ECLIPSE SAFE HOUSE. 11:45 malam
Kedinginan malam membaluti perjalanan mereka menuju ke sebuah banglo dua tingkat yang terletak di hujung kawasan berbukit, jauh dari laluan utama. Cahaya bulan samar-samar menyinari laluan berpagar tinggi, dikelilingi pepohon rimbun yang menambah aura rahsia tempat itu.
Tiga jam telah berlalu sejak insiden tembakan di Hotel Sri Andaman. Zayan dan Zareen kini mengiringi Hadif ke rumah selamat milik ECLIPSE, lokasi perlindungan sementara Tengku Rizz dan tunangnya.
Di luar banglo dua tingkat itu, beberapa anggota keselamatan bersenjata lengkap berpakaian taktikal sentiasa dalam kesiapsiagaan terhadap sebarang ancaman. Tiada suara, hanya pergerakan senyap dan isyarat tangan mengisi suasana. Protokol keselamatan berada pada tahap tertinggi.
Di ruang tamu, Tengku Rizz sedang duduk santai di atas sofa mewah bersama seorang wanita. Mereka menikmati makan malam lewat, kelaparan selepas seharian dalam ketegangan dan belum sempat menjamah apa-apa sejak petang tadi.
Melihat kelibat Hadif memasuki rumah, Tengku Rizz segera bangun. Senyumannya terukir lebar, penuh rasa lega dan syukur. Dia menghampiri sahabat baiknya lalu memeluknya erat.
“Thanks, bro. Untuk malam ni... I owe you,” ucapnya perlahan sambil menepuk belakang Hadif.
Hadif mengangguk, membalas pelukan itu dengan senyuman hambar. Keletihan jelas terpapar pada wajahnya.
Di belakang mereka, Zayan berdiri tegak. Diam. Pandangannya tidak tertumpu pada Tengku Rizz atau sekeliling, sebaliknya terhenti pada wanita yang duduk di sisi Tengku Rizz tadi.
Wajah itu...
Jantungnya bergetar.
Zulaikha Isabelle.
Tiga tahun. Tiga tahun tanpa sebarang khabar. Namun kini, wanita itu muncul di hadapannya, bukan sebagai sahabat, bukan sebagai kekasih, tapi... tunang kepada orang lain?
Zulaikha yang sedang menyuap suapan terakhir ke mulutnya berhenti apabila namanya dipanggil.
“Sayang,” ujar Tengku Rizz. Zulaikha menoleh, perlahan dia bangun berdiri. “This is my best friend, Hadif. His wife Zareen, and... his brother-in-law, Zayan.”
Zulaikha mengatur langkah perlahan. Matanya merenung wajah-wajah yang diperkenalkan satu persatu. Pandangannya terhenti lama pada Zayan. Dia mengerut sedikit kening. Ada getaran halus yang menjalar dalam dadanya. Perasaan yang tidak dapat dijelaskan. Seperti deja vu. Seolah-olah wajah itu terbenam di dalam dasar memori yang paling dalam.
Namun bibirnya tetap mengukir senyum kecil, senyuman profesional yang biasa digunakan dalam majlis sosial.
“Nice to meet you guys,” katanya lembut sambil mengangguk. Suaranya tidak goyah, tapi pandangannya kelihatan sedikit keliru. Seolah-olah ada sesuatu yang mengganggu fikirannya.
Zayan menelan liur. Nafasnya panjang. Dia cuba menahan gelora di dada. Tatapan mereka bertembung untuk beberapa saat.
Kosong.
Tiada sinar di mata wanita itu seperti dahulu. Tiada reaksi, tiada riak emosi yang membayangkan dia mengenali Zayan.
Namun... sesuatu dalam lirikan mata Zulaikha membuatkan jiwanya bergetar. Ada keresahan yang cuba disembunyikan di sebalik senyum tipis itu.
“Sayang… I nak naik atas dulu. Kepala I sakit. I rasa penat sangat,” ujar Zulaikha perlahan. Nada suaranya berubah menjadi lebih lemah, seakan mahu menghindar daripada suasana itu. Dia menyentuh sedikit dahinya, menunjukkan tanda sakit kepala.
Tengku Rizz mengangguk, “Go get some rest, sayang.”
Zulaikha melangkah pergi, namun sebelum hilang dari pandangan, dia menoleh sekilas. Matanya singgah sekali lagi pada wajah Zayan. Sekali lagi pandangan mereka bertemu.
Renungan kosong itu…
Zayan hanya berdiri membatu, menatap bayang Zulaikha yang semakin menjauh ke tingkat atas. Sedikit sebanyak perasaannya tercalar. Seolah-olah Zulaikha berpura-pura tidak mengenalinya.
--------
Tingkat Atas, Bilik Zulaikha Isabelle
Zulaikha menutup pintu bilik perlahan-lahan. Telinganya masih berdesing, seakan gema dari dunia luar enggan menghilang. Tubuhnya bersandar pada pintu kayu itu, matanya dipejam rapat sambil jemari menekan kuat pelipis kiri. Debaran di dada masih belum surut.
Nama itu... Wajah itu...
ZAYAN. ZAYAN. ZAYAN?
Kenapa nama itu terasa bagai ada sesuatu? Tatapan mata lelaki itu yang redup, namun tajam seolah menyentuh dasar jiwanya yang kelam dan berkecai.
Siapa dia...?
Zulaikha melurut perlahan ke lantai, duduk bersandar di pintu. Tangannya mencengkam rambut, menggenggam rasa bingung yang menyesakkan kepala. Nafasnya memburu. Dunia terasa seperti berputar.
Dengan langkah perlahan, dia bangkit dan berjalan ke arah meja solek. Tangannya menyelongkar tas tangan kecil berwarna hitam. Sebotol kecil pil dikeluarkan dan dilabel sebagai suplemen kesihatan.
Tanpa berlengah, dia membuka penutup botol dan mengambil sebiji kapsul. Air mineral di sisi katil dicapai, lalu kapsul itu ditelan pantas.
Tubuhnya sedikit menggigil, dia tahu kesan ubat itu akan menjalar ke seluruh sistem dalam lima belas minit. Perlahan-lahan dia duduk di hujung katil, tubuhnya membongkok sedikit, tangan menyokong dahi.
Namun fikirannya mula dirayapi sesuatu... serpihan bayangan... suara... bisikan.
“Zulaikha...”
Suara garau itu memanggilnya lembut. Seperti dalam mimpi yang mengganggu tidurnya. Tapi kali ini... ia terlalu jelas. Terlalu nyata.
Matanya terbuka luas. Degup jantungnya kembali rancak. Suara itu bukan mimpi... Suara itu dari masa lalu. Memori yang telah dirobek dan disembunyikan.
Damn it!
Zulaikha meramas rambut. Sakit kepala menjadi-jadi. Peluh menitik ke dahi. Dia cuba mengatur pernafasan, cuba mengurangkan sakit kepala yang menyerang.
Seketika kemudian, tubuhnya kembali menggigil kecil apabila kesan ubat mula merayap dari pangkal tengkuk ke seluruh saraf pusat. Emosi yang tadi bergolak kini mula diredam perlahan-lahan, seolah diselimut kabus pekat yang menenggelamkan segalanya.
Bayangan suara... wajah... nama Zayan lenyap sekali lagi.
Tiada ruang untuk emosi. Tiada masa untuk ragu.
Misi mesti diteruskan.
Dia berpaling ke arah tas tangan tadi. Tangannya perlahan-lahan menarik keluar sepasang sarung tangan taktikal hitam model khas untuk penembak hendap. TARIUS X7.
Sarung tangan itu... masih ada padanya. Dia hampir mencampakkannya tadi. Tapi nalurinya menghalang. Sebagai tunang Tengku Rizz, tiada siapa akan menyelongkar tas tangan peribadinya.
Zulaikha memandang sarung tangan itu lama. Dia mengetap rahang. Hari ini dia gagal lagi. Namun dia tidak akan berhenti.
Sasarannya adalah Tengku Rizz dan ECLIPSE. Dia akan runtuhkan semuanya.
Share this novel