Mai Tuan bersiap menunggu anak muridnya. Aku masuk ke dapur membantu. Fatimah menjerang air dan menyiapkan sedikit juadah selepas habis kelas. Kalau tak ada juadah, hanya air teh cina sebagai pengalas perut. Kadang-kadang anak murid Mai Tuan membawa sesikat pisang, seberkas ubi kayu, telur itik, secupak beras, seekor ikan atau apa saja. Sampai aku dah faham itu bukan upah atau sedekah tetapi itu ialah hadiah.
Aku memandang pakaian yang tersarung di tubuh dengan serba salah. Bukannya aku suka bergaya, tapi ini je pakaian yang aku ada setelah dibasuh Fatimah. Sehelai baju kurung moden ungu dengan tudung labuh ungu. Baju itu pula dibeli dari butik Sabrina. Memang eloklah kualitinya. Kalau tak pakai nanti umi berkecil hati pula. Pelajar sekolah agama tak pakai baju kurung, apatah lagi kurung moden. Pilihan majoriti adalah jubah kosong. Senang, nak pakai sarung aje.
Aku berpusing apabila terasa ada sosok tubuh menghampiri.
"Kakak! Cantiknya!!!"
Fatimah terjerit keluar dari dapur. Tanganku cepat menunjukkan jari telunjuk ke bibir, bimbang Firman terdengar.
"Cantiknya kakak! Regangnya kain ini, macam baju sejuk pula."
Tanganku menutup mulut Fatimah. Memang kuat betul suaranya kalau dia tengah teruja.
"Mana dapat baju ini?"
"Dapat pula. Belilah, kat Butik Sabrina. Ni macam baju kurung modern. Ibu beli tapi tak boleh pakai, jadi ibu hadiahkan. Material dia elok, tahan lama. Tapi kakak jarang pakai sebab tak suka. Macam mewah sangat."
"Cantik mutiara mutiara ini, kakak. Asli ya?"
"Asli… Fatimah suka rantai ini?"
"Suka, cantik. Putih bersih. Wanita ibarat mutiara. Tertutup dan tersembunyi di dasar laut, sampai tempoh matang, penyelam akan menyelam. Mutiara akan diangkat naik dan dibuka. Terserlah satu mutiara yang berkilauan indah. Cahaya dan sinarannya memukau sesiapa saja yang melihat. Yang tertutup selama ini akan dipakai ke leher mereka yang bertuah. Leher bangsawan dan kerabat diraja. Ditempatkan dalam kotak baldu merah tersimpan rapi dan disayangi… Kerana mutiara itu begitu berharga. Rupa-rupanya kerana dia tertutup, dia telah menghasilkan satu keindahan yang tidak terperi, satu kilauan yang sangat memukau. Siapa kata perempuan yang tertutup itu tidak berharga, tidak cantik malahan mereka lebih terhormat dan terpelihara. Disayangi dan dihormati. Lelaki pun dapat membezakan kelas kita macam mana. Melihat dari pakaian dan pembawaan kita, maka begitulah cara mereka melayan kita. Kalau kita menjaga maka mereka pun menjaga. Kalau kita tidak mahu disentuh, maka mereka pun tidak akan menyentuh."
Semakin lama Fatimah bercakap semakin terserlah kebijaksanaannya walau kadang-kadang aku aku mereka dia belum cukup matang. Tapi bila bercakap bab agama, berubah perwatakannya. Aku terfikir… Kenapa Matt selalu cuba menyentuh aku? Dia selalu cuba memeluk dan menarik aku? Kenapa dia tidak memegang Mai Tuan pula? Sedangkan dia patut utamakan Mai Tuan. Dia itu ibu angkatnya.
Firman tak pernah menyentuh aku kecuali pada malam aku disyaki menelan ubat tidur atau pada waktu kami bergasak. Aku hanya terperasan Firman beriak marah bila Matt mencempung aku ketika aku hampir tantrum ketika bertemu Siti Zubaidah tempoh hari. Fikirku Firman cemburu kerana Matt menyentuh aku tetapi baru terasa pandangan Firman itu lebih kepada Matt menyentuh aku, seorang perempuan Islam. Dan Firman tidak berdaya melarang kerana aku bukan sesiapa dengannya juga kerana aku merelakannya. Segala perbualan bersama haji, pada malam di pantai bersama Firman dan kata-kata Ahmad terngiang-ngiang di telinga.
Tiga kali salam diberi. Fatimah menjawab dan Firman melangkah masuk. Aku berjalan ke katil, duduk tanpa melihatnya. Aku menyumbat earpiece ke dalam telinga dan memasang lagu opera. Volume dikuatkan ke maksimum. Asyik dengan dunia sendiri.
"Kakak… Ai angah tanya itu."
"Tanya apa?"
Fatimah mengangkat bahu. Aku menoleh ke arah Firman yang sedang berdiri menghadap pintu keluar.
"Ada apa, Firman?"
Firman menoleh sekejap, bercakap sesuatu sambil memalingkan semula wajahnya ke arah pintu. Aku terpaksa bangun dan mendekatinya. Dia menoleh apabila terdengar derap kakiku melangkah ke arahnya. Aku duduk di atas tangga.
"Awak cakap apa tadi?"
"Saya nak pergi ke satu tempat. Nak ikut tak?"
"Ramai. Mama dan Fatimah ikut kemudian. Mereka selesaikan dulu kelas pengajian agama."
"Best ke tempat itu?"
"Bestlah bagi saya. Tapi tak tahulah bagi awak. Kalau rasa nak cari idea untuk lagu awak itu mungkin sesuai…"
"Bukankah petang ini awak ada latihan persembahan tilawah?"
"Saya dah batalkan penyertaan kita."
Firman melangkah keluar. Aku terkedu lalu terus menuruni tangga dan mencari Firman. Dia ada di pangkin depan rumah ini aje.
"Firman…"
Serba salah dan berat.
"Kalau awak tak ikhlas bersama kami, jangan paksa diri."
"Sebenarnya saya bukan tak mahu tolong. Kan saya dah beritahu, saya tak reti tilawah. Saya ada pengalaman dalam hafazan sahaja. Idea pun tak ada."
"Saya penat, penat sangat… Rasa keseorangan…"
Firman bingkas bangun dan menuju bangun ke sungai. Firman pun rasa keseorangan? Aku mengekornya.
"Firman…"
Dia terus berjalan. Aku cepat melangkah serentak dengannya.
"Firman… Listen…"
Dia tak layan. "Okay! Saya setuju! Saya join!"
"Dah terlambat! Saya dah cancel."
"Tapi takkan tak boleh join semula?"
Firman terhenti dan memandang tempat wajahku.
"Dah ludah takkan nak jilat balik?"
"Eww… Gelinya perumpamaan awak itu. Memanglah kalau ludah siapa nak jilat balik? Lagilah diserta dengan kahak… Yucksss! Lebih manis kalau kita kata, kita membatalkan penyertaan kita kerana budak ini…"
Aku tunjukkan jari ke muka.
"Budak sengal." Firman menambah.
Gara-gara rasa bersalah, aku tersenyum menahan sabar.
"Okay. Penyertaan dibatalkan kerana budak sengal ini maka diminta pihak tuan mempertimbangkan semula untuk menarik balik pembatalan itu. Budak sengal ini menyerah diri…"
Aku mengangkat kedua-dua belah tangan sambil membuat mimik muka sedih.
"Saya menyerah diri kepada tuan… Buatlah apa saja, saya rela…"
Firman mengangkat kening dan tersenyum senget. Matanya nakal.
"Buatlah apa saja? Boleh buat apa saja?"
Aku mengerlip-ngerlipkan mata sekejap. Kemudian mata tercelik luas. Baru aku tersedar! Cepat-cepat aku menurunkan tangan.
"Tak! Tak! Maksud saya, tuan… Saya sanggup buat apa saja untuk latihan tu. Apa saja yang tuan suruh saya akan buat… Saya cuba bantu tuan sedaya-upaya…"
Kelam-kabut mencari alasan, aku terpanggil Firman dengan gelaran tuan pula.
"Tuan? Nampak sangat awak merindui saya…"
"Ya… Err… Tak! Tak! Apa yang tuan merepek? Apa yang awak merepek. Firman, awak mere… Malas saya nak cakap dengan awak…" Aku menoleh geram. Nada suaraku bertukar seakan-akan merajuk. Dalam hati rasa nak benam muka dalam pasir saja.
Aku memusingkan badan dan melangkah dengan laju tanpa menoleh ke belakang.
"Kirik kanan kirik! Kirik kanan kirik! Kerek kanan kerek! Kerek kanan kerek!!! Lenggang lagi! Jangan lenggang macam itik… Stop! Itu dah stail kawad akak-akak tu. Jangan buat muka kerek!!!"
Aku mengangkat kain baju kurung dan membuat simpul di pinggang, macam pengamal silat. Kaki memecut ke rumah, diikuti ketawa jahat Firman. Jangan dengar cakap dia dah, Hana!!!
Telefon aku berbunyi. Aku yang termengah-mengah naik ke atas rumah buat tak layan aje. Kejap lagi penuhlah rumah ini dengan murid kelas pengajian agama. Tabir aku labuhkan, tutup sekeliling dan aku berbaring. Aku memejamkan mata. Nak senyapkan telefon, takut aku tertidur sampai terlajak solat. Masalahnya aku ini bila tidur selalu terlajak solat, jadi aku kunci jam. Akhirnya aku senyapkan juga, bimbang menanggung malu. SMS mula masuk bertalu-talu. Warghhh… Tak aman betullah dengan Firman ini. Apa spesies punya orang? Tak faham ke kalau tak mahu diganggu? Tiga kali dail, tiga kali menghantar SMS. Kalau tak berjawab itu maknannya aku tak mahu layanlah.
Tiba-tiba! Ya Allah! Terpelanting sebiji cermai dari atas kepalaku, melantun ke atas tilam. Aku menjenguk keluar tingkap dengan melutut di atas katil. Firman berdiri dan tersenyum dengan menggenggam buah cermai.
"Jom ikut." Suaranya perlahan. Takut perlahan. Takut Mai Tuan dan tetamu lain mendengar.
"Tak naklah saya. Awak lanun." Suaraku juga perlahan.
"Kalau tak mahu, saya baling awak…"
"Balinglah… Paksa-paksa pula."
Firman membaling lagi, aku mengelak. Makin rancak pula dia membaling. Jenuh aku mengelak. Mana yang kena dahi, kena hidung, kena bibir. Cukup jahat Firman. Sebelum dia membaling, dia mengucup dulu setiap balingannya itu. Nak psiko akulah itu! Ingat boleh jalan ke dengan kucupan palsu dia tu?! Kami berdua tergelak perlahan. Dah habis buah cermai di tangan, rajin pula dia pergi mengutip lagi di bawah pokok. Dia datang dengan dua genggam. Besar mataku! Dah tahu dia nak buat apa. Memang lanun betullah dia ni! Firman membaling serentak buah cermai itu dan aku pantas meniarap untuk melindungi diri sambil mengulum senyum!
"Eh apa ini!!!"
"Opocot!!"
"Mak datuk kau meletup!!"
Riuh rendah suara Mai Tuan menjerit dan melatah. Bersambung-sambung.
"Fatimah!!! Pergi tengok!!! Ada orang mengacau kakak!!!"
Habislah Firman!!! Pantas aku mengiring sebelah, berpura-pura tidur tapi Tuhan saja yang tau betapa sakitnya mulut aku menahan senyum. Bunyi selakan tabir dan Fatimah memanjat naik ke atas katil, mengesot perlahan takut aku terjaga dan menjengukkan kepalanya ke luar tingkap, memandang ke kiri dan ke kanan. Aku mengintai pergerakan Fatimah dengan mata yang dikecilkan.
"Tak adalah mama."
"Dah larilah itu. Susah kalau ada anak dara lawa dalam rumah. Dia tahu ai angah tak ada, tu yang berani mengusik… Tahu ke ai angah, kena salailah siapa yang buat kerja tak senonoh ini. Tak tahu dosa ke mengacau anak dara orang… Mengacau orang yang nak belajar agama."
Aku menahan senyum yang kian melebar. Kadang kalau kena sendiri dengan mak lebih menyakitkan daripada dengan perempuan!
"Dah… Ke sini Fatimah. Jangan kacau kakak tidur."
"Tak ada kacaunya. Kakak ini kalau tidur, campak buang ke laut pun dia tak sedar."
Sedapnya Fatimah mengutuk aku! Nasib baiklah aku ini penyabar orangnya! Kalau tidak mahu aku campakkan dia ke luar jendela.
SMS masuk.
Jom ikut. Kalau tak mahu saya baling dengan kelapa!
Kelapa? Betul-betul lanun!!!
Apa ini paksa-paksa?
This is an order!
Order tak der. Tak hairan! Awak bukannya pegawai polis saya lagi. Sini Kemboja okay. No more Cik Ebrahim.
Sedapnya awak tukar nama saya. 10 saat dari sekarang jenguk tingkap.
Aku mengeluh. Hai la… Nasiblah kenal dia. Memaksa memang kepakaran dia. Aku menjengukkan kepala. Nasib tak terjojol biji mata aku. Itu dua biji kelapa kan?
"Firman, are you serious?" Aku berbisik geram.
Dia hanya mengisyaratkan dengan matanya. Serius! Sebiji kelapa dijatuhkan, sebiji lagi dilambung-lambung.
"10 saat dari sekarang kalau awak tak turun nasiblah siapa yang kena."
"Apa masalah awak ini sebenarnya?"
"Lapan."
"Saya tak sangka awak sanggup buat macam ini. Umur dah tua, tapi perangai macam budak-budak."
"Lima."
Firman mengucup buah kelapa itu dan mensasarkan ke wajahku. Darahku sudah berderau. Pengalamanku dengan Firman? Dia memang kasar ganas. Dia tak teragak-agak bertindak dan memang sakit kalau kena dengan dia. Firman membuka langkah, teragak-agak aku memandang dinding rumah. Cepat-cepat aku mengangkat tangan. Aku menyerah kalah!
"Tunggu, saya tukar baju dulu."
"Tak payah. Cepat. Bawa payung, takut hujan."
Aku mengesot turun dari katil, mencapai stokin hitam, sarung lengan dan niqab hitam. Aku menyandang beg ke bahu. Aku menuruni tangga dan mencari Firman. Allahuakhbar! Firman membaling juga kedua-dua buah kelapa tua itu ke dalam rumah dan dia berlari laju ke arahku.
Riuh rendah suara jeritan dari dalam rumah Mai Tuan. Firman menarik payung di tangan aku dan aku ikut berlari mengikut langkahnya.
"Firman, awak jahat! Kepala siapa yang kena?!"
"Tak ada siapa yang kena! Saya aim tepat atas katil. Locked! Hit! Mereka terkejut dengar bunyi!!!"
Aku tergelak kecil, diikuti dengan gelak besar Firman. Berlari memijak bunga kuning yang tumbuh berceratuk sambil disapa oleh angin kencang, disambut mesra oleh cuaca yang dingin, dan dipayungi oleh awan yang lembut. Kalau Hong Keat tahu aku boleh berbaik dengan Inspektor Ebrahim ini mahu dia terlentang jatuh! Jatuh tak bangun-bangun!
Share this novel