Kafe Serambi Senja, Damansara Perdana. 8:30 malam
Kipas siling berputar perlahan, menggerakkan udara malam yang nyaman bersama bau tumisan makanan. Alunan muzik jazz instrumental menyelinap lembut ke ruang telinga, namun tenggelam dalam suara pelanggan yang berbual perlahan.
Zayan tiba lima belas minit lebih awal. Dia sudah terbiasa berdisiplin dan menepati masa.
Dia memilih meja di hujung, terlindung sedikit di balik tiang batu yang terbuka menghadap jalan raya. Kemeja kelabu gelap membaluti tubuh tegapnya kemas. Lengan dilipat ke paras siku ala 'lipat samseng' seragam komando. Tangannya sesekali menyentuh gelas kosong, matanya pula meliar tanpa arah, namun hakikatnya dia sedang menunggu. Diam. Sabar. Sedikit gugup.
Zulaikha tiba sepuluh minit lewat, namun langkahnya yang tenang, senyum kecil yang manis, dan penampilannya yang sederhana tetapi memikat blouse satin biru lembut dan palazzo putih bersih membuatkan masa seolah-olah terhenti sebentar buat Zayan.
Tanpa sedar Zayan berdiri perlahan.
"Maaf saya lambat. Trafik dari Mont Kiara agak sesak tadi," ucap Zulaikha sambil meletakkan clutch di atas meja.
“Tak ada masalah. Saya pun baru sampai,” balas Zayan pantas, namun nadanya sedikit bergetar. Gugup. Janggal. Dia sendiri sedar tapi tak mampu kawal.
Zulaikha tersenyum kecil, tawa halus mengiringi.
"Awak nampak lain hari ni..."
Zayan cuba tersenyum juga, walaupun tangannya sedang mengelus permukaan meja tanpa sedar.
“Sama je macam selalu,” balasnya, sedikit kekok. Dia menarik nafas perlahan, cuba menenangkan degup jantung sendiri.
Seorang pelayan datang menghampiri untuk mengambil pesanan.
“Saya nak teh panas. Awak?” tanya Zulaikha, matanya merenung Zayan sambil tangannya membuka buku menu.
“Teh o ais. Dan... nasi goreng kampung,” jawab Zayan ringkas.
Zulaikha mengangkat kening. "Awak belum makan malam ke?"
“Belum. Lepas habis kerja, saya terus ke sini,” jawab Zayan jujur.
Beberapa saat berlalu tanpa bicara. Hanya muzik jazz dan bunyi cawan mengisi ruang sunyi antara mereka.
Zulaikha menguis-nguis hujung jari perlahan, sesekali mencuri pandang ke wajah lelaki di depannya. Dia cuba tenang, tapi dalam hati bergelora.
Zayan pula, dia tidak gugup ketika menjalankan misi tetapi bila melibatkan hal emosi dan wanita... dia berasa seperti rekrut baru yang masih belum lulus kursus latihan asas polis.
“Bodoh,” gumamnya dalam hati. Menyumpah dirinya sendiri kerana terlalu gugup.
Makanan sampai beberapa minit kemudian.
Zayan makan dengan berselera. Teh o ais diteguk hingga hampir habis.
Zulaikha hanya menghirup teh panas perlahan. Sesekali dia mengelap bibirnya dengan tisu, bimbang kelihatan comot. Entah mengapa, secawan teh terasa begitu banyak malam ini. Tidak habis-habis.
Hakikatnya, dia belum makan sejak tengah hari. Tapi dia malu. Takut kalau mulut comot. Atau ada cebisan makanan melekat di gigi. Atau... Zayan nampak rupa gelojohnya ketika makan. Cukuplah sekali ketika mereka tersesat dalam hutan dua minggu lalu. Dia tidak akan lagi menunjukkan dirinya yang tidak terurus pada Zayan.
Dia tidak mahu mengulang kesilapan itu. Dia malu. Entah bagaimana rupanya sewaktu dia menangis histeria di dalam hutan ketika itu. Jika boleh dia mahu memadam ingatan Zayan ketika itu.
Zulaikha tersenyum kecil melihat Zayan makan.
Dia suka segala-galanya tentang lelaki itu.
Rahangnya yang kukuh. Wajah Melayu klasiknya. Kulitnya yang gelap sedikit mungkin terbakar matahari atau kesan bertahun di medan luar. Tubuhnya tegap pasti kerana latihan intensif yang dilaluinya. Rambutnya sentiasa disikat kemas ke belakang. Wajahnya serius, tapi dalam diam... membuatkan hati rasa tenang.
“Awak tak makan?” soal Zayan tiba-tiba, memecah kekok antara mereka. Dia menyuap satu sudu terakhir nasi gorengnya dan mengangkat pandangan.
“Tak. Dah kenyang,” jawab Zulaikha perlahan, menelan air liur. Padahal, perutnya sedang berkeroncong.
Zayan mengangguk perlahan. Selesai makan Zayan menolak pinggan dan cawan kosong ke tepi. Fokus pada Zulaikha.
"Awak makan apa tadi?" soal Zayan tiba-tiba.
"Hmm... spageti bolognese," jawab Zulaikha, pantas, tetapi nada suaranya tidak begitu meyakinkan. Dia menunduk sedikit, menyembunyikan riak wajah yang sedikit bersalah.
Zayan mengerutkan dahi. Sebagai bekas anggota skuad khas, dia cukup mahir membaca bahasa tubuh. Pergerakan kecil Zulaikha tangan kanannya yang beberapa kali mengusap perut, duduk yang tidak selesa, dan senyuman yang dibuat-buat cukup memberi petanda.
Dia tahu Zulaikha berbohong.
Zayan menyandarkan tubuh ke kerusi, mengatur ayat dengan berhati-hati agar tidak membuatkan mereka dua berasa janggal.
"Saya tak pasti apa makanan kegemaran awak, jadi saya pesan mushroom soup dan garlic bread, ya?"
Tanpa menunggu jawapan, dia melambai pelayan. Zulaikha tersentak sedikit.
"Eh, tak payah susah-susah. Saya dah kenyang, betul!" Zulaikha menggeleng pantas, tangannya kembali mengusap perut.
Zayan tersenyum kecil, tidak berkata apa-apa. Dia pernah melihat tingkah seperti itu dulu semasa zaman sekolah, ketika bercinta dengan rakan sekolah menengah yang juga malu-malu mahu makan semeja dengannya.
"Tak apa. Saya yang ajak awak datang kedai ni, tapi awak taknak makan pulak."
Zulaikha diam. Pandangan matanya meliar ke arah pelanggan lain di restoran. Ini kali pertama mereka bertemu janji.
Beberapa minit kemudian, sup dan roti sampai di meja. Aroma hangat bawang putih dan krim sup memenuhi ruang kecil antara mereka.
Dengan sedikit teragak-agak, Zulaikha mencapai sudu. Dia mencelup perlahan dan menyuap sedikit ke mulut.
"Hmm... sedap juga," katanya perlahan, hampir berbisik.
Zayan mengangkat kening sedikit. "Makanlah."
Zulaikha tersenyum malu. Suasana yang tadi terasa tegang sudah mula kendur. Mereka berbual ringan tentang makanan, cuaca, filem terbaru dan sebagainya.
Zulaikha mengelap mulut dengan tisu. Mereka berpandangan seketika. Tiada kata, hanya senyuman mengusik dua jiwa yang mula tumbuh bibit-bibit cinta.
Anehnya cinta. Insan dari dua dunia yang berbeza, bertemu dan berkongsi perasaan yang sama. Adakah cinta ini akan kekal selamanya?
Share this novel