Bab 39

Romance Series 7113

ECLIPSE SAFEHOUSE
Springfield Residence, Ipoh, Perak

01:00 petang

Dua buah SUV hitam jenis Ford Everest meluncur masuk ke kawasan kediaman berpagar automatik, diiringi sistem pengawasan perimeter berteknologi tinggi. Kamera keselamatan berputar mengikut gerakan kenderaan, menjejak dengan ketepatan setiap inci pergerakan.

Kenderaan berhenti perlahan di hadapan sebuah banglo dua tingkat berkonsep moden kontemporari. Rumah itu berdiri megah berlatarbelakangkan bukit menghijau, dihiasi taman bunga berlandskap rapi dan air pancut kecil di tengah laman. Udara di situ terasa sejuk dan tenang.

Zareen turun terlebih dahulu, matanya tajam memerhati sekeliling. Tangannya secara refleks menyentuh sidearm di pinggang kanan sebelum memberi isyarat tangan.

“Secure,” lapornya ringkas.

Pintu belakang SUV dibuka. Zareen membantu Puan Sri Helena keluar. Wanita itu kelihatan letih, tangannya masih menggenggam erat tas tangan Louis Vuitton.

“Puan Sri, kita dah selamat. Silakan masuk,” ujar Zareen dengan nada sopan, tapi jelas.

Sofea berjalan di sisi mereka, wajahnya masih tegang, matanya memerhati setiap sudut naluri pengawalannya masih belum padam.

Hadif yang sudah berada di beranda rumah bersama Ivan memeriksa sistem keselamatan.

"Rumah ini dilengkapi sistem keselamatan terkawal sepenuhnya. Kamera litar tertutup, pengecaman biometrik, dan talian terus ke bilik operasi kami. Puan boleh berehat tanpa rasa bimbang,” jelas Zareen tenang dan profesional.

Puan Sri Helena hanya mengangguk. Wajahnya masih cemas, namun nada yakin Zareen dan kehadiran Sofea sedikit sebanyak meredakan keresahan dalam dadanya.

“Terima kasih...” ucapnya perlahan.

Zareen tersenyum kecil. “Cik Zulaikha sedang menunggu di dalam.”

Puan Sri Helena menarik nafas. Langkahnya ke dalam rumah terasa berat, bukan kerana keletihan fizikal, tetapi kerana emosi yang berselirat dalam dada. Kali terakhir dia bertemu Zulaikha, anak angkatnya itu masih hilang ingatan dan dalam cengkaman lelaki yang membunuh papanya.

--------

Bilik Taklimat Sementara, Springfield Residence, Ipoh, Perak.

04:00 petang

Skrin LED di hadapan memaparkan foto Tengku Rizz dan beberapa orang bekas operatif ECLIPSE. Hadif berdiri tegak di sebelah skrin, tangan memegang alat kawalan. Ivan pula duduk di konsol sisi, mengendalikan sistem paparan dan komunikasi dalaman.

Zulaikha dan Puan Sri Helena duduk di sofa panjang berhadapan skrin. Zayan dan Sofea berada di meja taklimat. Zareen, Rafiq dan Khal sedang melakukan perimeter sweep di luar rumah.

Hadif menarik nafas perlahan sebelum memulakan sesi taklimat.

“Mengikut intel terkini dari fail E-017 dan laporan dalaman operasi, Tengku Rizz dipercayai terlibat secara langsung dalam pembunuhan Tan Sri Rizal tiga tahun lepas. Beberapa operatif ECLIPSE juga telah berpaling tadah termasuk Farhan, bekas pemandu Tan Sri. Sejak insiden itu, mereka hilang tanpa sebarang jejak. Disyaki bersembunyi di bawah perlindungan Tengku Rizz.”

Paparan di skrin berubah, kini menampilkan carta pemilikan saham R&R Group. Masing-masing menumpukan perhatian.

“-Tan Sri Rizal 25%
-Zulaikha 20%
-Puan Sri Helena 15%."

"Manakala ahli lembaga lain, termasuk Tengku Rizz, masing-masing memegang 10%.”

Hadif menekan alat kawalan. Carta pada skrin bertukar lagi.

“Tapi dalam tempoh tiga tahun, melalui taktik agresif, paksa jual, ugutan, pembelian silang melalui proksi. Tengku Rizz berjaya naikkan pegangannya kepada 20%. Sekarang dia setara dengan Zulaikha. Pemegang saham kedua terbesar selepas arwah Tan Sri.”

Dia berhenti seketika, mengambil botol air dari atas meja dan meneguk sedikit.

“Dan sebab itu dia cuba manipulasi Zulaikha. Cuba dekati, cuba ikat melalu perkahwinan, supaya dia dapat kawal saham Zulaikha sepenuhnya.”

“Tan Sri ada tinggalkan wasiat,” sampuk Sofea perlahan.

Hadif mengangguk. “Ya. Tapi wasiat itu masih dibekukan oleh mahkamah disebabkan keadaan Zulaikha waktu insiden. Tidak stabil dan trauma... malah pernah diisytiharkan tidak layak menandatangani apa-apa dokumen perundangan ketika itu.”

Puan Sri Helena mengusap lengan Zulaikha. Sentuhannya lembut, seperti cuba menenangkan.

Hadif menoleh padanya.

“Tapi ada satu perkara yang Tengku Rizz tak tahu... Zulaikha hanyalah pemegang amanah.”

Puan Sri Helena mengerutkan dahi. “Pemegang amanah?” Suaranya tenggelam, dan matanya segera memandang ke arah Zulaikha. Riak wajah Zulaikha berubah.

“Zulaikha... atau nama sebenarnya, Isabel Matthews adalah operatif ECLIPSE. Ditugaskan menyamar sebagai anak Tan Sri, untuk lindungi waris sebenar.”

Wajah Puan Sri Helena membeku. Dia menatap Hadif, kemudian berpaling semula ke arah Zulaikha. Kekeliruan dan kejutan menyelubungi wajahnya.

“Anak kandung...? Anak saya...Zulaikha Isabelle yang sebenar... dia dah meninggal dunia sepuluh tahun lepas. Sejak dilahirkan dia ada komplikasi hati. Saya dan Rizal... kami tak ada anak lain.”

Hadif kelihatan serba-salah. Tapi dia perlu teruskan.

“Puan Sri... sebenarnya Tan Sri Rizal telah berkahwin dua. Isteri keduanya meninggal dunia lima belas tahun lalu dalam kemalangan. Mereka ada seorang anak lelaki. Sejak itu, anak itu dijaga oleh keluarga angkat. Identitinya dirahsiakan atas faktor keselamatan. Sekarang dia berusia dua puluh tiga tahun.”

Wajah Puan Sri Helena pucat. Dia menggeleng perlahan, sukar mempercayai apa yang baru didengar.

Tubuhnya menyandar lemah pada sofa. Zulaikha menghampiri, risau melihat mamanya begitu.

“Ma...”

Puan Sri berpaling. Pandangannya menikam wajah Zulaikha yang kelihatan bersalah.

“Kau... kau kerja untuk Rizal? Kau tahu semua ni dari awal?”

Zulaikha tunduk. Suaranya tenggelam. “Ya.”

Pap!

Tiba-tiba tamparan kuat singgah di pipinya. Ruang menjadi kaku. Ivan bangkit refleks. Hadif menegang. Zayan dan Sofea tergamam di tempat masing-masing.

Pipi kanan Zulaikha merah. Dia perlahan-lahan mengangkat wajah, menahan sebak. Matanya berkaca.

“Aku sayang kau macam anak aku sendiri...” suara Puan Sri Helena bergetar sayu. “Aku anggap kau ganti anak aku. Rupanya kau cuma pelakon? Demi anak perempuan lain?!”

Zulaikha tidak membalas. Air matanya jatuh tanpa suara.

“Mama... maafkan Ika. Ika tak berniat nak-”

“Tak berniat? Tujuh tahun, Ika. Tujuh tahun kau tipu aku. Kau dengan Rizal... dua-dua penipu!” Air mata Puan Sri Helena mula gugur. Wajahnya merah menahan marah yang datang bersama kecewa dan hampa. Selama ini, dialah yang dipermainkan.

Tangannya terangkat semula, tapi Zayan sempat menangkap pergelangan itu.

“Puan Sri. Tolong bertenang," nada suara Zayan perlahan namun tegas.

Sofea segera menarik Zulaikha menjauhi sofa. Hadif mengangkat alat komunikasi yang terselit di kolar baju taktikalnya.

“Zareen, escort Cik Zulaikha ke bilik dia. Status: emosi tidak stabil.”

“Roger that. ETA tiga puluh saat,” suara Zareen bergema melalui alat komunikasi.

Hadif menoleh pada Zayan.

“Escort Puan Sri ke bilik tetamu. Taklimat kita sambung kemudian.”

Zayan mengangguk. Perlahan-lahan dia mengampu Puan Sri Helena yang kelihatan lemah dan terjelepok, emosinya belum reda. Langkah wanita itu longlai, pandangannya kosong.

Setelah suasana kembali tenang, Hadif menoleh ke arah Sofea.

“Cik Sofea. Saya perlukan beberapa maklumat tambahan. Boleh kita bincang sebentar?”

Sofea mengangguk perlahan. “Baik.”

Dia duduk semula, bersandar pada belakang kerusi. Tangan diletakkan atas meja taklimat.

Sementara itu, sampai di tingkat atas, Zayan mendahului dan membukakan pintu bilik tetamu yang berada di hujung koridor. Cahaya semula jadi masuk dari tingkap besar yang menghadap ke taman belakang. Tirai putih tipis ditiup angin lembut dari tingkap yang sedikit terbuka.

“Silakan, Puan Sri. Kalau perlukan apa-apa, tekan saja loceng atas meja sisi tu,” katanya sambil menuding ke arah loceng kecil berwarna perak.

Puan Sri Helena melangkah masuk. Matanya menyapu seluruh ruang katil bersaiz queen dengan cadar putih bersih, kerusi berlengan di sudut bilik, dan rak kecil berisi beberapa naskhah buku. Dia tidak berkata apa-apa, hanya berdiri memerhati dengan riak kosong.

Zayan diam. Tidak mendesak.

“Kalau Puan Sri nak makan, saya boleh ambilkan makanan dari dapur.”

Kali ini, Puan Sri Helena bersuara perlahan, “Tak perlu. Terima kasih, Zayan…”

Zayan hanya mengangguk sebelum melangkah keluar.

Wajah terkejut dan lemah Puan Sri Helena bermain difikirannya. Namun dia tidak mampu berbuat apa-apa. Inilah hakikat yang Puan Sri Helena terpaksa terima.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience