Bab 6

Romance Series 718

"Kita perlu naik ke kawasan yang lebih tinggi. Mungkin di atas cerun sana ada isyarat," ujar Zayan sambil menunjuk ke arah sebuah bukit kecil yang curam, dipenuhi belukar dan pokok-pokok renek.

Zulaikha menelan liur. Pandangannya beralih ke arah cerun tersebut, kemudian kembali kepada Zayan. Wajahnya jelas berkerut, antara takut dan ragu.

"Naik... sana?"

Zayan mengangguk perlahan. "Saya akan bantu puan. Tapi puan kena kuat semangat. Itu saja cara kita boleh dapatkan bantuan."

Dengan langkah berhati-hati, mereka mula mendaki. Tanah yang basah akibat hujan menjadikan permukaan licin, dan setiap langkah memerlukan tumpuan. Beberapa kali Zulaikha hampir tergelincir, namun Zayan cekap menyambut tubuhnya setiap kali itu berlaku.

"Letak kaki rapat ke tanah. Pegang pokok atau dahan yang ada. Jangan panik," arah Zayan, suaranya masih tenang walaupun tubuhnya sudah basah kuyup.

Selepas hampir lima belas minit mendaki dan meredah semak berduri, mereka tiba di satu kawasan lapang di atas cerun yang agak tinggi. Dari situ, mereka boleh melihat lembah hutan di bawah.

Zayan segera mengeluarkan telefon bimbit dari poket. Seketika kemudian, satu bar isyarat muncul. Lemah, tapi cukup memberi harapan.

"Alhamdulillah..." bisiknya. Tanpa melengahkan masa, dia menghantar koordinat lokasi terakhir mereka kepada Ivan dan Hadif menggunakan aplikasi pesanan ringkas. Walaupun tidak pasti sama ada mesej itu berjaya dihantar, dia perlu mencuba sebelum bateri kehabisan.

Sebagai langkah tambahan, Zayan mula mengumpulkan ranting dan daun kering lalu menyusunnya membentuk huruf ‘S.O.S’ di kawasan lapang tersebut tanda kecemasan sekiranya helikopter atau dron melintasi ruang udara.

"Puan, duduk sini sekejap." Dia menanggalkan jaket hitamnya dan menghamparkannya di atas tanah. "Saya nak siapkan penanda arah. Kalau kita perlu bergerak lagi, saya tak nak kita sesat semula."

Zulaikha duduk perlahan, tubuhnya masih menggigil kesejukan. Poncho yang disarungnya tidak banyak membantu, dan kasut yang dipinjam juga tidak selesa. Kakinya melecet. Namun pandangannya tidak lepas dari memerhati Zayan yang tekun menyusun ranting.

"Aaaahhhhhh!"

Jeritan Zulaikha memecah keheningan hutan. Pantas Zayan berpaling dan berlari ke arahnya.

"Puan?!" wajahnya cemas.

"Ulat... ada ulat...!" jerit Zulaikha sambil menunjuk ke tanah, air matanya mula bergenang. Zayan hanya menguis makhluk kecil itu dengan kaki, kemudian memandang Zulaikha yang sudah separuh menangis.

"Puan... saya dah pesan jangan jerit. Hutan ni bukan tempat biasa. Macam-macam ada. Suara kita boleh tarik perhatian...benda lain."

"Awak cakap senanglah! Saya takut!" Zulaikha menangis semahu-mahunya. Bahunya terhinggut-hinggut mengikut rentak tangisan yang menjadi.

Zayan meraup wajah. Nafasnya dihela dalam-dalam. Reaksinya mula terbeban dengan emosi Zulaikha yang semakin tidak terkawal. Dia juga risau jika Zulaikha tidak kuat semangat perkara lain pula yang akan terjadi.

Namun bila matanya tertumpu pada wajah Zulaikha yang pucat, kesejukan dan jelas keletihan. Malah ada kesan calar baru di wajah wanita itu. Rasa kasihan mula menyusup dalam diam.

"Puan, tolonglah... saya faham puan takut, tapi saya perlukan kerjasama puan untuk kita sama-sama selamat. Saya janji saya akan cuba sedaya upaya."

Zulaikha mengangguk perlahan, masih teresak-esak.

"K-kita kena tidur sini ke...?"

"Kalau tiada bantuan sampai sebelum malam ni, ya."

Tiba-tiba, lengan Zayan dipaut erat. Tanpa amaran, Zulaikha terus memeluk lengan lelaki itu. Tubuh Zayan hilang sedikit keseimbangan akibat pelukan mengejut itu.

"P-puan! Tolong bertenang..."

"S-saya tak boleh... s-saya takut..." suara Zulaikha terputus-putus, dia diserang panik. Esakannya semakin kuat.

Zayan terdiam. Dia benar-benar tidak tahu bagaimana hendak mengendalikan situasi itu lagi. Zulaikha semakin sukar dikawal emosinya. Panik, takut, dan letih telah menguasai seluruh tubuh dan jiwanya.

Tiba-tiba, kaki Zulaikha terasa longlai. Tubuhnya melurut ke tanah yang basah, lututnya terlipat tanpa daya.

"Puan?" Zayan merapat. “Zulaikha?”

Nafas wanita itu mulai tersekat-sekat, dadanya naik turun laju, wajahnya pucat, matanya kelihatan kosong.

Zayan segera mencangkung di hadapan Zulaikha. Dia memegang bahu wanita itu, matanya tepat ke arah wajahnya.

"Zulaikha, dengar suara saya...," ujarnya tenang tapi tegas. “Tarik nafas perlahan. Hembus. Tarik lagi. Ikut saya.”

Zulaikha cuba, tetapi tubuhnya menggigil. Tangannya menggenggam kuat jaket Zayan di hadapan.

"Saya tak boleh… saya rasa sesak… saya takut…" suaranya lemah dan terputus-putus.

“Zulaikha, tengok mata saya.” Nada Zayan berubah sedikit lebih lembut. Matanya tidak berganjak, cuba memindahkan kekuatan dan ketenangan kepada wanita yang semakin rapuh di hadapannya.

“Awak dah kuat sampai ke sini. Awak dah redah hutan, naik cerun, lawan ketakutan sendiri. Awak tak boleh berhenti sekarang. Awak boleh buat ni. Tarik nafas perlahan, ya?”

Mata mereka bertemu seketika, seolah-olah masa terhenti. Wajah basah Zayan, matanya yang dingin dan teduh, namun menenangkan seakan memberi isyarat bahawa dia tidak sendiri. Ada seseorang di sisinya.

Perlahan-lahan, dia menarik nafas. Hembus.

Sekali. Dua kali.

Tangannya masih menggenggam jaket Zayan, tapi kali ini lebih kendur. Nafasnya mula kembali stabil.

Zayan tidak berganjak. Dia terus berada di hadapan Zulaikha, memastikan wanita itu benar-benar stabil.

“Bagus. Macam tu. Awak dah buat dengan baik.” Suaranya turun menjadi bisikan mesra.

Zulaikha mengangguk perlahan, walaupun air mata masih mengalir. Dia lega kerana tidak dibiarkan sendirian. Anehnya, rasa selamat itu datang daripada seorang lelaki yang jarang tersenyum.

Beberapa saat berlalu dalam sunyi.

Zayan berpaling ke sisi, menilai keadaan persekitaran.

“Langit makin gelap. Kita perlu bergerak ke tempat lebih selamat sebelum malam turun sepenuhnya.”

Zulaikha mengangguk. Kali ini lebih yakin, walaupun tubuhnya masih lemah.

“Awak boleh bangun?” soal Zayan perlahan. Kata ganti nama Zulaikha sudah berubah. Tiada lagi 'Puan'.

Zayan hulurkan kedua belah tangan. Tanpa berkata apa-apa, dia menarik Zulaikha berdiri.

"Ya Allah. Permudahkanlah urusan kami," bisik Zayan perlahan. Sedikit sebanyak perwatakan Zulaikha yang manja, penakut dan clingy mula menjadi beban mental dalam situasi yang menuntut ketegasan dan rasional.

Namun, jauh di sudut hati, dia tahu... wanita itu tidak memilih untuk menjadi beban.

Zayan menarik nafas dalam. Cuba menenangkan diri. Sekurang-kurangnya salah seorang dari mereka perlu berada dalam keadaan rasional.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience