Esok pagi, Firman dipaksa oleh Mai Tuan untuk diberikan rawatan. Walaupun keberatan tapi Firman terpaksa akur. Seorang doktor perempuan dalam lingkungan 50-an datang dengan menaiki basikal tua. Dia memeriksa tubuh Firman dan menulis ubat yang harus dibeli. Beg perubatannya diselongkar dan dia mengeluarkan beberapa beg kecil. Aku menghampirinya dan duduk, memerhati. Rasa semacam aje doktor ini. Ya ke doktor? Tak macam gaya doktor pun. Bertudung, berbaju kurung dan berkain sarung batik. Kemudian dia duduk berlunjur dan mengangkang sedikit kakinya. Satu lambakan picagari, ubat-ubatan dan jarum suntikan dicurahkan ke atas kain sarung batiknya. Aku menelan pelik. Dipilih satu dari jarum suntikan yang banyak itu, kemudian diminta batu pengasah. Bila batu pengasah sampai, diasahkan hujung jarum itu. Jarinya merasa ketajaman jarum itu. Selesai, dia memasang jarum itu ke picagari. Pisau cukur digunakan untuk mengerat leher botol ubat, kemudian dijentik dan dipatahkannya. Picagari dimasukkan dan ditarik untuk menyedut ubat. Dia memanggil Firman mendekatinya. Aku terkebil-kebil sekejap. Firman mahu disuntik begitu saja? Dengan perkakas yang berkongsi, kotor dan ditabur di atas kain sarung batiknya? Langsung tak disterilised dan menggunakan jarum picagari yang pakai buang? Dia juga tak bersarung tangan. Bajunya kotor dan comot. Sesekali dia menggaru kepalanya yang bertutup. Uban agaknya. Paling tak tahan, ubat dan perkakas perubatan ditambur selamba badak ke atas kain sarung batiknya.
"Firman… Jangan."
Semua mata melihat aku. Hairan.
"Jangan injek. Kotor, nanti awak kena Aids."
Doktor itu menjeling aku tajam. Dia faham Aids. Firman mengangguk dan berkata sesuatu. Doktor itu menyimpan semula perkakasnya tetapi dia langsung tidak membuang ubat yang sudah disedut ke dalam picagari. Dilambak dan dikaut kesemuanya masuk begitu saja ke dalam beg perubatannya. Aku menelan takjub. Dia memegang hujung kain batiknya, bangun berdiri dan dikibas-kibas kain batiknya ke dalam beg. Dia memastikan tiada jarum atau picagari yang tertinggal. Aku hampir tergolek pengsan!
Sebesen air panas diminta, untuk mencuci luka Firman. Aku memerhati dengan lebih dekat. Kuku dan tangannya kasar. Dia langsung tak mencuci tangannya apalagi memakai sarung tangan. Nampak gayanya dia nak mencuci luka Firman begitu saja. Kemudian dia sibuk memasukkan benang ke dalam jarum. Nak dijahitnya luka Firman. Nauzubillahi min zalik!
"Firman jangan."
Sekali lagi semua mata memandangku. Doktor itu mendengus dan mula bangun. Mai Tuan menghulurkan sedikit duit tetapi tak diterimanya. Tak cukup. Matanya tajam memerhati aku dan aku faham. Aku mengeluarkan beg duit lalu memberinya USD 50. Dia enggan menerima. Suara Mai Tuan dan yang lain tak puas hati. Aku menambah USD 100, diambil dan dijelingnya aku. Dia turun dengan kasar menuju ke basikalnya. Mai Tuan bising kerana dia tidak memberi sebarang rawatan kepada Firman tetapi meminta bayaran berkali ganda.
"Tak apalah Mai Tuan. Berapa pun saya sanggup, asal dia tak sentuh Firman."
Semua diam dan faham maksud aku. Aku mengambil deskripsi ubat tapi aku tak faham sebab bertulisan Khmer. Aku memberi sedikit duit dan meminta Matt membelikannya. Lagi bagus kalau membawa seorang doktor. Firman masuk ke dalam bilik diikuti kami bertiga.
Mai Tuan dan Fatimah diberitahu oleh Firman bahawa dia jatuh dan terseret dengan kayu semasa dikejar oleh babi hutan. Mai Tuan memaksa Firman berbaring dan Fatimah sibuk memeriksa luka abangnya. Aku bersandar di dinding, hanya memerhati. Sesekali pandangan kami bertemu dan aku berterima kasih kerana Firman tidak memberitahu hal sebenar kepada Mai Tuan. Entah apa tanggapan Mai Tuan kalau dia tahu aku menjadi punca keadaan Firman menjadi begitu. Fatimah dan Mai Tuan keluar sekejap. Aku menunduk sambil membelek telefon.
"Kenapa awak tak benarkan doktor merawat saya?"
Aku mengangkat kepala dan memerhati Firman yang sedang duduk bersandar di kepala katil.
"Awak tahu jawapannya. Teruk sangat cara dia, langsung tak menjaga kebersihan dan keselamatan."
"Kami tak ada pilihan. Lagipun, saya okay. Tak dapat rawatan pun tak apa. Sampai masa, luka akan sembuh dengan sendirinya. Bukannya dalam sangat sampai memerlukan jahitan. Hanya calar aje."
"Calar awak kata? Orang kat sini menerima rawatan dari doktor macam itu?"
"Dia bukan doktor, hanya orang biasa. Tetapi pada zaman Pol Pot dia tengok doktor merawat, jadi dia pandai."
Aku hampir menepuk dahi.
"She's not a doctor? Awak semua mendapat rawatan darinya? Dan awak… seorang yang educated, takkan awak tak tahu kesan dari cara rawatannya?"
"Tau… tapi macam saya cakap tadi, tak ada pilihan."
"Kalau ada infections? Aids? Mati?"
"Nasiblah…" Selamba saja dia menjawab.
Aku menghampirinya dan rasa nak mencengkam kuat-kuat lukanya. Biar dia meraung!
"Saya dah suruh Matt cari doktor yang terbaik untuk awak. Ikut hati saya, dari semalam lagi kita ke Phnom Penh. Masukkan awak ke hospital yang tercanggih dan terbaik di Kemboja. Hairan. Dah tahu mak cik itu bukan doktor tapi masih mendapat rawatan darinya. Diiktiraf jauh sekali."
"Beginilah nasib sebuah negara yang mundur. Rakyat yang miskin dan buta huruf. Apa saja yang ada kami hanya menerima. Hidup pun hiduplah. Mati pun, matilah…"
"Kenapa bercakap macam orang berputus asa?"
"Tak berputus asa cuma berpijak di bumi nyata. Mengharapkan Kemboja setanding dengan negara lain, masa yang lama perlu diambil. Sementara menunggu masa itu, kami berserah saja. Saya sendiri pun tak berdaya membuat lebih dari kemampuan saya."
Aku duduk di hujung kaki Firman. Aku menatapnya lama, hati rasa ralat pula.
"Maafkan saya…"
"Seorang kawan takkan meminta maaf dan berterima kasih. Jangan risau, saya okey. Hanya menghormati hasrat mama saya. Nama pun komando. Kalau orang lain harus berjahit empat, lima jarum, kami selamba aje."
"Sudahlah, jangan mengarut. Awak bukan komando."
Kedengaran suara ramai di luar dan seorang doktor lelaki masuk diiringi oleh Matt. Aku bernafas lega. Lebih teruja apabila melihat wajah kacak doktor muda ini. Ini baru betul. Sebab dia lelaki dan kacak itu bonus tetapi dia memang profesional dan betul-betul menjaga cara rawatannya. Tak pasal-pasal aku duduk di sebelah Firman dan asyik memerhati perkakasnya. Firman berdehem dan aku cepat menjawab.
"Saya nak memastikan dia menjaga kebersihan dan mengikut etika cara perubatan sebenar."
"Awak nak pastikan ke atau awak nak menggoda?"
"Syy… jangan nak sibuk. Kacau konsentrasi saya."
Seronoknya kami berbahasa Melayu tanpa bertapis lagi. Mentang-mentanglah orang lain tak memahaminya. Mataku tak berkelip memandang perkakas yang berkilat di dalam beg kain. Sambil dia merawat Firman, aku sibuk menemuramah dia. Jawapan yang diberikannya menyentap hatiku. Hilang terus mood teruja aku. Insaf sekejap. Dia berbangsa Vietnam Amerika dan bermata biru. Bekas anak cucu tentera Amerika yang menabur benih semasa peperangan Vietnam-Amerika. Dibenci oleh ibu dan kaum keluarga. Tidak diterima oleh masyarakat Vietnam yang sangat membenci kezaliman yang dilakukan oleh tentera Amerika semasa peperangan dengan Vietcong. Hidupnya terumbang-ambing sebelum dijumpai oleh sukarelawan dari Amerika dan dibela di rumah anak yatim. Dia diberi didikan dengan dibiayai sumbangan daripada dermawan di sana. Elok juga, dah puas memusnahkan negara orang, rakyatnya sendiri cuba membaik pulih negara itu.
Dr. Samuel Nguyen belajar bersungguh-sungguh dan berjaya menjadi seorang doktor dengan Ijazah Perubatan dari Moscow, Rusia. Dia kembali berkhidmat dan menabur bakti di Kemboja. Kenapa tidak di Vietnam, soalku. Katanya, Kemboja lagi teruk dan lebih menderita dari Vietnam. Di sini, kekurangan doktor dan kemudahan perubatan. Dan dia senang berada di Kemboja berbanding Vietnam yang tetap memandangnya sebagai manusia yang tak dikehendaki. Seolah-olah anak-anak hasil dari Amerika ini tidak pernah lahir. Kalau mati pun tidak perlu dikebumikan… biar hancur musnah jasadnya hilang begitu saja. Hilang ditelan masa dan waktu. Tidak pernah wujud, tidak pernah berjasad, tidak pernah bernama. Hatta kalau dikebumikan pun, tiada nama yang ditulis di batu nisan. Dibiarkan saja mereka lenyap tanpa diketahui dan tanpa tanda. Kewujudan mereka dinafikan.
Sadisnya… hasil kekejaman sebuah peperangan yang tidak pernah menguntungkan mana-mana pihak. Nasib rakyat negara yang dilanda kekacauan… kalau yang beruntung sabut, timbullah. Kalau beruntung batu, tenggalamlah. Semoga Allah sentiasa melindungi Malaysia. Inshalah.
Aku dibawa mengelilingi kampung ini melihat tenunan songket dan sutera. Mereka bertenun di bawah rumah. Dari hasil tangan anak-anak gadis yang pemalu dan sopan. Coraknya ringkas tetapi menarik. Kainnya halus dan lembut. Aku membeli beberapa helai sebagai buah tangan. Sehelai kain pelekat tenunan untuk Along. Kain tenun untuk umi dan kakak. Boleh dipakai dengan baju kurung dan kebaya. Cara mencucinya pun mudah, tanpa sabun. Hanya air biasa, jangan diperah dan terus disidai. Jangan bagi dia terkena cahaya matahari. Materialnya akan bertahan lama.
Firman membawa aku melihat cara mereka menyucuk atap nipah pula. Benang untuk menyucuk atau menjahit atap nipah dari belahan empat kulit kayu bemban. Daun nipah yang cukup matang, dijemur sehingga kering selama tiga minggu. Kemudian baru dicucuk dan dijahit ke pelepah buluh yang dibelah. Berhati-hati sekali para perempuan ini melakukannya. Aku tak sangka pula atap nipah boleh bertahan lama sehingga 10 tahun. Tapi menurut Firman kalau sering ditimpa hujan, atap nipah akan cepat rosak. Sebab itu permintaan atap nipah ini sentiasa tinggi. Dia paling murah, senang dan sejuk dijadikan bumbung. Tidak perlukan penjagaan kecuali dia akan reput dan rosak apabila tiba masanya. Musuh utama atap nipah ialah bubuk. Kumbang boleh menyebabkan atap nipah cepat mereput. Cara nak memasang bumbung atap nipah ini pun senang. Kepingan atap hanya disangkut kepada paku atau diikat pada rangka kayu atap.
Atap lalang paling menarik perhatian aku. Dijadikan dari jalinan lalang kering. Kalau letakkan di resort, mesti cantik. Ada nilai estetika tradisional dan mesra alam. Rumah pun lebih sejuk, redup dan nyaman seperti rumah Ahmad. Tapi sayang semua atap ini mudah terbakar.
"Nak ke ladang tak?"
"Ladang apa?"
"Ladang getah, ladang tebu, ladang sayur… pusing-pusing kampung ini."
"Saya tak larat nak jalanlah, Firman. Lagipun kesian kat mama awak. Nampak dia pun penat."
Kami memandang mai tuan yang berjalan perlahan di depan bersama Fatimah.
"Kita pergi lepas Zohor. Matt dan Fatimah ikut," putus Firman. Kuasa veto!
Bunyi petikan loceng menyebabkan aku dan Fatimah terjenguk. Kami tergelak apabila melihat Firman dan Matt di atas basikal berwarna hitam, berpalang di depan dan tempat duduknya melebar di belakang.
"Basikal zaman bila ni? Klasiknya." Aku membelek.
"Zaman Jepun. Ini basikal yang digunakan untuk mengangkat guni beras atau hasil tanaman." Firman melawak.
Kematulah punggung di atas besi tempat duduk ini. Duduk mengiring dengan bersusah payah, Firman mengayuh tergoyang-goyang kerana aku yang asyik membetulkan kedudukan. Aku tak biasa bertenggek dan agak sulit mengimbangkan badan. Fatimah selamba aje membonceng dengan Matt. Ayu dan sopan.
"Duduk diam-diam! Nanti kita jatuh!"
"Susahlah nak mengiring. Saya nak membonceng macam biasa."
"Jangan! Nanti kain batik awak tersangkut!"
Seram! Teringat pada kain baju kurung aku dulu! Kalau kain batik aku ini tersangkut? Tak dapat aku bayangkan Firman bertindak yang sama. Innalillahlah jawabnya!
Matt mencabar Firman selamba. Aku dan Fatimah menjadi batu api merangkap batu kawah. Kayuhan laju mereka berdua menjadi jeritan dan ketawa riuh kami. Tapi rasa-rasanya yang menjadi mangsa hasil perlumbaan ini, aku dan Fatimah. Tubuh kami melantun-lantun dihentak jalan yang tidak rata. Tang punggung tak payah ceritalah. Sakit terhentak Tuhan saja yang tau tapi kerana ghairah nak menang, kami menahan sakit. Jangan lepas ni semua jalan terhenjut-henjut sudah.
Perlumbaan tamat dengan Fatimah melompat turun dari basikal dan Matt memenanginya. Berani betul dia melompat dengan kain batik. Nasib baik tak tersangkut, kalau tak innalillahlah. Aku dan Firman mengetap geram dengan penipuan Fatimah. Kemudian kami berdua tersenyum sesama sendiri. Fatimah tidaklah penakut sangat. Dia boleh melakukan sesuatu yang tak terjangka.
Kami kembali bersantai menikmati keindahan panorama dengan melalui ladang getah yang luas, kepunyaan seorang bangsa Khmer, kata Firman. Aku mendongakkan muka ke langit. Cerah dan membiru. Tangan kiriku depangkan, merasa angin yang lalu. Dingin memalu sehingga ke perdu hati. Tangan kanan membetulkan jubah hipster. Angin menderu laju, hampir menerbangkan jubah. Sesekali hidungku hampir terlaga pada belakang Firman kerana hentakan jalan yang tidak rata. Bau tubuhnya wangi menerjah hidung. Kini aku dapat mengesan kehadiran Firman dari derap kaki dan bau badannya. Akhirnya kami sampai ke sebuah rumah usang yang bagi aku cukup menarik. Sebuah rumah yang terletak di dalam kebun yang teratur dan kemas. Anak sungai mengalir cantik di sebelah kanan. Di sekeliling rumah dab setiap inci tanah ditanam dengan berbagai pokok dan sayuran.
Firman memberi salam. Satu suara tua menjawab dari dalam rumah dan satu suara lagi dari anak sungai. Kami berempat tersengih. Tak tahu nak tuju ke mana dulu. Seorang perempuan tua menjenguk dan kemudian terjerit kuat. Gembira sekali dia melihat Firman, Fatimah dan Matt. Kemudian matanya merenung aku dari atas sampai ke bawah. Cantik nenek ini. Walaupun sudah berbongkok dua, namun hidungnya yang mancung, matanya yang bulat dan kulitnya yang putih melepak masih tidak pudar. Beberapa kepala terjenguk mengintai kami. Anak-anak dara. Janganlah aku dikejutkan lagi salah seorang mereka adalah tunang Firman. Lelaki kan ada kuota empat. Kena pula Kemboja ini begitu susah, melepaskan anak dara berkahwin dengan segera adalah satu jalan yang terbaik.
"Ini nenek sepupu kami. Namanya mai Masyitah."
Aku bersalam dan menunduk, mencium tangannya. Dia memegang wajahku dan berkata sesuatu. Keningku berkerut kerana telingaku tidak dapat menangkap butirnya.
"Kakak… mai kata kakak cantik. Dia doakan kakak mendapat suami dan anak yang soleh."
Aku tersenyum tawar. Rasa meh. Memikirkan hal anak dan suami, rasa seperti belum bersedia. Ingin menikmati kebebasan. Kedengaran satu suara memanggil dari belakang. Firman mengajak kami ke belakang dan bersahut-sahutan dengan suara tadi. Rupa-rupanya ada seorang lelaki tua sedang mengharung sungai separas pinggang, membongkok seperti menggagau sesuatu.
Ada beberapa lelaki dan gadis muda di bawah pokok buluh. Mereka duduk di atas hamparan tikar mengkuang sambil menyiang ikan. Mereka semua mengangguk dan tersenyum hormat kepada kami. Yang gadis-gadisnya tertunduk-tunduk tetapi curi-curi melihat Firman, manakala lelaki-lelakinya mencuri melihat Fatimah. Amboi! Boleh tahan galak keluarga Firman ya?
Menyampah pula aku! Firman bukan main lagi berlagak dengan aku pasal keluarga dia. Keluarga Muhammad ada ke curi-curi mengintai ajnabi? Cet, aku mencebik perlahan sebelum mengeluh. Mata terpandang ke arah Matt. Memang Matt sedang merenung aku tapi renungannya dicantas oleh renungan tajam Firman yang tiba-tiba. Matt menunduk, aku menjauhkan diri. Controlling sungguh!
Lelaki tua itu tadi membawa segenggam benda. Bila dia dekat barulah nampak benda yang digenggamnya itu. Siput. Seorang gadis mengambil dan memasukkannya ke dalam kayu, dibasuh dan dipotong ekornya.
"Ini datuk sepupu saya, Ong Idris, suami kepada Mai Masyitah." Firman memperkenalkan kami selepas dia puas dipeluk dan digomol oleh Ong Idris.
Riuh mereka bersembang dan bercerita. Aku hanya duduk bersimpuh du atas tikar, mendengar bahasa yang aku tak faham. Kadang-kadang aku berpandangan dengan Matt. Dia hanya bereaksi biasa dan mengalihkan pandangannya. Kenapa ya? Seperti ada sesuatu di antara Matt dan Firman?
Aku melihat di sekitar rumah. Nostalgik. Dapur mereka di luar dan mereka memasak di bawah serumpun pohon buluh madu. Rebung sebesar ibu jari kaki berceratuk. Ditolak dengan kaki, kemudian patah barulah ditarik dengan tangan. Dikupas dan dihiris bulat-bulat. Direbus dan dimasak gulai. Senang. Semua makanan dari sekitar rumah saja. Sekarang kami dihidangkan makanan. Nasi, sup ikan sungai, iyar tot, ulam dan siput rebus air bening. Aku rasa itu namanya masakan siput itu. Sebab aku tak nampak apa pun dalam mangkuk siput kecuali air aje. Sedap sekali mereka makan dan menyedut siput itu. Aku menahan kekok melihat rupa mereka yang bersungguh-sungguh menyedut. Mengalahkan siput sedut. Siput sedut pun tentu gelak bersama aku melihat rupa mereka yang bersungguh-sungguh menikmatinya. Dengan berbagai irama bunyi sedutan, suasana begitu mesra dan ceria.
Tetapi aku suka cara Firman dan Fatimah. Mereka kelihatan sopan dan beradab ketika makan. Isi siput dicucuk dan ditarik keluar dengan duri pokok limau purut. Dicecah ke dalam sos ikan kemudian baru disuap. Cuma melihat rupa makanan dan rupa Firman, macam tak kena pula. Hilang habis kekacakannya melayan makanan yang nampak messy itu.
"Ong Idris ini boleh berbahasa Melayu. Sempat belajar di Pondok Tuk Kenali di Kelantan. Zaman Pol Pot, Ong Idris pun teruk kena seksa tapi umur masih panjang."
Aku mengangguk hormat kepada Ong Idris yang masih tegap badannya, berbanding Mai Masyitah yang lebih tua.
"Kamu suka Kemboja?"
Pertanyaan yang selalu ditanyakan kepadaku. Aku mengangguk tanpa memandang wajah mereka.
"Kalau tak suka pun, ong percaya. Malaysia beribu kali lebih baik. Tanah bertuah… yang diberkati Allah SWT… Tanah yang masih ramai orang Islam dan tertegaknya Islam. Ada juga tempat untuk kami, orang-orang Melayu di sini menghantar anak belajar. Kami terasa masih ada saudara dan kaum keluarga di sana. Taklah rasa terasing… seolah-olah merempat di sini. Rupa-rupanya masih ada saudara yang sama serumpun, sama bangsa, sama bahasa di sana."
"Orang Cham di sini memang ramai yang pandai cakap Melayu ya?" tanyaku kagum.
"Bahasa Melayu adalah bahasa asal kami. Bila dituturkan berlainan daerah, ada kelainan sedikit dalam dialeknya. Kebolehan bertutur dalam bahasa Melayu yang sempurna adalah satu kebanggaan kerana bahasa itu digunakan secara meluas dalam kitab-kitab rujukan kami. Orang tak pandai berbahasa Melayu, dia jahil dan tak utamakan ilmu. Ramai yang berlumba-lumba belajar dan bercakap bahasa Melayu kerana masyarakat di sini sangat memandang tinggi orang yang boleh berbahasa Melayu. Tanda orang itu terpelajar, elit dan berstatus tinggi. Mereka selalu diangkat menjadi pemimpin atau tempat rujukan."
Aku mengulum senyum. Kalau di tanah air sendiri, tak adanya orang nak angkat aku jadi pemimpin kalau setakat fasih berbahasa Melayu. Bila tinggal di negara berbilang kaum dan agama kenalah toleransi bahasa lain. Cuma aku memang suka dengar bahasa Melayu tradisional. Bagi aku budaya Melayu yang paling aku suka ialah keindahan bahasa dan dialek.
"Orang Champa itu apa?"
"Sebenarnya Ong lebih suka diri ong sebagai orang Melayu. Kami Melayu sebenarnya. Cham itu hanya nama bekas sebuah negara yang telah lenyap dari peta dunia. Champa. Sekarang dah bertukar menjadi Vietnam. Sebuah negara yang bertamadun tinggi dan terkenal dengan cerdik pandai dalam pelbagai ilmu. Antara pusat penyebaran Islam terawal. Angkor Wat, yang terkenal di antara sembilan keajaiban di dunia, dipercayai dibina oleh para cerdik pandai dari Champa, mungkin arkitek atau engineer. Bukti penglibatan mereka terdapatnya ukiran artifak di dinding Angkor Wat menunjukkan beberapa lelaki berkopiah sedang membina Angkor Wat. Tetapi hal ini tidak diceritakan sangat."
Aku mendengar dengan tekun. Heh… tak pernah tahu sebab tak pernah pergi seumur hidup. Kurang bernasib baik lagi aku ini.
Firman menyedari kelakuanku terus memberitahu.
"Hana, Ong Idris ini sejarawan Melayu Champa. Banyak mengkaji asal-usul Melayu dan Islam di serantau… lulusan Royal University Phnom Penh, sambung master dan PhD di Perancis sebelum berkhidmat sebagai pensyarah di bahagian Sejarah dan Ketamadunan Asia, universiti yang sama. Dah lama bersara tapi tetap membuat kajian. Sangat fasih berbahasa Perancis, Melayu, Cham, Khmer dan Arab. Bila Pol Pot masuk… ong terpaksa menyamar sebagai orang kebanyakan kerana komunis mencari dan membunuh para cerdik pandai dan orang kaya. Mereka ini biasanya dikesan melalui kehalusan tapak tangan, menandakan orang itu orang senang dan terpelajar. Tak pernah turun ke bendang atau memegang cangkul, ataupun kerana memakai cermin mata. Ong juga adalah keturunan kerabat Diraja Champa dan ada susur galur dengan keturunan Rasulullah SAW dari sebelah Sayidina Ali RA dan Siti Fatimah binti Rasulullah SAW. Ada darah keturunan dari Wali Songo, Wali Sembilan yang terkenal di Demak, Sunan Maulana Malik Ibrahim."
Ini bermakna Firman sekeluarga juga dari keturunan kerabat diraja Champa, keturunan Rasulullah SAW dan keturunan Sunan Wali Songo? Tahun 2022 ini pun ada orang peduli lagi ke dengan nasab? I guess penting kalau nak kahwin. Tapi aku ini bukannya nak kahwin dengan Firman pun, dia tak perlu beritahu hal ini.
"Tiada apa yang nak dibanggakan, tentang asal-usul keturunan dan kerajaan yang telah lenyap. Dari keturunan Rasulullah SAW, kita semua sama saja hanya amalan yang menjadi taruhan. Ong juga bukan wali, hanya dari keturunannya saja. Wali dan Rasul bukan satu jawatan yang boleh diwarisi… Mereka insan terpilih dan dipilih oleh Allah SWT," tutur Ong Idris lembut.
Firman mengangguk, bersetuju dengan Ong Idris.
"Maafkan saya Ong. Saya bukan nak berbangga, hanya ingin menjelaskan rasa hairan Hana. Lagipun saya rasa Hana takkan memberi komen negatif jika sekiranya dia tahu siapakah lelaki tua di hadapannya ini. Saya ingin dia tahu bahawa ada permata yang tersembunyi di perlimbahan Kemboja ini."
Ong Idris tersenyum pilu.
"Apalah gunanya pengiktirafan daripada manusia? Diketahui siapakah yang sebenarnya? Cukuplah Allah yang mengetahui. Tidak dikenali penghuni bumi tetapi semoga dikenali oleh penghuni di langit. Bukan penilaian manusia yang Ong kejar, penilaian Allah adalah segala-galanya."
Orang macam ini kalau kau kata apa pun dekat dia, dia takkan kalah. Sebab dia tak pedulikan kritikan kau. Yang penting, kritikan Allah.
"Manusia itu sama saja asal kejadiannya. Dari setitis air mani. Ramai yang menafsirkan asal kejadian manusia itu dari air mani yang hina sedangkan ong lebih suka menganggap asalnya manusia dari setitis air mani yang terpilih dan lemah. Terpilih kerana dia dipilih oleh Allah untuk ditiupkan roh. Lemah tetapi diperkuatkan oleh Allah SWT di dalam rahim ibunya. Proses kejadian seorang manusia semua terdapat dalam Al-Quran. Dari setitis mani, disenyawakan dengan telur, membentuk seketul hati… jantung. Didenyutkan… seterusnya tulang-temulang diperkuatkan daging dan kulit. Sehinggalah terbentuk seorang anak manusia. Sampai masanya dia dilahirkan. Disambut dengan penuh kesyukuran dan keriangan… maka hinakah anak yang terpilih ini?"
Mata Ong Idris memandangku. Aku tak tahu nak mengangguk atau menggeleng kerana tak tahu betul atau tidak.
"Hinakah anak ini jika dia dikandung dalam rahim seorang ibu, kantung yang penuh kasih sayang? Rahim ibu sendiri dari nama Allah yang bermaksud Maha Penyayang. Perkataan rahim jarang dipisahkan dengan perkataan rahman yang bermaksud Maha Pengasih. Kasih sayang. Menurut ahli bahasa Ibnu Faris, semua kata yang mengandungi ra ha mim, membawa maksud lemah-lembut, kasih sayang dan kehalusan. Cuba perhatikan nama kamu dalam tulisan jawi? Ada tak huruf itu? Jika ada satu, pasti kamu seorang yang penyayang dan lemah-lembut."
Aku terfikir sendiri. Hana Zulaikha… hmm… tak ada… Tapi tak penting pun semua itu. Nama Firman ada lebih dari satu huruf. Orang sini percaya benda superficial macam tu? Ong Idris menarik perhatianku lagi dengan kata-kata hikmah selanjutnya.
"Anak ini tidak hina. Dia hanya lemah kerana masih berupa seorang bayi. Manusia tidak hina kerana Allah mencipta dia dengan sebaik-baik kejadian. Makhluk yang paling cantik dan indah ciptaannya… diangkat menjadi khalifah. Satu anugerah yang semua makhluk di langit dan di bumi enggan, tidak mampu menyanggupinya. Manusia itu lahir dari perhubungan dua hati lelaki dan perempuan yang penuh kasih sayang maka kenapa permusuhan yang tercipta? Itu namanya melanggar fitrah kejadian manusia kerana Allah mencipta manusia dengan penuh kasih sayang… manusia lahir dari kasih sayang, maka kasih sayanglah yang harus kita sebarkan di muka bumi ini. Kalau tidak dapat banyak, sikit pun jadilah. Indahnya dunia ini jika penuh dengan kasih sayang. Satu dunia yang aman untuk diduduki oleh semua umat manusia tanpa mengira bangsa dan agama, keturunan, dan negara. Malangnya, orang seperti Pol Pot inilah yang menghuru-harakan bangsa dan tanah air sendiri. Kerana kuasa dan ketamakan, dia telah menghancurkan sebuah negara yang aman dan harmoni dengan ideologi idealnya. Tetapi apa yang terhasil, satu negara yang huru-hara dan kucar-kacir dari akar sehingga ke pucuk. Semua agama dimusnahkan, semua bangsa ditiadakan, semua bahasa dimusnahkan…"
Aku mendengar perkataan kasih sayang yang diulang-ulang. Hati merasa kasihan pula dengan nasib mangsa perang di sini. Kedengaran satu penegasan dan aku terkesan.
"Apabila manusia melanggar fitrah kejadiannya yang penuh dengan kasih sayang maka inilah akibat yang menimpa. Kononnya untuk kesamarataan tetapi apa yang terhasil adalah keserakahan… anak membunuh bapa, adik meniduri kakak, mak berzina dengan anak lelaki. Apa saja halal sehingga merosakkan susur galur keturunan binasa dan hancur nasab keluarga… tidak ubah seperti binatang dan mana-mana agama pun melarang keserakahan ini…"
Aku kurang faham.
"Kenapa anak membunuh bapanya sendiri?"
"Komunis mencatu makanan. Hanya satu sudu beras dijadikan bubur dan dikongsi seramai 10 orang. Semua dipaksa bekerja teruk, membanting tulang di bendang. Sesiapa yang menjadi tali barut atau askar Pol Pot, akan dinaikkan pangkat jika membunuh mereka yang menentang ideologi komunis. Pol Pot melatih anak kecil sebagai tentera pelapisnya… Apalah sangat yang difahami oleh anak kecil ini apabila dijanjikan makanan dan lebih tinggi ganjaran yang mereka dapat jika membunuh kaum keluarga sendiri. Pol Pot juga menghalalkan perkahwinan dengan sesiapa saja, bangsa apa, agama apa, suka aje kahwin. Itu kalau nak kahwin, yang tak nak kahwin nak merogol dan berzina semuanya dihalalkan… jadi Hana… Cuba fikir, tidak ada bezanya, kan… zina juga…" jelas Firman.
Kedua-dua belah keningku terangkat tinggi. Waktu begini hilang segala sifat toyaku. Tak sangka teruk sampai macam ini.
the last chapter in 2022
Share this novel