Bab 21

Romance Series 7113

Bilik Taktikal Sementara, ECLIPSE SAFE HOUSE.

36 jam selepas insiden Hotel Sri Andaman

Cahaya dari skrin monitor menyinari wajah tegang Ivan. Tangannya lincah menggerakkan tetikus sambil mengezum rakaman CCTV. Gambar pegun menunjukkan dua susuk tubuh berpakaian serba hitam, lengkap bertopeng taktikal dan memakai sarung tangan. Tubuh langsing dan gaya pergerakan tangkas itu jelas menunjukkan penyerang adalah seorang wanita.

"Hmm… memang internal breach," ujar Ivan perlahan. Suaranya berat. Tangan kanan menyeluk ke dagu, menggosok dagu yang mulai kasar. "Laluan penembak terlalu tepat. Dia tahu blind spot setiap penjuru bangunan."

Zayan berdiri di sisi Hadif dan Zareen, matanya tajam meneliti gerak tubuh dalam rakaman itu. Sekali pandang, ia kelihatan seperti gerakan agen terlatih. Pergerakan terlalu bersih untuk seorang amatur.

"Kita dah mula trigger full-spectrum scan," sambung Ivan. "Semua senarai tetamu, operatif, staf hotel, termasuk tunang Tengku Rizz, semuanya dah diserahkan kepada unit risikan untuk profiling dan deep audit. Mana-mana access log juga sedang dikaji semula."

Zareen bersuara perlahan tetapi tegas. "Semasa insiden berlaku, Cik Zulaikha Isabelle tiada di lokasi. Dia hilang dari pengawasan sekurang-kurangnya dua puluh minit sebelum tembakan."

Zayan memaling wajah ke arah Zareen. Riak wajahnya berubah.

“Dia baru balik ke Malaysia dua minggu lepas…” ujar Ivan sambil mengangkat kening. Tubuhnya disandarkan ke belakang kerusi.

Hadif mengangguk sedikit. “Aku kenal dia secara profesional. Anak Tan Sri Rizal. Tapi betul kata Zareen. Protokol tetap protokol. Semua orang perlu disiasat.”

Ivan menarik nafas. “Kalau betul dia terlibat... kita berdepan dengan sleeper agent. Dan dari cara dia bergerak, dia bukan ejen biasa.”

Zayan terdiam. Perbincangan ini membuat dadanya terasa sesak. Namun dalam keadaan ini, hasil siasatan tidak memihak pada Zulaikha. Semua orang perlu disiasat secara telus.

Jika dahulu memang Zulaikha seorang yang manja dan penakut. Namun dalam tempoh tiga tahun ini apa yang terjadi pada Zulaikha?

Zayan menyilangkan tangan di dada. Serabut dengan teori Zulaikha adalah penyerang hendap yang cuba membunuh Tengku Rizz. Nafas dihela dalam. Dia hanya mampu berharap penyerang hendap itu di tangkap segera, agar Zulaikha boleh disingkirkan dari senarai suspek.

“Kita tak boleh buat kesimpulan.
Jadi kita serahkan kepada unit risikan untuk verifikasi identiti penuh. Dalam masa 72 jam, semua latar belakang akan dijalankan full sweep," ucap Ivan bersemangat.

Hadif mengangguk perlahan. “Kita jalankan protokol. Semua orang disiasat. Tanpa pengecualian.”

Zayan mengalihkan pandangan dari skrin. Dia mengetap rahang. Dahinya berkerut. Sebagai operatif, dia tahu keutamaan adalah keselamatan klien. Namun sebagai seseorang yang pernah mengenali Zulaikha… ini sukar untuk diterima.

Zayan melangkah keluar dari bilik taktikal, tanpa berkata apa-apa.

------

ECLIPSE SAFE HOUSE. Bilik Zulaikha Isabelle, tingkat Atas.

2:17 pagi.

Cahaya suram dari lampu dinding koridor membias lembut pada jubin matte. Sunyi. Hanya bunyi desiran pendingin udara berlegar perlahan di sepanjang lorong.

Zayan berdiri rapat ke dinding, betul-betul di bawah kamera CCTV yang berputar perlahan mengikut paksi tetap.

“Tiga… dua… satu...sekarang.”

Zayan bergerak. Cepat, senyap. Tubuhnya menyelinap dalam bayang-bayang, merapati pintu bilik milik Zulaikha Isabelle.

Dari poket seluar taktikal, dia mengeluarkan alat pembaca RFID mini. Petang tadi, dia sengaja ‘tersentuh’ kad akses Zulaikha di ruang makan. Cukup untuk menangkap frekuensi cip.

Pap!
Lampu hijau kecil menyala. Pintu berbunyi lembut.

Zayan menolak daun pintu perlahan, cukup untuk menyelit masuk. Dia melangkah senyap, menutup semula pintu tanpa sebarang bunyi mekanikal. Langkahnya terlatih, ringan, tanpa tekanan pada lantai.

Di dalam bilik gelap dan teratur. Katil dirapikan sempurna, selimut dilipat rapi. Meja solek bersih, kosong dari kesan penggunaan peribadi.

Zayan mengimbas sekeliling. Otaknya ligat bekerja.

Dia perlu cari bukti atau sesuatu yang dapat menyedapkan hatinya. Sesuatu yang membuktikan Zulaikha bukan suspek utama. Bukti yang dapat menolak naluri agen terlatih yang telah berkhidmat selama empat belas tahun sepertinya. Semuanya hanya kebetulan. Teori Hadif, Zareen dan Ivan tidak betul, dia perlu memastikan perkara itu.

Dia bergerak ke meja sisi. Laci dibuka perlahan.

Kosong.

Zayan menuju ke almari pakaian. Tangan membuka pintu kayu perlahan-lahan. Di rak paling atas satu tas kecil berzip, jenis beg berjenama yang selalu Zulaikha bawa seperti dulu.

Zayan tarik nafas. Zip dibuka perlahan. Dahi berkerut. Jangkaan Hadif, Zareen dan Ivan… ternyata tepat.

Isinya, sepasang sarung tangan sniper karbon sintetik, lapisan dalaman berpad, cengkaman luar bergetah. Profesional. Jenis yang hanya digunakan oleh unit penembak jarak jauh.

Riak wajah Zayan serta merta berubah.

Di bawah sarung tangan itu sebotol suplemen plastik putih. Dilabel sebagai suplemen kesihatan.

Botol terlalu generik. Tiada cop farmasi. Pil di dalam berwarna kelabu kehijauan. Tiada cetakan. Tiada logo.

Dada Zayan terasa sesak. Hatinya mahu menafikan segala bukti di depan mata. Namun naluri seorang agen terlatih mengatakan sebaliknya.

“Ya Allah...apa ni Zulaikha?"

Dengan berhati-hati, dia membuka penutup. Menggunakan pinset halus dari kit taktisnya, dia mengambil sebutir pil dan memasukkannya ke dalam tiub makmal mini. Sarung tangan turut disimpan dalam kantung plastik bukti.

Tap! Tap!
Bunyi lantai di luar bilik. Derapan tapak kaki. Seseorang menghampiri.

Klik.
Pemegang pintu dipulas.

Zayan pantas menyelinap ke belakang almari tinggi, masuk ke ruang sempit antara kayu dan dinding. Nafasnya ditahan.

Pintu terbuka.

Zulaikha melangkah masuk. Rambut masih basah. Jaket sukan hitam nipis membalut tubuh. Tuala di tangan. Wajah tenang tetapi langkahnya terhenti.

Dia memandang ke arah meja. Matanya meliar. Ada sesuatu yang tidak kena.

Senyuman perlahan-lahan terukir di bibir.

Zuppt!
Pisau taktikal kecil meluncur deras ke arah bayang.

Zayan sempat membelok, mengelak di saat akhir. Pisau tertanam ke rak kayu. Dia serta-merta menerpa keluar, menjatuhkan Zulaikha ke atas katil dengan gerakan pantas dan tepat.

DUMPH!
Zulaikha tertiarap. Kedua-dua tangannya dikunci ke belakang. Mulutnya ditekup.

“Shhh... Saya Zayan,” bisik Zayan di telinganya. Suaranya perlahan, tetapi mendesak.

Zulaikha diam beberapa saat. Kemudian, perlahan-lahan mengangguk.

Zayan longgarkan genggaman.

Silap.

Zulaikha berpusing dan melepaskan double kick ke arah torso. Zayan terdorong ke belakang, terhantuk sisi almari.

Dia bangkit serta-merta. Nafas deras. Kini mereka berdiri, saling berhadapan.

Zulaikha menyerang lagi. Tumbukan lurus ke dada. Zayan menepis dan memusing tangan wanita itu 'outside wrist lock'. Tapi Zulaikha meleraikan kuncian dengan gerakan siku bawah.

Mereka bertarung.
Tanpa suara. Pantas. Cekap.

Zayan memandang mata wanita itu. Kosong. Tiada emosi. Tiada ekspresi. Bukan Zulaikha yang dia pernah kenal.

“Apa yang dah jadi pada awak...” gumam Zayan perlahan.

Zulaikha menyerang sekali lagi. Zayan tangkap pergelangan tangannya, menahan.

“Zulaikha… saya ni. Zayan.” Suaranya perlahan, tetapi penuh makna.

Zulaikha terhenti. Dahi berkerut. Nafasnya tidak menentu. Tangan perlahan-lahan menurun.

“Zayan…?” Dia mengulang, seolah menyoal dirinya sendiri. Matanya menatap wajah lelaki di hadapannya.

Tiba-tiba dia mengerang kecil. Tangan mencengkam kepala. Dia terdorong ke belakang, tidak stabil.

Zayan mendekat. “Zulaikha!?”

Dia cuba menyentuh bahunya.

ZRAKK!

Leher Zayan dicengkam kuat. Jari-jemari Zulaikha mencengkam erat leher Zayan . Zayan tersentak. Tapi kali ini dia bersedia. Bahu kanan dinaikkan, teknik pelepasan cekikan. Dia pusing ke kiri, lalu menghentak lengan kanan ke pergelangan tangan Zulaikha.

Pegangan terlepas.

Zayan segera memaut bahu Zulaikha dan menolak tubuh wanita itu ke dinding. Ditatap wajahnya rapat. Nafas mereka berselang.

Zulaikha menggigil. Nafas mula tidak teratur.

“Siapa… awak sebenarnya?” soalnya. Suaranya nyaring, tapi terperangkap dalam bisikan. Matanya keliru. Penuh tanda tanya.

Zayan terpempan. Tiada jawapan. Matanya terasa pedih. "Awak tak ingat?" bisik Zayan. Nada suaranya bersulam sayu.

Apa yang dah jadi pada dia selama tiga tahun ni?

Apa yang patut aku buat?
Macam mana aku nak selamatkan dia dari ECLIPSE, dan dari kawan-kawan aku sendiri?

Lambat laun Zulaikha pasti akan ditangkap. Hadif pasti akan mengarahkan protokol "contain and confirm" iaitu tahan dahulu, soal siasat kemudian.

Sekiranya Zulaikha dilabel sebagai sleeper agent, misi tangkapan akan diklasifikasikan sebagai Level-4 Threat Extraction. Hadif pasti mahu Zulaikha ditangkap hidup-hidup. Membayangkan Zulaikha ditangkap membuatkan Zayan bagai nak gila.

Tidak mungkin. Tidak mungkin. Zayan menggeleng perlahan.

Bahu Zulaikha dilepas perlahan. Zayan meraup wajah. Dahinya berkerut. Dadanya sesak diserbu pelbagai persoalan.

Share this novel

Fatimah Mutazali
2025-07-28 13:18:05 

thanks update author teruskan berkarya


NovelPlus Premium

The best ads free experience