Chocolate Museum, Damansara, Kuala Lumpur
3 Petang
Zayan menutup pintu kereta sebelum menekan butang kunci di tangannya. Langkahnya besar, agak laju dan berat sebelah. Bahu kirinya masih berbalut di bawah jaket hitam yang disarung longgar, kesan luka tembakan semalam masih berdenyut walaupun sudah dibersihkan dan ditukar dressing di klinik sebentar tadi.
Dia sudah terlambat hampir sejam. Tapi dia tidak sanggup membatalkan janji dengan Zulaikha.
Sebaik melangkah masuk ke dalam bangunan bercirikan moden itu, bau coklat pekat dan manis segera menyambutnya, hangat, menenangkan. Di ruang legar, beberapa keluarga kecil dan pasangan muda sedang bergambar dan membaca info pada dinding pameran. Kakitangan museum mengenakan apron coklat gelap, ramah menyapa pengunjung yang lalu.
Zayan berdiri seketika, matanya mencari-cari.
Kemudian dia nampak satu susuk tubuh berdiri tenang di hadapan pintu masuk galeri utama. Zulaikha.
Wanita itu kelihatan anggun dalam blouse satin hijau zamrud dan seluar krim longgar. Kasut tumit tinggi YSL seperti selalu. Rambutnya diikat kemas ke belakang, tapi beberapa helai terlepas di sisi wajah, membingkai pipinya yang lembut. Sebuah beg silang kecil tergantung di bahu kanan. Dia sedang membelek buku panduan galeri coklat.
Zayan menarik nafas dalam. Lega. Dia masih menunggu walau dia sudah lewat hampir sejam.
Dia melangkah perlahan menghampiri. Setiap langkah terasa denyut kecil di bahu, tapi dia tahan.
“Awak dah lama tunggu?” Suara Zayan perlahan tapi jelas, dengan senyuman serba salah.
Zulaikha menoleh. Matanya membulat sedikit, terkejut.
“Zayan… awak okey ke? macam tak sihat je.” Dahinya berkerut.
Zayan tersengih kelat. “Saya tak apa-apa. Maaf lambat.”
Zulaikha menggeleng perlahan. “It’s okay. Saya sempat tengok-tengok dulu tadi.” Senyumannya lembut, tapi matanya masih memerhati tajam dan penuh curiga.
Zayan cuba menyembunyikan kesakitan di wajah.
“Betul ke awak okay? Muka awak nampak pucat… awak demam?” Zulaikha menyoal perlahan, nada lebih lembut kali ini.
“Tak… betul saya okey.” Zayan cepat-cepat menepis.
Zulaikha diam sejenak, seperti menilai kebenaran jawapan itu.
“Kalau awak tak larat, kita duduk dekat kafe saja. Tak perlu paksa diri pusing museum ni,” ujarnya perlahan, nada penuh prihatin.
Zayan tersenyum nipis. “Saya dah janji, kan? Lagipun… saya memang nak habiskan masa dengan awak hari ni.”
Zulaikha menunduk sedikit, bibirnya mengukir senyum yang sukar disembunyikan.
“Baiklah… tapi kalau awak pitam, saya seret awak keluar. Tak kira malu ke tak.”
Zayan ketawa perlahan, tapi tubuhnya tiba-tiba menegang bahunya terasa ngilu. Zulaikha nampak perubahan itu.
“Zayan…” Nada suaranya berubah. Serius.
“Sikit je. Percayalah, saya masih boleh berjalan.” Dia menarik nafas, menahan sakit. “Lagipun awak kan ada. Kalau saya jatuh… awak boleh sambut.”
Zulaikha menjeling.
“Jangan harap.”
Tapi bibirnya mengulum senyuman kecil.
Dan dalam hati Zayan, sakit di bahunya bukan apa-apa. Asalkan dia boleh luangkan masa dengan Zulaikha. Jantungnya berdebar setiap kali bertemu dengan wanita itu.
Dia selesa setiap kali meluangkan masa dengan Zulaikha.
Setelah lama 'single' akhirnya ada juga wanita yang sudi jadi teman wanitanya.
------
8:30 Malam. Pejabat Hansel Group Auto, Ampang, Kuala Lumpur.
“Sial!”
Zayan menghentak meja dengan kuat. Wajahnya tegang, matanya tajam merenung skrin telefon. Berita tergempar di Buletin Utama membuatkan darahnya mendidih.
Sepatutnya hal ini dirahsiakan. Tetapi sekarang, satu Malaysia sudah tahu Hadif ada kaitan dengan kematian Medina.
Kalau musuh bertindak balas selepas ini, mereka semua dalam bahaya.
“Bodohlah reporter ni!” jerkah Zayan. Suaranya memecah kesunyian pejabat malam itu.
Ivan, yang duduk bersandar di kerusi beroda, mengeluh perlahan sambil melihat jam dinding. 8:30 malam. Mereka masih di sini menemani Hadif selesaikan urusan yang tertangguh sejak pagi.
“Lepas ni... kita kena lebih berjaga-jaga,” ujar Ivan. Suaranya perlahan tapi jelas.
Zayan tidak menjawab. Fikirannya masih dihimpit marah dan risau.
“Kau suruh je bos ambil bodyguard tambahan untuk escort bos ke mana-mana. Kita ni freelance agent yang menyamar sebagai bodyguard. Kalau kita ada kerja luar, siapa yang nak escort bos?" cadang Ivan, menggosok dagu yang sudah mula ditumbuhi jambang.
Zayan mendengus kecil. “Kalau ambil ramai-ramai pun, kalau bos suka langgar protokol... tak guna jugak.”
Kata-kata Zareen dua hari lepas terngiang-ngiang di kepalanya tentang kelekaan mereka, tentang kelompongan keselamatan. Tentang betapa mudahnya Hadif diserang penyerang amatur.
Ivan mengangguk perlahan. “Kita cadangkan dululah. Kalau dia setuju, baru kita susun semula protokol.”
Zayan berpeluk tubuh. “Sesiapa pun boleh ke jadi escort?”
Ivan mengangkat kening. “Mestilah orang yang ada pengalaman. Ini VVIP.”
Zayan berfikir sejenak, kemudian berkata, “Kau tunggu sini. Aku nak ambil sesuatu dalam kereta.”
Dia keluar. Langkahnya laju menuju lif. Sampai di tempat parkir bawah tanah, Zayan memerhati sekeliling, memastikan keadaan selamat sebelum membuka pintu kereta. Sebuah fail tebal terletak di atas dashboard, fail yang diberi oleh Zareen beberapa hari lalu.
Dia mencapainya, menutup pintu dan segera naik semula ke atas.
Di Pejabat.
“Ni...” Zayan meletakkan fail itu di atas meja Ivan. “Orang ni sesuai tak jadi pengiring bos?”
Ivan menarik fail itu. Apabila dibuka dan melihat foto di dalamnya dia terdiam.
“Phoenix?” soalnya, terkejut. “Kau kenal dia?”
Zayan menunjuk ke kolum nama dalam fail.
Ivan membacanya perlahan.
“Nur Zareen Seroja binti Muhd Zakir...?”
Dia mendongak, wajahnya berubah.
“Kau orang adik-beradik?”
Zayan tidak menjawab. Bibirnya hanya mengetap. Wajahnya kelihatan berat.
Ivan tersenyum kecil. “Dia tahu pasal kerja kau? Eclipse?”
Zayan menggeleng perlahan. “Kak aku tak tahu pasal Eclipse. Yang dia tahu aku dah berhenti dari VAT69 dan sekarang bekerja sebagai bodyguard. Cukuplah setakat tu yang dia tahu. Kalau lebih dari tu, aku jugak yang susah.”
Dia melabuhkan punggung ke kerusi, mengeluh.
Ivan bersandar ke belakang, tersenyum. “Aku pernah kerja sekali dengan dia dalam UTK. Taktikal. Cepat. Tenang.”
Zayan mengangguk. “Aku tahu dia ada pengalaman. Tapi bos tu suka kerja dengan orang yang dia percaya. Bukan orang luar.”
Ivan menutup fail dan bangun. “Aku tanya dia sekarang.”
Pejabat Hadif
Ivan mengetuk pintu kaca beberapa kali sebelum masuk. Ruang pejabat Hadif luas, moden dan berkelas tinggi. Bau kopi memenuhi udara. Di belakang meja, Hadif sedang berbual dalam video call. Di skrin, kelihatan seorang lelaki berambut perang, wajah serius.
Hadif sempat menjeling ke arah Ivan, mengangkat kening sedikit.
Ivan hampir berundur, mahu keluar semula tapi Hadif memandang sekali lagi.
“What’s up, Ivan?”
Ivan menghampiri meja. “Nothing, boss. But we think... we should add a few bodyguards. Just in case the Medina incident...” Suaranya direndahkan, berhati-hati agar tidak mengganggu perbualan.
Hadif diam seketika, kemudian menghela nafas pendek.
“You saw the file?”
Ivan mengangguk.
“Good. Pass it to HR. Get them to write an exclusive contract. Immediately.”
“Copy that.” Ivan tersenyum dan membuat simbol OK sebelum berundur keluar.
Sebaik keluar, dia menutup pintu perlahan. Wajahnya cerah seperti seseorang yang baru dapat kelulusan tender berjuta.
Zayan yang duduk di luar, bangun dan memandangnya.
“Macam mana?”
Ivan menghulurkan fail semula.
“Esok, kau hantar ke HR. Suruh Wendy buat kontrak eksklusif.”
Zayan menyambut fail itu perlahan, bibirnya mengukir senyum nipis.
Share this novel