Bab 41

Romance Series 7113

Seminggu kemudian

Madrasah Tahfiz Al-Quran Darul Haqq. 10:00 pagi

Suasana kelas hafazan pagi itu seperti biasa. Alunan ayat-ayat suci Al-Quran bergema, memenuhi setiap sudut kelas. Izzudin duduk di hadapan, memerhati murid-muridnya dengan penuh perhatian. Sesekali, matanya melirik ke luar pagar madrasah.

Keningnya berkerut. Sudah hampir tiga minggu sebuah SUV hitam parkir di kawasan yang sama, di luar pagar. Hatinya mula resah. Dalam dunia hari ini, kes penculikan dan pemerdagangan kanak-kanak bukan perkara asing.

"Tak boleh jadi ni," desisnya.

Dia berdiri, cuba mengintai di celah tingkap nako.

"Ustaz… kereta tu ada lagi la," bisik salah seorang muridnya.

Izzudin menarik nafas panjang. "Kamu semua teruskan hafazan. Ustaz keluar kejap saja."

Dia melangkah keluar dari kelas, hati-hati tapi tekad. Kalau ada sesuatu yang pelik, dia sedia menghubungi polis.

Keluar dari pagar, dia menghampiri SUV hitam itu. Dia mengetuk tingkap sisi pemandu dengan perlahan.

Cermin yang gelap itu diturunkan, menampakkan dua lelaki berpakaian taktikal hitam. Seorang kelihatan muda, mungkin awal dua puluhan, dan seorang lagi lewat tiga puluhan. Wajah mereka serius.

"Assalamualaikum bang," sapa Izzudin, cuba berlagak tenang.

Lelaki yang lebih muda memandangnya sekilas sebelum membalas salam. Yang seorang lagi hanya memerhati, matanya tajam menilai.

"Maaf kalau saya mengganggu… tapi abang berdua ni ada urusan apa di sini? Dah hampir tiga minggu saya nampak kereta abang parkir depan madrasah."

Nada suara Izzudin sopan, tapi jelas ada nada bimbang. Kehadiran SUV hitam itu sudah mula menimbulkan gosip tidak sedap di kalangan pelajar, ada yang mendakwa ia menunggu budak-budak tahfiz untuk diculik.

Kedua lelaki itu saling berpandangan seketika.

Akhirnya, lelaki muda itu berkata perlahan, "Kami sedang buat kerja, ustaz. Surveillance protection."

"Surveillance protection?" Izzudin mengerutkan kening, kurang faham.

"Lebih kurang macam pengawal pengiring… cuma kami bekerja dari jarak jauh," jelas lelaki itu, masih berhati-hati dengan kata-katanya.

"Oh… maksudnya abang berdua ni bodyguard?"

Lelaki itu tersenyum nipis. "Boleh kata macam tu."

Izzudin cuba bergurau, "Takkanlah pelajar saya anak orang kenamaan pula?"

Lelaki itu menggeleng. Senyumannya kali ini lebih terpaksa. "Bukan, ustaz… arahan ni khusus untuk ustaz sendiri."

Mata Izzudin membulat. "Saya?" Dia menuding ke dirinya.

"Ya, ustaz," jawab lelaki itu ringkas. "Kami diarahkan untuk pastikan ustaz selamat. Tak ada apa-apa yang perlu ustaz risaukan. Kami akan kekal di sini tanpa mengganggu ustaz. Ustaz teruskan saja mengajar seperti biasa."

Walaupun nada mereka meyakinkan, rasa pelik dan tanda tanya masih bersarang di hati Izzudin. Siapa yang sanggup mengupah bodyguard untuknya… dan kenapa?

Izzudin berdiri kaku seketika. Degupan jantungnya bertambah laju. Dia cuba membaca riak wajah dua lelaki itu, namun ekspresi mereka kekal neutral.

"Siapa… yang upah abang berdua ni?" soalnya perlahan.

Zafran hanya memandang sekilas, kemudian mengalihkan pandangan ke jalan raya. "Itu maklumat sulit, ustaz. Kami cuma ikut arahan."

Hanif, yang dari tadi diam, menambah dengan suara rendah tapi tegas, "Yang penting, orang yang upah kami mahu ustaz teruskan hidup macam biasa. Jangan ubah rutin, jangan bimbang. Kami di sini untuk pastikan ustaz selamat, walaupun ustaz tak nampak ancaman itu."

Kata-kata itu membuat bulu roma Izzudin meremang. Ancaman? Selama ini hidupnya biasa-biasa saja, mengajar, kuliah agama, solat berjemaah dan balik ke rumah.

Dia menghela nafas panjang. "Baiklah… kalau itu arahan orang yang upah abang, saya takkan tanya lebih. Cuma… saya harap anak-anak murid saya tak jadi takut sebab nampak abang berdua parkir lama di sini."

"Kami akan cuba cari posisi lain lepas ni," balas Zafran, suaranya lebih lembut. "Kami faham situasi ustaz."

Izzudin mengangguk perlahan. Sebelum beredar, dia sempat memandang ke arah Hanif sekali lagi. Ada sesuatu pada lelaki itu. Cara dia memerhati, seolah-olah mengukur setiap gerak-geri orang di sekeliling.

Sebaik Izzudin kembali masuk ke dalam pagar madrasah, Hanif bersuara perlahan kepada Zafran.

"Dia tak tahu langsung."

Zafran mengangkat bahu. "Memang tak perlu tahu. Lagi selamat begitu."

Hanif memandang ke cermin sisi, memerhatikan kelibat Izzudin yang masuk semula ke kelas.

SUV hitam itu kekal di situ, enjin dimatikan, tapi kedua penghuninya tetap berjaga. Dari luar, ia kelihatan seperti kereta biasa yang parkir lama. Tapi di dalamnya, setiap saat adalah operasi.

Zafran menyandarkan tubuh di tempat duduk, tangannya di stereng, mata memerhati jalan di hadapan. Hanif di sebelahnya kekal menunduk sedikit, matanya fokus pada skrin tablet taktikal yang disambungkan dengan kamera jarak jauh.

“Gerak-geri dia normal setakat ni,” kata Hanif perlahan.

Zafran menjeling. “Dia memang tak tahu apa-apa. Tapi kita tak boleh ambil mudah. Arahan bos jelas. Pantau 24 jam, lapor setiap pergerakan luar biasa, jangan dedahkan identiti atau ancaman sebenar.”

Hanif menatal skrin, memperbesar gambar dari kamera drone kecil yang terapung tinggi, hampir tidak kelihatan dari tanah. “Tak ada suspek di radius satu kilometer. Tapi…” Dia berhenti.

Zafran menoleh sedikit. “Tapi apa?”

Hanif memicit skrin, membesarkan lagi imej. “Pagi tadi, ada sebuah motosikal Yamaha R25 berhenti di hujung jalan selama tiga minit. Penunggangnya berbaju hitam, helmet visor gelap. Dia tak turun, tapi pandangan dia jelas ke arah pagar madrasah sebelum bergerak.”

Zafran menghela nafas perlahan. “Mungkin kebetulan. Hantar gambar pada Unit Analisis Data, minta facial match dari pusat.”

Hanif mengangguk, jarinya pantas menghantar data.

Zafran menekan butang push-to-talk di fon telinga. “Viper to HQ. Subjek utama selamat. Potensi suspek buat tinjauan jarak jauh. Data dihantar. Tunggu arahan.”

Suara operator dari Unit Analisis Data ECLIPSE kedengaran di talian, tenang. “Hasil semak silang data negatif. Tiada maklumat target. Hanya orang awam biasa."

"Roger that." Hanif menutup talian. Dia memandang Zafran.

Zafran memandang ke arah pagar madrasah, di mana kelihatan Izzudin kembali mengajar, tenang tanpa sedar bahawa setiap langkahnya kini berada di bawah perlindungan yang dia tidak pernah minta.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience