Pavilion Residence, Bukit Bintang, Kuala Lumpur
4:36 pagi
Angin malam menyusup masuk dari tingkap yang sedikit terbuka, membawa bersama bayu sejuk subuh yang menyegarkan.
Zayan berbaring di atas katil di biliknya. Matanya terpejam, tapi dia tidak dapat tidur semula setelah terjaga tadi.
Satu bunyi geseran kasar dari bilik sebelah mengejutkan deria taktikalnya. Seperti bunyi pintu gelangsar di balkoni.
Zayan bangkit serta-merta. Langkahnya laju ke bilik Zulaikha.
“Zulaikha?” panggilnya dari luar. Nada tegas, tapi risau.
Tiada jawapan.
Zayan mengetuk sekali lagi. “Zulaikha, buka pintu.”
Masih tiada sahutan. Jantungnya berdetak pantas. Dia masuk semula ke dalam bilik, menarik keluar sekeping kad hotel lama dari dalam dompet. Kad diselip ke celahan kunci pintu. Beberapa saat sahaja sebelum pintu terkuak perlahan.
Ruang bilik gelap. Hanya cahaya bulan yang menembus langsir nipis memberi cahaya samar.
Dan di sisi pintu balkoni kaca, dia terlihat sosok tubuh Zulaikha terjelepok di lantai, bersandar pada dinding. Nafasnya kedengaran tercungap-cungap.
Zayan memetik suis lampu. Matanya membulat melihat Zulaikha memakai pakaian taktikal hitam sedang memegang sisi pinggangnya dengan wajah pucat. Bajunya koyak dan ada darah yang menitis membasahi lantai marmar.
“Ya Allah, Zulaikha!” Zayan meluru.
Zulaikha cuba bangun, tapi tubuhnya tidak memberi kerjasama. Tangannya menggenggam sisi pinggang, darah masih menitis dari luka tembakan yang kini kian melebar.
“Awak cedera. Apa dah jadi?” Zayan mencangkung, cuba menahan nada panik.
Zulaikha menoleh sedikit. Mukanya pucat. “I’m fine…”
“Fine?. Ni luka tembak.” Zayan mendesis. “Awak keluar ke mana?"
Zulaikha berlagak tenang tapi yang keluar cuma desahan sakit. “Urghh...kena keluarkan peluru..."
“Kita pergi hospital," arah Zayan.
Zulaikha geleng. “Tak boleh. Identiti saya…”
Zayan mengangkat kening. “Identiti?”
Dia tidak bertanya lanjut. Fokusnya sekarang adalah untuk menyelamatkan nyawa wanita di hadapannya. Dia perlu menghentikan pendarahan.
Dia mengangkat Zulaikha dengan berhati-hati lalu membaringkannya di atas katil.
Kemudian dia pantas bergerak ke bilik sebelah, membuka laci sisi katil, menarik keluar kotak pertolongan cemas taktikal miliknya. Dia bergegas ke bilik Zulaikha semula.
“Makan ubat ni dulu. Tramadol. Boleh bantu redakan sakit sementara saya keluarkan peluru.”
Zulaikha menelan perlahan. Lima minit kemudian, kesan ubat itu mula terasa. Matanya separa terbuka, fikirannya mula kabur. Zayan membuka safety harness abseiling yang dipakainya. Jaket taktikal dibuka dan dicampak ke lantai. Baju hitam yang Zulaikha pakai diselak ke atas.
Zayan melihat luka itu, agak dalam, tapi tidak menembusi organ utama. Dia menghela nafas, membuka sarung tangan pakai buang. Dengan cekap, dia menyuntik sedikit anestetik lokal tambahan, sebelum perlahan-lahan menggunakan penyepit untuk menarik keluar peluru 6mm dari dalam luka.
Peluru itu dikeluarkan dan dimasukkan ke dalam bekas plastik kecil.
Zayan menekan luka dengan kain kasa steril, lalu membalutnya ketat menggunakan pita perubatan. Dia mencuci tangan, membasahkan tuala kecil dan membersihkan sisa darah di sekitar luka tembakan dengan lembut.
Kasut taktikal dan stokin juga ditanggalkan. Dia membaringkan wanita itu dengan lebih selesa di atas katil. Ketika Zulaikha memejamkan mata, bibirnya masih bergerak-gerak perlahan.
Zayan bangkit, keluar sebentar ke biliknya, mengambil telefon dan menghubungi Hadif.
“Bos, aku perlukan kit medik tambahan dan satu pemeriksaan lanjut. Non-hospital. Lokasi biasa.”
“Roger,” jawab Hadif.
Zayan kembali duduk di tepi katil. Bersila bersandar ke dinding. Wajah Zulaikha kelihatan sedikit tenang.
Beberapa minit berlalu.
“Urghh…” suara itu perlahan. Zayan tersentak. Dia segera mendekatkan telinga ke bibir Zulaikha. Duduk melutut di sisi katil.
“Awak nak air?”
Namun mata Zulaikha masih tertutup.
“Hmmm… Tan Sri…” bisik Zulaikha, suaranya seperti meracau. “Saya Isabel Matthews… Agen Knight BC-09-117… lapor… misi berjaya…”
Zayan membeku. Mulutnya separuh terbuka. Matanya tertumpu pada wajah pucat Zulaikha. Ada air mata di sudut matanya yang terpejam.
"Tan Sri? Kenapa dia panggil papanya Tan Sri? Zayan menelan liur. “Agen Knight?”
Dia duduk perlahan, tubuhnya terasa berat.
Dalam ECLIPSE “Knight” adalah panggilan untuk operatif yang berkhidmat secara langsung di bawah Tan Sri Rizal.
Zayan mendekatkan wajahnya ke Zulaikha.
“Isabel Matthews?”
Zayan duduk bersandar di dinding semula, sebelah tangan memegang pergelangan Zulaikha untuk memastikan denyutan. Riak wajahnya jelas bimbang.
Bunyi loceng pintu di luar memecah kesunyian pagi.
Zayan bingkas bangun dan keluar membuka pintu. Hadif melangkah masuk bersama seorang lelaki pertengahan usia yang membawa beg rawatan.
Ivan menyusul perlahan di belakang.
"Dalam bilik," ujar Zayan pantas. Jari menunjuk ke bilik Zulaikha.
Ketiga-tiganya meluru masuk ke bilik Zulaikha. Doktor tanpa banyak soal terus membuka beg dan mula memeriksa luka Zulaikha.
Hadif berdiri di hujung katil, wajahnya jelas berubah. “Apa yang berlaku sebenarnya?”
“Dia menyelinap keluar malam tadi. Aku tak tahu sampai dengar bunyi pintu balkoni terbuka. Bila aku tengok, dia baru balik dalam keadaan cedera.” Nada Zayan tegang.
Ivan mendekat sedikit memerhatikan doktor sedang mencuci luka Zulaikha.
Zulaikha mengeluh perlahan, tubuhnya mengerekot kecil menahan sakit. Wajahnya pucat.
Doktor mengangguk pada Hadif. “Lukanya dalam tapi tak kena organ penting. Saya dah bersihkan dan suntik antibiotik. Saya akan jahit sekarang. Mungkin ambil masa seminggu dua untuk pulih."
Zayan berdiri rapat di sisi, mata tak lepas memandang wajah Zulaikha yang pucat.
----------
6: 15 pagi
Selesai solat Subuh, Zayan terus melangkah ke dapur. Dia membancuh kopi O panas dan menggoreng beberapa ketul karipap sejuk beku yang tersimpan di dalam peti. Bunyi renyahan minyak mula mengisi ruang kecil dapur kondominium itu, bersama aroma rempah kari yang perlahan-lahan memenuhi udara.
Sesekali, dia menyeka peluh yang merenik di dahi. Matanya letih, tetapi fikirannya terus bekerja. Apa yang berlaku pagi tadi masih berlegar di kepala.
Selesai memasak, Zayan menghidangkan kopi dan karipap ke meja ruang tamu. Hadif dan Ivan masih di sana, masing-masing bersandar santai di sofa.
Zayan duduk di sisi Ivan, bertentangan dengan Hadif yang kelihatan seperti menunggu masa yang sesuai.
Tanpa banyak bicara, Hadif menghulurkan sebuah tablet dari atas meja. "Semua dah disahkan," katanya perlahan.
Zayan menyambut tablet itu, matanya mula meneliti maklumat yang terpapar pada skrin. Keningnya bertaut, wajahnya berubah semakin serius.
MAKLUMAT RAHSIA – ECLIPSE OPS
Nama Ejen: Isabel binti Matthews
Suku Kaum : Amerika, Kadazan-Dusun
Kod Nama: Black Cat
Nombor Operatif: BC-09-117
Unit: Risikan & Penyusupan Strategik
Status Misi: Aktif sejak 2017 (Undercover)
Identiti Penyamar: Zulaikha Isabelle
Objektif Misi: Mendekati organisasi R&R Group secara organik.
Melindungi waris sah dan mendapatkan kembali dokumen pewarisan asal milik Tan Sri Rizal.
Zayan menyandar perlahan ke sofa, tablet itu masih dalam genggamannya. "Status misi dari 2017… sampai sekarang?" nadanya datar, namun sarat dengan kejutan.
Hadif mengangguk. "Ya. Misi masih berjalan. Nama 'Zulaikha Isabelle' hanyalah watak rekaan yang diwujudkan untuk perlindungan penyamaran."
Zayan terdiam sejenak. Masih cuba mencantumkan kepingan puzzle yang berselerakan sejak beberapa minggu lalu.
"Kenapa dia menyamar? Dan apa kaitan dia dengan R&R Group?"
"Isabel atau Black Cat, adalah operatif yang dilantik sendiri oleh Tan Sri Rizal. Tugas utama dia adalah melindungi waris sah syarikat itu. Perebutan kuasa dalam R&R Group bukan benda baru," jawab Hadif.
Zayan mengerut dahi. "Tengku Rizz?"
"Selepas kematian Tan Sri, Tengku Rizz ambil alih kedudukan CEO R&R Group menggunakan manipulasi dalaman. Dia juga dalang di sebalik penyingkiran Zulaikha dari syarikat, kononnya atas alasan kesihatan mental," tambah Hadif lagi.
Zayan mengangkat pandangan ke arah Hadif. "Dan siapa pula lelaki ni?" soalnya sambil membelek gambar seorang lelaki berjubah putih di skrin.
"Anak kandung Tan Sri Rizal. Anak dengan isteri kedua. Tan Sri tahu, jika Izzudin muncul dalam dunia korporat, nyawanya akan jadi taruhan. Tapi mengikut wasiat asal, dialah waris sah R&R Group."
Zayan menghela nafas panjang. “Jadi… sekarang ingatan Black Cat dah pulih. Kau risau penyamaran dia terbongkar?”
Hadif mengangguk perlahan. “Ya. Sebab itu kita kena bertindak cepat. Kau kena bantu dia. Kau berdua satu pasukan sekarang. Cari bukti salah guna kuasa Tengku Rizz. Dan yang paling penting dapatkan semula wasiat asal Tan Sri Rizal dari tangan Tengku Rizz.”
Zayan terdiam lama. Di benaknya, wajah Zulaikha atau Isabel terbayang silih berganti. Wanita itu telah menyamar sepanjang mereka berkenalan. Telah membohonginya.
Dia menghela nafas panjang, kali ini lebih berat.
"Jadi... selama ini perasaan dia pada aku pun palsu?" gumamnya perlahan.
Hadif tak menjawab. Hanya diam, seolah memberi ruang untuk Zayan menilai sendiri.
Zayan menunduk. Rahangnya mengeras. Geram. Keliru. Tapi dia tahu satu perkara. Sebagai operatif, dia faham risiko menjadi agen undercover.
Hmmm...apa aku nak panggil kau lepas ni? Zulaikha? Isabel? Bel? gumam Zayan perlahan.
Share this novel