Kami bersarapan nasi lemak bersama sambal kerang, udang, ayam goreng berempah dan rendang daging. Penuhnya lauk. Rindu gila! Fatimah menikmati bihun goreng. Suasana di dalam Kafe Puncak ini meriah dan hingar-bingar. Seperti berada di Malaysia. Ramai juga orang Malaysia yang berkunjung ke Kemboja atas urusan perniagaan atau melancong. Bahasa Melayu kedengaran di mana-mana.
"Manalah tak turun lagi jejaka dua orang ni?"
Fatimah mula melilau mencari. Aku mengeluarkan earpods dan Honor. Aku letakkan di atas meja, Honor menghadapku sambil menikmati makanan. Sesekali Fatimah pun sibuk mengintai melihat apa yang ada di skrin, sambil menanya itu dan ini.
"Kakak! Mereka dah datang!"
Aku mengangkat kepala dengan pengumuman penting Fatimah dan aku melihat Matt berjalan masuk bersama… Firman? Oh, tolong! Mana inhaler? Aku rasa macam nak putus nafas!
Firman berjalan masuk dan tiba-tiba pula aku merasa keadaan menjadi lambat. Langkahnya perlahan, angin sepoi-sepoi bahasa meniup rambut gondrongnya kemudian dia menunduk sedikit sambil mengusap rambutnya… Dia mengangkat kepala dan memandang aku. Satu senyuman yang memaparkan barisan gigi yang putih. Renungannya pula tajam lagi menyeramkan. Aku jadi tak senang duduk. Tangannya membetulkan sedikit leher baju. Pertama kali aku melihat dia berkemeja putih, lengan dilipat hingga ke bawah paras siku, kemudian mataku beralih melihat kepada tangannya yang mengusap dagu pula… Wau.
Sreettt… Bunyi CD rosak. Aku melihat ke arah dagunya yang berplaster. Mana perginya angin sepoi-sepoi bahasa tadi? Mereka sudah berdiri di depanku. Matt menarik kerusi dan duduk berdepan denganku. Kami berbalas senyum dan aku mengerling ke arah Firman yang sedang membetulkan duduk depan adiknya.
Terasa mahu mengetuk kepala dengan pinggan di atas meja. Tak agak-agak langsung nak perhati anak orang. Orang kata tengok sekali je, pandangan kedua dah masuk dosa. Tapi hari ni aku tewas juga. Dah berapa aku mata aku melihat plaster di dagu tu. Aku merapatkan rahang kemas. Bimbang ketawa keluar. Dia pun kelihatan lain sangat. Jadi kenalah tengok betul-betul, karang tersilap bodyguard pula! Nanti dia juga yang bising kalau aku berada jauh dari pandangannya!
Aku mengalihkan pandangan ke arah Matt yang berada di depan. Dia tak pernah merasa nasi lemak maka aku memperlawa dia mencubanya. Aku membawa Matt ke tempat bufet, menunjukkan kepadanya pelbagai jenis sambal dan rendang. Aku isikan pinggangnya dengan sedikit sambal. Bagi dia rasa antara masakan Malaysia yang tersohor di dunia. Matt merasa sedikit dan mula mengangkat jari thumbs up! Dah agak dah! Pasti dia suka!
Kami kembali ke meja. Firman belum mengambil apa-apa lagi. Tidak juga memandang aku. Dia hanya duduk sambil bersembang dengan Fatimah. Aku membantu menggaul nasi lemak Matt dengan sambal. Merah menyala. Baru puas makan macam tu. Harap tak sakit perut lah.
"Ai angah bila nak makan? Turun pun lewat. Biasa selalu cepat kalau ada apa-apa. Kali ni mengalahkan perempuan pula bersiap. Tadi ai angah masuk, ingatkan siapalah yang berjalan dengan Matt."
Fatimah bertanyakan Matt pula. Matt berkata sesuatu dan mereka tergelak. Faham rasanya apa yang Matt cakapkan. Dia menunggu Firman bercukur dan orang tu pula cedera parah kerana dah lama tak memegang pisau cukur. Aku tersenyum dan memandang sekilas kepada Firman. Dia masih macam tu juga. Tumpuannya hanya pada adiknya yang sedang makan. Langsung tak menoleh ke kiri dan ke kanan. Aku menolak pinggan kosong ke depan dan mula memberi tumpuan kepada skrin Honor di atas meja makan. Aku tersenyum sumbing melihat aksi kemesraan Along dan Kak long.
"Bangunlah… Pergi mandi cepat…" Marah kak long perlahan, manja.
"Penatlah B… Dua hari berturut-turut on call. B nak tidur puas."
"Sia-sia aja Hana on, tengok drama pukul 7 pula. Okaylah, Hana off."
Tak sempat mereka berkata apa-apa, aku hang call. Malas nak layan. Orang video call nak sembang ramai-ramai, boleh buat drama pukul 7 pula. Biasalah, orang baru kahwin. Aku bingkas bangun, menuju ke meja bufet dan mengambil secawan teh. Pukul berapa di Malaysia sekarang? Masih tidur lagi? Mesti diorang tidur lepas Subuh. Malas nak fikir banyak, dah besar gajah dah pun.
"Ehem…"
Aku tersedar. Dah berderet orang beratur di belakangku. Aku beralih dan Firman mengambil seteko teh lalu menuangkannya ke dalam cawanku dan cawan miliknya.
"Kakak… Boleh ambil lagi ke?" Fatimah menghampiri kami berdua.
"Boleh. Ambil saja apa yang Fatimah nak. Makan puas-puas. Bukan senang nak dapat."
"Nak rasa kuih pula," balas Fatimah.
Fatimah meminta Firman yang kebetulan sedang memilih kuih lapis supaya meletakkan sama ke atas pinggannya. Aku memegang pinggan sambil mengetuk dengan dua jari perlahan, masih berkira-kira nak makan lagi ke tak. Rasa tak selesa pula kerana tak ada selera makan, tapi perut berkeroncong. Aku mengambil kuih kosui, kemudian aku letakkan semula. Karipap macam sedap, tapi tak lalu pula. Serentak sepasang tangan mencapai penyepit dan satu tangan lagi pantas melarikannya.
Aku memandang orang di sebelah. Tersenyum sedikit melihat dagu yang berplaster di sebelah kiri.
"Awak nak ni juga?"
"Boleh juga…" Firman mengangguk.
Aku meletakkan tiga batang pulut panggang ke atas pinggannya.
"Lagi? Popia nak?"
"Cukuplah… Hana tak ambil apa-apa?"
"Tak jadi. Tak lalu pula." Aku tersengih menutup malu.
Firman menyepit sebatang pulut udang dan meletakkannya di atas pingganku. Aku memandangnya dengan rasa sebal.
"Makan puas-puas. Susah nak jumpa di kampung."
"Terima kasih… Semangatlah sikit saya nak duduk di sini," jawabku separuh serius. Muka segaknya aku pandang dengan senyum lucu.
"Firman berkerut, tak faham.
"Apa yang semangat?"
"Tak ada apalah! Saya cuma lebih bersemangat nak teroka area kampung awak."
Aku mengukir senyum memohon maaf dalam diam. Entahlah, rasa lucu pula apabila Firman yang sadistik tu tiba-tiba boleh menjadi sweet seperti gula tebu.
"Lepas tahu siapa awak sebenarnya, rasa kekok pula nak berawak saya. Patutnya berencik saya, tapi bila nak panggil awak encik, rasa… Rasa…"
"Rasa apa?" Firman mengangkat matanya, melihat aku.
Rasa nak gelak sakan! Cringe! Rasa kekok nak mampus! Nak gali lubang Dan masuk dalam lubang tu! Aku menekup mulut perlahan. Wake up, Hana! Jangan menakutkan dia dengan kegilaan engkau!
"Rasa nak tengok awak pakai uniform polis awak…"
"Awak suka tengok saya dalam uniform tu?"
Aku mengemam bibir, dan menganggukkan kepala.
"Kenapa suka?"
Supaya boleh cringe puas-puas sebab janggal! Dan gelak puas-puas sebab lepas ni hanya nampak dia sebagai pegawai polis je! Halu, pegawai polis takkan berjaya meruntuh seorang kurang upaya mental tau!
"Saya akan segerakan pembaikan banglo awak. Maaf pasal kerana berkasar. Sakit ke?" Heh… Reti pula minta maaf. Ingatkan orang sadistik ni tak mampu nak ada rasa bersalah. Aku mengukir senyum mengejek.
"Tak apalah. Benda biasa. Awak patut minta dekat Hong Keat sebenarnya. Dia memang the true MVP."
"Awak dan dia meronta kuat sangat. Keadaan kelam-kabut dan tak terkawal."
Aku menahan meluat dalam hati. Orang yang memilih kekasaran dan dalam keadaan panas baran memang akan bagi alasan macam tu untuk justify perbuatan diorang. Tambah lagi kalau ego dia yang dipertaruhkan. Aku melepaskan keluhan tanpa didengar.
"Saya minta maaf dengan apa yang Hong Keat cakap. Dia tak tahu apa pun dan terlibat kerana saya. Saya harap awak dan Matt tidak membawa dia ke pihak bertanggungjawab."
"Saya faham tapi bila saya fikir semula, saya nak beritahu keluarga awak yang awak tak suka saya. Baik awak pulang semula ke Malaysia. Berjalan di sini seorang diri susah kalau ada apa-apa hal berlaku."
Ngaa… Aku rasa nak hentak kepala ke dinding.
"Eh, tak apa… Tak apa… Saya nak tinggal dengan keluarga awak. Saya pun perlukan teman untuk menjalankan misi saya."
"Okay… But please be professional. Nothing personal and I'm not your friend. Awak mesti dengar dan ikut arahan saya. Ingatan tegas untuk awak. Kalau awak buat hal lagi, saya gari dan kurung awak?"
Dah datang balik perangai sadis dia tu! Hancus harapan!
"Takkan tak boleh berlembut sikit dengan saya?"
"When it comes to business, strictly business."
Aku menjulingkan mata ke langit tanpa melihat wajahnya. Rasa nak termuntah dengar statement tu. Mana dia dapat gari? Memang niat dia dari awal lagi nak gari dan kurung aku!
Aku melangkah sebal ke arah meja makan, tangan spontan menghidupkan semula smartphone. Beberapa misscalls mula masuk. Seketika lagu pizza mozarella nyanyian Gyro Zeppeli mula kedengaran, dan telefon mula vibrates. Pantas aku menekan reject. Tak ada mood nak melayan orang, ditambah lagi dengan perbualan sebentar tadi.
"Kakak… lagu tu bunyi lagi."
Malas dan tak mahu Fatimah membuat ulasan entah apa-apa, aku menekan butang answer.
"Hello Hana… Marah ke?"
Aku tak memandang dan membiarkan kamera telefon tak mengena wajahku. Tangan selamba menghirup air teh dengan straw.
"Amboi… Sombongnya. Makan tak ajak. Nampak macam sedap je kafe tu. Dekat mana ni?"
Fatimah mengintai sedikit dan berbisik perlahan. "Siapa tu kak? Segaknya…"
Firman berdehem dan Fatimah cepat menunduk makan.
"Biasa je. Tak lalu nak makanlah, Along. Along siap-siap ni nak pergi mana?"
Along tergelak dan mengeringkan rambutnya dengan tuala. Dia membetulkan kolar t-shirt dan menggerak-gerakkan rambutnya dengan jari.
"Hana, kebersihan tu separuh daripada iman. Takkanlah nak berpakaian elok pun nak kena beri sebab kut?"
"Selekeh juga sebahagian daripada iman. Selalunya para sahabat dengan Nabi SAW ni pakai pakaian elok-elok untuk benda yang penting, contoh kelas, kerja, solat, atau jumpa orang penting."
Along ketawa lucu.
"Dahlah merajuk, menjawab pandai. Make sure makan ubat tu. Malu Along nanti dengan Firman."
Cepat-cepat aku mengerling Firman. Dia mengunyah kuih dengan selamba dan tak memandang aku pun. Matt dan Fatimah pula yang beria memandang aku. Aku memandang Along dengan pandangan yang tak dapat ditafsirkan. Ya Allah, menyesalnya aku on handphone, patut aku buat silent mode ja…
"Hana tak marah pun. Sorry lah Along. Hana tak ada mood la nak layan Along. Penat mental sangat, sampai tak ada masa nak fikir pasal family di Malaysia. Seronok duduk sini, dapat belajar benda baru. Cuma entahlah, stress sebab penat. Walhal tak jelajah kampung lain lagi. Harap-harap Allah permudahkanlah."
"Amiin… Insha Allah. Hana kalau tak tahan, balik aje. Nanti Along bawa keluar makan, pergi makan ke restoran Thai, sekali dengan kak long. Lepas tu pergi shopping sekali."
Mataku galak kegirangan. Along sengih penuh janggal. Aku ketawa kecil melihatnya. Tiba-tiba mataku melihat seseorang.
"Along, sorry. Nak end call."
"Okay Hana. Take care. Jangan gangster sangat di tempat orang."
Aku tergelak.
"Along pun sama."
Kami berbalas senyum mengejek. Faham sangat humour masing-masing. Kelima jari-jemariku melambai skrin.
"Bye… Take care."
"Okay bye. Assalamu'alaikum."
Matt di depan tersengih bagai kerang busuk. Aku mengerutkan kening di luar sedar. Tubuh segera bangun sambil bercakap perlahan kepada yang lain.
"Sekejap ya… Saya nak jumpa orang."
Aku mendapatkan Kak Fatin dan suaminya yang sedang berdiri, mencari-cari tempat duduk.
"Kak Fatin… Hai."
"Ya Allah! Hana…! Lamanya tak jumpa!"
Kami berpelukan sambil berlaga pipi.
"Jom join kami. Saya belanja. Ada meja kosong di sebelah."
Yakhiz tersenyum, dan menganggukkan kepala apabila Kak Fatin memaling kepadanya, meminta izin. Ya'mal dalam dukungannya riuh menyapa dalam bahasa bayi. Sebelum memperkenalkan Fatimah, Firman dan Matt kepada mereka, aku terfikir. Apa aku nak cakap ya? Apa hubungan aku dengan mereka?
Kalau ikutkan Along, Firman dan Fatimah tu macam adik-beradik angkat aku lah. Tapi nak ke Firman mengaku aku ni keluarga dia? Bukan keluarga dia sangat privileged ke? Kenapa aku nak berkira? Dah dia duduk ungkit benda itu dekat sepuluh kali! Orang lain pun ahli agama juga, tak ada pun canang hal agama peribadi dekat orang lain. Firman kata dia pengawal peribadi aku, dan Fatimah tu penterjemah. Masha Allah, bunyi macam gah sangat!
"Ini Firman, err… Abang Hana, eh silap. Kawan Along. Tu adiknya Fatimah dan Matt, kawan Firman. Hana tinggal dengan mereka dan mereka tu ibarat keluarga angkat Hana sepanjang di sini."
Aduh! Sesi perkenalan yang memalukan! Semua tergelak riuh, berfikir aku membuat jenaka. Meja dirapatkan, dan Yakhiz, abang Yaqrib duduk berhadapan dengan Firman. Matt beralih duduk sebelah di Yakhiz. Fatimah beralih duduk di sebelah Firman. Aku dah tak tahu nak duduk mana. Kak Fatin pula dah duduk di sebelah Fatimah. Akhirnya aku terpaksa duduk berdepan dengan Kak Fatin, di sebelah Matt. Kedudukan yang cacamerba, tidak mengikut adab dan protokol. Fatimah dan Firman aje yang kelihatan terpelihara. Nampak seperti mereka menjaga batas. Memang waktu macam ni aku nak sembam muka di atas meja. Aku rasa itu lebih baik daripada malu yang aku tengah tanggung sekarang ni. Dahlah depan keluarga ipar pula tu!
Yakhiz menyuruh Kak Fatin mengambil makanan dan aku menemani dia. Riuh kami bercerita dan Kak Fatin berasa seronok sangat kerana dapat berjumpa dengan aku semula. Mereka pasangan yang sangat sibuk, Kak Fatin dengan bisnesnya dan Yakhiz dengan skuba divingnya. Kami memang rapat, kenal dari zaman sekolah menengah lagi. Masa tu jugalah aku baru mengenali Yaqrib dan mendapat tahu sejarah Kak Fatin dan Yakhiz.
Mereka pun lebih kurang macam aku dan Yaqrib juga, cuma tak ekstrem. Aku dan Yaqrib sangat selesa dengan satu sama lain. Walau kami kutuk masing-masing pun kami memang rapat. Tapi Kak Fatin dengan Yakhiz dia punya hubungan memang dahsyat. Sampai Kak Fatin nak cakap dengan Yakhiz pun suruh aku. Nampak sangat meluatnya. Sangkaan aku, Yakhiz dulu kuat membuli Kak Fatin.
"Boleh tahan juga guys yang temankan Hana?"
Aku mengangkat kening. "Hmmm? Yang mana satu?"
Mata kami berdua mengarah kepada Firman dan Matt. Tangan aku memegang dua biji pinggan yang diisi penuh oleh Kak Fatin.
"Yang namanya pelik sikit tu… Firman. Handsome orangnya."
Eleh, puji Firman pula! Kalau dia dengar mesti kembang kempis kempus hidungnya.
"Ya ke handsome? Biasa je Hana tengok. Cuma cantik je. Macam perempuan. Janganlah dia usap rambut dia, betul-betul macam perempuan."
Kebetulan Firman mengusap rambutnya ke belakang, serentak kami berdua terjerit kecil. Bahuku tergerak dengan laju kerana geli!
"Ha… Kan kak… Sebiji macam perempuan. Tak tahan saya kak, geli…"
"Hisy, punyalah sasa dan macho macam tu, macam pompuan pula. Kero ke apa mata tu? Nasib baik akak dah kahwin, kalau tak, tak agak-agak nak cuba nasib."
Aku menampar lengan Kak Fatin lembut. Ada ke pula macam tu?! Tahu dekat Abang Yakhiz, mudah-mudahan sempat syahadah.
"Saya tak suka lelaki seperti dia. Sadis dan pedas. Tambah-tambah lagi kalau kami berdua ni strangers, tak ada apa-apa hubungan pun… Saya cuba nak berbaik dengan dia, tapi dia acah-acah beriman dengan saya pula. Menyampah lelaki macam tu, berkawan dengan lelaki tak semestinya menggeletis nak batang dia… Stress saya dengan dia."
"Entah apa-apalah Hana ni… Rasa akak baik kamu check mata. Orang tu handsome, perempuan apa pula? Yang cantik tu kamu, cantik menikam. Yang handsome tu dia, kacak membunuh. Lelaki berambut panjang ni sexy tau."
"Akak! Please lah… Handsome tapi mulut longkang tak gunalah."
Kebetulan Firman menoleh ke arah kami. Baru aku perasan dia sentiasa menjalankan tugasnya. Matanya tak pernah lupa memerhati, di mana dan apa yang aku buat. Tiba-tiba aku terasa sangat tidak selesa dan terancam.
"Aduhai… Meleleh hati akak…"
Aku mengukir senyum plastik dan mataku menjeling Kak Fatin sekilas, cuba menyembunyikan ketidakselesaan yang melanda diri. Teringat masa sensei ditembak mati, dan suara paramedik memberitahu aku sudah tidak stabil dan menyuntik tubuhku dengan sebatang jarum. Setelah itu, apabila aku membuka mata, wajah kedua ibu bapaku yang menjamah pandangan dan apabila aku menitiskan air mata setelah mengingati kejadian sebenar, tiada siapa pun yang meminta maaf kepadaku. Mereka malah menyebut sensei sebagai penjenayah. Tidak! Sensei bukannya penjenayah! Sensei yang menemani aku di waktu sunyi, bersembang denganku, mengajarku pelbagai benda baharu…
"Hana… Hana???"
Panggilan Kak Fatin membawaku ke alam nyata. Terkebil-kebil mataku sedar tadi merenung pinggan. Hampir tersendeng pinggan itu. Mujur tidak tumpah. Aku menarik nafas perlahan-lahan. Mata refleks memandang Firman yang sudah berdiri dan seperti hendak berjalan ke arahku tetapi dia duduk semula perlahan-lahan. Terasa bahawa matanya masih tetap mengawasi aku.
"Kamu mengelamun ya? Tengok kuah roti jala tu macam nak terjun berenang di dalamnya?"
Aku tersengih malu. Mata cuba melarikan diri daripada memandang Kak Fatin di depan. Sekarang ni aku memang betul-betul nak masuk dalam kuah roti jala ni, huwaa!
"Maaf, kak. Saya terfikir, kenapa akak obses sangat dengan Firman tu… Kan ada Matt di sebelah dia… Matt pun boleh tahan juga orangnya…" Alasan plastik sampah.
"Bagi akak, tetap Firman. Lagipun, cuba tengok air muka Firman. Lain tau kalau air muka orang macam ni. Memang Matt tu handsome tapi kalau setakat nak jamu mata tu bolehlah. Tapi Firman tu macam ada sesuatu… Ada auranya tersendiri. Ada cahaya dan serinya, tak reti nak cakaplah. Dengan Matt tu Hana kena jaga, semacam aje Kak Fatin tengok dia… Jangan gay sudahlah…"
"Sayanglah kalau gay… Memang ditakdirkan lelaki handsome dalam dunia ni majoriti gay… Huhu."
Kebetulan ketika itu Matt mengangkat cawan dan menghirup tehnya. Mata kami berdua hampir tersembul keluar bila melihat jari kelingkingnya melentik naik.
"Hanaaa…"
"Melentik tu… Masha Allah!" Aku ketawa kecil perlahan.
Kami berdua berjalan terkepit-kepit menahan geli hati. Aku duduk di sebelah Matt pun terasa lain macam. Sekali lagi beralih tempat duduk. Macam main musical chair lah pula. Abang Yakhiz duduk berdepan dengan Kak Fatin menikmati makanan. Matt beralih duduk berdepan Firman dan aku beralih duduk berhadapan dengan Fatimah yang sedang mendukung Ya'mal. Sesekali Firman mengagah Ya'mal. Sesekali juga mata Ya'mal melihat aku. Mungkin dia masih ingat aku mendukungnya dulu. Mata kami bertentang dan aku suka lihat matanya, jernih dan bulat.
"Kakak nak dukung ke?" pelawa Fatimah. Mungkin perasan melihat aku ralit memperhatikan telatah Ya'mal.
Aku mengangkat kedua-dua kening. "Boleh juga."
Fatimah berdiri dan menghulurkan Ya'mal kepadaku. Ya'mal seperti keriangan, terkekeh ketawa bila aku mendukungnya. Aku meribanya lalu menegakkan badannya sambil mengagahnya dengan mataku. Tanpa suara tetapi kami seperti memahami antara satu sama lain.
Matt mendekat dan mencium Ya'mal. Berderau darahku. Matt terlampau dekat dan mukanya hampir menyentuh kain burqa yang aku pakai. Satu suasana yang memang menyusahkan. Dah lah ada anak kecil di pangkuan, takkanlah aku nak menggunakan seni mempertahankan diri pula. Walaupun Matt mungkin tak berniat apa-apa, tetapi perbuatannya begitu biadap.
Ya'mal mula mencebik, kemudian teresak dan melalak. Ah, sudah. Kak Fatin mula nak bingkas bangun, tetapi aku sudah terlebih dahulu berdiri dan bersuara. "Ya'mal, tak apa, ni mak lang Hana ni. Ya'mal rindu mak lang tak?" Aku memandang Kak Fatin sambil meminta izin untuk mendukung Ya'mal di lobi. Mungkin dia lemas di sini. Aku mengusap rambut belakang Ya'mal. Mendodoikannya dengan nyanyian selawat kesukaanku. Nada dan irama yang membuatkan kami berdua senang dan selesa sangat.
Lenguh berdiri dan berjalan, aku duduk di atas sofa di lobi. Ya'mal yang terlena tersentak lalu terjaga. Bulat matanya dan mulutnya mula nak mencebik lagi. Aku membetulkan kedudukan, meribanya dengan lebih selesa dan menghulurkan ibu jari aku kepadanya. Dia menggenggam kemas dan matanya mula tenang semula. Aku merenung kasih ke dalam mukanya. Kemudian aku pejamkan mataku lembut sambil menarik nafas dalam-dalam. Kemudian aku membuka semula dengan lembut sambil melepaskan nafas. Ya'mal memerhati pergerakan kelopak mataku dan hembusan nafasku. Aku pejamkan semula dan melakukan teknik pernafasan tadi semula. Lama sedikit baru aku buka dengan perlahan. Aku lakukan berulang kali sehingga Ya'mal mula menguap dan perlahan-lahan terlena semula.
Aku memerhati wajah suci ini dengan penuh teliti. Setiap inci wajahnya aku teliti. Matanya mirip Kak Fatin, bentuk dahinya mirip Yakhiz. Hidungnya pun mirip Yakhiz. Bulu matanya lentik, seperti Kak Fatin. Dahinya aku sentuh perlahan dengan hidungku. Aku menciumnya dengan penuh berhati-hati, bimbang dia terjaga. Jari-jemarinya yang memegang kemas ibu jariku, aku angkat.
Aku memejamkan mata sambil mengeluh perlahan. Pahaku menahan berat Ya'mal yang sedang lena. Kesan ubat mula mengena otakku. Dan aku sudah tidak mampu membuka mata lagi.
"Shh… Dua-dua tidur ke?"
Aku sedaya-upaya membuka kelopak mata yang terasa sangatlah berat. Cahaya lobi juga tidak membantu mataku, lalu aku mengedipkan mata beberapa kali. Tiga pasang mata melihat kami sambil tersenyum. Firman dan Matt hanya memerhati dari jauh.
"Hana… Kak Fatin nak balik dah. Nak singgah ke stor dengan pejabat Abang Yakhiz kejap. Terima kasih ya belanja kami. Bila boleh datang rumah? Akak nak belanja makan."
Tangan Kak Fatin meraih Ya'mal dari riba aku. Aku menggamit Firman.
"Apa program kita hari ini? Kak Fatin ajak pergi rumah dia."
"Program terserah kepada Cik Hana… Tapi kalau Cik Hana tak keberatan, saya nak singgah office saya sekejap, kemudian saya bawa Cik Hana jalan-jalan dan shopping. Esok mungkin free, nak kemana pun tak apa. Lusa kita check-out."
"Esok malam boleh Kak Fatin?"
"Okay boleh. Tapi datang awal sikit. Minum petang dulu. Datang malam nanti takut susah nak jumpa rumah. Okay tak, bang?" Tanya Kak Fatin pada Abang Yakhiz.
Abang Yakhiz mengangguk.
"Hana nak makan apa, cakap je. Akak cuba masakkan."
"Dia tak susah makan, kak. Senang jaga. Dia lebih suka makan ayam kampung, lebih-lebih lagi ayam kampung yang dicabut bulunya sendiri."
Aku membesarkan mata kepada Firman sambil mengemam bibir. Tak sampai berapa jam, dah sakit hati aku! Fatimah mengemam bibir, menahan ketawa. Kak Fatin dan Abang Yakhiz seperti faham ada tragedi di sebalik usikan Firman. Mereka lantas tergelak kuat.
hari ni penulis update juga walaupun ada ckp ttg solidarity
Share this novel