Malam dah semakin larut. Sambil menunggu tempat tidur dikemas, aku duduk bersembang dengan hakeem, mai tuan, dan beberapa orang lagi. Matt duduk bersendirian di sebelahku, agak berjarak, menghadap kami semua. Aku menggamitnya dengan isyarat tangan. Matt tersenyum dan menggelengkan kepala. Tiba-tiba aku berasa tersentuh. Adakah Matt juga sepertiku? Terasa seperti terkurung di dalam sangkar, menghendaki kebebasan?
"Cik Hana… Cik Hana…" Aku tersedar apabila dipanggil hakeem.
"Ya, tuan… Ya, tuan hakeem…"
Mereka semua tergelak. Aku mengulum senyum. Entah bila, Firman sudah berada bersama Matt. Tangannya memaut belakang kerusi. Cara duduk dah serupa gangster.
"Cik Hana dah berkahwin?"
"Belum…"
"Umur berapa?"
"25 tahun."
"Kalau di sini sudah dipanggil andartu…" Mak long membidas. Aku hanya tersenyum dengan mata yang terpisat-pisat. Penat dan mengantuk. Tak berminat. Lagipun bukannya ada manfaat pun bertekak dengan orang kampung.
"Di Malaysia lain. Perempuan di sana belajar tinggi-tinggi dan bekerja. Umur 24 tahun masih muda." Mai Tuan cuba membela. Tanganku meraba poket dan mengeluarkan Honor. Aku mengemaskini Whatsapp story dan membalas mesej Yaqrib. Dia menghantar gambar di tempat kerjanya dan aku memandang dengan perasaan bercampur-baur. Cemburu. Kenapa hantar gambar dengan perempuan lain ke aku!
"Cik Hana sangat hebat tadi. Terima kasih tolong rawat Siti Zubaidah. Kalau lambat tadi, mesti lagi teruk."
Huh? Aku mengangkat muka lalu tersengih. Terima kasih apa, Siti Zubaidah tak akan boleh berlawan dalam tempoh 24 jam ini. Aku dah tutup semua laluan chi nya. Dia punya pasal lah, siapa suruh sengaja nak cari pasal dengan aku dulu. Firman pun tak terlepas dengan aku, apatah lagi Siti Zubaidah itu. Bibir mengukir senyum sumbing di belakang purdah.
"Kehebatan perempuan Melayu dah tersohor dari zaman ke zaman. Tapi sebab ramai sangat yang handal sekarang, maka orang tak hairan lagi. Kedudukan wanita dalam Islam sangat tinggi martabatnya dan dimuliakan. Hebat tak hebat, orang pertama yang syahid bukan lelaki malah seorang perempuan… Yang uzur."
Aku memandang Hakeem dengan kening yang terangkat sebelah. Tahu aku berminat, Hakeem meneruskan ceritanya.
"Sumayyah orang pertama jihad fisabilillah. Beliau mempertahankan agama dan akidahnya. Islam tersebar diam-diam dalam kalangan hamba, di antaranya keluarga Amr bin Yassir. Ada hamba abdi yang dibutakan, kena kerat lidah, kena sebat hingga lekat kulit isi daging dengan cemeti, kena bakar hidup-hidup…"
Aku mendengar sambil menahan perasaan. Imej filem Umar Al-Khattab mula terngiang-ngiang di kepala, saat-saat itu. Umat Islam disiksa.
"Sumayyah disiksa teruk, diseret ke padang pasir, diikat kedua-dua belah kaki dan tangannya keempat penjuru… Abu Jahal bertanya siapakah Tuhanmu? Sumayyah yang sudah tua dan uzur cakap tiada Tuhan melainkan Allah Muhammad itu pesuruh Allah. Abu Jahal mengambil tombak. Dengan sekali hunjaman, tombak itu tepat mengena ari-ari Sumayyah. Darah pertama… Nyawa pertama… Seorang perempuan tua yang mulia… Rohnya terus diangkat ke langit, menemui Tuhan…"
Aku terganggu. Boleh terasa kesakitan yang dialami Sumayyah. Urghh… Kaki mula basah lencun kerana berpeluh Kenapalah dia ingatkan aku tentang saat-saat itu…
"Asma binti Abu Bakr hamil tujuh bulan, menghantar makanan kepada ayahnya, Abu Bakr As-Siddiq dan Rasulullah SAW di Gua Hira' ketika mereka bersembunyi semasa berhijrah ke Madinah. Nak hilang jejak kakinya, dia membawa berpuluh ekor biri-biri. Siapa sangka seorang perempuan sarat mengandung boleh membahayakan dirinya kerana Islam? Bila anaknya Abdullah bin Zubair bertanya, sama ada tentang atau sokong Abdul Malik bin Marwan? Asma' yang telah buta, uzur dan tua itu menjawab hidup mulia mati pun mulia. Jika yakin dengan apa yang dipegang, maka tetaplah hingga mati. Anaknya risau jika dibunuh, musuh akan seksa dan mengaibkan jenazahnya. Asma' menjawab, kambing yang sudah mati tak akan berasa sakit apabila disiat dan dilapah kulitnya. Dengan kata-kata semangat itulah, keluarlah anaknya berperang bagai singa, dan akhirnya gugur syahid."
Aku mendengar dengan senyuman keharuan.
Ada peperangan antara Rom dengan Islam, diketuai oleh pahlawan pedang Allah, Khalid Ibn Al-Walid, beberapa tentera Islam ditawan oleh pihak musuh. Muncul penunggang kuda misteri menyerbu ketumbukan musuh, seperti tidak takut mati dan kucar-kacirkan barisan pertahanan musuh. Berterbangan kepala dan anggota badan dipancung dan dicincang oleh pedangnya. Ramai yang terpegun. Siapakah dia? Tentu pahlawan itu, Khalid Ibn Walid. Tetapi panglima ada bersama mereka. Beberapa tentera berkuda mengejarnya. Memintanya membuka penutup muka sebab nak kenal dan diberi anugerah. Semua terperanjat apabila suara perempuan yang menjawab."
Hakeem merenung mukaku… Sebelum menyambung.
"Haram untukku membuka niqab ini. Aku, Khawlah binti Al-Azwar, adik kepada Dirar bin Al-Azwar. Aku bukan ingin berlaku biadab kepada pemimpin tetapi aku tetap ingin memelihara kehormatan dengan mengenakan niqab… aku dengar abangku telah ditangkap. Rasa amarahku memuncak. Dari barisan belakang, sebagai jururawat, aku mencari abangku. Alhamdulillah dengan keberanian pahlawan wanita ini, tentera Islam memenangi peperangan itu dan abangnya berjaya diselamatkan. Siapa kata seorang gadis Islam tak mampu mempertahankan negara? Kisah ini menjadi contoh kepada ramai gadis Cham di sini… Sehingga kami menubuhkan kumpulan silat Selendang Kuning. Khawlah cantik, bijak, berani dan mahir dalam seni mempertahankan diri. Walaupun fitrah seorang perempuan itu lemah-lembut dan harus dilindungi, tetapi dalam keadaan tertentu, mereka boleh bangkit melawan musuh… Dan keberanian mereka sangat menakjubkan. Orang lelaki pun terpegun. Cantik tetapi tetap menjaga kehormatan. Bijak tetapi tetap menjaga agamanya. Harap-harap kisah ini boleh membangkitkan kejantanan dalam kalangan pemuda Islam."
Aku mendengar penuh berminat. Aku tahu cerita itu, cuma tak ingat siapa wanita itu. Khawlah ya… Hmm…
"Setiap yang gugur pasti ada yang tumbuh. Setiap kisah kepahlawanan perempuan Islam diceritakan pasti ada kisah yang baru. Kampung ini pernah diserang komunis Pol Pot. Mama dan Baba Firman ada di Malaysia ketika itu. Komunis datang ke setiap kampung Islam dan paksa orang Islam terima mereka. Semua orang kampung dikumpulkan di masjid. Mereka halalkan babi, arak dan zina. Tak ada Tuhan. Penduduk bersatu mempertahankan kampung. Lelaki, perempuan, tua dan muda berjihad melawan komunis yang lengkap bersenjata. Kita ada parang, pedang, pisau, cangkul, buluh, kayu dan tangan kosong. Genap tujuh hari barulah kampung ini berjaya ditawan, semua dibunuh. Ada beberapa orang aje yang selamat. Mereka inilah yang menceritakan kejadian. Kampung yang paling akhir dapat ditawan. Paling daif tetapi penduduknya sangat berani. Lebih baik mati berjuang daripada mati kehinaan. Ramai keluarga kami terkorban, antaranya nenek kepada Firman, yang terkenal dengan hebatnya melawan komunis. Tinggal nyawa ikan, tangannya tetap menarik kemas rambut salah seorang komunis sampai tak boleh lepas. Terpaksa dipotong putus baru terlepas. Gugur sekuntum bunga, syahid fisabilillah."
Aku mendengar dengan perasaan bercampur-baur. Hati berkobar-kobar menginginkan syahid. Tapi sekiranya aku memilih menyerang mati, adakah aku ini suicidal? Adakah itu sesuatu yang patut dipuji, atau dikeji? Esak tangis mula kedengaran dengan suara hakeem sendiri sebak tak tertahan. Aku menundukkan wajah lalu mengemam bibir. Tangan membuka bluetooth. Lagu Super Junior dibiarkan bermain, sekadar untuk melupakan kisah tragis yang aku dengar tadi. Huarrghhh! Aku tak nak fikir dah hal-hal itu! Semak! Fatimah sudah mengongoi dengan Siti Zubaidah. Mai Tuan mengelap air mata sambil mengusap belakang Mak Long yang sedang teresak-esak. Aku teringatkan arwah datuk Firman? Di mana dia ketika kejadian itu berlaku?
"Arwah… Datuk?" soalku perlahan.
Tuan Hakeem menunduk lagi, menggelengkan kepala dan mengangkat muka lalu memandangku.
"Arwah baba diserbu oleh Komunis macam singa lapar… Lagi cedera lagi arwah mengamuk… Dia tewas dengan beratus tembakan peluru… Darahnya mengalir deras basah, berpuluh mayat Komunis di bawah tapak kakinya. Dia menjerit sebelum menghembuskan nafas terakhirnya. Baba takkan jatuh dan sujud ke kaki komunis laknatullah. Baba meninggal terduduk dengan tangannya tetap memegang kemas pedang yang dijadikan panahan, dipacak di atas badan salah seorang musuh. Matanya terbuka dan memandang keras ke depan. Macam hidup lagi."
Masha Allah. Tangisan tetap bertali arus. Hanya aku saja yang mendengar dengan mata yang membulat penuh kagum.
"Komunis pergi dekat-dekat takut-takut kerana rasa arwah sudah meninggal tetapi ketua komunis tak puas hati… Nak bagi yakin… Jasad arwah diikat ke pokok. Kaki ke atas dan kepala ke bawah. Kena tikam dengan benet sehingga hancur. Setelah puas menyeksa jenazah, arwah ditinggalkan. Menurut mereka yang selamat, darah arwah tetap merah segar dan berbau harum. Esok hari, jenazah itu hilang… Hanya tinggal kesan ikatan… Tak ada siapa tahu. Kami tak tahu kubur mereka… Mana mereka disemadikan. Begitulah kezaliman komunis… Tak ada yang pelik. Mangsa meninggal dengan tak ada kubur dan tanpa batu nisan."
Aku mendengar penuh berminat. Entahlah, aku tak faham. Mungkin sebab aku tak pernah kenal datuk dan nenek Firman. Di belakangku, esak tangisan kuat kedengaran.
"Masuk saja komunis, rakyat sungguh tersiksa. Yang masih hidup kena bunuh dengan kejam. Mereka jimat peluru tak mahu menembak. Mereka guna cangkul nak tetak kepala lelaki perempuan uzur, anak-anak kecil kena hempas ke batang pokok, hidup-hidup… biar gelepar mati hidup-hidup… pokok itu masih ada, subur dengan darah. Jemu dengan pembunuhan yang tak menarik, ibu-ibu yang hamil diseret ke tengah padang… dibuat main teka-teki sesama komunis, sama ada lelaki atau perempuan di dalam kandungan… perut ibu kena belah hidup-hidup dan dikeluarkan kandungannya dan dikeluarkan bayinya. Mana komunis yang teka dengan betul, bersoraklah mereka. Mana kalah, geram dan membaling bayi itu tinggi ke atas. Mereka sambut dengan tikaman benet."
Aku tersenyum tawar. Menjerit perempuan-perempuan lain yang mendengar kisah ini. Dan aku percaya ini bukan kali pertama mereka mendengarnya… Tentu saja sentiasa diulang-ulang. Tetapi setiap kali diulang, tetap tangisan dan kesedihan yang sama melanda. Aku menyumbat earpods lebih dalam ke telinga. Pada waktu ini terasa aku sangat memerlukan sesuatu untuk menghentikan imej ini tetapi hatiku berasa geli. Aku merasa jijik. Tentera itu hanyalah mengikut arahan pemerintah… Dan pembunuhan demi pembunuhan membunuh sifat kemanusiaan di dalam diri mereka.
"Mana-mana yang selamat, cuba lari ke sempadan Thai… dari beribu tinggal, berapa orang saja yang berjaya sampai ke sempadan Thai. Ada yang berjaya terus ke sempadan Malaysia… Ditolong oleh Kerajaan Malaysia dan Perkim."
Aku merasa tak senang. Kenapa pergi ke sempadan Thailand… "Yang lain-lain itu jadi apa?" soalku.
"Kawasan hutan penuh dengan komunis. Perompak ambil kesempatan, tentera Thai memeras ugut, ada kena sembelih dan rogol, ada kena periuk api… Dipatuk ular, kena makan dengan binatang buas. Aduh, siksa dan azabnya orang Cham ini. Salah seorang saudara perempuan saya hamil tua, bersalin sambil melarikan diri… Percaya tak?"
Aku membalas dengan senyuman. Memang aku tak terkejut. Thailand bukanlah negara yang paling kaya dengan sifat kemanusiaan di dunia. Rakyat Pattani di Selatan Thailand sendiri ditindas di sana.
"Bawa lari bayi yang baru dilahirkan dalam keadaan bertali pusat dan terlekat uri… Seperti ada kekuatan entah dari mana, kemudian bersembunyi seketika di dalam semak… Tali pusat dan uri dikeluarkan dengan mengorek dari tangannya… Tali pusat digigit dengan gigi untuk memutuskannya, kemudian… Meneruskan pelarian. Allah Maha Memelihara, dia tetap hidup dan selamat bersama suami dan anaknya. Selamat sampai ke Malaysia. Laa hawla wala quwwata illa billah…"
Suara tangisan di belakangku semakin sayu.
"Hakeem di mana waktu itu?" aku bertanya ingin menghilangkan kesayuan.
"Saya belajar di Mesir. Ada lapan orang. Tali barut Komunis menghantar surat, tipu kami semua agar pulang segera untuk sama-sama membangunkan Kemboja. Tingkatkan syiar Islam dan berbagai janji palsu lagi. Masa itu tahun akhir. Saya tak mahu pulang sebab sayang tinggalkan pengajian sikit lagi. Tujuh orang kawan saya pulang. Mereka ditunggu di Airport Pochentong, dihabiskan nyawa mereka di situ saja."
Aku tersentak. Bersambung lagi tangisan. Lidahku tak terkata apa. Aku memandang Firman, wajahnya merah menahan kesedihan. Perlahan-lahan mereka beredar. Hatiku bercampur-baur, bersyukur kerana dapat tahu penderitaan mereka, tetapi aku lega kerana kisah sedih ini sudah tamat. Kesian dekat keluarga ini, malam pengantin, hari bahagia tak sepatutnya mereka bersedih. Nasib baiklah kedua-dua suami isteri itu sudah masuk bilik awal tadi.
Tinggal aku, Firman dan Matt. Kami saling membisu. Rasa-rasanya Matt tak faham, tetapi riak mukanya menunjukkan dia bersimpati. Firman bercakap dengan Matt, tetapi Matt seperti membantah. Firman mengeraskan suara. Diam. Beberapa ketika, Matt akhirnya bersuara.
"Miss Hana… Firman wanted me to let you know. My mother was a Cham Malay. She was a Muslim. When she was captured by the communists, she was made to eat pork, dog meat and was married off to one of them. He never converted. I was borned after Pol Pot's defeat. I have sisters and brothers. But we were separated by age and gender. We moved from jungle to jungle, hunted by both government soldiers and Vietnam. Until I was separated from my 'communist' group, I wandered aimlessly. Was found by a group of aborigines and later was sold to an Australian. Was raised and…"
Matt tak meneruskan kata-katanya. Tetapi aku tak memaksa. Hatiku meluap-luap dengan rasa tak faham terhadap Firman.
"One day, the Australian died in a fight at the nightclub. I was homeless until I was found by baba."
Matt bingkas bangun dan berlalu pergi. Aku ingin bangun dan mengejarnya, tetapi punggungku terasa berat. Tambahan pula Firman menahan aku dengan lengannya. Mataku mencari-cari Matt. Matt kelihatan sedang mengayuh perahu ke tengah sungai.
"Biarkan dia. Nanti dia okay."
Aku memandang Firman dengan wajah yang keruh.
"Apa masalah awak dengan Matt? Kan saya dah cakap jangan buli adik awak. Awak suruh saya jaga perasaan orang, tapi awak lebih teruk daripada saya. Hipokrit."
"Saya nak awak buka mata dan buka hati. Tengok dan dengar semuanya. Tulis dan laporkan kepada semua. Bukan hanya tentang keindahan Kemboja saja… Tulis dan singkap di sebalik penderitaan kami. Biar satu dunia celik mata dan melihat kami. Pol Pot yang kejam bukan sahaja memusnahkan Islam dan orang Islam tetapi dia memusnahkan semua bangsa dan agama. Dia seorang Khmer yang telah membunuh seorang Khmer yang lain, seorang bangsa yang telah menghancurkan bangsa dan negaranya sendiri. Dan akhirnya apa yang dia dapat? Mati dalam penuh kehinaan dalam hutan kerana seekor nyamuk, demam Malaria. Sebagaimana Namrud mati kerana seekor nyamuk yang masuk ke dalam kepalanya. Lihat apa hasil yang dia tinggalkan? Contohnya Matt, anak yang tidak diketahui mak bapanya, bangsa dan agamanya… Terlonta-lonta dalam dunia yang kejam ini. Kalau tidak kerana arwah baba yang menyelamatkannya, silap-silap dia telah menjadi pelacur, pondan atau perompak. Dengan pendidikan terbaik, baba saya berikan saya kepadanya. Lihatlah dia sekarang. Walau dia masih belum melupakan kisah silamnya… Dia tidak seharusnya melupakan kisah silamnya untuk dijadikan iktibar dan bangkit… Menjadi Matt yang lebih baik."
"Tapi itu tindakan yang tak baik, Firman. Kita tak boleh sesuci lebaran memaksa orang untuk bercerita trauma mereka… Apatah lagi kisah yang mengaibkan. Bimbang nanti kisah trauma dia triggered PTSD. Tak pasal-pasal dia jatuh sakit."
"Saya kejam sebab saya mahu kisah ini dibaca ramai. Saya mahu awak menggunakan kesempatan yang ada ini dengan sebaiknya… Awak tak lama di sini."
Dengan tenang Firman bersuara tegas.
"Saya sayang awak… saya mencintai awak…"
Bulat mataku… Mencari riak wajahnya. Dia tetap dingin seolah-olah apa yang dia cakap adalah benda yang tiada apa.
"Saya sayang awak sebagai seorang insan. Saya mencintai awak sebagai seorang Islam. Saya ingin awak menulis kisah perit kami dengan penuh kemanusiaan, lahir dari hati yang penuh dengan cinta… dari pandangan mata yang penuh dengan kasih sayang. Saya yakin awak mampu memberi sinar kepada kami. Tulis, ambil gambar, lukis, dan cipta lagu… Email, Twitter, Blog, Fb dan Insta. Suarakan suara hati kami… Agar satu dunia dan dunia Islam mengetahui betapa kami, satu bangsa Melayu Cham, tidak kurang hebatnya dalam memperjuangkan Islam dan mempertahankan negara. Lelaki, perempuan. Kami pahlawan Melayu Cham yang hilang dari sejarah, dilupai oleh sejarah dan tidak tercatat dalam sejarah. Sebar dan khabarkan… ramai lagi Melayu yang akan senasib dengan Melayu Cham jika mereka tidak menjaga agama dan negara. Nasib mereka mungkin lebih teruk daripada kami jika Islam ditinggalkan. Melayu Malaysia, Melayu Thai, Melayu Filipina dan Melayu ada di mana-mana. Apa yang berlaku kepada kami sangatlah menginsafkan. Melayu satu bangsa yang boleh dilenyapkan dari dunia tetapi Islam tidak akan boleh dilenyapkan. Untuk memastikan kesinambungan Melayu maka Islam harus dipacak kukuh dalam sanubari anak-anak. Barulah Melayu takkan hilang dari dunia. Kerana Islamlah yang teragung selamanya, Islam yang menyatukan kita dan Islam yang patut ditegakkan. Islam satu agama yang tak pernah memusuhi agama lain atau mendiskriminasi agama lain. Sebagaimana Rasulullah berjaya membina sebuah kerajaan yang adil, saksama yang hidup harmoni dengan berbilang bangsa dan agama. Islam yang menyatukan semua."
Aku mengulum senyum di belakang purdah. Hatiku mengucap syukur dengan penuh berbunga.
"Semoga kasih sayang dan cinta saya dapat melembutkan hati awak. Tiada apa yang saya inginkan daripada awak. Hanya satu laporan, irama dan gambaran yang tepat dan telus, berjiwa dengan penuh kemanusiaan."
Akhirnya dia berterus-terang juga denganku. Aku sentiasa keliru dengan tingkah lakunya dan akhirnya aku memahami apa yang dia inginkan. Kami saling berpandangan tanpa bahasa. Cumanya aku masih tenggelam dalam monologku. Aku ketawa kecil. "Itu yang awak mahukan? Kenapa tak cakap je awal-awal? Bazir tenaga saja asyik bergaduh dengan awak."
Malam ini aku tidur dengan nyenyak di atas katil yang bertilamkan kekabu dialasi cadar yang serba putih. Tiba-tiba saja suasana menjadi hiruk-pikuk. Jeritan ada di mana-mana. Hujan lebat membasahi jalan tar. Aku membuka mata. Aku ada di mana ini? Aku mengatur langkah penuh berhati-hati. Cahaya putih menghadirkan rasa silau di mata. Refleks aku menghadang mata daripada memandang cahaya putih itu. Aku teringatkan sesuatu.
Sensei! Langkahku kian laju. Membelah hutan belantara itu dalam kegelapan malam. Langkah pasukan penyelamat semakin menghampiri dari arah belakang. Aku menoleh sekilas. Bagus! Mereka jauh lagi! Langkahku sambung.
Tap! Aku terjatuh apabila terlanggar sesuatu yang keras. Apa benda pula ini? Aku mengangkat muka yang keruh sambil mengusap-usap batang hidung. Tubuh Sensei berada di depan mataku. Wajahku melopong.
"Sensei, mereka dah sampai."
Lelaki yang berbaju tanpa butang itu kelihatan sedang memegang dedaun hutan. Makan malam kami barangkali.
Dia memandangku sekilas sebelum melangkah terus. Dengan penuh polos, aku mengikuti langkahnya ke tempat berehat kami.
Sensei menyalakan api dan memulakan aktiviti memasak. Dedaun itu disiatnya dengan tangan sebelum diletakkan di atas kulit kijang yang bersih. Dia membelah ubi kayu sebelum merebusnya. Aku memerhati dengan penuh tanda tanya.
"Haa, tengok apa lagi? Makan cepat! Nanti kau kan nak balik."
Aku mengangkat muka dari sup sayur dan ubi rebus itu dengan wajah terkejut. Sungguh, aku menyangka dia akan melindungiku. Aku terus terkaku dan langsung tidak menyentuh makanan itu.
"Kau tak nak ke? Kalau tak nak, aku makan. Sedap ini."
Sensei sudah berura-ura hendak mengambil mangkuk kayu itu dari tanganku.
Lima saat kemudian, dia memandangku sebelum mengeluh.
"Budak, mereka datang ke sini untuk bawa pulang engkau. Bergembiralah."
Aku menjawab tanpa nada.
"Duduk di sini dan belajar daripada sensei lebih seronok daripada duduk di rumah."
Lelaki berpakaian selekeh itu mengeluh. "Aku tak boleh jaga kau. Lagipun aku tak ada hak nak ambil kau daripada orang tua kau. Pulanglah."
"Habis itu apa hak saya?!"
Dia memandangku dengan ekor mata.
"Apa yang kau mahukan? Beritahu ke orang tua kau. Kalau kau menjerit macam itu, sekuat harimau pun tiada siapa akan pandang kau. Buatlah apa yang kau inginkan. Budak, kau orang yang berhati baik. Aku yakin, apa yang kau inginkan pun baik."
Aku mencebik sebelum wajahku banjir dengan air mata. Mulutku teresak-esak sambil tanganku mengesat air mata yang tak akan habis.
Itulah kali pertama ada orang mengucapkan satu perkataan yang baik tentangku. Berkata sesuatu yang baik tentangku.
Aku melangkah penuh keberatan dari celah-celah semak-samun itu. Mataku memandang sensei, yang meyakinkan aku dan memberi semangat untukku pulang.
"Itu dia! Jangan bergerak! Kami polis!"
Bibirku melopong apabila mataku terpandang satu sosok tubuh yang sangat kukenal.
Firman? Dia buat apa di sini?
Aku tersedar lalu memandang sensei di sebelah. Genggaman tangannya erat sebelum dia mengangkat tangannya.
"Angkat tangan ada. Letakkan di belakang."
Firman mendekat sebelum mengeluarkan sebuah gari.
"Anda ditahan untuk membantu siasatan kehilangan Hana Zulaikha."
Sensei memandang Firman dengan pandangan hairan. Dia teragak-agak sebelum membiarkan tangannya digari.
Aku masih terkaku. Bergeraklah Hana! Kau tak mahu peristiwa yang sama berlaku lagi! Mataku terpandang umi dan abah tetapi hatiku meronta-ronta ingin memberitahu semua.
Sensei tidak bersalah. Dia yang mengajarkan aku seni mempertahankan diri! Aku mengatur langkah mendekati sensei.
"Oi, Budak. Kau buat apa ini?! Pergi ke orang tua engkau lekas!" Sensei mula meronta-ronta.
Aku tak menurut. Masih melangkah ke arahnya.
Gari di tangan sensei terputus. Anggota polis yang lain rata-rata sudah mengacukan peluru mereka ke arah sensei.
Tangan yang ingin menolak aku untuk menjauhinya itu pantas bergerak, sehingga aku sendiri tak sedar. Bunyi tembakan yang kuat membuatkan aku memejamkan mata. Apabila aku membuka mata, alangkah terkejutnya aku apabila tubuh yang kurus kering itu menolak aku ke belakang sebelum mengambil sedas peluru.
Aku memandang situasi itu dengan riak ketakutan. Aku teresak lagi. Jeritan kuat kedengaran disusuli tekakku yang sakit.
"Mangsa mula tidak stabil. Proceed untuk tranquilizer."
Aku tersentak dan bingkas bangun. Tubuhku lencun. Keluhan aku lepaskan. Peristiwa itu dah lepas, Hana… Kenapa kau masih ingat lagi… Aku memandang papan risperidone dengan wajah sugul. Berapa lama lagi aku perlu keluar dari malam itu…
Satu suara mengejutkan aku. Seekor kucing di samping ku. Dia cuba memanjat lalu menggesel dan menciumku. Aku mengusapnya lembut. Bibir yang aku kemam akhirnya tewas juga. Air mata yang ditahan sedari tadi akhirnya membanjiri muka, dan aku menggosoknya dengan kedua-dua belah tangan. Macam mana aku nak berhadapan dengan orang tuaku macam ini? Hatiku sakit mengingatkan wajah risau mereka! Kerana wajah itulah yang sama mereka tunjukkan padaku keesokan harinya. Tatkala aku tersedar, soalan pertama yang aku dengar ialah "Hana okay ke?" dari pegawai polis yang membunuh itu, ke orang tuaku yang menggelar sensei sebagai suspek, kesemuanya sama sahaja! Dan yang paling aku kecewa… Aku langsung tidak membuka mulut menceritakan hal itu! Dari pakar psikiatri hingga ke kaunselor, bibirku terkunci!
Aku memandang Che Teh kemudian tersenyum. Kau tidak keseorangan Hana… Allah hantar makhluk yang comel ini untuk memberi khabar gembira pada kau. Bergembiralah, kerana kau beriman.
Share this novel