Kami terpaksa jalankan extraction. Terpaksa keluarkan dia dari operasi.”
Zareen mengecilkan mata. “Macam mana kau orang selamatkan dia masa tu?”
Ivan menyambung, seakan mengimbas manual operasi.
“Containment operation. Black Shadow bukan sekadar liability… dia juga aset. Selepas ditangkap, dia dirawat. Terapi intensif, kawalan penuh. Prof. Teresa Darot sendiri cipta ubat khas untuk stabilkan dia. Itu yang buat Zayan boleh hidup normal selama bertahun-tahun.”
Wajah Zareen berubah. Dia menggenggam fail di hadapannya, jemarinya bergetar. “Aku… aku tak pernah tahu pasal split personality. Yang aku tahu… bila dia marah, dia jadi orang lain. Masa kecil dulu, kami pernah terlibat dalam satu insiden. Nyawa aku hampir melayang. Aku rasa… masa tu lah Black Shadow keluar buat pertama kali. Dia selamatkan aku."
Hening. Suasana bilik seakan membeku. Bunyi mesin hologram peta berputar kedengaran jelas.
Rafiq menghela nafas berat. “Zareen… apa yang kau nampak waktu kecil… itulah genesis Black Shadow. Dia lahir untuk lindungi Zayan. Tapi masalahnya, semakin dia dilatih, semakin kuat personaliti tu."
Zareen menoleh ke arah Hadif semula. Matanya merah, sarat dengan amarah bercampur cemas.
“Dan kau… sanggup biar dia bahayakan nyawa sendiri di luar sana?”
Hadif terdiam seketika. Rahangnya mengetap, nafasnya dalam. Akhirnya dia bersuara, nadanya berat tapi tegas.
“Zareen, Zayan tahu apa yang dia buat. Dia sendiri yang tandatangan kontrak dengan ECLIPSE sebagai aset rasmi, bukan sekadar anggota. Dia agen elit. Tugas aku… hanya pastikan arahan berjalan ikut situasi.”
Zareen menarik nafas panjang, tubuhnya jatuh ke belakang kerusi. Matanya masih pada Hadif, namun wajahnya jelas sarat kecewa.
Zareen menarik nafas panjang, cuba menahan perasaan yang bercampur baur di dadanya. Dia memandang tepat ke mata Hadif, suaminya yang juga ketuanya.
“Kau cakap macam semua ni sekadar taktik atas kertas. Itu adik aku, Hadif. Darah daging aku. Kalau Black Shadow ambil alih, kalau dia hilang kawalan, kau sanggup tanggung akibatnya?”
Hadif tidak berganjak. Wajahnya dingin, tapi matanya membayangkan berat beban seorang ketua.
“Kalau sampai masa itu berlaku… aku sendiri akan buat keputusan.”
Kata-katanya keras, tapi penuh keyakinan. Zareen mengetap bibir, menunduk seketika. Tubuhnya tegang, jari-jemarinya mengepal di atas meja.
Beberapa saat berlalu, hanya bunyi kipas pendingin dan ketukan halus jarum jam di dinding menemani ruang itu.
Akhirnya, Zareen melepaskan helaan nafas yang panjang. Bahunya merendah, wajahnya kembali tenang tapi serius.
“Baiklah. Kalau itu pilihan kau sebagai ketua, aku akan ikut. Tapi ingat, Hadif…” Dia menoleh semula, matanya menikam.
“…kau janji dengan aku akan selamatkan dia.”
Hadif hanya mengangguk kecil.
Share this novel