Bab 24

Romance Series 7113

“Team Ghost, ready. Evacuate to Detention Facility Echo. ASAP.” Ivan menyentuh alat komunikasi di bahu

Arahannya disambut pantas. Bunyi langkah berderap mengisi ruang.

Khal dan Zareen segera mendekati Zulaikha yang sudah lemah tidak bermaya. Nafas wanita itu masih terengah, tubuhnya bersandar pada dinding ruang tamu yang berselerak dengan serpihan kaca dan kesan letupan kecil. Tanpa berlengah, mereka memaut tubuh Zulaikha dari kedua-dua sisi, mengangkatnya dengan cermat namun tangkas. Wajahnya kelihatan pucat, mata terpejam rapat.

Di sisi lain, Zafran dan Rafiq menarik tubuh Zayan yang masih separuh sedar. Bajunya koyak, bukti pergelutan yang tercetus sewaktu misi penahanan. Nafasnya berat, namun matanya terbuka sedikit, masih cuba melawan kesan kecederaan dan kekeliruan yang membelenggu mindanya.

Pintu utama rumah dua tingkat itu ditolak kasar dari dalam. Cahaya luar menyimbah masuk, menampakkan dua buah SUV hitam yang diparkir di depan banglo dua tingkat itu. Cermin gelap, rekaan kalis peluru.

Tidak ada kelibat operatif dari Team Knight dan Team Vikings. Hadif sudah mengarahkan mereka keluar mengiring Tengku Rizz sebelum itu. Dia tidak mahu maklumat Operasi Black Cat bocor. Ini adalah misi sulit yang melibatkan operatif di bawah Hadif sahaja. Team Ghost.

Zulaikha dimasukkan ke dalam SUV pertama. Ivan duduk di depan, kerusi pemandu. Matanya awas memantau persekitaran. Khal dan Zareen mengambil posisi di belakang bertentangan dengan Zulaikha, bersedia dengan senjata sekiranya berlaku kejutan luar jangka.

Zayan pula disokong masuk ke SUV kedua. Sepasang mata Zayan dan Zulaikha sempat bertembung seketika sebelum masuk ke dalam SUV. Mata Zayan berkaca. Berharap wanita itu akan baik-baik saja. Zafran mengambil tempat di sebelah, manakala Rafiq duduk menghadap mereka dari kerusi hadapan. Hadif memandu.

Pintu kenderaan ditutup kemas. Sistem automatik mengunci serentak.

Konvoi bergerak dalam formasi senyap, teratur dan efisien. Debu jalan berterbangan seiring pergerakan tayar, meninggalkan safe house yang kini kosong dan sunyi, bagai tiada apa pernah berlaku di situ.

Di dalam SUV kedua, suasana hening. Zayan duduk lemah, menyandar pada kerusi. Rafiq membuka poket dalam jaket taktikalnya, lalu mengeluarkan botol kaca kecil berlabel Midazolam 1mg/mL. Ubat penenang itu digunakan dalam situasi tertentu untuk mengelakkan tekanan emosi atau keganasan susulan.

Tanpa banyak bicara, Rafiq menyedut cecair jernih ke dalam picagari steril. Dia menepuk perlahan bahu kiri Zayan.

“Tidur dulu, bro. Kau stress sangat ni.”

Jarum dicucuk ke otot bahu. Zayan tidak melawan. Dia sekadar menutup matanya perlahan, nafasnya mula melambat. Otot-ototnya mengendur. Kepalanya akhirnya rebah ke bahu Zafran yang duduk di sebelah.

Beberapa detik berlalu sebelum Ivan mengemas kini melalui alat komunikasinya:

“Team Ghost evacuate. Target one and target two secured. Move to Detention Facility Echo at 11:23 pm."

-------

Keesokannya.
Bilik Operasi Team Ghost, 8:30 pagi.

Suasana bilik operasi cerah, cahaya mentari pagi menembus masuk dari bidai tingkap yang terbuka. Kelihatan cahaya kebiruan dari beberapa skrin monitor yang masih aktif.

Di salah satu sudut, Zayan terbaring di atas sofa kulit hitam. Dadanya turun naik perlahan, hela nafasnya masih berat. Peluh dingin masih membasahi dahi, dan sehelai selimut nipis menutupi separuh tubuhnya. Bekas suntikan di bahu kiri masih meninggalkan kesan lebam samar.

“Zayan.”
Suara Zareen bergema dari sisi.

“Oi, Muhammad Zayan. Bangun.”

Zareen menepuk pipi adiknya beberapa kali. Nada suaranya makin kuat.

“Dah pagi. Sampai bila kau nak tidur?” bebelnya sambil menggoncang bahu tegap Zayan yang masih terlentang.

Kelopak mata Zayan bergerak sedikit sebelum terbuka perlahan. Pandangannya kabur dan berlapis. Siling konkrit kelabu di atas terasa berpusing-pusing.

Dia mengerang kecil. “Arghh…?”

“Kau okay tak?” soal Zareen, sedikit lembut kali ini.

Zayan menggeliat perlahan, cuba mengangkat tubuhnya dengan lengan yang masih lemah. Dia bersandar pada sandaran sofa sambil memandang sekeliling. Rafiq sedang duduk di meja sisi, jari-jemarinya pantas menaip di papan kekunci. Zafran dan Khal pula sedang berbual di meja mesyuarat.

Bau kopi panas semerbak dari cerek elektrik di dapur kecil di hujung bilik.

“Zulaikha…?” nama itu terpacul dari bibir Zayan, perlahan dan keliru.

Pakk!
Zareen menepuk dahinya dengan tapak tangan.

“Aduh!” Zayan mengaduh sambil menepis tangan kakaknya. “Kau dah kenapa?”

“Celik mata je, nama tu juga yang kau sebut? Zulaikha… Zulaikha…” bidas Zareen dengan muka geram. “Kami semua ni kau tak ingat ke sebelum kau buat hal?”

“Apa yang aku dah buat? Aku tak buat apa-apa pun lagi. Tak sempat pun,” rungut Zayan sambil memicit pelipisnya yang berdenyut.

“Sial kau, Rafiq,” marahnya tiba-tiba. Baru dia teringat sesuatu. “Kau yang suntik aku dengan midazolam, kan?”

Rafiq tidak menoleh. “Aku cuma ikut protokol. Kau tak stabil. Kami tak nak kau cederakan orang lain… atau diri sendiri,” balasnya tenang sambil terus menaip.

Zayan mengeluh berat. Kedua-dua tangannya menekup wajah yang tampak penat dan kecewa.

“Kau orang hantar Zulaikha ke mana? Aku rasa dia dah hilang ingatan. Aku tak boleh biar dia ditahan…” ucap Zayan perlahan, nada kesalnya jelas.

Tiba-tiba, pintu bilik operasi dikuak perlahan. Hadif dan Ivan melangkah masuk. Melihat Zayan yang sudah sedar dan tenang sedikit, Ivan menarik kerusi dari meja mesyuarat lalu duduk bertentangan dengannya.

“Eloklah kau dah bangun. Sekarang kau jelaskan sendiri. Apa sebenarnya hubungan kau dengan Zulaikha? Apa yang dah berlaku?” soal Ivan dengan nada serius.

Zayan tersenyum sinis. “Bukan kau dah tahu semuanya? Dah siasat, kan? Dalam taklimat pun ada.” Nadanya penuh sindiran.

Ivan tidak membalas, cuma menghela nafas dalam. “Kami nak dengar dari mulut kau sendiri, Zayan. Come on lah… kita semua ni keluarga kau. Kenapa kau tak pernah cerita apa-apa dengan kami? Serius?”

Zayan meraup wajah. Nafas ditarik panjang, sebelum dia bersuara.

“Aku dan Zulaikha mula rapat sejak Februari 2020. Kami bercinta selama lapan bulan… kemudian ayah dia, Tan Sri Rizal, datang jumpa aku. Dia minta aku putuskan hubungan. Katanya kami tak setaraf…”

Nada Zayan perlahan. Wajahnya kelihatan suram.

Hadif berdiri tegak di sisi, tangan bersilang di dada. Zafran, Zareen, Rafiq dan Khal turut memberi tumpuan.

“Atas permintaan Tan Sri Rizal, aku cuba lupakan Zulaikha. Aku tolak mesej dia, aku tak jawab call. Tapi dia tak putus asa. Dia terus cari aku. Dia WhatsApp, dia telefon aku, malam-malam…”

Zayan tunduk. Bahunya jatuh, seakan menanggung beban lama yang belum selesai.

“Sampailah malam Tan Sri Rizal dibunuh. Zulaikha call aku tiga kali. Dia mintak tolong. Tapi aku… aku abaikan. Aku ingatkan itu cuma salah satu cubaan dia nak hubungi aku semula. Aku silap…”

Suara Zayan bergetar. Pandangannya jauh, seolah terperangkap dalam masa lalu.

“Bila aku tahu Tan Sri Rizal terbunuh, aku terus ke tempat kejadian. Tapi semuanya dah terlambat. Mayat dah dibawa keluar. Polis dah kepung kawasan…”

Dia menahan air mata yang mula bertakung.

“Lepas kejadian tu… Zulaikha disahkan alami PTSD. Dia langsung tak nak jumpa aku. Puan Sri yang beritahu aku, dia nak bawa Zulaikha ke Kanada untuk rawatan. Tiga tahun dia menghilang…”

Zayan menoleh sedikit ke sisi, mengelak pandangan orang lain.

“Tapi aku tak pernah lupa. Setiap hari aku dihantui kesilapan tu. Aku patut angkat call dia malam tu. Aku patut ada…” Mata Zayan redup. Dia berpaling ke sisi. Ada penyesalan yang belum ditebus, dan cinta yang belum selesai.

Suasana dalam bilik operasi jadi sunyi. Hanya bunyi pendingin hawa dan mesin komputer kedengaran.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience