Aku duduk bersendirian menikmati BBQ dan segelas air Mountain Dew. Sejuk-sejuk dihidangkan air berais pula, tapi aku hentam saja menikmatinya. Memang tak ada pantang. Istimewa sekali hidangan untuk aku. Makan berasingan dengan meja bulat untukku seorang. Dilayan oleh empat orang pelayan resort yang bersilih ganti menghantar makanan kepadaku. Mereka yang lain menghurungi tempat BBQ dan makan beramai-ramai di meja makan.
Tak sangka, Kemboja ada laut yang begitu cantik. Kalau dibangunkan betul-betul, mahu kalah dengan Phuket, Thailand. Sihanoukville mempunyai tujuh buah peranginan yang mempesonakan. Seindah nama yang diberikan, Pantai Occheuteal, Serendipity, Victory, Hawaii, Independence Sokha, dan Pantai Otres. Luncur angin atau luncur papan skim sangat sesuai dan menjadi kegilaan di sini dengan angin yang bertiup sederhana. Terdapat beberapa pulau indah, antaranya Koh Chru Loh, Koh Tres, dan Koh Russei. Pulau itu menjadi pilihan pelancong dari Barat untuk berjemur dan melakukan aktiviti snorkeling.
Malam ini aku akan tidur keseorangan. Fatimah berkongsi khemah dengan anak-anak perempuan. Aku masuk ke dalam khemah dan mengambil beg sandang. Satu WhatsApp aku hantar ke Firman. Aku ke tepi pantai dan bermain dengan air. Aku tak mahu menganggu mereka makan. Sebaik sahaja mesejku bertanda doubletick, dan aku keluar ke muka pintu khemah, Firman sudah siap menunggu. Hampir terkucil aku kerana terperanjat.
Tanpa bahasa, hanya sepakan di pasir, kami berjalan bersama ke pinggir pantai. Memang tak ada privasi di pantai ini. Ada-ada saja manusia yang berjalan ke sana ke mari… Sama-sama menikmati keindahan malam. Berpelukan dan berdua-duaan. Paling ketara pelancong Mat Saleh bersama gadis Khmer.
"Resort ini ada pakej bunga madu. Dan satu khemah bulan madu. Paling special," kata Firman sebaik sahaja kami sama-sama duduk di atas bukit pasir menghadap laut.
"Oh, patutlah khemah yang saya duduk itu khemah bulan madu ya?"
"Ya. Saya sewa khas untuk awak. Awak tak perlu bayar."
Aku terkesima.
"Tak apa ke? Tentu mahal. Biar saya bayar."
"Ada rezeki sikit masuk, pelancong dari Malaysia."
"Tapi Firman… Sayang duit itu. Awak tak perlu susahkan diri awak..."
Tak habis ayat, Firman sudah memotong.
"Itu hadiah daripada saya untuk awak. Jangan tanya kenapa dan mengapa. Maksudnya awak tidak menghargai, tidak sudi menerima hadiah daripada saya. Saya rasa awak kurang sopan mempersoalkan kewangan saya…"
Firman bernada dingin dan tegas. Aku mengulum senyum. Sensitif rupanya… Daripada sewa khemah itu lebih baik bina bilik air di rumahnya. Firman menunggu.
"Terima kasih untuk hadiah itu… saya sangat menghargainya…"
Terpamer riak wajah yang seperti dipaksa, tanpa senyum. Firman begitu dingin.
"Pantai di sini sangat cantik. Pasirnya halus memutih, agak berbukit. Tapi kalau kebersihan dijaga mungkin lebih cantik lagi." Aku cuba mengubah topik perbualan.
Mata kami saling mengarah ke arah tangga buluh, beberapa tikar mengkuang buruk dan beberapa batang kayu yang agak bersepah berhampiran.
"Apa kurangnya dengan pantai di Malaysia? Sampah sarap dan bungkusan plastik merata. Alam kalau tak dijaga, yang cantik pun akan jadi hodoh." Firman membalas, tetap dingin.
"Malam ini bulan luar biasa cantiknya. Penuh dan semacam dekat dengan kita. Perasan tak Firman?"
Percubaan seterusnya untuk mengubah topik perbualan. Aku malas nak bertekak dengan Firman. Firman menoleh ke sebelah kiri kami.
"Sebab di tepi pantai agaknya. Tapi memang cantik. Penuh dan kuning terang. Macam kuning telur…"
Aku tersenyum. Lega.
"Matahari pun cantik tadi. Agaknya berjangkit. Matahari dan bulan kan saling bergantung," tambah Firman, mula ceria.
"Apa yang awak suka di sini?" soalnya lagi.
Aku berfikir lama. Tak tahu nak jawab apa. Ada pelbagai perasaan yang bercampur-baur. Kadang-kadang suka, kadang-kadang tak suka. Selebihnya aku masih terkejut dan agak keliru. Aku juga cuba berhati-hati, tak mahu terbuai dengan apa-apa penyakit pun sebab aku nak nikmati perjalananku di sini.
"Terlalu banyak perasaan bercampur-baur, tak ada apa yang terluah. Saya tak reti meluah. Sebab itu saya banyak menulis, melukis dan mencipta lagu. Beratus tulisan telah siap saya tulis, lukisan dan lagu… Bila selesai, rasa itu hilang. Jadi tak sempat nak layan emosi. Saya boleh luangkan masa untuk benda lain. Betullah kata Pablo Picasso, lukisan, seni itu satu diari."
Tak tahulah aku sama ada jawapan itu menepati skema jawapan yang Firman inginkan. Sepanjang aku berada di dalam dunia ini, agak banyak yang aku lakarkan, aku ceritakan dan aku luahkan. Siap dengan tarikh lagi.
"Seperti orang yang tak berperasaan…"
"Saya tak kisah. Ini gaya hidup saya. Saya tak suka menangis di depan ajnabi. Bagi saya, perasaan itu satu perkara peribadi. Bagi saya yang kadang-kadang mukallaf dan bukan mukallaf, emosi itu satu barakah. Dengan emosi, saya tahu siapa Tuhan saya, walau saya tak tahu kenapa."
"Kenapa belajar seni mempertahankan diri?"
"Sebab nak mempertahankan diri. Awak tahu kan di Al-Azhar ada tiga undang-undang untuk pelajar banat? Tak boleh keluar lepas tujuh malam, tak boleh keluar bersendirian, tak boleh berkawan dengan orang sana, hanyalah sebab perempuan Melayu ini sasaran nafsu serakah lelaki Arab. Saya tak nak bergantung untuk lelaki melindungi saya, mereka ada banyak benda lagi nak buat. Mampuslah kalau semua wanita dalam dunia ini perlu perlindungan lelaki. Bila saya berjumpa sensei, saya berasa selamat, dan saya berasa seperti saya bebas dan hidup semula. Saya juga sedih bila tengok apa yang berlaku kepada wanita di Palestin. Dalam hati saya selalu bertanya, mereka ini tak belajar ke seni mempertahankan diri? Tiada siapakah yang sudi mengajarkan mereka? Mereka diseksa dan dirogol, hanyalah kerana kelihatan lemah. Alangkah bagusnya kalau saya dapat membantu…"
Firman menoleh kepadaku sekejap, sebelum merenung ke pantai semula.
"Tak sangka… Awak teringin nak melindungi wanita yang lain…"
"Setiap Muslim itu bersaudara. Kalau kepala itu sakit, maka sakitlah seluruh tubuh."
"Tapi yang paling utama, mempertahankan diri sebagai maruah wanita Islam…"
"Ya. Sayang, majoriti lelaki sekarang dayus. Jadi wanita terpaksa mempertahankan maruah diri mereka sendiri."
"Sama juga… Sama-sama mempertahankan maruah diri, agama dan negara. Tetapi di bahu lelaki, tambah satu lagi tanggungjawab, mempertahankan maruah wanita Islam. Pernah tahu satu kisah yang pernah berlaku pada satu masa dahulu? Seorang lelaki Yahudi telah mengusik seorang perempuan Islam sehingga dia terjatuh dan terangkat abayanya hingga menampakkan betis, auratnya. Pemuda Islam itu marah dan terus memancung kepala Yahudi itu. Perbuatan pemuda Islam itu terus diketahui oleh Yahudi lain, maka dia segera memancung kepala pemuda Islam itu. Perbuatan tersebut juga turut diketahui oleh orang Islam lain maka berlakunya peperangan antara Islam dan Yahudi kerana mempertahankan aurat seorang wanita Islam."
Aku mengukir senyum tawar.
"Dalam keadaan masyarakat Islam sekarang… Haruskah seorang lelaki Islam mempertahankan maruah dan aurat seorang perempuan apabila ramai perempuan Islam yang masih mendedahkan aurat? Masih berpeleseran dengan bebas tanpa batas? Bercampur gaul lelaki dan perempuan? Kalau yang bertudung pun, tudung itu sudah menjadi satu adat, satu budaya bukan satu tuntutan agama. Bertudung, tetapi bebas bercanda, bersuka ria…"
"Tak adil awak nak menghukum kami wanita Islam. Ada saja wanita Islam yang menutup aurat dengan sempurna tetapi menerima mesej lucah, gangguan seksual dan diraba. Dalam kalangan keluarga pun ada anak perempuan diraba oleh ayah mereka ketika bawah umur. Pak Sheikh sendiri turut merogol wanita Islam lain. Individu bernafsu serakah bukannya kisah pun kalau saya berniqab ke… Pakai karung guni ke… Kalau dia nampak saya sebagai daging… Dia akan terliur juga."
"Siapa kata saya menghukum? Kan awak sendiri dah kata, undang-undang pelajar di Mesir. Undang-undang di Arab Saudi itu sendiri untuk keselamatan Muslimah di sana, kerana lelaki Arab ini kebanyakannya sangat kasar memandu dan pantang nampak perempuan cantik… Belajar tetap kena belajar… Bekerja tetap kena bekerja… Lebih-lebih lagi bagi mereka yang tidak mempunyai ayah atau suami tetapi harus bekerja dalam bidang yang bersesuaian dalam fitrah mereka sebagai seorang wanita dalam bidang pendidikan, perubatan dan kaunselor. Wanita Islam harus menghargai kebebasan yang diberikan oleh kerajaan dan mak ayah… Belajarlah… Bekerjalah… Tetapi harus pandai menjaga diri dan maruah. Di Malaysia awak selalu mengikuti usrah?"
Aku tersenyum malu.
"Tak. Di Al-Azhar dengan zaman belajar dulu saya rajin. Lepas habis belajar ni, saya dah jarang pergi ke masjid. Umi dan Abah pun jarang pergi berusrah ke masjid."
"Tak ajak?"
"Tak, malas. Lagipun usrah itu tak wajib. Bagi saya, mengimarahkan masjid ini macam berwakaf. Bukan senang nak dapat peluang, tapi bila dapat peluang, jangan lepaskan."
Firman tergelak kecil.
"Sebenarnya perempuan lebih afdal solat di rumah, tapi kalau Ramadhan sangat digalakkan solat Terawih… rugi kalau tak pergi."
"Saya tahu. Dekat kolej dulu pun, saya yang selalu pergi ke masjid, buat solat sunat dekat sana."
Aku tersedar lalu tertunduk malu.
"Kalau saya cerita semua ibadah saya kira hilanglah kan pahala saya?"
Pecah gelak kami berdua.
"Cakap tak fikir, main keluar aje…" Firman masih ketawa.
"Kenapa kita solat?" tanya Firman apabila ketawa redha.
"Kerana itu fungsi hidup."
"Betul, tetapi ada berbagai sebab kenapa manusia solat. Perintah Allah, wajib buat, satu tanggungjawab, dan bermacam lagi. Saya solat kerana cinta dan kasih sayang Allah."
"Cinta dan kasih sayang?"
"Ya. Lain orang mungkin lain kefahaman bagi solat. Tetapi bagi saya, solat itu lebih daripada rasa tanggungjawab. Saya menunaikan solat kerana cintakan Allah… Kasihkan Allah… Allah berhak ke atas kita. Dengan menunaikan solat, menunaikan hak kepada Allah. Terciptanya kita adalah tanda kasih sayang Allah maka saya berkasih sayang dengan Allah dengan menunaikan hakNya. Errmm… Susah saya nak cakap. Saya ini bukanlah orang yang belajar agama tinggi… Tak pandai nak terangkan tetapi harap awak faham. Bila kita menunaikan perintahNya dengan penuh rasa cinta, maka lahirkan keikhlasan, terasalah kemanisan dalam beribadah, terungkaplah satu perasaan yang tak dapat digambarkan… Ditulis atau dilukis… Kita menjadi seorang manusia yang sabar, tabah dan reda… Tidak mengharapkan apa-apa, hanya kasih sayangNya. Tidak pernah merasa sedih, kecewa dan putus asa."
"Firman, awak tak pernah bersedih? Tak pernah berputus asa?"
"Ada. Semua perasaan itu tetap ada selagi bernama manusia. Ada nafsu dan perasaan tetapi jangan dilayan sangat. Kita yang menentukan keadaan diri kita. Sentiasa berfikiran positif, bergaul dengan orang positif, berada dalam persekitaran positif, maka positiflah minda dan diri kita."
"Tetapi susah juga nak positifkan diri bila berada dalam suasana yang seperti awak cakap."
"Itu yang jadi masalah. Awal-awal lagi dah cakap susah, tak boleh. Set in your mind… Positifkan diri dan minda. Insha Allah, semuanya menjadi mudah."
"Tetapi susahkan nak istiqomah berbuat baik?"
Firman berkalih, merenung aku sekejap.
"Tak susah nak istiqamah untuk jadi baik, malah tak ada orang marah pun kalau kita istiqamah untuk jadi lebih baik. Pelik pula kalau orang benci orang baik dan orang suka orang jahat. Contohnya, orang suka perompak… Perogol… pelik tak?"
Aku tersenyum tawar. Tanpa menunggu jawapan aku, Firman menyambung.
"Ada orang marah dan benci tak kalau Hana ambil wuduk? Solat? Berkata-kata yang baik?"
Aku menggelengkan kepala dengan senyum tawar.
"Nak buat baik senang, nak buat jahat tu yang susah. Tetapi kenapa ramai yang pilih nak buat jahat? Sebab tak guna akal. Allah dah beri garis panduan. Dah turunkan Nabi-nabi untuk mendidik dan membimbing kita… Betapa tingginya kasih sayang Allah kepada kita. Tidaklah Dia mencipta kita sedangkan Maha Suci Allah, jauh dari sifat sia-sia itu. Kenapa kita sebagai manusia dilantik oleh Allah sebagai khalifah di muka bumi ini? Kenapa tidak malaikat yang taat beribadat? Ingat senang ke nak buat jahat? Nak pergi merompak rumah orang, kena tunggu dulu tuan rumah tak ada atau tuan rumah dah tidur, menghendap dan mengintip, berhujan berpanas menyorok dalam semak, digigit nyamuk dan pacat, silap-silap dipatuk ular… Bila line clear pun bukan senang nak pecah masuk. Dah masuk, risau dan takut tuan rumah tersedar, kena berlawan… Takut polis datang. Memang tak senanglah nak buat jahat tu. Tapi kalau kita berjalan ke masjid. Ada orang marah? Kita solat ada orang marah? Ada orang benci? Lagi orang sayang… Nak buat menantu lagi…"
Aku mengukir senyum sumbing.
"So sembahyang itu sebab nak dijadikan menantu? Macam tak kena aje…"
"Itu ayat penyedap. Sebenarnya nak buat baik ini senang, disayangi Allah, malaikat dan semua yang di atas langit… Bila Allah dah sayang, inshalah, segala yang ada di atas bumi, yang baik-baik itu pasti turut menyayangi kita."
"Adakah sebab itu awak memutuskan pertunangan Fatimah?"
Terasa Firman kurang senang dengan pertanyaan aku.
"Rupa-rupanya apa yang saya cakap tadi tidak memberi kesan kepada awak."
"Ini kan tugas saya… Awak sendiri yang cakap nak laporan tepat. Hari itu dia menyerang saya, kiranya saya pun layaklah masuk campur kan."
Firman terdiam sekejap sebelum menjawab.
"Bukan susah nak ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat yang hanya seminggu sekali. Pemuda Palestin nak pergi ke masjid pun kena tahan dengan tentera Israel, kereta kebal depan masjid… Masjid kena bom. Tiada lagi komunis yang akan memancung kepala mereka yang nak ke masjid. Tapi kita? Ada siapa-siapa tahan daripada pergi ke masjid? Jadi apa alasan tak pergi bersolat? Sedangkan hukum solat berjemaah lebih-lebih lagi lelaki umpama wajib. Satu sunnah yang dituntut. Kalau solat tak jaga bagaimana dengan agamanya? Sedangkan solat itu tiang agama ibarat tiang rumah. Kalau rumah tak ada tiang, boleh didirikan rumah? Dijadikan tempat berlindung daripada hujan panas, tempat beristirehat, tempat berkasih sayang, dan membina keluarga. Selamat ke Fatimah bersama lelaki itu? Lelaki yang tidak boleh melindunginya? Tidak boleh membuatkan hati Fatimah beristirehat? Lelaki yang akan memberikannya kasih sayang dan bayangkan rupa generasi atau anak-anak yang akan dilahirkan mereka? Sedang mak ayah yang alim dan beragama pun belum tentu melahirkan zuriat yang beragama apatah lagi mak ayah yang pincang dalam beragama."
Firman memang sangat sensitif mengenai adik dan agama. Nada cakap pun sudah berubah. Tegas.
"Hati Fatimah beristirehat?"
"Maksud saya, bolehkah hati Fatimah tenang jika bersuamikan seorang lelaki yang mengabaikan solat?"
"Tapi Firman… Fatimah boleh mendidik. Lagipun takkan awak tak tahu trend cinta Islamik sekarang. Isteri solehah boleh mengubah lelaki gila seks, seorang ustaz boleh mengubah wanita yang suka mendedahkan aurat."
"Itu semua tidak penting. Agama yang paling penting dan iman yang kami cari. Fatimah berhak mendapat lelaki yang terbaik. Bukan mudah mendidik apalagi seorang isteri hendak mendidik suami. Bercakap sesiapa pun boleh. Tapi realitinya, sangat sukar. Hidup adik saya bukan satu taruhan. Sebagai seorang abang dan walinya, saya bertanggungjawab mencari yang terbaik. Kerana seorang suami adalah segala-galanya untuk isteri. Fatimah adalah satu anugerah. Hidup dia adalah bergembira dan menggembirakan. Saya takkan biarkan adik saya menitiskan air mata walau setitik pun sama seperti mama saya. Seorang wanita, ibu, kakak, adik, dan isteri adalah untuk dilindungi dan disayangi."
"Untungnya Fatimah mendapat lelaki seperti awak sebagai walinya… Baguslah begitu. Kadang-kadang kita tak ada hak nak memilih siapa wali kita."
"Memang mustahil tetapi tidak mustahil dicapai. Allah memberi kita akal dan tenaga untuk berikhtiar. Saya cuba bertabah tapi kalau kesedihan dan duka yang datang, saya takkan lari. Memang awak takkan faham kerana kita berbeza… Kaya dan miskin. Walau awak bersama kami takkan sama dengan kami yang dilahirkan dan dibesarkan di sini. Mata hanya boleh melihat dan kononnya merasa tetapi dada ini…"
Firman menepuk dadanya.
"Dada ini yang menanggung… Bahu ini yang memikul… Tangan ini yang mencincang… Nama ini yang akan ditanya di Padang Mahsyar kelak."
Aku terdiam. Rasa sayu bertampuk, walau aku duduk di sini dan merasa pun, tetap tak sama dengan mereka yang lahir dan membesar di sini. Ayat itu menikam aku dalam.
"Lihat bulan itu…" tunjuk Firman tiba-tiba.
"Harapan saya malam ini semoga jarum jam berdetik lambat. Kalau boleh masa dihentikan…"
"Kenapa membuat permintaan yang luar biasa?"
Aku melayan. Rasa-rasanya Firman sedang cuba menghiburkan hati kami yang tiba-tiba terusik gara-gara perbualan sensitif tadi.
"Kerana bulan itu sangat indah pada malam ini. Terasa dia begitu dekat dengan bumi seperti mahu mengucupnya. Angin yang menghembus lembut dengan nada alunan yang merdu. Seperti cuba menghibur hati yang rawan. Malam ini bulan seperti mahu mendakap bumi, menyapa dengan cahayanya setiap wajah yang melihat ke arahnya…"
Aku memandang wajah Firman sekilas. Boleh tahan ayat jiwang dia.
"Lihat. Air pasang bila bulan penuh. Masa inilah tangkapan paling banyak. Ikan seperti meraikan kedatangan bulan yang ingin memeluk bumi… Bermain di permukaan air… Melibaskan badan dan ekornya yang berkilat. Cahaya bulan, kilatan ikan dan kesan lonjakannya menghasilkan satu tanda untuk para nelayan menebarkan jalanya. Maha Suci Allah yang melahirkan sesuatu tanpa sia-sia… Pasti bersebab dan sebabnya itu memberi kebaikan kepada manusia yang mahu berfikir…"
Mataku bersinar memandang laut.
"Hidup mesti ada matlamat. Target locked-on hit." Firman menoleh ke arahku.
"Perempuan yang tidak menutup aurat dengan sempurna adalah perempuan yang lembik," sambungnya.
Aku ketawa kecil memandang ke hadapan.
"Meaning?"
"Hanya sehelai tudung yang ringan untuk diletakkan di atas kepala pun tak mampu nak pikul? Itulah kekuatan sebenar seorang perempuan. Sanggup memikul segala perintah Allah tanpa soal, tanpa bantahan. Wanita sangat disayangi Allah. Kalau lelaki berjihad dengan berperang, wanita itu jihadnya haji dan umrah. Wanita juga mudah mendapat pahala jihad, melayan suami, mendidik anak-anak, menguruskan rumahtangga, malah kalau bersalin, semua dosanya gugur umpama seorang bayi yang baru dilahirkan. Kalau meninggal semasa bersalin, dikira mati shahid. Beruntung menjadi wanita dalam Islam. Dilindungi dan dihormati," Tambah Firman.
Aku hanya mendengar sambil meliriknya dengan senyuman.
"Bulan, bintang dan matahari di langit, siapakah yang menggantungkannya? Langit yang tinggi di atas sana, siapakah yang menegakkannya? Burung yang terbang bebas di angkasa siapakah yang memegangnya? Angin yang tak terlihat, siapakah yang mengghaibkannya? Hati yang diam tanpa bicara tetapi mempunyai bahasa yang dapat difahami oleh hati yang lain… Siapakah yang memahamkannya? Siapakah pemegang hati itu? Siapakah pemilik hati itu?"
Aku mengukir senyum tawar. Wajahnya kelihatan samar-samar dalam cahaya bulan penuh. Firman kelihatan begitu bersungguh-sungguh ingin mentarbiah aku.
"Siapakah dia, Hana?" soal Firman lagi.
"Allah…" Aku menjawab perlahan.
Sunyi sekejap di antara kami. Aku mengambil segenggam pasir dan membalingnya ke laut sekuat hati. Menginginkan jiwa aku turut terjun ke dalam laut bersama genggaman pasir itu.
"Saya rasa malam ini lebih indah daripada malam yang sebelumnya. Mungkin kerana ada sesuatu yang indah ketika ini, malahan Supermoon yang berlaku 18 tahun sekali pun tidak seindah bulan malam ini. Awak tengok tak Supermoon yang berlaku 19 Mac baru-baru ini? Jarak terdekat bulan menghampiri bumi dengan jarak 356.577 kilometer fenomena Lunar Perigee."
"Entah. Saya pun tak tahu tarikh hari ini bila…"
Firman menoleh ke arahku.
"Biar betul? Dahsyat awak ini…"
"Kenapa?"
"Entah. Biarkan sahaja ayat itu kosong. Satu hari nanti tempat kosong itu akan terisi sendiri jawapannya."
Kami berbalas senyum. Walaupun aku hanya meliriknya, tetapi Firman seolah mengerti. Firman ini memang tak mahu kalah dengan aku, bab tarbiah pun nak menang ke? Tiba-tiba idea sengal aku datang! Aku bingkas berdiri dan mengeluarkan smartphone.
"Firman… Jadi model saya sekejap."
Oh tidak… Tidak. I hate modelling… Never cross into my mind."
"Bukan model buka baju, model CK ke apa ke. Ini model untuk bahan artwork saya. My painting… please."
Dia bangun dan menunduk melihat aku.
"Awak nak saya buat apa? Lagipun saya tak suka senyum… Nak buat muka baik. Muka gangster bolehlah."
Kata keluarga Muhammad, bukan Nabi SAW seorang yang gemar memberikan senyuman ke? Aku tergelak.
"Awak tak perlu senyum sebab saya tahu awak pun tak suka. Kejap ya…"
Aku menelefon Matt dan menyuruh dia datang dengan dua buah kerusi dan sebuah meja bulat. Firman kehairanan tetapi aku dah mula mengumpul segala barang yang aku nampak sebentar tadi. Lagilah dia hairan. Matt sampai bersama Yusoff mengangkat kerusi dan meja.
"Firman, awak naik ke atas bukit pasir kat depan ini. Bila sampai pada jarak yang okay, saya suruh awak berhenti, awak buat aje gaya yang saya suruh. Faham?"
"Saya tak faham…"
Aku mengeluh, saja buat tak faham.
"Naik dulu, nanti saya cakap. Tolonglah Firman…"
"Berapa awak nak bayar saya?"
Keningku terangkat sebelah.
"Minta bayaran pula? Okay… Kejap lagi saya bayar awak."
"Saya tak mahu wang…"
"Habis… Saya nak bayar dengan apa?"
"Awak fikirlah sendiri…"
"Okay, okay… Kita bincang kemudian. Cepat Firman. Nanti bulan makin mengecil… Lari dia nanti."
Bercekak pinggang pula dia! Susah betul kalau nak minta tolong. Emosi dia tetap sebagai pegawai atasan. Pantang undur kecuali bini panggil!
"Please, my love…"
Baru dia bergerak! Cet! Tadi bukan main lagi tarbiah aku!
"Okay, awak baring, angkat kedua-dua belah kaki seperti membengkok. Eh, semula… Semula… Bangun, berjalan dua langkah ke depan… Baring. Okay, angkat kaki macam tadi. Laa, tak kenalah kaki awak. Tak sampai ke bulan… Okay, ke depan sikit… Sikit lagi… lagi… Lagiii… Okay, dah… Dah. Eh, ke depan sikit… Sikit lagi… Lagiii…"
"Hana! Awak ini biar betul? Habis kotor jaket saya. Awak nak main-main ya?" Firman melaung, marah. Matt dan Yusoff sudah tergelak. Aku pun turut tergelak.
"Buat ajelah… Nanti awak terkejut tengok hasilnya."
Firman mengikut dengan tak redanya.
"Okay, cantik! Thank you my love!"
Firman berjalan ke arah kami yang sibuk melihat hasil gambar yang aku tangkap tadi di dalam smartphone. Matt dan Yusoff ditolaknya ke tepi. His, ganas betul! Agaknya takut mereka melihat muka kacaknya kut… Hahahahah.
"Dah nampak? Dah faham?" tanyaku bila dia melihat gambarnya.
"Tak sangka… Bijak sekali."
"Look who's talking? Beauty with brain, okay?" Aku bercakap separa serius.
Firman seperti mencebik, maka bermulalah sesi photoshoot dengan modelku yang pedas berapi. Foto seterusnya, Firman bergaya seolah-olah memeluk bulan, memikul bulan dari belakang. Aku meminta Matt dan Yusoff memegang tangga dan Firman memanjat seolah-olah mewarna bulan dengan serumpun rumput kering yang aku ikat seperti berus lukisan. Firman berlutut dan kedua-dua belah tangannya diangkat seolah-olah dia sedang menjunjung bulan. Tiga batang kayu aku minta Matt dan Yusoff pancangkan dan bertemu di hujungnya. Bulan terletak di atas dan aku memberi diari aku kepada Firman. Dia duduk di atas kerusi seolah-olah membaca lampu dan bulan menjadi lampu studi. Aku memberi sebatang kayu kecil dan Firman menghala ke bulan seolah-olah bulan itu adalah buih sabun. Satu bingkai kayu aku minta Firman pegang di depan muka bulan… Cantik! Terhasil satu foto seperti Firman sedang menggantungkan bingkai bergambarkan bulan ke dinding. Aku meminta Matt mengambil gambar. Aku dan Firman duduk di atas kerusi menghadap di antara satu sama lain berdepan di meja bulat. Dan di atas meja, bulan berada dalam kedudukan seolah-olah lampu meja makan. Kami berdua duduk di atas bukit, bulan duduk di tengah-tengah kami. Berbagai gaya yang kami buat. Kami memeluk bulan, bersandar pada bulan, Firman berbisik kepada bulan dan aku di sebelah sini menadah telinga, cuba bersungguh-sungguh mendengar bisikannya. Foto terakhir kami berdua, mengucup bulan itu di kiri dan kanan. Habis kami kerjakan bulan itu! Hahahahaha! Siap!
Aku memasukkan ke dalam laptop dan kami berdua menghadap setiap foto dengan ulasan dan kritikan mengalahkan juri The America's Next Top Model pula. Ulasan Firman memang mantop! Paula Abdul pun kalah.
Akhirnya aku menekan butang off dan kami berjalan beriringan ke khemah.
"Terima kasih Firman… Betul cakap awak. Malam ini sangat cantik…"
Firman hanya menganggukkan kepala dan berlalu pergi. Mungkin penat bahana kena dera dengan aku.
kan dh gitau, chapter 44 minggu ni...
Share this novel