Sudah hari kelima aku di sini. Rutin yang sama setiap hari, dan belum membosankan. Ajaibnya aku masih boleh berfungsi macam manusia normal. Firman jarang bercakap dan dia juga seperti menjauhkan dirinya daripada aku. Hanya memerhati dari jarak selamat bersama Matt. Cuma satu perkara yang aku sangat bersyukur. Firman telah membeli satu botol air mineral tanpa cap tapi ditulisnya dengan marker pen, air mineral untuk kegunaan kami minum dan masak. Setiap hari botol besar itu akan diganti dengan yang baru. Aku baru perasan Firman tak pernah berada di dalam rumah Mai Tuan pun kecuali pada hari pertama aku sampai di sini.
Dia cuma berada di rumah usang, di dalam buaian atau duduk di atas pangkin di depan rumah Mai Tuan. Kalau dia masuk ke dalam rumah pun hanya setakat di ruang letak motosikal atau di dapur saja untuk mengambil makanan atau membasuh pinggan.
Selain dari mengajar, masaku banyak lapang. Aku menghabiskan dengan melayari internet, tengok Youtube, tengok Anime, membaca dan mendengar lagu. Smartphone sentiasa di tangan. Termasuk Earpods. Setiap hari aku mendengar lagu. Hampir 23 jam aku habiskan dengan earpods di telinga. Sambil lena pun boleh!
Tetamu juga tak putus-putus berziarah ke rumah Mai Tuan. Masing-masing ingin berkenalan dengan aku. Ada kelas pengajian agama oleh Mai Tuan khas untuk kaum wanita dewasa di antara waktu Zohor dan Asar. Penuh rumah itu sehingga ke ruang letak motosikal. Setiap kali itu, Firman akan mengeluarkan motosikalnya. Tikar mengkuang dibentang di atas lantai tanah. Mereka akan duduk bersimpuh memenuhi segenap ruang sehingga ke tepi katil aku. Biasanya ketika mereka mengikuti kelas agama, aku akan duduk di atas katil bermain smartphone. Tabir hijau diturunkan menutup sekeliling katil, sebagai tanda privasi aku. Aku tak berapa gembira untuk mencerna. Pertama, sebab tak faham. Kedua, sebab tak selesa dengan ramai orang.
Kemudian, aku akan menyertai mereka solat Asar berjemaah diikuti dengan sesi beramah mesra dengan aku pula. Aku layan dengan senyum senget sebab rasa janggal dan dibantu oleh Mai Tuan dan Fatimah sebagai penterjemah. Biasanya mereka suka bertanyakan bagaimana keadaan wanita Islam di Malaysia, apa yang mereka belajar, apa yang mereka pakai, suka apa, dah berapa ramai yang menunaikan haji dan umrah, berapa ramai melanjutkan pelajaran, apa pekerjaan mereka dan sebagainya. Aku menjawab saja, dengan ketawa serba salah. Setiap jawapan aku, mereka kelihatan teruja dan kagum. Mereka begitu kagum dengan wanita Islam yang boleh membawa kenderaan. Sebagai orang kurang upaya mental, aku faham. Memang frust bila orang lain boleh bawa kereta tetapi kita tak boleh atas sebab yang tak masuk akal, sebab tak dibenarkan memandu.
Selepas solat Isyak, keadaan sekitar mula sunyi dan sepi. Betul-betul macam zaman 50-an di Malaysia. Tidak ada langsung orang nak berbual dan aktiviti pada waktu malam. Selalunya di rumah, malam-malam adalah working out time.
Pada hari ni aku rasa nak menjerit. Okay, cukup! Aku nak keluar berjalan sama ada Firman izinkan atau tidak. Kemurunganku dah terasa makin kronik, ubat pun tak membantu dengan side effect tambah selera makan. Nak binge apa dekat sini!
Cuaca agak baik hari ini. Mendung. Ini peluang baik. Aku nak keluar membeli-belah makananku sendiri. Aku memeriksa beg sandang, semuanya ada, earpods, passport, dompet dan smartphone.
Malas nak pakai tudung bawal, aku pakai tudung instant saja. Bagus Firman sekarang. Dia benar-benar tak mengutuk aku. Dia menjarakkan dirinya tujuh kaki daripada aku. Lagi jauh lagi bagus. Tak mengikut pun tak apa.
Aku mendekati Firman yang sedang sibuk menulis di meja bilik gerakan barang bantuan yang telah dipindahkan ke atas. Alasan berpindah, demi keselamatan dari barang bantuan dicuri. Orang Kemboja pun macam orang lain juga. Ada yang mencuri kalau terlalu terdesak dan hilang kewarasan akal.
Madrasah dua tingkat, dengan batu sekerat dan papan sekerat ini khas untuk bilik gerakan, bilik guru, perpustakaan dan dua buah kelas menengah untuk pelajar lelaki. Ada lima buah bilik di atas atas. Tingkat bawah pula ada lima buah bilik untuk kelas pelajar lelaki peringkat rendah. Bangunan madrasah ni lebih baik sikit jika dibandingkan dengan madrasah di bahagian perempuan yang aku ajar. Bangunan madrasah yang uzur itu ada tiga buah kelas. Sebuah kelas untuk aku mengajar dan dua buah kelas lagi untuk lelaki dewasa belajar.
Sangkaku, Firman akan menunggu di tangga untuk menjaga keselamatan aku, rupa-rupanya dia ada kerjanya sendiri. Sambil menunggu aku habis kelas, dia sibuk menguruskan segala keperluan untuk masjid, madrasah dan bantuan untuk orang kampung. Mengalahkan menteri. Baguslah, senyap sikit mulut dia.
"Assalamualaikum. Saya nak keluar shopping."
"Waalaikumsalam… Nak shopping apa?" Dia tetap sibuk menulis dan kemudian bercakap dengan beberapa orang di sebelahnya.
"Nak beli makanan dan jalan-jalan, tengok keadaan sekitar di Kampung Cham. Rasa lemaslah. Nak keluar ambil angin."
Ekor mataku mengekorinya yang sudah bangun dan mengira kotak bungkusan derma pula.
"Lepas Zohor kita keluar."
Wah! Mataku bersinar. Senang pula dapat izin daripadanya. Aku ingatkan mulutnya akan hentam aku.
Aku memperbetulkan tali beg sandang supaya tak menonjolkan dadaku. Kaki dah bersedia untuk naik dengan Matt. Firman membetulkan sarung tangannya dan berjalan ke arah kami.
"Mai sini."
"Apa halnya?" Aku hairan.
"Naik dengan saya."
"Saya tak mahu naik dengan awak."
Serta-merta aku diangkat dengan tangannya di celah kedua-dua ketiak aku. Aku menahan malu dan marah. Dia mengangkat aku seperti budak kecik dan dia dudukkan aku di atas motosikalnya. Douchebag! Matt pun bodyguard aku jugak. Apa salahnya aku memilih untuk naik dengan dia? Jari telunjuknya diangkat di depan mukaku, memberi amaran keras bila aku mula hendak menyerangnya. Dia juga melarang aku membonceng dengan cara mengiring. Duduk aje stail seperti pembonceng di Malaysia. Alasan dia, jika aku tak pandai bertenggek nanti aku akan jatuh tergolek dan dia tak akan sedar jika aku terjatuh semasa dia leka merempit. Aku mencebik bibir di luar pengetahuannya, malas nak bertekak. Bukan stail aku.
Firman meletakkan helmet ke atas kepalaku dengan kasar. Cekap tanganku memegang helmet itu kasar sebelum helmet itu menyentuh kepalaku. Full-face helmet yang menyebabkan aku rasa sebiji seperti Masker Rider. Kalau aku bertindak agresif pun, aku tak akan dibenarkan keluar lagi dah. Aku membetulkan kedudukan beg sandang dan aku meletakkan beg itu di celah-celah antara aku dan dia.
Aprillia Mana 850 berwarna hitam putih menderu laju membelah jalan bertanah merah. Aku nak duduk dengan gaya Muslimah terakhir pun tak aman. Cuak pula jadinya dengan cara dia memecut dan mencilok. Beberapa kali aku rasa macam malaikat Izrail mengekori aku kerana hanya beberapa sentimeter saja lutut aku nak tercium kereta atau motosikal lain. Sesekali kami sipi-sipi memotong kereta lembu yang membawa sangkar khinzir. Aku cepat-cepat mengalihkan pandangan daripada melihat mereka mengenyitkan mata atau menyeringai kepada aku. Kalau aku tersentuh atau terlanggar mereka, siaplah Firman! Sekali dengan dia pun aku biar sentuh najis mughallazah itu!
Kami sampai di pasar seperti pasar tani aje. Aku mencelah turun dan serta-serta aku diserbu oleh beberapa kanak-kanak yang meminta sedekah dan penjual-penjual. Riuh mereka menawarkan barangan tetapi beredar bila disuruh oleh Firman. Matt disuruh menunggu motosikal kerana bimbang ia hilang. Firman membuka zip jaketnya kemudian dimasukkan ke dalam compartment motosikalnya. LOL. T-shirt pink? Rambut samurai? Bruh.
Aku menelan tawa. Warna pink itu lambang pada seorang lelaki yang romantik, lembut jiwanya dan sangat penyayang tapi aku rasa macam politik je. Sepanjang pengalaman aku bertekak degan dia, aku yakin dia bukan orang yang hati lembut. Kalau acah-acah power dengan makian dia tu tapi hati tisu tu betul.
"Awak nak laju ke mana tu? Jangan jauh dari saya, nanti awak sesat."
Bau makanan bergoreng sedap kubau. Hidung mula menarik nafas dalam-dalam. Mata mencari. Aroma rempah-ratus semerbak. Kuatnya bau. Gerai apa? Beratus kereta sorong. Pelbagai makanan bergoreng diletakkan ke dalam dulang besar. Lebih dari tujuh jenis kut.
Pertanyaan Firman sudah sayup-sayup kedengaran di telinga. Segala pancaindera seperti dipukau dan terpukau. Otakku hilang fokus kerana persekitaran yang terlalu ramai orang. Aku menapak perlahan ke arah santapan yang kuat bau rempahnya. Kedatanganku disapa dengan gembira oleh penjual. Dia tersenyum manis, menampakkan barisan gigi yang berkarat, mungkin akibat makan sireh.
Jarinya menunjuk ke arah beberapa makanan dan aku memerhati dengan penuh ingin tahu. Apa ini? Seperti cengkerik? Ulat? Lipas? Kumbang? Labah-labah tarantula? Belalang? Kala jengking? Rupa macam tikus pun ada. Katak? Astaghfirullahalazim… Aku meraup dahi yang basah dan sejuk tanpa sedar. Semuanya digoreng garing dan dijual seperti disukat dalam tin susu. Ada yang dicucuk dengan lidi seperti sate. Pantas aku berundur. Baru terperasan penjual itu bukan Islam, aku tersengih tanda ramah dan berlalu pergi.
Terdengar Firman tergelak kecil. Sukalah tu mengenakan aku!
"Saya panggil buat tak tahu…"
"Encik Firman, boleh terangkan dekat saya tu gerai apa?" Aku menahan geram dalam hati.
"Kind of snacks tapi bukan junk food. Ia digoreng dengan diperap garam, kunyit, bawang, lada hitam atau cili. Ikut cita rasa pelanggan nak pedas ke tak pedas. Welcome to Spider Market. Ia terletak di tengah-tengah Kampung Cham dan Phnom Penh."
"Oh. Orang Kemboja makan tu ke?" Aku menahan perut yang sudah terasa sebu.
"Ya, sedap tu. Kemboja kan miskin. Apa saja yang boleh dimakan, kami makan…"
"Firman, tak lawak okay…" Aku dah mula loya. Imej katak goreng tadi mula terngiang-ngiang di ingatan.
"Hey, come on la… Jangan serius sangat. Sekarang ni serangga dah jadi makanan eksotik. Negara Eropah sudah mengisytiharkan ia bakal menjadi menu masa depan. Tak lama lagi dunia akan mengalami kekurangan bahan makanan. So, inilah alternatifnya. Kemboja yang mulakan dulu. Perintis tanpa disedari. Kerana peperangan, bencana alam dan kemiskinan. Inilah makanan ringan yang paling murah dan paling senang didapati."
Hilang sudah riak kering di wajah aku. Peluh dingin makin kuat memberi kesan pada loya dan mual!
"Stop…"
"Thailand, China, Amerika Selatan dan Australia sedang giat menternak serangga-serangga ini untuk dipasarkan secara meluas. Pihak Kesatuan Eropah (EU) dah umumkan peruntukkan tiga juta paun bagi kempen menggalakkan makan serangga serta penyediaan makanan berasaskan ulat dan serangga. Saintis juga digalakkan mengkaji lebih lagi, membongkar apa saja serangga yang sesuai untuk dijadikan kudapan…"
Dia ni memang betul-betul sadis. Suka betul tengok orang menderita sebab dia!
"Awak patut tau, sajian serangga ini dianggap sebagai makanan alaf baru, sesuai dengan gaya hidup masa kini yang mementingkan makanan ringkas, kesihatan yang seimbang dengan diet dan mesra alam. Rasanya lebih enak daripada seafood. Ia lebih berzat, seimbang dietnya, dua kali lebih tinggi protein daripada ikan atau daging. Di restoran mewah di Eropah, ia telah menjadi makanan eksotik yang disukai ramai. Ditabur di atas spaghetti bersama daun ketumbar."
No one cares! Who on earth enjoys that?!
Aku dah tak tahan. Ditambah lagi dengan imej tikus dan katak goreng yang terngiang-ngiang di ingatan. Cepat-cepat aku berlari ke arah sebatang pokok yang tersorok.
"Iris!" Firman mengejar dan menghadang aku. Uwekk! Aku terbatuk-batuk dan tersedak. Dah la batuk dekat baju dia.
"Iris!!!" Lebih kuat Firman menjerit, geli, dan terkejut.
"Sini… Sini…" Firman mengarah aku ke pangkal pokok. Mujur aku memakai niqab. Boleh bukak. Adoi, aku termengah-mengah menarik nafas. Dada terasa sesak. Nak kena dia ni! Aku menjeling ke arah Firman yang sedang menghalakan pandangannya ke arah lain. Sesekali pandangan mata kami bertemu. Dia kelihatan seperti menahan sesuatu. Akhirnya dia pun turut termuntah. Kami terbongkok dalam keletihan sambil masing-masing mengelap mulut. Aku menggunakan sapu tanganku, dia menggunakan tangannya.
Marahku pada Firman masih belum hilang walau kepenatan dan kepanasan peluh.
"Apa motif awak cerita tu semua pada saya? Lagi satu, awak makan ke benda tu sampai tahu rasa dia macam mana?"
"Saya tak makanlah. Matt cerita, saya tahulah. Yang pasal jadi makanan seantero dunia tu, saya baca, saya tahulah…"
Lautan yang bergelora sudah mula menghasilkan ombak.
"No one cares! No one asked! I don't want to know. Actually, I don't need to know about that."
"Apa salahnya kalau ambil tahu? Knowledge is power. Ilmu bukan sekadar ilmu agama je. Ilmu isu semasa pun berguna. Apa masalah awak? Bukankah awak pun suka belajar benda baharu?"
Menderu sel darah merah ke wajahku kerana malu yang amat. "Saya tak kisah. Cuma tadi, saya terbayang-bayang rupa katak goreng dengan tikus goreng tu masa awak cerita. Itu yang saya rasa mual tu."
"Oh… Patutlah awak tadi…"
Aku memandangnya dengan mata yang penuh dengan tanda tanya. Tadi apa?
"Nampak macam berminat… Tapi bila saya cerita awak tak tahan… Selalunya awak steady je…"
Aku mengemam bibir dengan muka yang merah. "No one cares." Perlahan nada suaraku.
Tanpa menghiraukan aku, Firman bingkas bangun dan membeli dua botol air mineral. Bajunya disiram untuk membersihkan bakteria yang keluar daripada mulut aku tadi. Sebotol lagi digunakannya untuk membasuh mulut dan berkumur. Aku menanti, kut-kut dia nak beri air kepada aku, sehinggalah kedua-dua botol air yang dibelinya habis digunakan.
"Untuk saya?"
"Pergilah beli sendiri. Dahlah kotorkan baju saya…"
Wajah berlagaknya aku tatap dengan mata membulat. Aku menarik nafas dalam-dalam dan menggenggam dada dengan kasar. Kus semangat! Aku berjalan menuju ke kedai yang banyak mempamerkan botol air mineral. Dengan bantuan Pak Cik Google kesayangan, air mineral bertukar tangan. Kemudian aku berlalu meninggalkannya, bak kata dia pergi beli sendiri. Jadi aku ni sendiri!
"Awak nak ke mana?"
"Nak baliklah!"
"Awak tak boleh kemana tanpa saya."
"WhAt??? Bukan kita ni tak kenal masing-masing ke? Tadi siapa yang cakap, pergi beli sendiri?" Perkataan what dan sendiri tu aku boldkan kuat-kuat, biar dia faham makna tersirat ayat aku.
"Cik Hana… Saya bukan orang gaji awak."
"Penipu… dulu bukan main lagi janji dengan Along nak jaga saya… Janji Arab betul!"
Senyum penuh sindiran pula yang aku dapat.
"Saya lebih rela menjadi hamba kepada Paris Hilton daripada menjaga awak."
"Hipokrit! Siapa yang dulu cakap dia takutkan Allah sahaja? Siapa yang cakap macam tu?"
"Saya jujur. Saya berkata yang benar. Daripada awak yang diam tapi dalam hati, macam-macam awak fikir dan rasa."
Aku sudah panas hati. Langkahku terhenti. Dada menarik nafas berkali-kali, mengawal perasaan.
Langkah aku buka laju-laju. Melarikan diri daripada Firman. Tapi derapan tapak kaki yang mengarahkan orang yang tidak dikenali menjauhi aku, kian mendekat!
"Leave me alone! Awak ni tak ada sensitiviti langsung ke?"
Aku dah rasa nak meraung dan throw tantrum. Ah sudah. Ingat senang ke nak control kekurangan upaya aku?
"Saya bukan bekerja dengan awak. Along awak yang memberi amanah kepada saya! Mak ayah awak yang membayar! Mereka sahaja yang boleh memecat saya."
Dia memandang mataku yang dah basah dan lembap dengan air mata dan peluh. Bayang-bayang hitam yang mengerumuni aku mula hilang apabila dia mula rapat.
"Kalau awak nak duduk lama di sini, awak kena ikut cakap saya. Kalau saya beri laporan kepada keluarga awak, tak sampai sejam awak boleh berada di airport dari sekarang."
Firman mengeluarkan telefon bimbitnya dan mula mendail. Matanya merenung aku tanda mengugut. Aku menyepak batu di jalan kuat-kuat.
"Well, Cik Hana?" sinisnya.
Aku mengalihkan pandangan ke arah lain lalu mengesat mata dengan tangan.
"Okay, fine!"
"Satu lagi, bila bercakap dengan saya… Lembutkan suara… Redupkan pandangan… Tak mahu senyum pun tak apa, tapi panggil saya Firman bukan hei."
Jari telunjuknya digoyangkan, tanda amaran. Dia ni memang sadistik tahap pelanggan deep web! Sakit hati aku, sampai hampir throw tantrum!
"Okay, tapi nak dah tengok dan dengar makanan-makanan eksotik tu."
"Awak lupa ya tugas saya, saya juga adalah tourist guide awak. Suka atau tak suka, awak kena dengar. Saya tak mahu makan gaji buta. Keluarga awak bayar saya. Saya mesti jalankan tugas dengan sebaik mungkin."
Aku nak bagi penampar dekat mulut tu. Memang sadis!
Ingat senang ke nak mengawal kekurangan upaya aku?! -Hana-
Share this novel