"Hari ni kita keluar dari kelas. Kita buat aktiviti di luar."
Fatimah mengajak semua anak-anak keluar ke laman di depan sekolah. Kami berdua masing-masing mengangkat laptop dan pembesar suara. Pembesar suara aku sambungkan ke laptop dan kami mengambil tempat di bawah pokok. Aku meletakkan laptop di atas meja yang diangkat dari kelas. Keyboard extension aku sambungkan ke laptop. Jari-jemari menekan keyboard. Keluar bunyi piano dan bernada nostalgik. Bunyi piano itu kedengaran lebih kuat dengan bantuan pembesar suara. Masing-masing diam, menikmati melodi nostalgia itu.
Aku memainkan lagi irama lain dengan menggunakan not-not yang telah kuterangkan kepada mereka. Kanak-kanak perempuan memang cerdas. Aku tanya soalan apa pun, mereka melayan dan menjawab dengan ghairah. Pada masa yang sama, sengaja aku memainkan lagu dengan not-not yang mereka belum tahu sekadar ingin bergurau. Kami ketawa kegirangan sambil menikmati alunan irama.
Riuh mereka menjawab sambil diterjemahkan oleh Fatimah. Keasyikan bermain membuatkan aku lupa diri sekejap. Mana-mana irama yang sesuai dengan mood aku, aku sambung lagu tu sampai habis. Macam-macam ilham ada. Ada nada naif, nada melankolik, nada nostalgia, nada ceria dan nada lucu.
Kemudian aku membuka software gitar pula. Seperti biasa, aku menekan not-not muzik yang telah aku ajar di dalam kelas dan ramai riuh menjawab. Sempat aku mengingatkan mereka tentang adab di dalam kelas. Heh, rasa nak sengih serba salah pula.
Ada yang membuat permintaan lagu kepadaku. Rasa macam busker pula. Mereka meminta aku memainkan lagu dengan bantuan Fatimah. Aku menyuruh mereka menyanyi dan aku bermain muzik latar belakang. Bergema irama lagu nyanyian anak muridku. Rasa macam dah boleh jadi content Youtube dah ni. Sehinggakan ustaz-ustaz dan pelajar-pelajar lelaki di kelas lain menjengukkan kepala. Masing-masing melemparkan senyuman dan mereka yang berada di atas turut tumpang menjadi penyanyi tak berbayar kerana turut teruja dengan irama lagu. Mereka ni macam tak jadi belajar je. Ramai pula tu yang keluar kelas semata-mata nak dengar bunyi gitar dan piano yang aku mainkan dari jarak dekat. Harap aku tak mengganggu kelas mereka lah.
Janganlah nanti Firman nak bising kata indecent exposure. Dan nak galak pula. Kelas aku ni dahlah semua perempuan. Tapi perempuan di sini tak sama dengan perempuan di Malaysia yang serba urban tu. Tak adanya kut nak sexualised benda-benda remeh macam ni. Kanak-kanak menyanyi je pun. Aku tersengih serba salah memandang Ustaz Zulkifli. Janganlah aku ni menganggu kelas dia.
Zaman budak-budak, seronok, tak perlu fikir banyak. Zaman remaja, seronok, belajar dan membesar. Zaman dewasa, kebebasan dan memberi manfaat. Aku disapa rasa itu lagi... Seperti burung yang terkurung di dalam sangkar. Seperti tuan puteri yang merenung tingkap menara istana khas untuknya.
Pagi lagi aku dah menjenguk Firman di bawah rumah usang.
"Firman... Saya nak ke Phnom Penh."
Aku tahu dia tak tidur. Aku menggoncangkan buaian untuk menyuruhnya bangun tetapi tidak berjaya. Senyuman mengejek terukir dengan matanya yang masih terpejam.
"Firman... Saya tahu awak tak tidur. Bawa saya ke Phnom Penh tapi saya tak mahu bonceng dengan awak. Kalau awak tak mahu saya nak pergi dengan Matt."
"Dengan saya awak tak mahu, dengan Matt pula awak beria."
"Penatlah saya cakap dengan awak. Carikan saya kereta. Mana Mercs hari tu?"
"Itu kereta sewa."
"So pergi sewa kereta itu. Kalau awak tak nak drive, Matt boleh drive. Kalau itu ini tak nak, saya pergi dengan Matt je. Kalau takut dosa sebab berdua-duaan dengan Matt saya boleh pergi sendiri."
Firman membuka matanya lalu merenung aku. Menyampah pula aku melihat dia yang berada di dalam buaian ini. Macam model tapi model yang tidak berpakaian rapi dan kemas. Kemudian dia menggeliat. Aku melarikan anak mata sambil mengeluh perlahan. Terasa seperti ada unsur provokasi. Tengoklah saya. Seksi tak cara saya menggeliat? Jantung awak melompat ke bintang tak? Huh, nak termuntah lagi adalah!
"Susahlah kalau bercakap dengan orang degil ni... Seperti menulis di angin lalu, melorek di awan berarak. Kalau nak benda, mesti nak juga Okay, cuba senaraikan dekat saya sepuluh sebab kenapa awak nak ke Phnom Penh?"
Mataku melurut ke mukanya semula. Kedua-dua belah tangannya diletakkan di bawah kepalanya manakala matanya merenung aku. Ingat aku nak tergoda ke apa? Ya Allah, kuatkanlah kesabaran aku demi bercakap dengan orang macam ni...
"Seratus sebab pun saya boleh bagi. Saya lemas duduk di kampung ni, saya nak keluar mengambil udara kota, saya nak makan makanan mahal, saya nak rasa tidur di hotel, saya nak shopping, saya nak kenal Phnom Penh. Lagipun program dibatalkan kerana Ustaz Jamali tiba-tiba sakit. So, cuti tiga hari lah kita. Saya akan bayar semua kos dan Fatimah akan ikut sama. Sebab seterusnya... Saya nak pergi berjalan, berjalan, berjalan..."
"Okay, tak payah nak berzikir dengan kalimah berjalan tu. Bukannya dapat pahala pun. Pukul sembilan siap. Saya akan dapatkan kereta terbaik untuk awak. Peugeot Mcz Pearlescent White." Firman memotong cakap aku, mataku membulat.
"Ada ke Peugeot tu dekat sini?" Confused dan shocked.
Firman memejamkan matanya semula sambil sebelah tangan diturunkan lalu diletakkan di atas perutnya. Dia memalingkan wajahnya sedikit ke sebelah.
"Awak jangan pandang Kemboja tak ada mata. Lebih dari Peugeot tu pun ada kalau ada duit."
Aku ketawa kecil penuh teruja lalu berjalan memanggil Fatimah.
Puas hati dengan penampilan selepas berjilbab, aku melangkah turun. Aku rasmikan sneaker pink kegemaranku sejak berada di kampung ini. Terdengar riuh gelak ketawa dan aku segera mencari punca.
Ya Allah! Firman!!! Mulut yang hampir nak terbuka segera aku tutup. Mai Tuan, Fatimah, Matt dan yang lain ketawa geli hati. Firman tersenyum kepadaku. Tangannya meletakkan cambuk di tepi dan kakinya diangkat naik sebelah. Dia kelihatan acah-acah gangster dengan cermin mata hitam dan berjaket. Rambutnya diusap dengan jari. Dia melompat turun lalu berjalan ke arahku.
"Cantik my precious hari ini. Nasib baik jantung saya tak terkoyak. Kita bertolak sekarang."
Aku memandangnya dengan kening yang berkerut-kerut.
"Why my precious? Inikan Peugeot kegemaran awak. Pearlescent white lagi. Susah tau nak pilih colour ni daripada berpuluh-puluh ekor. Dapatlah dua. Saya yakin awak suka colour ni. Okaylah tu. Lebih kurang kan, halal ajelah..."
Aku menoleh apabila terdengar Mai Tuan bersuara.
"Ya binti... Awak memang berhati mulia dan tak cerewet. Tak sangka... Terima kasih kerana boleh menerima keadaan kami."
Ha ha, ha ha. Aku memberi senyum indah kepada Firman. Firman, saya ganyang awak nanti! Ingat hubungan kami dah aman setelah berlakunya gencatan senjata di antara aku dengan dia. Rupa-rupanya tak habis lagi akal dia nak mempermainkan aku. Betul lah tu, orang sadis memang akan selamanya sadis.
"Cepatlah kakak, nanti lewat kita sampai ke Phnom Penh."
Fatimah dan Matt sibuk mengangkat beg keperluanku. Aku segera menukar kasut sambil mengeluh. Kami bersalaman dan berpelukan dengan Mai Tuan. Matt menarik aku naik. Aku duduk bersila. Kalau naik kereta biasa, akan sampai dalam masa tiga jam. Kalau naik kereta lembu, agak-agak berapa lama boleh sampai? Janganlah bau tahi lembu tu buat aku pening!
"Baca doa naik kenderaan dulu... Bismillah..." Firman memberi arahan.
Dengan ekor mata, aku nampak Firman seperti mengerling aku dan tersenyum nipis. Sukalah tu boleh kenakan aku! Aku tak ambil pusing dan memandang Fatimah yang duduk di depanku. Gadis polos ini kelihatan begitu gembira. Mulutnya riuh mengucap selamat tinggal kepada Mai Tuan dan sesiapa sahaja yang ditemuinya sepanjang perjalanan kami ke luar kampung.
Aku menelan air liur yang terasa pahit.
Honor aku keluarkan dan tangan cekap merakam perjalanan ini. Sambil bergambar dengan Fatimah. Cuma mujurlah Honor tu tak terjatuh bahana kereta lembu yang bergoyang. Bahana risau Honor terjatuh, aku menyimpannya semula ke dalam beg. Earpods aku sumbat ke dalam telinga.
Pemandangan yang indah ini aku simpan ketat-ketat dalan memori. Memang gayat naik kereta lembu, dan jalan bau macam-macam. Telan ajelah. Firman ni memang sengajalah. Mentang-mentang aku budak bandar. Tak apalah, kira ada jugalah bahan cerita untuk Along.
"Harap-harap tak hujan. Untung kita kalau cuaca seperti ni berterusan. Kalau kakak rasa nak tidur... Baring ajelah. Betulkan urat."
"Fatimah selalu ke naik kereta lembu?"
"Tak pernah. Ini kali pertama."
Huh? Kali pertama? Samalah kita! Aku mengerling Firman yang sedang ralit mengenderai lembu. Seperti menyedari dirinya diperhatikan, Firman menoleh memandangku. Tiba-tiba Matt menjerit. Firman segera menoleh ke hadapan dan membrek. Lol. Aku menahan senyum. Aku pun tak tahu apa perkataan yang sesuai untuk menggambarkan suasana di mana Firman menoleh ke arahku dan tiba-tiba lembu itu melencong dari jalan mahu menuju ke bendang.Nasib baiklah Matt menjerit.
Semua ketawa dan dalam bahasa yang aku faham, Fatimah menterjemah. Matt marah lembu itu.
"Bodoh macam lembu! Jalan depan tak mahu ikut, ikut bendang juga kau nak masuk!"
"Apa yang nak dimarah lembu... Dah dia memang lembu!"
Ketawa berterusan disertai dengan senyum tawar aku. Aku menyelongkar beg sandang, mengeluarkan Honor dan melayari internet. Menyambungkan USB ke powerbank. Selepas mendapat pengajaran itu hari, semua gadjet aku pastikan bercas sentiasa. Satu kelebihan yang terdapat di Kemboja, liputannya laju sekali. Di mana-mana saja, dalam bandar, kampung atau hutan, bahkan di atas kereta lembu yang bergegar ni pun aku boleh enjoy tengok anime. Aku dimaklumkan bahawa syarikat telekomunikasi dari Malaysia yang banyak membina rangkaian stesen pemancar di sini. Seronok betul duduk di sini. Bagi shut-in NEET macam aku, ini macam heaven on Earth.
Setelah melihat semua manga chapter yang baru keluar dan bersosial dengan fandom, aku melihat keadaan sekeliling sambil memperbetulkan kedudukan earpods di telinga. Dingin dan nyaman. Kalau musim panas pasti berdebu. Banyak juga kenderaan yang keluar masuk sepanjang perjalanan dari Kampung Cham ke Phnom Penh. Cantiklah Suei Tahen ni. Di sebelah kiri sawah padi manakala di sebelah kanannya sungai. Dalam lima kilometer, sungai semakin jauh dari sawah padi. Kami bertemu kawasan sawah yang baru disemai di kiri dan di kanan pula. Pokok kelapa laut berderet. Terdapat rumah-rumah usang diperbuat daripada papan, rembia dan daripada jerami pun ada.
Kami berselisih lagi dengan kereta lembu yang membawa khinzir. Banyak kali juga kami terserempak. Itu makanan utama di sini. Kadang-kadang kereta lembu yang membawa itik memotong kami. Dari jauh lagi dah tahu penuh dengan itik, dengan bunyinya yang riuh. Aku meraba wajahku, takut tak berdarah. Aku memang tak selesa langsung dengan itik mahupun khinzir. Itik adalah binatang yang paling agresif di kampung. Dah lah riuh sepanjang masa, tak kira bertelur ke tak. Dan perlukah aku explain tentang khinzir?
Adakah kerana tidak ada hiburan ataupun tidak ada kerja, kereta lembu yang membawa itik pun mereka tertawakan. Aku mengukir senyum hangat. Badan refleks mengesot rapat ke arah tepi, nasib baiklah Matt faham. Sedaya-upaya aku cuba untuk tak melihat khinzir dari jarak dekat!
Haccum! Bunyi jeritan nyaring oink oink membuatkan telingaku ngilu. Aduh! Bersin je pun! Dah lah yang bersin ni ada dekat sebelah aku! Mereka yang lain tak dapat menahan ketawa sampai senak perut masing-masing. Ulasan Firman menyebabkan bunyi ketawa lebih deras dan aku hanya tersenyum sumbing. Tak lawak langsung.
"Ini bukan terkejut beruk lagi... Terkejut babi!"
Fatimah menyampuk dengan lurusnya. "Lemah semangat juga babi ni..."
Aku mengukir senyum plastik. Memanglah perkataan itu diguna dengan konteks, tapi dengar mereka gunakannya tanpa rasa bersalah buat aku rasa cringe. Aku mencuri pandang ke arah Firman. Dia tengah menahan tawa tanpa suara sampai merah mukanya. Oh... Jaga adab ke... Heh. Matt yang baru faham setelah diberitahu oleh Firman terus meledakkan ketawa sederas-derasnya. Jangan ada yang terkucil dekat atas kereta lembu ni sudah!
Burung-burung yang terbang pula menjadi perhatian. Ada saja yang Fatimah tunjukkan dan riuh bercerita denganku. Aku layankan saja dengan senang hati. Banyak benda yang boleh dinikmati dan dihargai di sekeliling kami. Langit, awan, tali air, sungai, kolam dan sawah padi. Memang cantik.
Aku memberanikan diri untuk melangkah turun untuk mendekati takungan air yang seperti bendang. Penuh berceratuk bunga-bunga teratai yang perkembangan. Berwarna merah jambu, ungu, dan putih. Cantik betul. Sampai aku tertarik. Aku mengambil gambar dengan penuh ralit. Daunnya bulat dan lebar. Macam skirt. Aku mengukir senyum lucu. Pelik sungguh imaginasi aku.
Sepasang kaki yang menyentuh tanah membawa aku ke alam nyata. Serta-merta senyuman aku mati.
"Jangan mengambil hak orang tanpa izin."
Aku berpaling. Firman bercekak pinggang dan mendekati aku.
"Macam mana lagi saya nak beritahu awak? Kenapa degil sangat? Awak boleh terjun daripada Peugeot macam tu saja dan ke sini untuk mencuri teratai orang."
"Teratai ni orang tanam ke?" Malas aku nak melayan leteran dia. Aku lebih berminat dengan teratai.
"Nak buat apa, beritahu saya dulu. Pantang lepa, hilang. Pantang lepa, hilang. Macam tak serik langsung dengan kejadian lepas." Tak habis lagi, dia ni. Tangannya mencapai Honor aku, tapi aku lebih pantas mengelak.
"Kan dah snap tu. Dah jom! Nanti lewat sampai?"
"Kalau dah tahu sampai lewat, kenapa tak sewa kereta aje?" Aku mengekorinya sambil menggumam perlahan.
Firman terhenti tiba-tiba dan menoleh kepadaku. Mujur aku sempat berhenti. Aku berdiri kaku di hadapannya, sambil memandangnya dengan ekor mata.
"Awak hantar borang permohonan keluar daerah pagi tadi, nak pergi hari ni juga... Mana sempat nak sewa? Kereta ada dekat Phnom Penh. Kena tempah dulu, makan masa dalan dua tiga hari juga. Nasib baik sangatlah kalau dapat hari ni. Lagipun daripada sewa kereta beribu dolar sehari, lebih baik sewa kereta lembu, lebih murah. Sehari sewa Mercs tu sama dengan gaji dua puluh orang ustaz sebanyak 50 USD sebulan. Itupun kalau gaji mereka dibayar."
"Ustaz support family dia dengan pendapatan banyak tu je ke?"
"What do you think? Saya tahu awak mampu untuk bayar, tetapi itu bukannya alasan untuk awak membazir. Bukan senang parents awak cari duit, jadi hargai segala titik peluhnya. Mana yang boleh jimat tu, jimat. Beli apa yang perlu. Lebih baik duit itu digunakan untuk membantu mereka yang tak mampu. Rezeki yang Allah bagi itu untuk dikongsi. Dua per tiga untuk kita, satu pertiga untuk sedekah dan amal jariah. Barulah rezeki sentiasa murah dan iman sentiasa subur. Hati pun jadi lembut dan jiwa tenang."
Kami berjalan mengekori kereta lembu. Matt yang mengenderainya dan Fatimah begitu asyik dengan pemandangan sekeliling.
"Saya rasa jalan kaki lebih cepat sampai daripada PeUgEoT awak tu."
Firman tergelak kecil.
"Berjalan dalam cuaca begini masih okay. Cuma kalau musim panas, pengsan awak."
Aku menoleh ke arahnya. Tangannya menyelit rambut ke telinga kiri dan kanannya dan cermin mata hitamnya dibetulkan.
"Bukankah cermin mata ni mereka rampas?"
"Ini arwah abang punya..."
Aku terdiam. Nada suara Firman menusuk. Sunyi.
"Banyaknya teratai tumbuh dekat sini. Teringin saya nak tanam sendiri di rumah." Aku pecahkan kesunyian di antara kami.
"Teratai ni ada tuannya. Jangan biasakan diri mengambil hak orang walaupun awak rasa ia tak bertuan. Setiap sesuatu itu pasti ada tuannya. Kena minta izin dulu." Suaranya dingin.
"Kalau tak tahu siapa tuannya?"
"Jangan ambil, senang saja."
Soalan yang dah tahu jawapan. Memang dah tahu jawapan, tetapi mendengarkan jawapan daripada mulut Firman sendiri, membuatkan hati terasa ditusuk oleh sembilu.
"Okay, bagaimana dengan kangkung yang tumbuh meliar, ikan yang banyak di sungai, atau burung yang berterbangan di langit?"
"Setiap sesuatu itu ada pemiliknya. Pemiliknya ialah Allah." Aku langsung tak cuba untuk untuk menahan senyum di sebalik purdah. Ironi.
"Jadi dengan Allah pun kena minta izin?"
"Macam mana nak jawab ya... Supaya mudah untuk awak faham. Allah memiliki segalanya, semua di Bumi dan di langit, meliputi seluruh alam semesta. Sebelum melakukan kerja, mulakan dengan Bismillah. Pohon keberkatan dengan niat untuk mencari rezeki. Jaga tangan. Jangan jalan sikit, petik itu. Jangan jalan sikit, patahkan ini, umpama kita menganiayainya. Setiap tumbuhan berzikir kepada Allah. Tujuan ia dijadikan Allah pun untuk kita makan tapi kita sia-siakannya. Pernah dengar cerita Sheikh Abdul Qadir Al-Jailani?"
Aku menggeleng sambil tersenyum dengan mata hitam yang bersinar. Teguran yang tidak aku perlukan, tapi kalau dia jadi okay dengan cakap pasal benda tu, apa salahnya.
Aku mengalihkan pandangan ke hadapan apabila melihat Firman hanya tersenyum nipis. Dia susah nak gelak. Kalau gelak pun tak ada bunyi. Gelak orang beriman kut. Haha. Firman mula membuka cerita.
"Satu kisah yang pernah diceritakan oleh arwah baba. Ada seorang lelaki berehat di tepi sungai. Dia ternampak beberapa biji epal yang hanyut. Lelaki itu mengambil sebiji dari epal dan memakannya. Selepas itu dia tersedar, dia telah memakan sesuatu yang bukan haknya. Akibat dihantui rasa bersalah, dia berjalan menyusuri sungai, mencari punca dari mana buah epal itu dihanyutkan. Dia sampai ke sebuah ladang epal... Di mana beberapa pohon epal tumbuh di pinggir sungai. Buahnya sentiasa ada yang jatuh ke dalam sungai tersebut. Dia masuk ke dalam ladang itu dan mencari tuannya. Sebaik sahaja mereka berjumpa, dia menceritakan kekhilafannya memakan buah epal tersebut dan meminta dihalalkan. Dia sanggup untuk buat apa saja demi untuk menebus khilafnya. Tuan punya ladang berfikir, pasti pemuda ini seorang yang jujur. Hanya kerana memakan sebiji epal yang dihanyutkan, dia sanggup mencari aku dan meminta dihalalkan. Maka dia pun berkata, aku boleh maafkan kau kalau engkau berkahwin dengan anakku yang buta, bisu dan pekak. Oleh kerana pemuda itu telah berjanji, maka dia pun bersetuju dengan perkahwinan tersebut. Dia bersyukur dan redha walaupun jodohnya cacat. Pada malam pertama..."
Berhenti pula dia! Aku senyum lucu. Nak buat saspens pula dah....
"Kenapa berhenti?" soalku dalam senyum.
"Ingatkan tak minat. Senyap aje..."
"Apa pula tak minat? Sedang mendengar dengan khusyuk dan tawaduk lah ni..." Aku menjawab separuh serius.
"Saya tahu awak tengah khusyuk... Saya boleh nampak kening awak berkerut-kerut walau tutup muka."
Dia ni! Tengah nak acah-acah berdakwah dekat aku, boleh cari pasal dengan aku pula!
"Awak ni nak cerita ke tak?"
Firman membuat gaya gelak beriman dia. Selalu sangat dia gelak macam tu. Dia selalu menahan tawa sehingga merah mukanya dan terhinggut-hinggut badannya. Aku pula yang tak puas hati melihat cara dia ketawa. Rasa macam nak tampar belakang badan, bagi hilang merah di mukanya.
"Okay... Okay... Sebaik sahaja membuka purdah, betapa terpegunnya dia melihat kecantikan isterinya. Isterinya boleh melihat, mendengar dan bercakap dengan suara yang lemah lembut dan merdu. Maka selamatlah malam pertama mereka..."
Alhamdulillah... Aku mengucap syukur tanpa suara. Keningku terangkat. "Lagi?"
"Lagi? Esok paginya pemuda ini menemui bapa mertuanya dan memberitahu bahawa isterinya tidak buta, bisu dan pekak. Maka berkatalah bapa mertuanya, anakku itu buta kerana tidak pernah melihat lelaki yang diharamkan baginya, bisu kerana tidak pernah bertutur perkataan yang sia-sia dan pekak kerana tidak pernah mendengar perkara-perkara yang melalaikan dan umpat keji."
Heh... Wajahku menjadi toya semula. Tak berminat. Aku rasa mendengar dakwah daripada Firman lebih menyakitkan daripada mendengarnya daripada Sheikh Al-Jailani himself. At least Sheikh Al-Jailani sangat penyayang dan sensitif, bukan macam Firman yang menyakitkan macam senapang tentera.
"Dari perkahwinan inilah lahir zuriat yang soleh lagi terpelihara pada 1 Ramadhan 471 Hijrah di Jiran Iran. Bondanya Khair Fatimah binti Abdullah Sumi, keturunan Saidina Hussin. Pemuda yang memakan epal itu, ayahnya bernama Abu Saleh bin Abu Abdullah, keturunan Saidina Hasan. Beliau dilahirkan pada masa umur ayahanda dan bondanya dalam lingkungan 60 tahun. Nama diberi ialah Sheikh Abdul Qadir Al-Jailani, penghulu segala wali-wali Allah, dari keturunan Saidina Ali Karramallahu Wajhah dan Siti Fatimah binti Muhammad SAW."
Sallahu alaihi wasallam. Aku menjawab di bibir tanpa suara. Hati dah terasa pahit. Bukan kerana cerita tu, tapi kerana orang yang berceritanya. Entahlah.
Heh... Wajahku menjadi toya semula. Tak berminat. Aku rasa mendengar dakwah daripada Firman lebih menyakitkan daripada mendengarnya daripada Sheikh Al-Jailani himself. At least Sheikh Al-Jailani sangat penyayang dan sensitif, bukan macam Firman yang menyakitkan macam senapang tentera. -Hana-
Share this novel