Bab 40

Romance Series 7113

Setelah Puan Sri Helena, Zulaikha dan Zayan keluar, Hadif dan Ivan mengambil tempat di meja taklimat. Mereka duduk bertentangan dengan Sofea. Suasana bilik senyap kecuali bunyi kipas pendingin hawa yang berputar perlahan.

"Saya percaya Cik Sofea ada fail maklumat aktiviti haram Tengku Rizz. Pada malam Zulaikha ditembak… Cik Sofea, atau lebih tepat, Agen S-05-677 ‘Sphynx’, turut berada di tempat kejadian." Hadif memandang tepat ke wajahnya. Nada suaranya tenang tetapi mengandungi tekanan.

Sofea tidak nampak terkejut. Pandangannya stabil, seolah-olah sudah bersedia untuk soalan itu. Dia tahu Hadif pasti mempunyai maklumat tentang dirinya.

"Ya, fail itu ada pada saya," jawab Sofea akhirnya. "Saya berjaya membuka peti keselamatan peribadi Tengku Rizz di pejabat R&R." Dia menjungkit kening, sedikit mencabar. "Tapi… bolehkah saya percayakan tuan?"

Hadif menghela nafas perlahan. "Saya tak boleh paksa awak atau Puan Sri untuk percayakan saya. Tapi saya sedang cuba selesaikan kes ini. Sama ada awak bekerjasama atau tidak… kes ini tetap akan berjalan."

Dia menyandarkan tubuh ke belakang kerusi. Ivan, di sebelahnya, duduk tegak dengan tangan bersilang, fokus pada setiap butir perbincangan.

"Jadi… tuan dah jumpa anak kandung Tan Sri?" tanya Sofea, matanya mengecil, cuba menilai reaksi Hadif.

"Ya," jawab Hadif ringkas. "Sekarang kami perlukan bukti untuk seret Tengku Rizz ke SC, dan mengaktifkan semula surat wasiat Tan Sri."

Ivan bersuara untuk pertama kali, nadanya rendah tetapi tegas. "Kalau betul fail itu lengkap, ia bukan sekadar boleh jatuhkan Tengku Rizz di SC. Ia boleh tarik perhatian pihak berkuasa antarabangsa. Tengku Rizz akan cuba hapuskan awak sebelum fail itu sampai ke tangan kami."

Sofea mengetap bibir, seolah-olah menimbang risiko. "Kalau begitu… kita perlu buat penyerahan di lokasi selamat. Saya ada syarat."

Hadif mengangguk perlahan. "Kita dengar dulu syarat awak."

Hadif mengangguk perlahan, memberi isyarat supaya Sofea teruskan.

"Ada tiga syarat," kata Sofea. Suaranya tidak keras, namun cukup tegas untuk membuat Ivan menegakkan duduknya.

"Pertama, saya hanya akan serahkan salinan fail itu. Bukan yang asli. Kedua, tuan perlu menjamin keselamatan saya, Puan Sri, dan Zulaikha. Ketiga…" Dia berhenti sejenak, pandangannya jatuh ke meja seolah-olah menimbang kata. “…jika sesuatu berlaku kepada saya sebelum fail itu sampai ke destinasi, fail itu akan dihantar secara automatik kepada pihak yang akan memusnahkan reputasi R&R Group sepenuhnya termasuk semua orang di dalamnya, tanpa pengecualian."

Ivan mengerutkan kening. "Itu macam ancaman, Cik Sofea."

"Itu jaminan," balas Sofea perlahan. "Saya tak bergurau bila nyawa saya yang dipertaruhkan."

Hadif memerhatikannya lama sebelum bersuara. "Baik. Tapi awak kena tahu, Tengku Rizz ada ramai operatif perisikan yang setia. Cepat atau lambat, identiti awak sebagai ‘Sphynx’ akan terbongkar. Kita perlu pastikan awak tidak dibunuh sebelum penyerahan."

Sofea menyandarkan tubuh, menyilangkan tangan. "Saya sudah hidup dalam bahaya selama tiga tahun, sebagai setiausaha peribadi Tengku Rizz. Saya hanya mahukan keadilan untuk arwah Tan Sri Rizal. Saya dan Zulaikha… banyak terhutang budi padanya."

Hadif memandang sekilas ke arah Ivan. "Okay, saya setuju."

-------

10:00 malam

Puan Sri Helena terbaring di atas katil empuk beralas cadar satin putih. Pandangannya kosong, terpaku pada siling pucat yang dibasahi cahaya lampu meja sisi. Rasa sesak di dada masih mencengkam, seolah-olah ada batu besar menindihnya. Nafasnya berat, tidak sekata.

Satu demi satu memori bersama Tan Sri Rizal berputar di kepalanya
Senyuman lelaki itu ketika mereka muda, hingga ke detik-detik mesra yang kini terasa seperti kepalsuan. Dia tidak pernah menyangka… suaminya, yang selama ini dianggap setia, rupanya menyimpan rahsia sebesar itu. Selama dua puluh empat tahun, Tan Sri Rizal menduakannya.

Dan Zulaikha…

Nama itu bergema di fikirannya. Seorang gadis yang hadir di ambang kemurungan hidupnya, ketika hatinya begitu merindukan sosok seorang anak. Gadis itu pandai mengambil hati, manis tutur katanya, sehingga kasih sayang yang pada awalnya sederhana… menjadi terlalu dalam untuk dibendung. Sehingga dia rela membiarkan Tan Sri Rizal memindahkan saham syarikat kepada gadis itu.

Dia masih ingat bagaimana Tan Sri Rizal memperkenalkan Zulaikha sebagai anak kepada sahabat lamanya. Katanya, Zulaikha yatim piatu, kehilangan kedua ibu bapanya dalam kemalangan. Puan Sri Helena dengan hati terbuka menerima gadis itu tanpa sedikit pun prasangka. Tambahan pula, dengan sikap Zulaikha yang lemah lembut, sopan, dan penuh rasa hormat, sesiapa saja pasti akan jatuh kasih padanya.

Namun kini… setiap detik indah itu terasa terpalit noda.

Puan Sri memejamkan mata rapat-rapat, cuba menghalau gelombang rasa marah dan kecewa yang bergolak. Air mata menitis perlahan membasahi bantal.

Bunyi ketukan perlahan di pintu memecah lamunannya.

"Masuk," katanya lemah.

Zareen melangkah masuk dengan dulang makanan.

"Puan Sri, makanlah dulu. Dari pagi tadi Puan Sri tak jamah apa-apa," kata Zareen sambil meletakkan dulang di atas meja sisi.

Puan Sri Helena perlahan-lahan bangun duduk, bersandar di kepala katil. "Saya tak lalu nak makan," ucapnya perlahan, suara bergetar.

Zareen menghela nafas pendek. "Puan Sri masih marahkan Zulaikha?" soalnya lembut. "Agen macam kami ni tak pernah ada pilihan, Puan. Kami cuma ikut arahan. Misi berjaya… atau mati kerana misi gagal. Dan misi Zulaikha adalah menjaga Puan Sri dan anak Tan Sri."

Puan Sri Helena terdiam. Jari jemarinya saling meramas perlahan.

"Bagi Zulaikha," sambung Zareen, "Puan adalah orang pertama yang dia dapat panggil ‘ibu’..."

Puan Sri mengangkat wajah. "Apa maksud kamu?"

"Dia dibesarkan di rumah anak yatim. Tak pernah ada sesiapa yang dia boleh panggil ibu. Sebab itulah perasaannya begitu dekat dengan Puan. Mungkin… bagi dia, Puan memang ibunya. Dan dia sendiri terperangkap dalam misi ini," ujar Zareen, menatap wajah Puan Sri Helena. Matanya berkaca.

"Saya tak minta Puan maafkan Zulaikha," sambungnya lagi, suaranya serak. "Tapi saya harap… Puan dapat memahami situasi dia."

Puan Sri Helena menunduk. "Saya tahu… Rizal pilih orang yang betul untuk pegang amanah dia. Tapi… sakitnya… saya rasa nak telan semua penipuan ini." Dia menggeleng perlahan. "Saya perlukan masa."

Zareen hanya mengangguk, memahami. Dia melangkah keluar tanpa menambah kata, membiarkan Puan Sri sendirian.

Hi gais. Boleh tengok dalam TikTok AishahGazali_Author. saya ada buat visual Ai untuk semua watak penting dalam novel ini. Maaf jika tidak menepati cita rasa anda ya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience