NOIR Lounge, Kuala Lumpur. 11:36 malam
Lampu biru tua dan ungu samar bergantian menyimbah ruang, menyatu dengan irama elektronik perlahan yang berdentum dari pembesar suara. Zayan berdiri diam di sudut tingkat atas kelab malam eksklusif itu.
Berbaju hitam berkolar tinggi, jaket tipis tersarung kemas. Mata tajamnya memerhati lantai utama dari balik cermin separa gelap. Di telinga kirinya terdapat alat komunikasi kecil.
“Target belum muncul. Aku masih tunggu isyarat. Semua terkawal,” bisiknya perlahan.
Suara dalam earpiece menjawab ringkas, nada santai. “Roger, bro.”
Ivan.
Zayan tidak pernah suka tempat seperti ini. Terlalu bising, terlalu terang dan terlalu banyak manusia yang berpura-pura bahagia. Tapi malam ini, dia tiada pilihan. Dia di sini untuk misi. Seorang pengkhianat korporat dikhabarkan akan bertemu ejen luar di kelab itu. Seperti biasa, tugas operatif seperti mereka jejak, rakam, dan jika perlu... cegah.
Tiba-tiba, seorang wanita muncul. Langkahnya perlahan, anggun. Blazer putih bersih, blouse satin biru laut dan seluar flare hitam, semuanya terletak kemas pada tubuh tinggi lampainya. Rambut hitam panjang disanggul rendah, wajah pula disolek ringkas dan elegan.
Wanita itu duduk di sudut bar, meneliti telefon bimbit. Di hadapannya, gelas berisi virgin mojito,minuman tanpa alkohol. Secara asasnya Virgin Mojito adalah jus limau yang dicampur madu, air dan ais. Kemudian ditambah daun parsley.
Dari pengamatan Zayan wanita itu seperti bukan datang untuk berhibur. Tapi sedang menunggu seseorang. Pakaiannya tidak seperti orang mahu menari di kelab malam.
Zayan memerhati tanpa berkedip. Wajah itu... seperti pernah dilihat sebelum ini.
Zulaikha Isabelle binti Tan Sri Rizal.
Anak kepada salah seorang ahli Shadow Council. Perempuan dari keluarga elit dan ternama. Dia pernah menjalankan misi yang melibatkan wanita itu beberapa tahun lalu.
Zayan mengerutkan kening. Apa anak Tan Sri buat di sini? Zayan menarik nafas panjang, cuba mengabaikan kehadiran wanita itu. Dia masih dalam misi.
Namun, seorang lelaki mabuk mula menghampiri Zulaikha. Perbualan ringkas beralih menjadi gangguan. Tangan lelaki itu hampir menyentuh bahunya.
Zayan bergerak pantas turun ke tingkat bawah menuju ke bar.
Langkahnya tenang, tapi penuh tujuan. Dia sampai tepat ketika Zulaikha mula menolak dada lelaki itu, membantah disentuh tanpa kerelaan.
“Jangan sentuh dia,” suara Zayan dingin.
Lelaki itu berpaling, terpandang mata Zayan yang gelap dan tajam. Sesuatu dalam renungan itu cukup untuk membuatnya berundur. Tanpa sepatah kata, dia beredar.
Zulaikha menoleh, memandang penyelamatnya. Wajah lelaki itu serius, tanpa sebarang ekspresi.
“Saya nasihatkan puan tinggalkan tempat ni,” kata Zayan pendek, lalu berpaling.
“First, thank you for your help. Second, saya ada urusan di sini.”
Langkah Zayan terhenti. Tapi dia tidak berpaling.
“Urusan apa yang buat seorang wanita seperti puan datang ke kelab malam pada waktu begini?” tempelak Zayan, sinis.
“Atas urusan apa pula seorang lelaki Melayu seperti tuan ada di kelab malam pada waktu macam ni?” bidas Zulaikha, mengangkat kening.
Zayan menoleh sedikit. Matanya tajam, suaranya masih tenang.
“Puan, saya nasihatkan keluar sekarang. Tempat ni bukan untuk orang macam Puan.”
Zulaikha tersenyum nipis.
“Awak ni selalu serius ke? Maaf. Saya masih ada urusan. Saya hanya akan keluar selepas urusan saya selesai.” Nada suaranya tenang, tapi tegas menolak permintaan Zayan.
Zayan tidak membalas. Dia tahu tiada gunanya mendesak lebih.
Nampaknya, dia dan Ivan perlu tukar strategi.
-----
Satu jam kemudian
“Target masuk ke tandas.”
Zayan melaporkan melalui alat komunikasi kecil di telinga.
“Roger. Kawasan tu clean and clear... ha... ha...” Ivan menjawab selamba sambil menyuakan puntung rokok ke bibir, lalu menyedutnya dalam-dalam. Hampir dua jam dia menunggu di dalam SUV hitam yang diparkir di belakang kelab.
Zayan mengekori seorang lelaki bertubuh gempal dan agak tinggi ke dalam tandas awam yang terletak di tingkat bawah. Lelaki itu sedang membuang air kecil ketika Zayan masuk. Belum sempat dia menarik zip seluar semula, Zayan sudah menekup mulutnya dengan sehelai kain yang telah dibasahkan dengan kloroform.
Lelaki itu meronta sedikit, namun tubuhnya perlahan-lahan menjadi longlai. Dengan pantas, Zayan mengheretnya masuk ke salah satu bilik tandas. Dari poket jaket taktikalnya, Zayan mengeluarkan satu picagari berisi cecair jernih. Jarum halus itu disuntik ke lengan lelaki tersebut bukan untuk membunuh, tetapi cukup untuk mengaburi siasatan.
Lelaki itu diletakkan di atas penutup mangkuk tandas. Posisinya dibetulkan agar kelihatan seperti penagih dadah yang pengsan kerana dos berlebihan. Zayan menyusun latar agar kelihatan realistik, meletakkan sebiji pemetik api kecil dan plastik kosong di lantai.
“Target down. Aku keluar sekarang,” lapor Zayan sambil melangkah laju keluar dari kawasan kelab.
Namun sebaik tiba di kawasan parkir, langkahnya terhenti.
Dari jauh, dia melihat seorang lelaki sedang memapah Zulaikha wajahnya pucat, tubuhnya longlai seolah-olah mabuk berat.
“Mabuk? Tapi aku nampak dia minum virgin mojito tadi…” Kening Zayan berkerut. Sesuatu tidak kena.
Tangannya segera menekan butang radio.
“Zypher. Princess down. Aku syak ada orang spike minuman dia.”
“Princess? Eh, kau jangan tiba-tiba tambah kerja aku!”
Ivan mengeluh, terdengar bunyi bising di latar. “Siapa pulak Princess ni?”
Zayan mendengus.
“Ish… Kau ni. Anak ‘Duke’. Misi Bali, dua tahun lepas! Kau lupa ke?”
Ivan menyumpah perlahan. “Argh, aku ingat. Kau memang pandai cari bala.”
Zayan sudah bergerak mendekati pasangan tersebut. Tanpa memberi amaran, dia melayangkan satu tumbukan padu ke muka lelaki yang memegang Zulaikha.
Bukkk!
Lelaki itu terpelanting dan jatuh ke tanah. Zulaikha turut terhuyung-hayang. Tubuhnya tidak stabil langsung.
Zayan pantas menyambutnya sebelum sempat kepalanya terhentak ke lantai. Dia terus mendukung tubuh Zulaikha.
“Manja betul la. Kan aku dah cakap tadi... kau tak nak dengar,” gumam Zayan geram, separuh menyumpah. Dia membawa wanita itu ke SUV hitam yang sedia menunggu di hujung kawasan parkir.
Pintu dibuka oleh Ivan yang kini sudah keluar dari tempat duduk pemandu. Riaknya terkejut melihat siapa yang didukung Zayan.
“Wow, ni betul-betul Princess la! Dia memang pandai cari masalah?” tanya Ivan sambil membuka pintu belakang.
“Dia pengsan. Kena bawa ke klinik sekarang."
“Klinik mana? Private ke… biasa?” Ivan sudah bersedia hidupkan enjin.
“Private pun tak apa. Asalkan cepat,” balas Zayan, matanya tidak lepas dari wajah Zulaikha yang masih terpejam.
Dalam perjalanan, Zayan memegang tangan wanita itu, mencari denyut nadi. Masih ada. Tapi lemah.
Dia menghela nafas. Lega.
Hi, semua. Terima kasih sentiasa support semua novel saya. Saya ada menulis semula Menanti Bahagia di Wattpad, sudah revisi dengan susunan baru dan plot tambahan. Terimalah novel ke empat dari Aishah Gazali.
Share this novel