"Mampu pergi ke tu?" Umi masih teragak-agak. Aku masih membatu, tidak memberikan apa-apa reaksi. "Hana, betul ke Hana nak pergi ni?" Kak long memegang bahuku lembut. Nampaknya seluruh ahli keluargaku begitu risau akanku apabila aku mengumumkan keputusanku ini. "Abah nasihatkan tak payah pergilah Hana. Kemboja tu negara yang tak stabil lagi. Karang jadi apa-apa kan susah. Awak tu dah lah sakit." Aku mengetap gigi. "Biarlah dia pergi. Dia boleh duduk dengan saya. Saya boleh tolong tengok-tengokkan dia." Along bersuara sambil menyimpan tie ke dalam suitcase. "Tapi... "
"Lagipun awak kan takut kut-kut saya main kayu tiga. Bolehlah dia tolong tengok-tengokkan saya." Along senyum mengusik. Dia ketawa kecil. Aku mengukir senyum senget. Kak long memuncungkan mulutnya. Ada ke pula cakap macam tu... "
"Shahnaaz, kamu tu nanti sibuk dengan pasukan perubatan. Takkanlah kamu ada masa 24 jam nak tengok Hana ni. Dah! Keputusan kami muktamad. Hana tak boleh keluar dari negara ini tanpa umi dan abah." Umi memberi kata putus. Aku menyimpan perasaan kecewa dalam hati. Kaki perlahan-lahan mengatur langkah ke luar.
Aku duduk di birai kolam. Air terjun buatan yang memancut indah memberi sinar keindahan pada waktu malam. Sana-sini bintang bertebaran di langit. Angin sejuk pada waktu malam membuatkan aku mengetatkan baju sejuk yang kupakai. Bulan mengambang bersinar cerah. Cantik, desisku. Namun itu tak mampu untuk menghilangkan perasaan gusar di hatiku setelah mendengar bicara kedua ibubapaku tadi.
"Sedih?" Tegur Kak long. Dia dan Along berjalan menghampiriku. Aku mengesot sedikit punggungku, memberi ruang kepada mereka untuk duduk. Aku hanya mendiamkan diri, tidak bersuara, sekadar membiarkan mereka meneka apa yang bermain di mindaku. "Hana kenalah faham. Umi dan abah buat semua ini kerana mereka sayang pada Hana. Mereka trauma sebab Hana asyik larikan diri daripada mereka je." Pujuk Kak long. Oh, kisah aku lari dari rumah. Okay, sekarang semua salah aku? "Kenapa nak ke Kemboja Hana?" Soal Along tiba-tiba. Aku terdiam lagi, cuba mencari jawapan yang sesuai. "Cakaplah... Kalau Hana tak cakap macam mana kami nak pujuk Umi dan Abah supaya benarkan Hana ke sana."
"Hana nak menjadi diri sendiri." Akhirnya suara emasku keluar. "Kenapa? Di rumah Hana tak jadi diri sendiri?" Along ketawa. Aku agak terkesan sedikit apabila melihat tawa Along. Macam nak menghina aku je. "Abang... " teguran Kak long membuatkan tawa Along terhenti. "Maaf, Hana. Tapi Hana tahu kan kerja sukarelawan macam mana? Kena jumpa orang, cakap dengan orang, beramah-mesra, asyik duduk di spotlight. Hana sembang dengan kami pun Hana tak mahu, macam mana nak tolong orang lain?" Aku mengetap gigi lagi. "Jadi semua nak kata diri Hana yang sebenar ialah Hana yang sombong, dan pentingkan diri? Macam tu?" Mereka terkesima. "Tiada siapapun dalam keluarga ni yang tahu siapa diri Hana yang sebenarnya, jadi semua orang tiada hak untuk melabel Hana." Tegasku. Kak long dan Along terkesima. Perbuatanku yang ingin bangun dihalang oleh Kak long. "Hana ada apa-apa nak cerita dekat kami?" Pujuk Kak long. Aku menggeleng.
"Okaylah Hana, memandangkan Along pun nak tahu siapa diri Hana yang sebenar, Along akan pujuk Umi dengan Abah untuk benarkan Along bawa Hana ke sana." Along dah bangun. Aku memandang Along dengan pandangan tidak percaya. Mataku yang sepet membulat. Bibirku mengukir senyuman gembira. Terserlah lesung pipit di bahagian kanan wajah.
Hingar-bingar di KLIA membuatkan aku sedikit tak selesa. Ah, sudah. Takkanlah autistik aku nak buat hal dekat sini pula? Tolonglah jangan bagi aku throw tantrum dekat sini. Karang kena cancel aktiviti free aje. Aku tak ambil pusing. Setahu aku, peserta ibadah korban ada 93 orang. Tambah dengan pasukan perubatan, tenaga pengajar, wartawan penyiaran, jumlah kami semuanya 131 orang. Aku mendekati Along, yang sedang berbicara dengan teman sepasukannya. Sana-sini jurugambar asyik mengambil gambar kami.
Sebelum ke sini, Along telah mula-mula berpesan kepadaku bahawa wartawan ramai di sini. Faham benar dia yang aku sangatlah tidak selesa akan kehadiran wartawan. Jadi aku mengenakan purdah. Mujur tiada siapa dapat melihat wajahku. Aku tidak suka apabila orang mengetahui kebaikan yang aku lakukan. Namaku memang tak akan disebutlah ceritanya sebab aku bukan orang penting pun dalam misi ini.
Dalam perjalanan ke sini, Umi tak habis-habis asyik meluahkan kerisauannya padaku. Dia risau bagaimana kalau aku throw tantrum. Bagaimana kalau aku tak boleh tahan tinggal di situ, dan menangis minta nak balik. Hisy, umi ni. Aku dah lima tahun tinggal di Mesir takkanlah pergi ke Kemboja lima bulan tak boleh. Tapi kira cheatlah juga. Aku ke Mesir dan tinggal bersama Abah. Takkanlah aku nak tinggal dengan Along pula. Kami berdua kan bukan mahram. Abah pula tak habis-habis pesan supaya aku membaca ruqyah dan makan ubat. Dia siap ugut lagi Along supaya pastikan aku makan ubat ikut jadual dan membaca ruqyah. Aku ketawa kecil memikirkan hal itu.
"Hana!" Suara yang memanggilku itu membuatkan aku tersentak. Siapa itu?
Wajah wanita tua bertudung labuh menjawab persoalanku. Oh, ustazah dan anaknya. "Nak pergi dah?" Soal ustazah. Aku mengangguk. Mataku berkaca memandang ustazah. Ustazah memegang pipiku yang dilindungi dengan purdah. "Janganlah sedih. Nak jadi wanita Muslimah sejati kena kuat. Hana seorang yang kuat semangat. Syaitan mana pun yang datang, Hana lawan dia dengan ayat al-Quran." Aku ketawa kecil mendengarkan ayat ustazah. Yalah itu. Mataku terpandang Yaqinah yang kelihatan malu-malu kucing. "Yaqinah, akak nak pergi dah ni." Dia memandangku lalu mengangguk. Aku memaut bahu Yaqinah sebelum mengeluarkan telefon pintar. Mengajaknya mengambil gambar. Mujurlah Yaqinah posing untuk aku. Kalau tidak, buat malu sahaja. "Hana pergi dengan siapa ni?" Soal ustazah tiba-tiba. "Dengan Along. Hana pergi sebagai tenaga pengajar. Dia pasukan perubatan." Ceritaku. Ustazah angguk tanda dia berpuas hati dengan jawapanku.
Kami dipanggil untuk bergambar di hadapan banner oleh jurugambar. Aku senyum biasa saja. Yalah, manalah orang nampak muka aku.
"Hana, nanti dekat sana jangan lupa video call tau." Pesan Kak long. Aku angguk. "Kalau ada apa-apa, bagitau Kak long." Aku senyum mengusik. "Termasuk hal Along ke?" Kak long menampar lenganku. "Ada ke pula fikir hal tu! Yalah, termasuk hal Along." Akhirnya dia mengalah juga. Aku senyum menang.
Sejam 15 minit kemudian, kami tiba di lapangan terbang Pochentong. Sebelum kami mendarat, aku sempat memerhati kawasan di sekitar Kemboja ini. Along dah lama berdengkur di sebelah. Semalam syif dia lewat sangat habis. Cantik betul Kemboja ni. Buminya penuh dengan sawah padi, tanahnya rata dan kurang berbukit. Kelihatan Sungai Mekong yang memanjang. Aku kagum melihat sungai yang kesepuluh terpanjang di dunia itu. Sungai itu merentasi tujuh buah negara iaitu Tibet, China, Myanmar, Vietnam, Laos, Kemboja, dan Thailand.
Urusan kemasukan berjalan dengan lancar dengan pegawai imigresen yang nemberi kerjasama dengan sangat baik. Rombongan besar kami meriah disambut oleh para pegawai dari Kedutaan Malaysia dan wakil media massa yang sedia berpusat di Kemboja dan Persatuan Melayu Islam Champa. Beberapa bas menunggu kami. Aku naik bas dan duduk bersebelahan dengan Along. "Hana kalau ada rasa apa-apa tak kena terus bagitau Along tau." Sempat Along berbisik hal itu kepadaku.
Kami mendaftar bilik masing-masing. Terasa aku diberi layanan istimewa. Bilikku berwarna cream, berkatil King dan dihiasi indah dengan sebakul buah-buahan tempatan. Aku memandang bunga tersebut sekilas. Ada buah nona, naga, mata kucing dan sebiji epal. Ada juga kuntuman bunga kemboja terselit di bunga tersebut. Aku mengeluarkan smartphone lalu mengambil gambar bakul buah tersebut sebagai tanda kenang-kenangan.
Aku menarik langsir bilik. Subhanallah, pemandangan yang sangat cantik. Sebuah sungai terbentang luas di depan mata. Pasti ini Sungai Mekong. Cantik dan bersimpang-siur dengan pelbagai bentuk dan rupa pengangkutan air.
Tak sampai sepuluh minit, ringtone aku mula berbunyi.
"Along?"
"Jangan lupa turun lunch pukul sebelas nanti. Along lupa nak pesan. Undurkan waktu sejam. Kemboja lewat sejam dari Malaysia."
Aku tersengih. "Oh, patutlah lunch awal. Zuhur pun awal. Along dah solat ke belum?" Aku memandang matahari di luar. Cuba mengira-ngira waktu solat. "Belum." Pendek dia menjawab. "Jangan lupa buat jamak. Nak tau niat, tengok je dalam mesej yang Hana hantar." Pesanku. "Okay. Thanks, Hana." Panggilan dimatikan.
Seusai taklimat terkini, kami dijamu makan. Makanannya okay, standard hotel dengan dijamu oleh staf. Yang paling memeranjatkan ialah ada staf yang mahir berbahasa Melayu walau tak beberapa fasih. Bunyinya seperti orang Thai bercakap Melayu. Kedengaran lembut dan sopan aja di telinga.
Aktiviti pada hari ini, kami hanya berehat dan pada waktu malam, kami akan beronda ke bandar Phnom Penh. Aku tak berminat. Kesan ubat yang aku makan tadi membuatkan mataku hampir terkatup. Aku berbaring di atas katil, cuba memejamkan mata. Dah setengah jam aku mencuba, tak berjaya. Aku mendengus lalu bersiap-siap, tetapi vibration di tapak kaki menghentikan langkahku. Ada seseorang. Tetapi siapa? Takkan Along kut. Setahu aku, pasukan perubatan nak bersedia untuk program esok. Jadi Along pun mesti sibuk.
Bunyi ketukan pintu bertalu-talu menjawab persoalanku. Ditambah lagi dengan suara yang amat familiar kedengaran dari luar pintu. "Hana, ni Along ni!" Aku membuka pintu dengan wajah selamba.
Along kelihatan terkejut sedikit. "Ni bersiap-siap macam ni, nak kemana? Ubat dah makan ke belum?" Soalnya bertalu-talu. "Nak tengok pemandangan luar. Ubat dah makan." Malas aku menjawab. Along nyata tidak senang. "Ish budak ni! Kan dah janji kena ikut Along, awak tu anak dara. Mana boleh keluar malam sorang-sorang." Leternya. Aku ketawa mendengar leteran tersebut. "Orang serius, dia boleh gelak pula. Jom ikut Along. Kita jalan-jalan." Kata putus Along itu membuatkan aku senyum gembira. Kaki melangkah keluar dari bilik hotel dan berjalan seiringan dengan Along.
Seketika kemudian, sebuah kereta yang agak lusuh tiba di perkarangan hotel. Aku dah teragak-agak. Selamat ke kereta ni? Along sengih. "Selamat je. Naiklah." Aku dan Along masuk. Kami duduk bersebelahan.
Aku dan Along dibawa mengelilingi bandar Phnom Penh. Cantik pemandangannya pada waktu malam. Perempuan-perempuan Kemboja boleh tahan juga. Seksinya ya ampun... Berdarah mata aku! Rupa mereka ada iras-iras rupaku. Rasa segan pula. Macam melihat diri sendiri yang bertelanjang di tenpat umum. Oh, baru aku teringat sesuatu. "Abang Shahnaaz, jaga mata tu. Jangan pandang sembarangan." Aku menjeling Along di sebelah. Dia ketawa kecil. "Kenapa pula Abang nak buat macam tu? Abang dah ada perempuan yang abang cintai. Yang mencintai abang sepenuh hati." Aku menggigil mendengarkan ayat tersebut. "Hee, geli Hana dengar. Bersemut cushion ni ha." Tawanya pecah. Aku tak ambil pusing. Mata masih memandang pemandangan di luar. Pesat membangun juga kota Kemboja ini. Walaupun negara ini baru lepas mengalami peperangan. Pasar-pasar rayanya indah tersergam di depan mata. Kelab-kelab malam berceratuk di seluruh pelosok bandar. Sana-sini dapat kudengar bunyi disko.
Mataku tertancap pada pemandu di hadapan. Dia mengenakan topi dan wajahnya berjambang sedikit. Jambang itu membuatkan dirinya kelihatan seperti tidak terurus. Tetapi dia mengenakan haruman yang sungguh kuat. Baunya juga wangi. Sempat aku menghirup haruman tersebut.
"Aii, pekenan ke?" Tegur Along sambil senyum mengusik. Aku mengukir senyum malu tetapi kepala aku gelengkan. "Not my type. Hana tak suka lelaki yang ambil kesempatan atas sunnah." Ujarku. Along nyata terkejut. "Ambil kesempatan macam mana tu?"
"Simpan janggut tapi tak reti nak jaga. Nampak tak terurus. Itu ambil kesempatan namanya. Menjatuhkan maruah lelaki berjambang lain yang nampak jauh lebih kemas, seperti yang disarankan Nabi SAW. Orang yang simpan janggut tapi tak terurus telah mencemarkan nama baik sunnah nabi SAW." Omelku. Along tersenyum. "Sekarang Abang rasa macam dah boleh kenal Hana sikit-sikit." Aku tidak menjawab. Itu hanyalah monolog Along, jadi tak perlu untuk aku menjawab.
Along memandang jam lalu menguap sambil mengeliat. Aku terkebelakang sedikit, bimbang tersentuh Along. "Dah lewat ni, esok pagi-pagi nak gerak. Bro, tolong hantar kami balik... " pinta Along kepada pemandu. Aku agak terperanjat apabila Along berbahasa Melayu dengan dia, lagi terperanjat apabila dia membalas. "Okay, boss." Mataku membulat. Biar betul dia orang Melayu?!
"Along, dia orang Melayu ke?! Kenapa Along tak warning awal-awal?!" Aku menjeling Along geram sambil berbisik ke telinganya. Along senyum nakal. "Dia orang Cham la. Melayu Cham. Mereka boleh faham dan berbahasa Melayu walau tak fasih sangat."
Sesampai sahaja di hotel, aku keluar diikuti oleh Along. Along sempat bersembang dengan lelaki itu tapi aku tak ambil pusing. Malu! Mana selimut!
Sila komen untuk memberitahu pendapat anda tentang penulisan saya. Kalau suka, boleh like supaya memudahkan saya untuk berhubung dengan pembaca, terima kasih [^^]V
Share this novel