Bukit Tunku. Banglo Tan Sri Rizal.
Angin petang berhembus lembut, menyentuh pepohon palma di halaman banglo mewah milik Tan Sri Rizal. Suasana damai itu kontras dengan gelora hati Zayan yang duduk tegak di bangku batu berhampiran kolam ikan koi. Pandangannya tidak lepas dari balkoni bilik di tingkat atas, bilik Zulaikha. Tirainya bergerak perlahan ditiup angin, namun kelibat gadis itu tidak kelihatan.
Beberapa minit kemudian, pintu utama terkuak. Puan Sri Helena muncul, membawa dulang berisi dua cawan kopi dan beberapa keping biskut. Wajahnya masih tenang seperti selalu, tersenyum mesra. Refleks tentera, Zayan bingkas bangun tanda hormat.
“Duduklah, Zayan.” ucap Puan Sri Helena sambil duduk di kerusi rotan bertentangan dengannya.
Zayan tersenyum kecil, kembali duduk dengan tertib. Dia menyambut cawan kopi yang dihulurkan wanita itu.
“Maaflah… Zulaikha tak nak keluar bilik. Sejak pagi dia murung saja,” ujar Puan Sri perlahan.
“Tak mengapa, Puan Sri. Sebenarnya saya pun datang bukan sebab dia semata. Saya nak jenguk Puan Sri juga. Dah lama tak datang sini,” balas Zayan, cuba menenangkan suasana. Tangan kanannya menyuap biskut ke mulut, tapi matanya masih melirik ke tingkat atas.
Beberapa detik sunyi mengisi ruang antara mereka sebelum Puan Sri Helena menarik nafas panjang. Dia meletakkan cawan di atas meja kecil dan memandang Zayan dengan pandangan yang sukar ditafsirkan.
“Zayan... saya ada satu perkara penting nak beritahu.”
Nada suaranya berubah serius. Zayan mengangkat wajah, bersedia mendengar.
“Hujung minggu ni, saya dan Zulaikha akan berpindah ke Kanada. Saya dah lama berbincang dengan rakan saya di sana, dia ada pusat pemulihan khusus untuk pesakit PTSD. Saya harap... rawatan tu dapat bantu Zulaikha sembuh.”
Jantung Zayan seakan terhenti seketika. Dia memandang ke arah balkoni yang tadi, kali ini dengan tatapan kosong. Angin petang terasa lebih dingin daripada biasa.
Dia menghela nafas perlahan.
“Saya faham, Puan Sri. Kalau itu yang terbaik untuk dia... saya doakan semuanya dipermudahkan.”
Puan Sri Helena menatap wajah Zayan lama, seakan mencari kekuatan dalam matanya sebelum bersuara perlahan, “Terima kasih kerana sudi ambil berat tentang Zulaikha selama ini. Saya juga ingin mohon maaf... bagi pihak arwah Tan Sri. Atas semua yang berlaku.”
Zayan mengangguk perlahan. Matanya berkaca, namun dia menahan gelora di dada.
“Saya tak pernah simpan rasa marah pada arwah Tan Sri,” ujarnya dengan suara yang sedikit bergetar. “Saya faham... Tan Sri cuma seorang ayah yang mahu lindungi anaknya. Dan saya pun tak pernah salahkan sesiapa.”
Suasana sepi seketika. Angin petang terus menderu lembut, membawa bersama aroma kopi yang masih hangat di tangan Zayan. Mungkin... ini adalah kali terakhir dia akan bertemu mereka. Mungkin... ini juga masa untuk dia belajar melepaskan.
Di sebalik tirai nipis yang terjuntai di balkoni biliknya, Zulaikha memerhati perbualan itu dalam diam. Dadanya terasa sesak.
Ada rasa rindu yang mengetuk-ngetuk pintu hati. Rindu pada suara Zayan. Pada senyum redup yang selalu menenangkannya. Tapi dalam masa yang sama, ada luka yang masih belum sembuh. Ada cinta yang sudah terlalu penat untuk diperjuangkan.
Mungkin benar... sudah tiba masanya dia juga harus belajar melepaskan.
------
Tiga Tahun Kemudian.
Bilik Taklimat Utama, Markas ECLIPSE. 8:30 pagi. Rabu
Paparan holografik tiga dimensi memantulkan pelan lantai penuh Hotel Sri Andaman, lengkap dengan laluan keluar-masuk, sistem tangga kecemasan, dan titik buta kamera. Di hadapan dewan taklimat, Alisa, pakar risikan ECLIPSE, berdiri tegak sambil mengarahkan penunjuk laser ke arah sektor timur hotel.
“Majlis pertunangan Tengku Rizz akan berlangsung Sabtu ini. Mengikut laporan SIGINT dan HUMINT terkini, dua pembunuh upahan, Black Cat dan Sphynx, dikesan berada di dalam negara. Sumber kita percaya mereka tidak akan lepaskan peluang ini.”
Wajah-wajah operatif taktikal yang bersidang dalam bilik itu berubah tegang.
“Mereka memburu ahli Shadow Council. Setakat ini, motif utama masih kabur tapi pola operasi mereka konsisten, precision kill, zero trace. Kita takkan biarkan pembunuhan seperti kes Tan Sri Rizal tiga tahun lalu berulang,” sambung Alisa, suaranya tenang tapi tegas.
Di barisan hadapan, Ivan pakar sistem pengawasan ECLIPSE, mengangguk kecil.
“Ivan, kau jaga keseluruhan sistem CCTV dan data feed dari tapak lokasi. Tugas kau kenal pasti sebarang penyusupan sistem, laluan keluar rahsia dan pengesanan termal,” arah Alisa.
“Roger that, bos” balas Ivan santai.
“Zayan, kau tetap sebagai Overwatch Sniper dari posisi bumbung Park Royale . Khal jadi spotter kau seperti biasa. Koordinat dan ‘kill box’ akan dimuat naik sejam sebelum acara bermula.”
Zayan mengangguk, membetulkan jaket taktikal di bahunya. Wajahnya tenang seperti biasa.
“Hanif, Zafran, Rafiq, dan Dee Strike Team Alpha. Kau orang akan selaraskan perimeter luar dan sediakan pelan kontingensi sekiranya ada breach dari dalam atau luar hotel.”
“Copy,” jawab Hanif dengan suara garau dan serius. Bekas operatif Skuadron Sierra 11 Rejimen Gerak Khas yang berusia empat puluh tahun itu menjadi ketua 'Strike Team Alpha'.
“Vikings as team Bravo, fokus kau orang adalah Close Protection Unit (CPU) untuk VVIP. Kau orang akan menyamar sebagai kakitangan hotel dan pengiring protokol." Enam orang operatif ECLIPSE dari team Vikings mengangguk faham.
"Hadif dan Zareen akan hadir sebagai pasangan VVIP.”
Semua mata berpaling ke arah Hadif dan Zareen yang duduk bersebelahan di sisi kanan bilik. Ada getaran halus pada senyuman Zareen, sedang Hadif sekadar mengangguk sambil bersandar ke belakang kerusinya. Sebagai salah seorang ahli tertinggi ECLIPSE sudah tentu Hadif perlu hadir sebagai VVIP dengan isterinya.
“Kita akan mulakan Ops STRAY CAT jam 0600 petang hari Sabtu. Semua unit akan bergerak 48 jam sebelum acara. Kita kendalikan ini seolah-olah musuh ada di setiap penjuru. Tiada ruang untuk kesilapan.”
Alisa mematikan paparan dan menatap satu per satu wajah operatif yang terlibat.
“Let’s move. Dismissed.”
--------
Parkgreen Kondominium, Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Kediaman Peribadi Hadif. Sabtu 5:30 petang
Cahaya matahari petang menyusup masuk melalui tingkap kaca besar, membias indah ke permukaan marmar putih berkilat. Di ruang tamu kediaman mewah kondominium berstatus tinggi itu, suasana tampak damai. Di dalam baby cot berhampiran dinding, si kecil Ayra Alyssa yang kini berusia tujuh bulan sedang lena dibuai mimpi, tangannya sesekali bergerak seakan menggenggam sesuatu dalam tidur.
Di bilik tidur utama, Zareen berdiri menghadap cermin bersaiz penuh. Gaun satin rona royal blue rekaan khas oleh pereka peribadi Hadif membaluti tubuhnya dengan sempurna. Potongannya moden tetapi sederhana, cukup bergaya untuk acara eksklusif, namun dalam masa sama membenarkan pemakaian pelindung tubuh ringan dan menyembunyikan dua senjata kecil satu disisip di paha kanan, satu lagi dalam beg tangan khas yang kelihatan seperti clutch biasa. Tudung satin biru lembut dililit kemas, menutup telinga tempat alat komunikasi disorokkan.
"Okay tak baju tu? Ketat?" Suara Hadif kedengaran dari ambang pintu, sedikit serak namun tenang, nadanya lebih kepada prihatin.
Zareen mengangkat kening melalui pantulan cermin, sambil menarik perlahan tali sarung pistol kecil di paha kanan untuk memastikan ia tidak terlalu ketat atau longgar.
“Tak. Gaun ni selesa. Tapi aku tak suka heels.”
Hadif tersenyum. Dia melangkah masuk sambil memperbetulkan tali leher hitam pada tuxedo Armani yang terletak kemas di tubuhnya. Di balik jaket formal itu, tersorok rompi kevlar ultra-nipis buatan khas ECLIPSE perlindungan ringan untuk majlis berprofil tinggi, tanpa menjejaskan penampilan.
“Why? You look so sexy with heels,” ujar Hadif dengan senyuman nakal, matanya sempat melirik ke arah kaki isterinya yang berbalut kasut tumit tinggi hitam dari Christian Louboutin setinggi tiga inci. Dan yang pasti kasut itu tidak akan singgah lama di kaki Zareen.
Zareen membalas dengan menjeling sinis. “Mungkin aku patut bunuh orang guna heels lepas ni, kan sayang?”
Hadif tergelak kecil. Dia mencapai tablet di atas meja sisi, membuka aplikasi intel live-feed. Paparan menunjukkan Zafran dan Khal sudah berada di lokasi mereka sedang menjalankan pemeriksaan awal di perimeter hotel. Ivan berada di dalam SUV berhampiran hotel bersama Alisa, memantau sistem CCTV dan frekuensi komunikasi secara langsung dari unit bergerak.
Hadif melangkah mendekati Zareen, tangannya membetulkan posisi subcomms kecil di telinga isterinya. Jarinya menyentuh bahu wanita itu seketika satu sentuhan ringkas, tapi cukup memberi kekuatan.
"Kalau berlaku apa-apa, kau lindungi diri kau dulu. I can take care of myself."
Zareen menoleh separuh. “Aku ni operatif terlatih, Hadif. Kau tak perlu jaga aku.”
Hadif tersenyum dan mengangguk sedikit, sebelum menuju ke baby cot. Dia membongkok perlahan, mencium pipi Ayra yang tidur nyenyak. Bayi itu mengeluh kecil, namun tidak terjaga.
"As a husband, of course aku risau. Aku dah banyak kali suruh kau resign. Kau tak pernah nak dengar.”
Zareen menyandarkan bahu ke dinding, menyilang tangan. “Bila kita kahwin, kau tahu siapa aku. Kita sama-sama dalam dunia ni, Hadif. Kau pun bukan CEO biasa.”
Hadif memuncungkan bibir sedikit, tidak membantah. Dia tahu benar siapa Zareen wanita itu bukan sekadar bekas operatif UTK. Dia adalah antara yang terbaik. Tapi itu tidak menenangkan hati suaminya.
Tiba-tiba telefon bimbit Hadif berbunyi. Pesanan dari Ivan.
“Konvoi VVIP akan tiba dalam dua puluh minit. Final sweep selesai. No threats detected so far,” suara Ivan kedegaran dari pembesar suara.
Hadif menarik nafas panjang, memandang jam tangan taktikalnya. “Masa untuk bergerak.”
Zareen mencapai clutch hitam kecilnya, memeriksa senjata dan backup tool ringkas yang diselit kemas.
Hadif ke dapur mencari Pembantu rumah mereka. Mahu memaklumkan tentang Ayra yang tidur sendirian di dalam bilik.
Malam ini mereka bukan sekadar menghadiri majlis pertunangan eksklusif Tengku Rizz. Ini adalah siri rentetan ancaman keselamatan ke atas ECLIPSE.
Share this novel