Bab 36

Romance Series 7113

Pavilion Residence, Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

6:30 petang.

Bau antiseptik menyengat hidung, menyatu dengan kesejukan penghawa dingin yang membelai kulit. Zulaikha mengerutkan dahi perlahan. Kelopak matanya berkelip beberapa kali, cuba menyesuaikan diri dengan pencahayaan dari lampu bilik.

Sakit.

Refleks, tubuhnya cuba digerakkan. Namun denyutan tajam di sisi pinggang kanan membuatkan dia mengerang perlahan, nafasnya terhenti seketika.

“Jangan gerak.”

Suara itu rendah, tegas... dan sangat dikenalinya.

Zulaikha berpaling perlahan. Di sisi katil, Zayan sedang duduk di atas bangku kayu, fokus pada tugasnya menanggalkan balutan luka di pinggangnya. Tangan lelaki itu bergerak cekap dan hati-hati.

“Zayan…” suara Zulaikha serak, seperti baru pulih dari mimpi panjang.

Dia cuba bercakap, tetapi tekaknya terasa kering.

Zayan bangun sebentar, mencapai cawan putih dari meja sisi. Disuakan straw ke bibirnya tanpa banyak bicara.

“Air?"

Zulaikha menyedut. Air suam menyelusuri kerongkongnya, memberi sedikit kelegaan. Dia mengangguk lemah sebagai tanda terima kasih. Zayan kembali duduk, menumpukan perhatian semula pada lukanya.

“Sakit...” keluhnya perlahan.

“Tahan sikit lagi. Saya dah bersihkan sekeliling luka. Sekarang letak dressing baru.”

Zulaikha memejam mata rapat-rapat, menahan rasa ngilu yang datang menyucuk. Nafasnya terhela pendek-pendek. Luka itu masih baru, dan setiap sentuhan terasa seperti disiram api. Jahitan sepanjang empat inci terletak sedikit di bawah tulang rusuk kanan. Zayan menyapu krim antibiotik dengan sapuan nipis, kemudian menampal semula dressing bersih.

Selesai. Gerakannya teratur. Tenang. Seperti jururawat terlatih.

Dalam keadaan separa sedar dan tubuh yang masih lemah, Zulaikha mula menyedari sesuatu. Tangan kanan meraba perutnya yang terdedah.

Eh.

Matanya membulat sedikit. Bajunya terselak hingga menampakkan perut dan pinggang. Reaksi spontan, dia menarik pakaian ke bawah dengan tangannya sendiri.

“Arghh!” Serentak tubuhnya mengerekot kecil. Sakit mencucuk kembali.

Kening Zayan berkerut. Dia mendekat sedikit. “Jangan bergerak kasar sangat. Nanti jahitan boleh terbuka semula.”

Tanpa banyak soal, dia membantu membetulkan kedudukan baju Zulaikha. Tarik perlahan ke bawah hingga menutup luka. Kemudian selimut ditarik menutupi dari paras pinggang ke bawah. Gerak-geri Zayan kekal tenang. Profesional. Sekadar menjaga pesakit. Namun lain yang bermain difikiran Zulaikha.

Pipi wanita itu merona merah. Dia berpaling ke sisi.

Zayan tidak menunjukkan sebarang reaksi. Dia langsung tidak menyedari apa yang bermain dalam fikiran Zulaikha.

“Nak makan?” soalnya akhirnya, dengan nada polos.

Zulaikha mengangkat kening. “Awak dah masak ke?”

Zayan angguk perlahan. “Saya buat bubur ayam.”

Belum sempat Zulaikha menjawab, Zayan sudah bangkit, menolak bangku ke sisi dan keluar dari bilik dengan langkah senyap. Pintu ditarik separuh rapat.

Zulaikha memejam mata semula. Tubuhnya masih terasa lenguh dan bisa. Tapi bukan itu yang paling menyentuhnya sekarang...

Z-Zayan jaga aku ke semalam? Dia dah tahu identiti aku ke...?

Tiba-tiba hatinya berdegup laju. Risau dan malu bercampur menjadi satu.

Beberapa minit kemudian, Zayan masuk semula sambil membawa semangkuk bubur panas yang masih berasap. Dia meletakkannya perlahan di atas meja sisi katil, sudu tersedia di dalam mangkuk.

Tanpa banyak bicara, Zayan bergerak ke sisi Zulaikha. Tangannya cekap menyauk ke bawah lengan wanita itu, tepat di bawah ketiak.

Zulaikha tersentak kecil, tidak bersedia dengan sentuhan itu. Wajahnya merah menahan malu.

Wajah Zayan kekal selamba. Gerakannya tenang, profesional. Dia mengangkat tubuh Zulaikha perlahan-lahan, membantu wanita itu duduk bersandar ke kepala katil. Dua biji bantal diselitkan kemas di belakangnya, memastikan dia selesa.

“Selesa tak?"soal Zayan, suaranya datar tetapi lembut.

Zulaikha sekadar mengangguk. Dia tidak mampu bersuara. Jantungnya berdegup laju. Dia malu, segan dan terharu.

Zayan kemudian menghulurkan mangkuk bubur itu padanya. "Makan sikit. Awak perlukan tenaga untuk pulih cepat."

Zulaikha menelan liur. Tangan kirinya perlahan menyambut mangkuk tersebut. Dia cuba menyembunyikan riak wajah yang merah padam.

Zayan menarik kerusi dan duduk di sisi katil, lengan bersilang, menanti dengan pandangan penuh perhatian.

Malu pula Zulaikha mahu makan di depan Zayan versi jururawat lelaki ini.

Selesai menghabiskan bubur, Zulaikha menyerahkan mangkuk itu semula kepada Zayan. Lelaki itu mengambilnya tanpa banyak kata, lalu meletakkannya perlahan di atas meja sisi katil.

Sejenak, hanya bunyi penghawa dingin yang kedengaran. Suasana menjadi sunyi. Masing-masing membuang pandangan ke arah lain, seolah-olah mencari ruang untuk melarikan diri daripada kekok yang tiba-tiba hadir.

Zayan berdehem perlahan. "Ehem..."

Dia mengangkat wajah, memandang Zulaikha yang masih diam. Nada suaranya berubah sedikit. Lebih tenang, lebih berat.

“Jagalah diri baik-baik lepas ni. Ingat... keluarga awak yang dah bertahun-tahun tak jumpa awak, sepanjang awak hidup sebagai undercover,” katanya dengan nada perlahan tetapi jelas penuh maksud.

Zulaikha tersentak. Kata-kata itu seperti satu tamparan lembut. Keluarga...?

Dia menoleh perlahan, matanya mencari wajah Zayan. "Keluarga?"

Zayan mengangguk sedikit. “Ya. Keluarga. Tentu awak ada keluarga sebenar, kan? Sebelum semua ni.”

Zulaikha tunduk, kemudian menggeleng perlahan. "Tak ada... Saya sendirian sebelum Tan Sri Rizal rekrut saya sebagai operatif ECLIPSE." Suaranya perlahan, sedikit bergetar. “Saya dibesarkan di St. John Orphanage Home, Beaufort, Sabah.”

Zayan terdiam. Hatinya tiba-tiba berat. Patutlah...

Patutlah Zulaikha sanggup menawarkan diri untuk misi penyamaran jangka panjang. Patutlah dia memilih untuk ‘melupakan’ identiti sendiri dan hidup sebagai anak angkat Tan Sri Rizal. Dia tidak ada siapa-siapa. Dan mungkin, itulah caranya untuk merasai erti sebuah keluarga.

“Sorry...” ucap Zayan pendek, tapi ikhlas.

Zulaikha mengangkat sedikit bahu. “Tak apa... Dah biasa. Semua tu dah lama berlalu. Tan Sri Rizal dan Puan Sri Helena... mereka dah macam ibu bapa saya. Saya gembira selama menjadi Zulaikha.”

Dia cuba tersenyum. Tapi senyuman hambar.

Kemudian dia menoleh, memandang Zayan dengan pandangan penuh kesal. “Saya minta maaf... sebab tipu awak selama ni. Saya tahu awak ada hak untuk marah.” Jari-jemari bertaut erat.

Zayan menarik nafas panjang. Dadanya turun naik perlahan. Bohonglah kalau dia kata dia tidak marah. Atau tidak kecewa. Tapi...

“Saya juga pernah jadi undercover,” akhirnya dia bersuara. Nada suaranya kendur, lebih jujur daripada sebelumnya. “Tiga tahun saya hidup sebagai Black Shadow di Thailand. Tak ada identiti. Tak ada nama. Tak ada keluarga. Jadi... ya. Saya faham.”

Zulaikha terdiam. Terkejut dengan pengakuan itu.

Zayan menyambung, “Awak tipu saya. Tapi bukan sebab awak nak permainkan saya. Awak cuma buat kerja awak. Sama macam saya pernah buat.”

Mereka berpandangan. Tiada kata yang mampu menggambarkan kelegaan Zulaikha ketika itu. Ada luka di antara mereka, tapi ada juga kefahaman yang tidak perlu diterangkan dengan kata-kata.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience