Rumah rakit yang berada di kiri kami mula mudik ke tengah sungai. Beberapa orang lelaki sibuk memunggah dan mengangkat pukat yang amat besar. Kelihatan beberapa orang perempuan dan anak-anak kecil ke hulu ke hilir di dalam rumah itu.
"Mereka nak memandang pukat. Seluruh keluarga dibawa pergi. Mereka akan duduk di situ sehingga musim ikan habis. Membantu menyirat mana-mana pukat yang rosak atau bocor." Fatimah menjelaskan bila melihat mata aku tertumpu pada rumah rakit tersebut.
"Berapa lama musim ikan?" Teringat datukku di Kelantan. Dulu memang ada nampak dia duduk dalam sampan menahan pukat di sungai, dan memasang bubu. Tapi budaya nelayan di Malaysia taklah seteruk budaya nelayan di Kemboja ini. Sampai kena angkut keluarga bagai. Selalunya nelayan ke laut keseorangan diri.
"Dari bulan sepuluh hingga bulan satu... Bergantung. Ikut rezeki. Nelayan memang begini, kak." Kepalaku terangguk-angguk. Begitu... Aku memang kena belajar banyak lagi benda sepanjang berada di sini.
Terasa ada seseorang lalu di belakangku, tapi mendengarkan suaranya menyebabkan aku tak menoleh. Tak selesa! Fatimah menganggukkan kepala dan menjawab dalam bahasa mereka.
"Kakak, ai angah suruh ambil wuduk dan pulang segera ke rumah. Dah nak Asar, nak bantu mama masak."
Masak? Satu tugas yang sangat renyah tapi menarik. Kami berjalan perlahan ke pelantar sambil mataku sempat mengerling ke arah Firman yang sudah mula masuk ke dalam air dengan kain basahan separas pinggang. Menyedari dirinya diperhatikan, cepat-cepat dia menoleh ke arahku dan aku segera melarikan mata. Dalam hati aku beristighfar. Apa ni, Hana! Jatuh maruah wanita kau!
Fatimah mencangkung di tepi pelantar dan mula mengambil wuduk dengan tudungnya dibuka sedikit ke atas. Tangannya menguak sedikit permukaan air beberapa kali, kemudian baru air dicedok ke dalam telapak tangan, dibawa ke mulut dan dia berkumur. Aku teragak-agak, melihat permukaan air dengan cuak, kemudian menarik tudung ke bawah. Aku mengambil wuduk seperti biasa tanpa berkumur dan menyedut air ke hidung. Sebelum ni pun aku tak pernah buat benda tu. Dan aku tau, berkumur dan menyedut air ke dalam hidung itu sunat. Seram aku melihat air sungai yang dah macam teh tarik itu. Risau juga aku, takut wuduk aku tak sah sebab bukan air mutlak. Tetapi berapa lama mereka menggunakan air sungai yang kotor ini? Kelihatan mereka bersih, cerah dan wangi malah ada yang lebih bersih berbandingku.
Selesai berwuduk, aku memperbetulkan semula tudungku dan mengikut Fatimah pulang ke rumahnya. Mujurlah aku memakai sandal!
Tiba di rumah, air tempayan di kaki tangga dapur dicedok dan dicucur ke kakiku dan kakinya. Kami melangkah naik dengan penuh berhati-hati dan terus masuk ke dapur. Mai tuan sedang sibuk mengupas bawang.
"Solat dulu, baru kita mula masak. Fatimah, cabut bulu ayam."
"Tak apa, mama rehatlah. Fatimah boleh masak sorang. Mama sembanglah dengan kakak."
Mai tuan bangun lalu mula berwuduk dengan menggunakan cerek. Tertarik aku melihat cara wuduknya. Air yang digunakan seminima yang mungkin tapi cukup untuk meratakan seliruh anggota wuduk.
"Mari binti, kita solat Asar berjemaah. Fatimah boleh masak seorang. Kita boleh bercerita."
Aku mengangguk. Dalam hati dah cuak. Aku tak solat Zuhur lagi!
Sambil tersengih, aku memberitahu mai tuan yang aku masih belum solat Zuhur. Mai tuan kelihatan terkejut lalu dia pantas mempersilakanku untuk solat Zuhur bersendirian.
Azan kedengaran dari rumah usang di sebelah. Mai tuan menjadi imam. Selesai solat dan berdoa, Fatimah menyalami tangan mai tuan dan pipinya dikucup kiri dan kanan. Mai tuan turut menyalamiku dan pipi kami turut berlaga kiri dan kanan. Serta-merta, ingatanku terus terjah pada Umi dan Ustazah Wida di Malaysia. Aku, seorang wanita yang berhati batu tiba-tiba boleh dilembutkan dengan kasih sayang kepada ibu.
Aku ke dapur ingin melihat Fatimah memasak. Rasa tak seronok pula bila duduk tak berbuat apa-apa. Sedangkan aku seorang yang gemarkan aktiviti memasak. Langkahku terhenti tatkala melihat Firman berbaju Melayu hijau itik dan berkain pelekat sedang duduk mengukur kelapa, macam Abah kat kampung. Dia langsung tak mengangkat kepala memandangku.
Mai tuan beberapa kali mengajak aku untuk duduk di depan semula tetapi aku rasa keberatan dan segan apabila melihat Firnan yang begitu macho bersungguh-sungguh di dapur membantu adiknya memasak. Rasa tercabar pula!
Aku duduk bersila. Kononnya mencari jawatan kosong sebagai pengupas bawang atau pemerhati berkecuali untuk membantu tetapi tiada kekosongan. Fatimah sibuk menampi beras lalu mencari antah atau batu untuk dibuang. Aku membantunya. Beberapa biji antah dan batu aku buang. Fatimah mengutipnya semula. Aku pelik. Biji padi itu dikopek lantas sebutir beras dikeluarkan. Dimasukkannya semula ke dalam tampi. Kemudian barulah aku faham, lalu aku mula mencari padi dan melakukan cara yang sama seperti Fatimah.
Mai tuan yang memerhati, bersuara. "Binti... Beginilah hidup di sini. Sebiji padi, sebutir beras sangat berharga. Susah payah ditanam dan dituai. Berapa banyak peluh, air mata dan darah yang tumpah. Bagi kami yang berduit, nasi tumpah pun kami kutip dan makan semula. Nama nak membazir dan membuang takkan sekali. Selagi boleh dimakan, kami akan makan. Ada adat bersanding di Malaysia... Main tabur beras. Kami yang melihat ini hanya mampu menggelengkan kepala. Sebutir beras sangat berharga di sini. Binti tahu apa hukumnya tabur beras ke atas pengantin?"
"Haram?"
"Hukumnya harus, kalau pengantin itu ayam..." Fatimah mencelah sambil tergelak.
Mai tuan tersenyum simpul melihat senyum tawarku. Serius, tak lawak langsung! Firman pula, dingin tak bereaksi.
"Nasi lebih atau nasi basi, kami jemur kering-kering dan buat kuih. Orang Melayu kata nasi sudah menjadi bubur, tak boleh dibuat apa lagi. Tapi bagi kami, bubur itu masih boleh dimakan. Kena ubah peribahasa, nasi sudah menjadi bubur bukan bermakna sudah terlambat. Selagi ada daya dan akal, kita masih boleh merubah takdir kita dengan cara lain pula... Seperti bubur tadi. Kalau sudah menjadi bubur, jangan marah, sedih atau meratap. Kita usahakan bubur itu supaya menjadi benda lain pula. Jangan dibuang, sayang. Bubur itu tetap boleh dimakan dengan kicap atau ikan kering... Atau kita jadikan bubur itu bubur lambuk. Lebih sedap daripada nasi."
Aku tersenyum sambil mengangguk, mengiyakan. Memang benar katanya.
"Tetapi manusia tidak melihat setiap kejadian malang atau keburukan itu ada keindahannya, hikmahnya... Seperti bubur tadi." Wau, hikmah daripada sebutir nasi. Firasat aku mengatakan yang mai tuan ini ialah seorang wanita yang cerdas dan berilmu. Firman mengangkat cerek yang airnya sudah mendidih kemudian dicurahkan ke atas ayam yang telah disembelih di dalam besen. Besen itu kemudiannya duangkat dan diletakkan di depan mukaku.
Aku memandang ayam itu dengan mata membulat. Aku macam tahu-tahu aje nak dia nak suruh aku buat apa.
"Cabut bulu ayam ini... Bersihkan dan kemudian potong 12."
Keningku terangkat. Aku tak pernah memproses makanan mentah sebelum ini, jadi macam mana aku nak buat ni? Ayam tersebut kelihatan penuh dengan tanah dan darah. Aku menahan nafas dan mual. Baunya sungguh hanyir. Hidungku memang sensitif sikit. Rasa nak termuntah!
"Kakak, biar saya tunjukkan... Senang saja. Kakak cabut bulu ni semasa air masih panas dan ayamnya masih basah."
Mataku melihat jari Fatimah yang cantik itu menarik pelepah dan bulu ayam. Firman pula sibuk mengangkut air dari tempayan besar di tepi anak tangga, dibawa naik ke atas dan dicurahkan ke dalam tempayan yang lebih kecil. Hati-hati sekali cara dia mencurahkannya agar air tersebut tidak tertumpah. Setitik air sangat berharga bagi mereka rupa-rupanya. Kudrat, masa dan jarak menyebabkan mereka sangat berkira. Sesekali dia merenung aku yang masih belum berjaya mencabut walau sehelai pun bulu ketiak ayam.
"Fatimah, jangan dibantu Kakak Hana tu. Tahulah dia nak buat macam mana. Tak elok orang perempuan buat kerja tak siap, nanti bersalin bayinya susah nak keluar."
Darahku tersirap. Memang tak sayang mulut betullah dia ni! Hal perempuan bersalin pun dia tau. Dan apa kena-mengena mencabut bulu ayam dengan susah nak bersalin pula? Aku mula mencabut bulu ayam dengan geram, terasa macam nak cili-cilikan sahaja mulut Firman. Aku bayangkan yang aku sedang mencincang-cincang mulut Firman. Hah, ambik kau! Berjaya pun akhirnya! Fatimah mengambil ayam yang sudah togel itu dan dilayurkannya ke aras api. Kemudian, ayam itu diserahkan kepadaku untuk dipotong. Aduh! Macam mana nak potong? Aku memang sebelum ni tak pernah potong ayam. Sebab tulah sebelum ni aku minta tolong Along untuk siangkan ayam untukku.
Terkial-kial aku cuba memotong. Tetak beberapa kali pun tak putus-putus juga.
"Habis hancurlah ayam tu. Fatimah buatlah, tak makan kita kalau menunggu Cik Hana ni siap." Leganya walaupun berasa malu. Fatimah mengambil alih. Sekejap saja dia mengerjakan ayam itu. Firman meletakkan pula kelapa parut di hadapanku. Mataku membulat, bukan kerana tersiksa diazab, tetapi teruja dengan kerja ini.
Aku menuang air ke dalam kelapa parut itu. Dengan menggunakan tangan kiri, aku ambil segenggam kelapa parut lalu memerahnya dalam keadaan ibu jari ke bawah. Mataku melihat santan yang turun ke dalam besen secara perlahan-lahan. Firman duduk bersila di depanku. "Awak ni lambat buat kerja rupa-rupanya."
"Ya, memang lambat pun. Menurun daripada Umi saya." Aku mengaku baik punya!
"Awak duduk kat Malaysia bahagian mana? Tak adalah orang Malaysia tak reti nak proses ayam dengan lambat buat kerja dapur kecuali orang manja aje."
Mulut bercakap sambil tangannya turut meramas dan memerah kelapa. Tanganku terhenti lalu aku mengelap peluh di dahi dengan hujung baju.
"Biar saya siapkan kerja. Bukannya susah nak perah."
"Tak apa, saya bantu. Kesian pula tengok awak berpeluh sakan. Lagi kesian pukul berapa mama saya nak makan. Kejap lagi nak Maghrib."
"Tak apa, saya boleh buat."
"Perah santan pun lambat. Guna satu tangan saja, tangan kanan. Guna air yang sedikit, nak dapatkan kepala santan. Awak gunakan tangan yang salah, tangan untuk beristinjak. Sangatlah tidak manis, tidak sopan dan tidak beradab." Aku terdiam. Tapi aku tak ubah stail aku. Cuma mungkin aku akan guna air yang sikit. Aku seorang yang kidal, jadi aku memang terkial-kial nak guna tangan kanan. Dan aku memang lambat buat kerja pun. Ini pun kira cepat berbanding Umi dengan Kak Long. Umi memang slow. Kak Long lagilah tak pandai masak. Aku menahan perasaan di dalam hati.
"Bersimpuh bila duduk. Bersila itu untuk lelaki." Dia menunduk saja tapi mulut macam Baretta, bertalu-talu dia menembak. Tiba-tiba aku termalu sendiri. Aku memang tak boleh duduk bersimpuh, kerana sakit kaki. Lambat-lambat tanganku memerah santan. Entah apa yang Firman ternampak sampai dia tak mahu mengangkat muka langsung. Fatimah berkain batik, bersimpuh sopan sambil menumbuk bawang. Hai laa... Betul-betul perempuan sejati.
"Awak tak takut bini awak susah nak bersalin nanti?"
"Kenapa pula?"
"Siapkan kerja orang..." Bidasku selamba tanpa memandang wajahnya.
Share this novel