Chapter 5

Adventure Series 1746

Fatimah meletakkan sedulang teko dan cawan-cawan kecil. Masha Allah, kecilnya cawan dia! Aku menguntum senyum penuh makna. Comel! Teh panas dituang oleh Fatimah dan dia menghulurkan teh itu kepadaku. Aku menyambutnya dengan senyum penuh makna. Aku meneguk teh itu perlahan-lahan. Wau, kelatnya teh dia!
"Sedap kak?"
Aku terangguk-angguk lalu mencicip lagi teh tersebut.
"Tambah lagi tehnya, Fatimah," arah Firman.
Aduh! Lidahku melecur! Huhu.
"Eh dah, dah. Cukup."
Mai tuan hanya tersenyum dan begitu enak sekali menikmati hasil air tangan anaknya.
"Adik, kejap lagi ambil kelapa untuk mama. Tangkap ayam seekor. Nak bergulai sedikit untuk tetamu istimewa kita."
Mataku membulat mendengarkan nama binatang itu. Ayam! Makanan kegemaranku!
"Tak payah susah-susah mai tuan. Saya makan apa aje yang ada."
Tolonglah jangan anggap serius ayat aku!
"Tak perlu masak beria mama... Cik Hana makan apa saja yang kita makan."
Dia ni kan!
"Tak apalah... Hari ni saja kita bergulai. Nak raikan hari pertama dia di sini. Senang hati mama, dia tak cerewet. Risau juga kalau orangnya berkira dan tak selesa dengan keadaan kita."
Aku menelan air liur dalam diam. Dalam hati rasa macam nak hantuk kepala ke dinding. Geram, marah bercampur menjadi satu. Mereka ni orang warak, alim tetapi mereka ini faham ke makna zuhud tu betul-betul? Menurut Ustaz Khalid Basalamah, zuhud itu bukan bermakna menolak dunia sepenuhnya, tetapi hidup sekadar yang mampu. Kalau Firman ni betul-betul melarat, kenapa beli motosikal mewah? Bukankah tempat tinggal lebih penting? Bagaimana pula dengan makanan dan air?
Fatimah membantu aku mengeluarkan dan menyusunkan kain dan baju. Almari bertingkat tetapi aku tak tahu nak memanggilnya dengan gelaran apa yang sesuai. Almari kayu yang bertingkat, yang tidak ada dinding atau pintu. Lebih tepat lagi, rak baju kut.
"Tak perlu keluarkan semua, Fatimah. Jubah sehelai dengan baju kurung sehelai pun dah cukup."
"Beg apa ni kakak?"
Kelihatan Fatimah terpegun dengan tiga buah beg kesayanganku.
"Ini beg laptop, ini beg seni, dan ini beg buku."
"Boleh saya buka beg buku ini?"
Aku hanya mengangguk. Aku membantunya membuka beg nyawaku dengan berhati-hati.
"Wah... Banyaknya buku! Akak nak buat apa dengan buku banyak-banyak ni? Akak belajar ya? Satu, dua, tiga... " Fatimah mula mengira pula!
"Ada 25 buah buku! Kakak meniaga buku ke?"
Tak sempat aku nak menjawab soalannya yang bertalu-talu. Aku asyik tersenyum, rasa terhibur dengan keriuhan Fatimah. Orangnya cantik, manis, dan berkulit cerah kemerah-merahan... Seperti mai tuan dan Firman. Tunggu kejap. Betul ke Firman kulit cerah kemerah-merahan? Tak perasan pula aku. Aku tak berminat dengan Firman, apatah lagi setelah mendengar mulutnya yang pedas itu. Susah bagiku untuk mengkagumi kelebihannya setelah mengetahui kelemahannya.
"Ini kitab agama rujukan akak. Kakak tak hafal lagi semua kitab-kitab dalam beg ini. Kakak dah habis belajar. Ni Riyadhus Salihin, dan kakak tak hafal lagi kitab ni. Pensyarah kakak di universiti nasihatkan kakak suruh kaji kitab ni. Ada banyak lagi kitab. Kitab yang paling kakak sayang ialah Syamail Muhammadiyah dengan Laa Tahzan."
Penuh perhatian Fatimah melihat aku menunjukkan satu-persatu khazanahku sehinggalah pen warna-warni aku, nota kajian aku dan macam-macam lagi.
"Fatimah... Beritahu ai angah supaya ambilkan kelapa muda sama."
"Aiwah ya, mama."
Janganlah mereka berbahasa Arab banyak sangat di sini. Dahlah Arab aku tak berapa hebat, ditambah pula dengan tak faham bahasa orang sini. Rasa hampas kelapa betul! Fatimah turun ke tanah. Terdengar suaranya menjerit dan berbalas dengan sahutan sayup di atas. Selesai mengemas, aku menjenguk ke luar jendela, yang agak klasik. Hanya lubang empat segi yang disendalkan dengan sekeping papan menjadi daun jendela.
Tak nampak pula siapa yang bersahutan, aku turun ke laman rumah. Fatimah sedang menunjuk ke atas, sambil memberi arahan. Aku turut mendongak, masha Allah! Firman sedang memilih kelapa muda dan tingginya pokok kelapa ni! Aku pula yang gayat. Eei, tak ada cara lain dah ke nak ambil kelapa muda?
Aku duduk dengan hati-hati di atas pangkin di depan rumah. Takut baju muslimah dan kain hitam yang kupakai tercarik dengan papan yang  kasar dan tak rata. Dahlah kain hitam aku berapa helai je. Beberapa buah kelapa gugur, diikuti dengan gelak tawa Fatimah. Aku pula yang saspens, takut buah kelapa menghempap kepala Fatimah.
"Fatimah! Hati-hati! Nanti kena kepala!"
"Tak apa, kakak... Dah selesai." Fatimah membongkok dan mengutip lima biji kelapa muda lalu bergegas ke dapur.
Firman laju menuruni pokok kelapa. Considering ketinggian pokok kelapa tersebut, Firman memang patut dipuji. Dia langsung tidak memandang aku. Aku tak kisah. Tak rugi sedikit pun kalau dia tak pandang aku. Aku dah ada Yaqrib. Mataku lebih memilih untuk memerhati kawasan sekeliling. Rumah di sini agak rapat-rapat, silap-silap mengumpat pun boleh dengar.
Lebih kurang saja bentuk rumah masing-masing, cuma ada sebuah dua yang elok sedikit buatannya. Dibina daripada papan dan beratap zink tapi papan pun macam papan recycle. Papan yang pecah dan berlubang dijadikan dinding. Di sebelah rumah Firman, terdapat sebuah rumah kayu yang sangat uzur. Pintunya sudah hilang dan langsung tak berdaun tingkap. Dindingnya masha Allah...  Jar rang jar rang. Boleh nampak di dalam rumah macam mana. Kosong dan sunyi. Meremang bulu roma aku, dapat aku bayangkan makhluk yang menumpang tinggal di situ. Yang menariknya, rumah-rumah di sini bertiang tinggi. Mestilah, takut terkesan oleh banjir. Ada beberapa buaian ranjut diikat di bawah rumah, terutama sekali di rumah kosong itu. Ada yang membela lembu dan ditambat di bawah rumah. Berkandang dan bermangga siap. Nampaklah, yang rezeki lembu tu sangat bernilai di mata mereka.
Rumah Firman merupakan rumah yang kedua dari sungai yang terletak lebih kurang 300 meter. Rasa-rasanya rumah Firman paling uzur. Dindingnya dari rembia yang boleh ditembus di sana dan di sini. Nampak gayanya aku harus berhati-hati. Senang saja kalau ada orang nak menghendap. Tak perlu bersusah payah nak panjat dinding rumah. Guna jari pun boleh. Kuak sikit je dinding tu, habislah robek dinding rumbia tu!
Beberapa pasang mata memerhatiku. Pandangan berbalas dan mereka tersipu-sipu. Perempuan Cham memang sangat pemalu. Aku agak terpegun dengan kecantikan mereka. Rupa saling tak tumpah macam orang Melayu tetapi ada yang berkulit cerah dan lebih cantik. Macam perempuan Siam pun ada. Macam anak dara pingitan aje, mengintai-intai aku, tak kira tua atau muda.
Yang lelakinya pula, tertunduk ketika membuat kerja. Ramai yang sedang menyirat jala atau pukat, membelah dan mengikis buluh, dengan bubu di sebelah yang separuh siap. Mereka hanya sesekali memandang ke arahku dan segera melarikan anak mata apabila mata kami bertentangan. Bagus lelaki Cham. Pemalu, tak macam lelaki Siam.
Angin sejuk mula menggigit pipi. Hari sudah semakin petang. Aku ingin mengerjakan solat. Aku mengalihkan perhatian kepada Firman yang sibuk mengopek kelapa. Lucu pula aku melihatnya. Dengan jambangnya, misainya, dia memang kaya dengan testosterone. Tetapi apabila melihat apa yang ada di atas kepalanya, aku menahan senyum. Dia memakai cekak rambut! Rasa pelik pula bila lelaki pakai cekak rambut, kalau lelaki ikat rambut aku dah biasa. Mataku mula menilik jarinya pula. Subhanallah! Cantiknya jari dia, macam jari perempuan! Dia membuat kerja tanpa mempedulikan aku yang sudah tercegat di hadapannya.
"Saya tak nampak pun bilik air atau bilik mandi di rumah ni."
Firman menunjuk ke arah sungai.
"Saya kena berwuduk di sungai?"
Dia mengangguk. Aku masih lagi berdiri di hadapannya.
"Okay fine, mana tandas?"
Sebatang cangkul dihulurkan kepadaku.
Aku mengangkat kening, keliru dengan perbuatannya. "Itu ke tandas dia?"
"Ya. Ambil cangkul ni, masuk dalam semak. Cari port yang sesuai... Agak-agak orang tak nampak, bukan jalan orang lalu-lalang, cangkul tanah sedalam sekaki, mencangkung dan selesai!"
Aku menahan diri daripada ingin termuntah. Aduh, dia ni memang tak faham konsep zuhudlah, sampai sanggup hidup dalam kekotoran macam ni.
"Opss, lupa... Kambus bila dah selesai. Ajak Fatimah temankan. Dia boleh tunjuk dan ajar! Copy that?"
Dia berlalu pergi. Aku menahan nafas panas, terbakar.
"Awak... Tak faham konsep zuhud ya?"
Jari telunjukku menunding ke arahnya. Matanya merenung jari telunjukku macam nak digigitnya! Aku buat muka toya, tapi hati dah bersiap sedia dengan segala kemungkinan. Dia dah macam kanibal!
Firman menghampiri aku.
"Kalau datang sini setakat nak berlagak alim, warak, menunjuk satu dunia yang awak ni bagai ulama, wali, baik awak blah aje!"
"Okay, lepas ni memang saya akan panggil awak perempuan."
"Awak panggil saya perempuan? Buta ke?!"
"Ya, perempuan! Sebab mulut lagi berbisa daripada perempuan, dan orang yang mulutnya jahat hatinya busuk. And you're beautiful! Jari macam lady fingers, putih melepak macam amoi, dahlah rambut panjang. Bukan haram ke lelaki meniru rupa macam perempuan? Rasulullah SAW pun berambut panjang tetapi Baginda melaknat lelaki yang meniru gaya perempuan."
Firman nak menjawab, tetapi terhenti apabila terdengar panggilan mai tuan. Dia memberikan aku pandangan amaran sebelum memanjat tangga, naik ke dapur. Aku sedikit pun tak ambil pusing. Untuk apa aku nak takutkan dia? Bak kata Firman, saya hanya tunduk kepada Allah!
Adiknya turun dari dapur dengan tersenyum simpul.
"Kakak, ai angah kata kakak nak ke sungai ya?"
"Ai angah tu yang panjat pokok kelapa tadi tu ke?"
Mukanya sedikit kehairanan.
"Ya… Kakak belum berkenalan lagi?"
"Sudah… Tapi tak adalah kenal sangat. Kenapa panggil dia ai angah? Mai tuan panggil dia adik?"
"Oh... Ai angah tu dalam bahasa Cham bermaksud abang angah. Ai itu panggilan untuk kakak atau abang. Ngah itu maknanya anak tengah. Ai angah anak nombor dua. Mama panggil dia adik sebab kami ada abang. Berjarak setahun dan sangat mesra.  13 tahun kemudian baru saya dilahirkan. Mama dah biasa panggil dia adik, maka kekallah panggilan itu. Saya Siti Fatimah, umur saya 19 tahun."
Ada abang rupa-rupanya.
"Abang mana?"
"Dah meninggal... " Tenang saja nada suara Fatimah tetapi hatiku agak terusik.
"Maaf, takziah ya adik. Bila meninggalnya?"
"Baru lagi. Setahun yang lepas."
It must be tough, losing your backbone recently.
"Sakit apa?"
"Sakit hati..."
Keningku terangkat. "Sakit hati?"
"Dia sedih... Muram... Ada masalah dengan seseorang. Kami pun tak tahu siapa. Kemudian dia jatuh sakit. Kerjanya merosot. Tak berapa lama kemudian, dia meninggal."
Aku menelan air liur di luar pengetahuannya. Kedengaran macam sihir. Berisiko juga keluarga Firman ini ya. Dalam hati aku menitipkan doa buat arwah abangnya. Mudah-mudahan rohnya dicucuri rahmat.
"Apa namanya?"
"Tak bergerak lagi? Kejap lagi nak Asar." Suara itu tegas memerintah.
Segera Fatimah menarik lenganku. "Jom kakak. Ai angah tu kalau datang angin dia..."
Aku yang turut malas nak berangin juga, mengikut langkah kaki Fatimah. Angin lagi kuat menderu-deru sepanjang perjalanan kami ke sungai. Ramai juga manusia di sungai. Lelaki dan perempuan. Bermandi-manda dengan selamba. Tak malu ke? Ada beberapa buah pelantar di sepanjang tebing sungai.
"Untuk apa itu, Fatimah?"
"Itu pelantar untuk sampan menurunkan penumpang atau mengangkut barang, tempat mandi dan basuh kain. Kami guna air sungai untuk memasak dan membasuh. Ai angah selalu kandar air untuk diisi dalam tempayan."
"Itu pondok apa?" Tanyaku bila melihat sebuah pondok kecil di atas pelantar yang hanya boleh memuatkan seorang sahaja di dalamnya.
"Oh, itu tandas air."
Aku beristighfar dalam hati. Rasa mual cuba kutahan sebaik mungkin. Seram aku bila dapat tahu air apa yang digunakan untuk membancuh teh dan memasak olah penduduk kampung ini.
"Memang seratus-peratus bergantung dekat air sungai ke?"
"Mana ada air paip. Itupun kalau yang jenis berduit sikit, mereka menggali telaga. Tapi kebanyakannya guna air sungailah."
Kenapa keluarga Firman tak gali telaga? Mereka kan berduit? Aku ingin bertanya tapi tak sampai hati pula. Takut Fatimah berkecil hati denganku.
"Itu apa?"
"Itu rumah rakit. Biasanya kalau musim ikan, rumah rakit ni akan berlayar ke tengah sungai, menahan pukat. Rumah ni dimiliki oleh tauke ikan dan mereka banyak duit. Ada juga digunakan untuk dibawa bersiar-siar..."
"Pelik sampan di sini... Berbumbung."
"Kakak... Itu rumah orang yang tiada tanah. Mereka sangat dhaif, terpaksa duduk dalam perahu. Sampai beranak-pinak. Cari makan dengan hanya menangkap ikan dan mengutip sayur kangkung di tepi sungai..."
Pedihnya hatiku.
"Anak-anak mereka tak mendapat pendidikan?"
"Nak makan pun susah, apatah lagi nak bersekolah. Mereka hanya berfikir dan berikhtiar untuk hidup sahaja. Apa yang nak dimakan pagi esok, tengah hari dan malam. Itu yang lebih penting. Asal boleh terus hidup dan bernafas."
Kami sampai ke pelantar. Banyak mata yang memerhatikan aku. Mungkin kerana aku bertudung bidang 60, bert-shirt Muslimah warna emas, berkain hitam dan bersandal. Mereka pasti boleh mengagak aku orang luar.
"Kami pun ada sebuah sampan macam tu... Ada masa nanti, kami bawa kakak bersiar-siar menyusuri Sungai Mekong ni... Seronok, kak..."
Aku tersengih. Looking forward to that. Selamba saja perempuan-perempuan di sini mandi, hanya berkemban.
"Kita akan mandi di sini."
"Sekarang?" Tapi aku bukan nak mandi. Aku nak berwuduk.
"Tak... Lepas Isyak baru kita mandi... Lagi lewat malam lagi bagus."
Lega, risau juga aku. Takut maruah wanita aku jatuh akibat berkemban pada siang hari yang terang-berderang begini. Tapi, kejap!
"Kenapa tak mandi di rumah? Kan lebih selamat tu?"
"Tak larat nak kandar air, kak. Kalau ai angah tak sibuk, dia buatlah tapi kasihan kat dia. Jadi mama dan saya selalu keluar mandi sebelum Subuh dan selepas Isyak."
Wau, mandi sebelum Subuh. Aku terangguk-angguk. Dalam hati dah macam, mudah terkena penyakit paru-paru berair aku nanti! Aku tau mandi sebelum Subuh tu bagus, tapi aku rasa mandi selepas Isyak tu tak elok. Maksudnya aku kena bangun pukul tiga, empat pagi… Dengan cuaca sekarang? Memang jawabnya demam kuralah aku nanti.
"Kenapa tak kutip je duit orang kampung, buat bilik air di tepi sungai ini... Jadi tak perlu mandi malam-malam."
"Lebih baik wang itu guna untuk beli makanan..."
Aku terdiam. Buat pertama kalinya aku kehilangan common sense aku, dan ciri autistik aku dah mula muncul.

New chapter is out

Share this novel

Guest User
 


NovelPlus Premium

The best ads free experience