Kafe Black Coffee, berhadapan Taman Tasik Perdana, Kuala Lumpur.
Zulaikha menggenggam cawan kopi yang sudah lama sejuk. Pandangannya tidak lepas dari arah pintu masuk kafe. Setiap kali pintu terbuka, hatinya melonjak dengan harapan, namun bukan Zayan yang muncul.
Sekali lagi...Zayan mengabaikan pesanannya.
"Saya tunggu awak dekat Cafe Black Coffee. Tolong datang sekarang." Zulaikha menyimpan telefon bimbitnya ke dalam tas tangannya semula.
Sudah lima hari dia tidak mendengar suara lelaki itu. Panggilan tidak dijawab, mesej hanya dibaca tanpa sebarang balasan.
Zulaikha menggigit bibir. Wajah Zayan terbayang jelas dalam fikiran.
"Putuskan hubungan kamu dengan Zayan."
Kata-kata papanya kembali menggema di kepala. Zulaikha tahu, papanya bukan orang sembarangan. Berpengaruh. Ditakuti ramai. Tetapi dia tidak menyangka papanya berjaya membuatkan Zayan pergi dari hidupnya.
Cukup. Zulaikha bangkit dari tempat duduk. Dia tidak mahu lagi berteka-teki. Malam ini dia mahukan jawapan dari Zayan.
------
Rumah Zayan, jam 8 malam.
Zayan yang baru selesai mandi tersentak apabila loceng rumah ditekan bertalu-talu. Dia tidak perlu meneka, hanya ada seorang sahaja yang berani menekan loceng pintu begitu.
“Zayan!” jerit Zulaikha dari luar.
Zayan menarik nafas panjang. Perlahan-lahan dia membuka pintu.
Zulaikha berdiri di sebalik pagar besi. Rambutnya kusut sedikit, matanya merah, wajahnya tegang namun air mata jelas bergenang.
“Kenapa awak lari?” soal Zulaikha, suaranya perlahan tetapi menggigil. “Saya ni apa pada awak, Zayan?”
Zayan memejam mata. Tidak sanggup memandang wajah Zulaikha yang dibasahi air mata.
“Kenapa awak datang sini, Zulaikha?”
“Papa saya jumpa awak, kan?” tuduh Zulaikha lantang. “Dia ugut awak?”
Zayan masih diam.
“Jawab saya, Zayan! Jangan buat saya tertanya-tanya macam orang bodoh! Kalau awak dah tak sayang saya, cakap saja. Tapi jangan diam macam ni!” Suaranya pecah. Air matanya jatuh tanpa disekat lagi.
Zayan membuka pintu pagar. Dia melangkah keluar, berdiri di hadapan Zulaikha. Wanita itu ditatap lama.
Dia menarik nafas dalam-dalam. Suaranya akhirnya keluar, perlahan, tetapi tegas.
“Ayah awak betul. Saya cuma seorang bodyguard.”
Zulaikha ketawa kecil, sinis dan pahit. “Awak pun dah gila ke? Ini tahun bila, Zayan? Awak nak hidup ikut kasta?”
“Hakikat takkan berubah,” bisik Zayan. “Saya tak sanggup lihat hidup awak hancur hanya kerana saya.”
Zulaikha menggeleng. “Kalau awak pergi sekarang... hidup saya memang dah hancur pun, Zayan.”
“Tolong faham, Zulaikha. Saya faham kenapa ayah awak bertindak begitu. Lupakan saya...” Lirih suara Zayan. Terasa kerongkongnya kesat. Pedih.
Zulaikha menelan liur. Perasaannya bercampur baur. Keliru. Sakit. Tertanya-tanya siapa pula yang memahami dirinya?
“Jadi, saya ni apa? Mainan? Awak dan papa saya boleh sesuka hati tarik dan lepaskan saya sesuka hati?”
Dia mendekat, menatap wajah Zayan. Memohon pengertian dari lelaki itu. Renungannya tajam namun berkaca.
“Saya sanggup berjuang untuk awak, Zayan. Tapi awak... awak tinggalkan saya begitu saja," suara Zulaikha bersulam sebak.
Zulaikha memusing tubuh, berlalu pergi dengan hati yang remuk.
Langkahnya longlai, setiap derap seperti mengoyakkan jiwa.
Dia tidak lagi menoleh ke belakang, namun jauh di sudut hati dia berharap, Zayan akan memanggilnya, mengejarnya.
Air mata yang cuba ditahan tadi akhirnya gugur lagi, jatuh membasahi pipi. Tangannya diletakkan di dada , seolah-olah cuba menahan hatinya daripada hancur berkeping-keping.
Di belakangnya, Zayan masih berdiri kaku. Tidak mengejarnya. Tiada panggilan atau pujukan. Dan itu yang paling menyakitkan.
Zayan berdiri membatu di hadapan pintu pagar. Pandangan matanya hanya tertumpu pada bayang belakang Zulaikha yang semakin menjauh. Dia tidak berkata apa-apa. Tidak melangkah. Tidak mengejar.
Kerana jika dia bergerak walau setapak pun... dia tahu dia akan goyah.
Dada Zayan berombak. Pedih.
“Aku dah lukakan dia…” bisiknya perlahan.
Tangan kanannya mengepal. Giginya diketap rapat. Jiwanya berkecamuk. Bukan ini yang dia mahu. Tapi dia perlu menjauh. Ini untuk kebahagiaan Zulaikha walaupun itu bermaksud membiarkannya terluka.
Kerana dunia yang dia pijak ini gelap. Dunia yang tidak layak disentuh oleh seseorang seperti Zulaikha.
Dia tunduk. Nafasnya ditahan lama-lama, kemudian dilepaskan perlahan.
Matanya terpejam, seolah mahu mengusir bayangan wajah gadis itu. Tapi semakin dia cuba lupa, semakin kuat kenangan itu menggigit.
Dan waktu itu...
Dia sedar dia tidak akan mampu lupakan Zulaikha. Zulaikha adalah sebuah misi yang tidak sempurna. Dan dia tidak akan dapat menutup misi ini selamanya.
-------
Seminggu kemudian.
Lebuhraya NKVE. 10.46 malam
Sebuah Mercedes AMG C63 S meluncur deras membelah malam yang kelam. Deruman enjinnya bergema, namun dalam kereta, Zulaikha gelisah. Matanya memandang cermin sisi.
Di cermin sisi, dua buah SUV hitam membayangi. Lampu tinggi disuluh terang ke dalam kabin Mercedes, menyilaukan pandangan.
“Papa…” Suara Zulaikha bergetar. Jari-jarinya menggenggam lengan Tan Sri Rizal. “Ada orang kejar kita.”
Tan Sri Rizal tidak menjawab segera. Sekadar menjeling, wajahnya kelihatan tenang namun jemarinya yang mengepal di atas peha mendedahkan keresahan yang disembunyikan.
“Jangan takut,” jawabnya tenang. “Tak ada apa-apa," ucap Tan Sri Rizal cuba menenangkan Zulaikha
Namun Zulaikha tahu nalurinya kuat mengatakan sebaliknya.
Ada sesuatu yang tidak kena.
Dia menyeluk tas tangannya dengan panik. Telefon dicapai, dan nama yang telah dia hafal ditekan.
ZAYAN.
Talian berdering. Sekali. Dua kali. Tiga kali. Namun seperti biasa sejak dua minggu ini tiada jawapan. Hampa.
Matanya berkaca. Nafas makin berat. “Tolonglah… tolonglah angkat…”
BANG!!
SUV di sebelah kiri tiba-tiba menekan masuk, menghimpit kereta mereka ke tepi.
“Papa!” jerit Zulaikha, panik.
Farhan, pemandu mereka, dengan tenang memulas stereng, mengelak dan kembali ke lorong. Namun Zulaikha mula perasan sesuatu. Raut wajah Farhan kelihatan terlalu tenang… terlalu kosong.
Tan Sri Rizal membuka mulut, hendak menegur,
SREETT!!
Brek ditekan mengejut. Mercedes C63 S berhenti mendadak di lorong kecemasan. SUV hitam kedua kini menghadang di hadapan, manakala satu lagi berhenti di belakang.
Mereka terkepung.
Zulaikha panik. “Papa! Kenapa dia berhenti?! Farhan...”
Tan Sri Rizal mengarah lantang, “Teruskan pemanduan, cepat!”
Namun Farhan tidak berganjak.
Sebaliknya, dia berpaling perlahan ke belakang.
Wajahnya tidak beremosi. Kosong. Dingin.
Dari bawah jaket, dia mengeluarkan sepucuk pistol SIG Sauer M18, siap dipasang penyenyap.
DUPP! DUPP!
Dua das tembakan dilepaskan. Senyap, menembusi jantung merobek pembuluh darah utama Tan Sri Rizal.
“PAPA!!!”
Jeritan Zulaikha lirih. Darah Tan Sri Rizal memercik, membasahi bajunya, mukanya, tangannya.
Tubuh Tan Sri Rizal terhenyak ke belakang. Mata terbeliak, kemudian jatuh separuh terpejam. Nafasnya tercungap-cungap.
Farhan membuka pintu dan keluar tanpa sepatah kata. Dalam sekelip mata, dia dan dua SUV hilang ke dalam gelap malam meninggalkan Zulaikha bersama tubuh papanya.
Zulaikha menjerit nama papanya berkali-kali, menggoncang tubuh lelaki itu. “Papa! Papa! please..." rayu Zulaikha.
Dia merungkai tali pinggang keselamatan Tan Sri Rizal. Dengan kudrat yang ada, dia menarik tubuh papanya keluar dari kereta dan membaringkannya di atas rumput basah di tepi lebuh raya.
Tangannya berdarah, wajahnya bercampur peluh dan air mata.
“No no no… I’m gonna save you… please!” jerit Zulaikha histeria.
Dia mula lakukan CPR.
Tangan kiri di atas tangan kanan, jari saling mengunci, diletakkan tepat di tengah dada papanya. Dia menekan kuat, ritma terlatih, walaupun emosinya berkecai.
“One… two… three… four… five…”
Dia mendekatkan wajah ke mulut papanya.
Tiada nafas.
Dia beri dua tiupan. Matanya basah, tangis tertahan. “Come on, Papa. Please… wake up…” mohon Zulaikha, mengharap keajaiban.
Dia kembali menekan dada. “One… two… three…”
Darah terus mengalir keluar dari luka tembakan. Namun nafas papanya tidak kembali.
“Pa!...please...!"
Tangannya sudah lemah. Zulaikha kehabisan tenaga. Dia sudah melakukan dua cycle CPR. Dia terus tekan walaupun hakikatnya dia tahu nadi papanya sudah hilang.
Dua tembakan tepat di dada tembus ke jantung. Sudah pasti jantung papanya sudah robek. Papanya kehilangan darah dalam kuantiti yang besar, exsanguination. Kematian serta-merta. Dia tahu itu.
Hakikatnya CPR yang dia lakukan tidak berguna. Dada papanya makin dingin. Pandangan Tan Sri Rizal kosong, jauh… seperti sudah lama pergi.
Jari jemari Zulaikha menggeletar. Lemah tidak berdaya. Nafasnya sendiri sudah tersekat-sekat. Dia meletakkan jari di hidung Tan Sri Rizal. Tiada nafas.
"Ahhhhhhhhh...," raungan histeria Zulaikha menggema dalam kesunyian malam. Jeritan itu lirih dan sayu. Sedih, marah, kecewa dan hampa menjadi satu.
Air mata gugur bagai manik terputus tali. Gugur dan gugur tanpa henti.
Zulaikha mendakap erat tubuh papanya, sesekali dia menggoncang tubuh papanya yang kaku.
Beberapa buah kereta berhenti. Ada yang menghubungi polis dan ambulans. Ada yang mengambil video dan gambar.
Namun Zulaikha tidak peduli. Dia terus menjerit dan menangis. Merintih memohon papanya agar jangan pergi.
Share this novel