Chapter 34

Adventure Series 1746

Selesai solat Subuh, Firman memberi salam dari luar. Fatimah membuka pintu dan mempelawa abangnya masuk. Firman meletakkan beberapa barang di atas lantai berhampiran kepala tangga.
Pada hari ini aku dah memasang niat. Nak buat muka toya habis depan Firman, malu semalam sebab hampir aku tunjukkan dia suara emas aku. Aku memang tak suka mengaji depan orang, kecuali kalau memang perlu, misalnya tasmik hafazan atau pertandingan. Aku pun tak tahu kenapa, tapi aku rasa tak selesa, rasa macam menghafal Al-Qur'an itu satu benda peribadi dan tak ada siapa pun patut tahu. Mujurlah Firman itu bukan kasyaf orangnya, kalau tidak mesti dia kutuk aku habis-habisan.
"Ini ada hadiah untuk awak daripada penduduk kampung. Saya terlupa nak beri semalam."
Aku berjalan ke arahnya sambil menarik telekung naik ke bahu. Aku duduk bersila dan mula membelek. Fatimah mendekatkan lampu pelita dan beredar ke dapur untuk menyediakan sarapan. Mai Tuan pula masih mengaji dan Firman mengangguk hormat kepada mamanya.
"Kenapa nak angguk dekat mama awak?"
"Dia sedang berbicara dengan Allah. Saya tak mahu mengganggu. Ada masa untuk saya, ada masa untuk Tuhannya. Mengganggu orang beribadah seumpama syaitan. Dan saya tak mahu menjadi syaitan itu."
"Heh… kenapa tak tunggu dia habis solat dulu je… Apa ini?"
"Ini kain tenun. Ini pula sarung tangan yang dikait. Ini sarung bantal yang disulam."
"Cantiknya… Terima kasih. Tak menyusahkan ke… bukan ke lebih baik kalau duit itu digunakan untuk beli barang keperluan? Setahu saya, hadiah bukannya keperluan."
Aku bercakap sambil menggosok mata kanan. Rasa pedih dan gatal. Agaknya kerana memerhati sulaman yang cantik ini dengan sinaran pelita yang kelam.
"Walaupun mereka miskin, mereka tetap berhati besar. Ingin meraikan tetamu dengan cara mereka. Kemiskinan tidak menghalang mereka membalas jasa dan mengenang budi orang yang membantu. Mereka tetap beradab dan tahu memuliakan tetamu." Suara Firman kedengaran dingin.
Aku mengangkat kepala, memandang Firman lalu mendengus malas.
"Saya tak bermaksud menghina. Kan saya dah terima kasih tadi? Saya maksudkan tak perlu bersusah payah hadiahi saya macam-macam ini. Kan lebih baik kalau…"
Sekali lagi aku menggosok mata. Aduh, apa masalah pula ini? Takkan conjunctivitis kut! Firman merenung aku lama. Aku melarikan wajah agar tidak dipandangnya. Tak suka direnung begitu lama!
"Saya tahu saya cantik. Tak perlu nak merenung saya begitu rupa."
Firman tergelak kecil. Aku mengukir sengih separa serius sambil terus membelek hadiah, walau mata dah tak boleh fokus kerana mata yang terasa ditumbuk.
"Dari tadi lagi saya perasan awak asyik merenung saya. Kalau awak tak ada apa urusan dengan saya, tolong beredar. Saya yakin awak ada banyak benda nak dibuat, sebab saya pun ada banyak benda nak dibuat."
"Awak dah tengok cermin pagi tadi?"
"Untuk apa saya tengok? Ingat saya ini bimbo ke? Tengok cermin bukan satu keperluan pun. Saya tengok cermin masa nak pakai tudung saja. Lagipun perempuan yang bercermin ini perempuan yang tak ada keyakinan diri. Perempuan yang tak berpuas hati dengan kecantikannya… atau lebih tepatnya mereka sudah cantik tapi sengaja berlebih-lebihan dengan segala tempelan mekap."
"Patutlah awak sangat cantik, muka awak berseri-seri. Matahari pun tak mampu nak menandingi kecantikan awak."
Aku mencebik. Dah biasa dipuji cantik. Lagi satu, mengenal Firman tahulah yang dia hanya menyakat aku saja.
"Tak payahlah nak puji lebih-lebih. Saya tak makanlah pujian awak itu. Nak muntah lagi adalah. Lagi satu, kan saya dah bagitahu, awak bukan type saya. Saya tahulah yang pujian awak ini ada makna. Mesti sengaja nak menyakitkan saya."
Firman tersenyum lagi. Luar biasa pula dia pada pagi ini. Senyumnya memanjang. Menakutkan pula aku tengok. Sudahlah aku ini jenis tak reti nak berempati! Kalau aku tengok orang senyum, aku pun terikut senyum. Kalau aku tengok orang menangis, aku pun terikut menangis. Walaupun sebab senyum atau menangis itu tak logik dan masuk akal. Contoh, orang yang seronok lepas bunuh orang, aku pun terikut seronok, walau aku tahu yang dia silap, tapi aku tak boleh kawal diri aku. Stressnya aku!
"Awak ini peliklah. Semalam bukan main lagi nak layanan saya berbudi bahasa. Hari ini berlagak pula."
"Awak ini tone-deaf ke? Kan saya dah beritahu, saya ada personaliti, bukan sekadar gadis cantik?! Lagi satu, pujian awak itu plastik saja, tak serius pun. Saya pun main-main saja tadi. Be professional, not personal."
"My apologies. Terlupa hubungan professional kita. Anyway, I love your eyes. Sebenarnya awak memang cantik, sangat cantik. Tak pernah lagi saya jumpa gadis secantik awak."
"Yeah, saya tahu. Saya cantik. Lagi?"
Aku buat muka meluat kepada Firman. Firman mengangkat kening dan tersenyum.
"Nothing, none at all."
Habis juga perbualan kami akhirnya. Aku menghela nafas lega.
"Awak tak cakap pun saya tahu. Simpan sikit pujian awak itu untuk esok, lusa tulat… Nanti awak dah tak tahu nak puji saya apa lagi dah. Saya kan tak ada personaliti di mata awak, cuma muka saja cantik. Awak tahu tak, lelaki kelihatan bodoh bila memilih wanita yang cantik untuk dijadikan pasangan. Jangan awak pun salah seorang daripada mereka sudahlah. Hana ada personanya sendiri. Sekuntum bunga itu bukan sahaja cantik, ada yang berbahaya, berguna untuk perubatan, ada yang berbau wangi dan ada yang berbau busuk. Okay sekian, tolong bawakan hadiah ini. Saya nak bersiap ke kelas."
"The pleasure is mine…" Firman mengundur diri sambil tersenyum manis. Luar biasa gentleman dia pada hari ini. Selalunya kuat menjawab untuk menyakitkan hati aku. Mungkinkah dia dah berubah? Kalau begitu, baguslah. Mudah-mudahan perubahan ini berkekalan.
Aku menanggalkan telekung dan menyangkutkan ke dawai di bilik. Aku mengenakan bedak kompak dan memandang cermin. Tubuhku kian mendekat ke cermin… Apa ini? Aku membelek kelopak mata. Aduh! Sakit! Macam ada habuk masuk! Aku merenung wajah lagi. Tiba-tiba aku terperasan sesuatu. "Celaka!!!" Fatimah dan Mai Tuan berlari mendapatkanku cemas. Suara ketawa yang keras dari luar kedengaran.
Celaka punya Firman! Aku ingat dah berubah!
Rupanya dia sengaja membahan ketumbit di kelopak mataku!
Kedengaran ketukan di pintu dan aku langsung tidak memandang wajahnya. Sakit hati! Aku buat muka.
"Good morning my precious."
Firman tersengih lebar sambil menyandar senget ke pintu kelas. Kedua-dua belah tangannya dimasukkan ke dalam poket. Aku menahan perasaan. Dah agak. Dia hanya senyum atau puji aku bila sesuatu yang tak kena pada diriku. Jangan haraplah dia nak puji aku seikhlas hati.
"Wow! It's a mak dara's sunglasses!"
"It's a burqa, okay!"
"My apologies. Agaknya saya terlampau handsome sangat sampai awak terpaksa tutup mata awak kerana tak tahan melihat kekacakan saya…"
"Oh pleaselah. Saya pakai burqa hari ini kerana orang itu tak tahan dengan kecantikan mata saya. Kerjanya mengekor saya saja sejak saya tinggal di sini. Harap-harap saya tak jadi Zinnirah lah."
Firman tergelak sinis. Aku mengerlingnya dengan jelingan tajam.
"Awak mesti seronok kan? Tapi maaflah sebab kecewakan awak hari ini, kalau setakat muka break-out itu tak ada hal lah."
Firman berpura-pura menilik mukaku kemudian tersenyum lebar.
"Tak ada apa-apa pun di wajah awak. Biasa saja. Saya tengok awak semakin cantik, berseri dan manis."
Aku menahan geram dalam hati. Firman buat-buat mengalah sambil tergelak.
"Tak payah nak menipulah… awak bukannya boleh nampak pun muka saya sekarang."
"Manislah… jerawat itu kan pemanis wajah, pemikat hati."
Mataku dah mencerlung memandangnya. Tangan kiri dimasukkan ke dalam tudung, bersiap sedia untuk menyerang. Firman pula mengangkat tangan sambil tergelak lagi.
"Okay, okay… biar saya tengok mata awak. Buka burqa itu."
Aku tak bergerak. Tangan Firman yang mendekati helaian burqa yang nipis itu pantas aku tepis dengan bunyi cebikan yang kuat.
"Bukalah… saya nak tengok."
"Tak payah! Bawa saja saya ke Phnom Penh. Saya nak ke farmasi, beli ubat. Keperluan peribadi, makanan. Kalau awak tak nak, saya pergi sendiri. Lagi satu, saya tak guna duit awak. Jadi jangan nak bising pasal kemampuan semua itu."
Air mukanya kembali nakal. Aku menahan perasaan yang seperti gunung berapi, bila-bila masa saja boleh meletus.
"Jangan emosi sangat. Biar saya tengok dulu mata dan muka awak. Kalau teruk, saya bawa ke hospital."
Aku mendengus kasar.
"Kalau macam itu baik tak payah bercakap dengan awak. Buang masa saja. Sudahlah! Kalau tak ada apa lagi, sila beredar. Sekarang waktu kerja."
"Okay, my precious. Buka dulu burqa awak. Saya nak tengok." Tenang saja dia melayan aku.
Aku yang sudah berpusing dan berura-ura untuk pergi buat kerja, berpusing lipat maut memandangnya dengan wajah tegang. Dia ini nak rasa torture ke? Orang sadistik macam dia ini kalau aku sumbat dalam kerusi elektrik pun dia boleh menjerit suka. Aku menayangkan bilah kunai di hujung lengan jubah, bilah pisau pendek itu bersinar-sinar di bawah sinaran cahaya. Firman menutup mata, menahan silau.
"Kenapa awak begitu cantik sekali?"
Sting! Sebilah kunai sudah berada di pintu.
"Saya serius, awak memang cantik. Tak perlu ke hospital. Saya pergi ke Phnom Penh beli ubat dan keperluan harian. Itu kan tugas yang awak suruh saya buat dulu. Awak tak perlu pergi."
"Tak payah! Perbualan ini dah tamat dah pun! Saya pergi sendiri. Kalau harapkan awak, macam hampas kelapa. Bilik air pun awak tak mampu sediakan untuk keluarga awak, apatah lagi benda mewah macam ubat-ubatan. Lagipun, saya ini spoiled rich girl, kata awak."
"Kenapa awak cakap macam itu? Kan saya dah cakap beli keperluan itu tugas saya? Selama ini pun saya beli keperluan asas awak kan?"
"Itu pun lepas saya beritahu. Itu pun awak cakap saya menyusahkan awak bagai. Kalau menyusahkan sangat, tak perlu. Saya boleh buat sendiri, itu sahaja. Khalas."
"Jangan cakap macam itu. Kalau awak menyusahkan saya pun, awak masih di bawah tanggungjawab saya. Takkanlah saya nak aniaya awak. Duduk diam-diam saya nak tengok muka awak."
Aku tak mengikut. Terus bergerak ke tempat duduk semula, banyak kerja lagi nak buat daripada melayan dia.
"Hmm… saya ada petua untuk kekalkan seri muka. Petua itu juga boleh menceriakan hari-hari awak."
"Apa dia?" Malas aku menjawab. Langkahku terhenti.
"Masa tengok cermin tu… Awak cuba berkata dengan diri sendiri. Akulah gadis yang paling cantik sekali. Serta-merta hari awak akan bermula dengan ceria, mood awak akan up dan wajah awak akan menjadi cantik. Tetapi… Tetapi… Tak baik amalkan selalu kerana tak baik menipu. Dosa."
Aku mengulum senyum dalam penuh kegeraman. Kaki mengatur langkah agak kuat, sengaja aku deraskan kasut sneaker yang aku pakai, tanda mengugut. Firman membuat isyarat menghadang sambil tersenyum geli hati. Heh, tahu takut.
"Saya nak kurangkan stress awak, nak pujuk awaklah. Marah pula. Okay, biar saya tengok bengkak mata awak tu. Setahu saya, bengkak mata awak itu ketumbit. Selalunya dia naik sebab mengintai haiwan mengawan atau buang air, tapi saya rasa dia naik sebab Hana mengintai saya semalam."
Aku mengetap bibir sambil berpusing perlahan-lahan. Mataku mencerlung memandangnya. Kecil besar kecil besar saja aku nampak. Tapi nak agresif pun tak logik, sebab kalau aku bertindak agresif, nampak sangat dia betul. Sepatutnya aku kekalkan composure aku, bangkit!
"Kenapa nak marah pula? Bukti dan alibi semua di mata awak. Memang awak merindu dan mengintai saya, betul tak?"
Aku menumbuk tapak tangan kanan dengan tangan kiri penuh kegeraman. Tangan mencapai pen di atas meja, pantas membalingnya dengan sekuat tenaga. Firman pantas mengelak, lantas berjalan keluar dengan wajah selamba. Huh! Peduli apa aku kalau tak mengena pun! Senjata bukan kepakaran aku, walau tajam macam mana pun jelingan atau mata yang mencerlung. Sempat dia tersenyum pedas sebelum keluar. Ingat hot sangat ke? Nak bagi aku dehydrated? Sila meninggal!
Dua, tiga hari kemudian ketumbit di mata semakin surut. Alhamdulillah. Tak pasti sama ada dengan ikhtiar ubat sapu yang dibeli oleh Firman atau ubat titik yang diusahakan sendiri oleh Mai Tuan. Sedikit air zam-zam dibaca Surah Al-Kauthar, disapu ke mataku. Kata Mai Tuan, Surah ini baik untuk menyembuhkan sakit mata, mata bengkak, dan mata gatal. Aku tersenyum sumbing bila terdengar mata gatal itu. Tak kisahlah ikhtiar apa pun! Yang penting, dengan izin Allah aku sembuh! Alhamdulillah.
Selepas itu, seorang ibu muda datang sambil mengelek anak kecil. Aku disuruh berbaring di atas riba ibu itu. Sedikit air susu dititiskan ke dalam mataku, terus dari sumbernya. Aku dah tak tahu nak tengok mana, pasal terpaksa celikkan mata. Walaupun aku tahu bukan aurat, tapi rasa serba salah nak tengok. Kata Mai Tuan itu cara tradisional untuk menyembuhkan ketumbit dan mencerahkan mata. Harus air susu dari ibu yang beranak sulung. Aku memberi cadangan agar titiskan saja dalam gelas ke, piring ke, dan nanti aku akan sapu ke mata tapi Mai Tuan keras membantah. Katanya kalau dititiskan terus ke mata lebih mujarab dan mesti rasa suam air susu itu. Walaupun lelaki Cham ini nampak macam jaga batas, tapi aku yakin ada lelaki yang sanggup berlakon sakit mata demi memenuhkan fetishnya. Dalam hati aku mengeluh sedih. Tak sanggup aku nak membayangkan macam mana nanti dah kahwin dan kena melayan segala kerenah dan kemahuan suami dari segi zahir dan batin. Bila Mai Tuan bertanya, ada rasa suam tak, aku main angguk saja, walau aku tak tahu apa dia rasa suam susu itu. Aku dah 19 tahun kut bercerai susu ibu, manalah aku nak ingat!
Mai Tuan tersenyum lega. Dia kata kalau ketumbit aku belum surut, ada lagi ubat lain. Ambil air kencing bayi lelaki sulung dan sapu ke mataku. Lagi bagus kalau dikencing terus. Ya Allah!
Aku menahan kembang tekak. Apalah nasib aku diuji sebegini. Wallahi aku lagi rela tak sembuh daripada ketumbit daripada berubat macam itu. Memang aku sayang Mai Tuan dan hormat, tapi kalau bab kesihatan ini aku rasa lebih baik rujuk pakar! Dan sekarang aku melihat Mai Tuan dah serupa Firman, sadistik sungguh keluarga ini!

alhamdulillah dah selesai chapter utk minggu ni, harap pembaca suka. t kasih sbb sudi membaca, klu suka blh rate, supaya saya tahu pembaca saya suka atau tak penulisan saya.

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience