Restoran Nasi Kandar Maidin. 12:15 pagi.
Zayan termenung menatap pinggan mi goreng di hadapannya yang hampir tidak disentuh. Perutnya terasa kosong, namun dia tiada selera. Jika mengikutkan hati, dia mahu terus pulang ke rumah sebaik selesai kerja tadi, namun Ivan beria-ia mengajaknya singgah makan.
Dengan lesu, dia menyeluk poket jaket hitamnya dan mengeluarkan telefon. Ketika memandu tadi, beberapa panggilan dari Zulaikha muncul namun semuanya diabaikan.
Zayan menarik nafas panjang. Dia menganggap itu hanyalah panggilan biasa, cubaan memujuk tentang hubungan mereka yang semakin dingin. Bukan dia tidak mahu menjawab... tetapi hatinya sendiri masih celaru. Di antara arahan pihak atasan dan perasaannya terhadap Zulaikha, Zayan terperangkap, dia tidak tahu mana satu yang patut diutamakan.
Dia menghormati Tan Sri Rizal. Atas sebab itulah dia cuba membunuh perasaannya terhadap anak perempuan lelaki itu.
Akhirnya, Zayan membuka telefon dan menyemak WhatsApp. Muncul satu pesanan suara daripada Zulaikha. Kali ini, dia tekan ikon 'play'.
“Zayan… tolong saya. Ada orang ikut saya dan papa. Please hurry...”
Zayan tersentak. Dadanya terasa seolah ditumbuk. Tanpa berfikir panjang, dia pantas mencapai kunci kereta. Namun belum sempat dia berdiri, Ivan yang sedang menambah nasi di kaunter restoran mamak tiba-tiba memanggilnya.
"Zayan."
Skrin televisyen di sudut atas dinding sedang menyiarkan Berita Jam 12 Malam.
“Zayan,” panggil Ivan lagi dengan nada tergesa, matanya tidak berkalih dari skrin. Jari telunjuknya terarah ke televisyen.
“Ketua Pegawai Eksekutif R&R Group, Tan Sri Rizal Jamaludin, telah ditembak mati di Lebuhraya NKVE berhampiran Jalan Duta malam tadi. Menurut sumber polis, kejadian dipercayai berlaku sekitar jam 10:50 malam…”
Zayan yang duduk beberapa meja di belakang bangkit serta-merta. Tubuhnya terasa kaku. Matanya membulat memandang ke arah skrin televisyen, yang kini menayangkan rakaman udara lokasi kejadian, garisan kuning, kelipan lampu polis, dan selimut putih menutupi tubuh di atas jalan.
Laporan berita bersambung, “Mangsa dipercayai diserang oleh beberapa individu bersenjata api, dalam apa yang dilihat sebagai serangan terancang. Pihak berkuasa masih menyiasat motif kejadian, dan belum mengeluarkan kenyataan rasmi…”
Zayan memejam mata seketika. Nama Tan Sri Rizal menggema dalam kepalanya dan wajah Zulaikha serta-merta hadir di ingatan.
Zayan tidak menunggu sesaat pun lagi. Dia bergegas keluar dari restoran itu.
-------
Lebuhraya NKVE, Jam 1:10 Pagi
Kawasan kejadian sudah dipenuhi dengan pita kuning. Ambulans, kereta polis, dan beberapa wartawan memenuhi lokasi. Mayat Tan Sri Rizal sudah ditutup dengan kain putih. Di bahu jalan, Zulaikha duduk berselimutkan kain selimut yang diberikan petugas kesihatan.
Wajahnya kosong, pucat. Darah masih kelihatan di pipi dan tangan.
Zayan tiba. Dia berlari merempuh garisan polis tanpa peduli amaran.
“Zulaikha!” jeritnya cemas.
Pandangan Zayan tertumpu kepada satu-satunya wajah yang dia ingin lihat sejak tadi. Zulaikha.
Dia melutut di sisi wanita itu. “Zulaikha…” panggilnya perlahan.
Zulaikha memandang wajah Zayan dengan pandangan sayu. Wajah wanita itu penuh dengan percikan darah. Matanya merah dan bengkak.
Perlahan, air mata Zulaikha mula gugur tanpa suara. Bibirnya bergetar, tetapi tiada perkataan yang keluar. Bahunya terhinggut-hinggut menahan esakan.
Zayan menghela nafas dalam. Satu penyesalan yang terlalu berat membungkam dadanya.
Tangannya cuba membetulkan selimut di bahu Zulaikha, namun Zulaikha menggeleng perlahan. Wajahnya dialih kearah lain. Menjauh. Tanda penolakan.
Zayan terpempan. Penolakan Zulaikha bagai pisau menikam dada. Sakit. Takut. Namun dia sedar. Segalanya sudah terlambat.
“Zulaikha…” Zayan merayu.
Zulaikha bangun perlahan-lahan, tidak bersuara. Langkahnya diatur menuju ke arah ambulans, meninggalkan Zayan yang masih terduduk di atas rumput yang dingin dan basah dengan darah serta embun malam.
Zayan hanya mampu memandang, tidak berdaya. Dia lewat. Dia gagal.
Dan malam itu… cinta Zulaikha hancur dalam sunyi, trauma, dan kehilangan.
Zayan melangkah longlai masuk ke dalam kereta. Ivan yang menunggu di tempat duduk penumpang memandangnya penuh tanda tanya.
“Kau tengok ni,” ujar Ivan perlahan, menghulurkan telefon kepadanya.
Video dashcam diputar. Paparannya menunjukkan Zulaikha sedang cuba melakukan CPR ke atas Tan Sri Rizal dalam keadaan berlumuran darah. Jeritan dan tangisan Zulaikha dalam video itu merobek jiwa Zayan.
Dia mengetap rahang. Cuba menelan liur, namun kerongkongnya terasa kesat, perit.
BRAK! BRAK!
Stereng kereta dihentak berkali-kali. Gagal mengawal emosinya.
Ivan tersentak di tempat duduknya. “Zayan! Kau okay ke ni?”
Zayan tidak menjawab. Tubuhnya bergetar. Dia menolak pintu dan melangkah keluar. Terduduk di atas rumput, bersandar pada badan kereta.
Tangannya menumbuk dada sendiri. Berkali-kali. Cuba mengusir rasa sakit yang menggigit jiwanya. Tapi semakin ditumbuk, semakin perit.
Air mata lelaki itu jatuh dalam senyap. Bukan kerana lemah, tetapi kerana kehilangan yang sudah tidak mungkin dapat ditebus lagi.
------
Keesokan Harinya. 8:30 pagi.
Bilik Taklimat Utama, Ibu Pejabat Rahsia ECLIPSE
Bilik itu sunyi sepi, hanya diselangi oleh bunyi halus sistem penghawa dingin dan ketikan papan kekunci dari meja sisi. Cahaya dari skrin digital memancar lembut, menayangkan wajah Tan Sri Rizal dalam potret rasmi penuh karisma, namun kini hanya menjadi tatapan kenangan.
Hadif berdiri di hadapan, mengenakan sut taktikal serba hitam dengan lencana ECLIPSE tersemat kemas di dada kiri. Bahunya tegap, namun ketegangan jelas terpancar di rahang yang mengeras dan sorot mata yang tajam menahan emosi.
“Tan Sri Rizal telah dibunuh.” Suara Hadif tenang, tetapi dingin. “Ini bukan serangan rambang. Ini pembunuhan terancang, dari dalam.”
Hening. Semua agen dalam bilik menumpukan perhatian. Di barisan kedua, Ivan menyandar sedikit, berpeluk tubuh. Matanya tidak lepas dari skrin.
Klik.
Slaid bertukar. Rakaman CCTV dari lebuh raya, kereta Tan Sri Rizal dipintas oleh dua SUV hitam. Seketika kemudian seorang lelaki keluar dari kereta Tan Sri Rizal dengan sepucuk pistol masuk ke dalam salah satu SUV.
Kemudian , suara seorang wanita menjerit. Pintu tempat duduk belakang dibuka. Seorang wanita mengheret Tan Sri Rizal keluar dari kereta dan membaringkannya di bahu jalan. Wanita itu melakukan CPR. Pemandangannya cukup tragik.
Dahi Zayan berkerut. Rahangnya mengetap menahan perasaan yang bercampur baur. "Zulaikha..." bisik Zayan dari tempat duduk di hujung bilik.
Dia duduk tegak tetapi wajahnya kelihatan lesu, seperti tidak tidur. Matanya merah, sama ada kerana marah atau rasa bersalah. Tangan kanannya menggenggam kuat telefon dalam mod senyap. Pesanan suara Zulaikha yang dia abaikan semalam kini menghantuinya.
Klik.
“Farhan Hakim bin Khairuddin. Pemandu peribadi dan ejen sokongan, kod Specter-12. Bersama kita selama tujuh tahun,” ujar Hadif sambil menuding ke arah gambar seorang lelaki bertubuh sasa yang terpapar di skrin.
“Dia berpaling tadah malam tadi. Bertindak sebagai pemandu Tan Sri dan membawa kenderaan terus ke lokasi serang hendap.”
Zayan mengetap rahang.
“Suspek menggunakan sidearm jenis SIG Sauer M18, kaliber 9mm. Peluru jenis jacketed hollow point (JHP). Dua das tembakan tepat di dada, jarak dekat,” sambung Hadif, nadanya mula mengeras.
Klik. Dua wajah lelaki lain muncul.
“Luqman bin Farid dan Kamal bin Adnan. Pengawal peribadi bersenjata. Kedua-duanya dari unit Phantom. Berdasarkan siasatan awal, mereka menyerahkan maklumat laluan dan waktu keberangkatan Tan Sri Rizal kepada pihak musuh.”
Hadif berundur sedikit dari skrin. Suaranya kini menjadi lebih tegas.
“Ketiga-tiganya kini dalam senarai buruan ECLIPSE. Arahan tangkap hidup atau mati.”
Semua operatif terdiam.
“Siasatan dalaman akan dimulakan serta-merta. Tiada siapa terkecuali. Mana-mana ejen yang disyaki akan digantung serta-merta dari operasi.”
Seketika, Hadif menatap setiap wajah dalam bilik. Sorot matanya berhenti sebentar pada Zayan.
“Kematian Tan Sri Rizal akan dibela. Dan kepada mana-mana pengkhianat yang menyusup dalam sistem kita, ingat, ini ECLIPSE tidak melindungi pengkhianat. Kita buru mereka sampai ke lubang cacing.”
Senyap. Suasana seakan berat.
Zayan mengangkat wajah perlahan. Wajahnya kosong, tapi sorot matanya penuh amarah.
Share this novel